Saturday, July 10, 2010

Orang Melayu Penentu Bahasa Melayu

Forum Berita Harian 30 Jun 2010
Orang Melayu penentu bahasa Melayu hidup atau mati


SEMPENA Bulan Bahasa ini, ingin saya mengutarakan pandangan berkaitan penggunaan bahasa Melayu.

Pelbagai cara dan usaha telah dijalankan dan sedang dicari demi melestari bahasa kita dan ia turut melibatkan kenyataan para menteri kita tentang pentingnya bahasa Melayu memandangkan kita tinggal dalam Nusantara Melayu.

Namun, yang paling penting agar bahasa Melayu kekal ialah orang Melayu sendiri tidak segan menggunakannya pada setiap peluang yang ada, termasuk dalam majlis, seminar dan forum yang dihadiri orang Melayu.

Banyak penganjur memberi alasan bahawa ini payah dilakukan kerana sebilangan hadirin majlis-majlis tersebut bukan Melayu atau tidak fasih berbahasa Melayu.

Tetapi saya mendapati ada juga orang Melayu yang tidak mahu bertutur dalam bahasa Melayu kerana segan, tidak fasih atau menganggap bahasa itu agak kuno.

Sebaliknya, saya mengamati ramai aktivis akar umbi Cina menggunakan bahasa Mandarin tatkala berbincang dan bermesyuarat sedangkan ramai daripada mereka berpendidikan tinggi.

Mereka tidak segan menggunakan bahasa itu.

Kini tiba Bulan Bahasa dan banyaklah persatuan menganjur pelbagai acara dan kegiatan demi merancakkan suasana sempena kempen bahasa itu.

Ramai pemimpin menyatakan perlunya dikekalkan penggunaan bahasa Melayu, tetapi sayangnya dan selalunya apabila Bulan Bahasa berakhir, entah ke mana tekad dan semangat kita untuk menghidupkan bahasa Melayu.

Jika kita sendiri tidak ambil peduli akan bahasa kita, saya bimbang bahasa ini boleh terkubur seperti lenyapnya sekolah Melayu.

Ini telah berlaku pada banyak bahasa nenek moyang kita, seperti Jawa, Bawean, Minang, Bugis dan sebagainya, dengan ramai golongan muda kita tidak lagi tahu bahasa asal masing-masing.

Apakah kita mahu bahasa Melayu terus kekal? Tepuk dada tanya selera.

Haji Diman Ahadi

No comments:

Post a Comment