Tuesday, August 18, 2009

Tujuan politik di sebalik takrif 'Melayu' dan dasar perkauman

15 Ogos 2009


SINGAPURA

Tujuan politik di sebalik takrif 'Melayu' dan dasar perkauman

Oleh
Karim Raslan

ADA perkara yang telah ditentukan beberapa pihak untuk mengukuhkan tahap keraguan dalam masyarakat Melayu. Penulis-penulis tertentu - baik dalam media arus perdana mahupun Internet - telah membayangkan kehilangan kuasa orang Melayu dan pada masa sama menimbulkan pertelingkahan kaum.

Saya bukanlah begitu mengambil kira perhubungan kaum dalam negara, khususnya dengan kes kematian Teoh Beng Hock yang belum dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan nada dan pandangan berkaitan yang disampaikan untuk memberitahu rakyat.

Sudah pasti rakyat Malaysia yang berteraskan kontrak sosial akan tergugat dengan teruk.

Kebanyakan orang berfikir bahawa komuniti Melayu (mengikut definisi Perlembagaan Persekutuan) tidak akan hilang dari tanah Malaysia.

Ini disebabkan saya sebagai orang Melayu juga tidak akan dilucutkan keistimewaan.

Sebagai komuniti majoriti di negara ini, kita memegang kuasa seimbang. Maka, Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlukan sokongan undi Melayu (dan ia termasuk undi saya) bagi menubuhkan kerajaan.

Secara asasnya, sejarah Malaysia telah dikarang bagi menguatkan kedudukan golongan pemerintah elit. Contohnya, ketika kita merai pemimpin Umno yang lepas mahupun sekarang, kita semua seolaholah lupa akan pemimpin lain (khususnya mereka yang mengikut aliran sosialis dan Islam), yang memainkan peranan penting membina bangsa dan negara.

Ini menambahkan lagi komplikasi dan bertambahnya persoalan yang sering ditanya mengenai idea dan konsep untuk menjadi seorang Melayu.

Ahli akademik Australia, Anthony Milner, yang telah menerbitkan bukut terbarunya berjudul The Malaysia, menambahkan lagi perdebatan tersebut. Buku itu dihasilkan melalui kajiannya yang mendalam.

Malah ia mesti dibaca oleh setiap pelajar dan mereka yang melibatkan diri dalam bidang sejarah dan politik Malaysia.

Hujah Milner begitu jelas. Baginya, tatanama atau istilah 'Melayu' sangat rumit kerana sering berubah-ubah.

Malah, beliau lebih gemar menggunakan perkataan kemelayuan (Malay-ness) dan akhirnya idea tersebut membawa kepada ketamadunan Melayu, berbanding dengan idea sebagai kaum Melayu.

Terdapat dua alasan mengapa beliau begitu berhati-hati dalam pengkajiannya. Pertama, beliau mendapati begitu sukar menentukan identiti Melayu, iaitu pada awal zaman penjajahan British. Kebanyakan rakyat di rantau ini cenderung mengenal pasti diri asal usul mereka mengikut tempat (laluan sungai tertentu) dan kerabat diraja tempatan.

Malah beliau terus berhujah bahawa British memperkenal dan mempromosikan idea lebih meluas mengenai identiti Melayu bagi melancarkan perjalanan dan keperluan pentadbiran mereka.

Milner menunjukkan bagaimana Belanda menggunakan dasar pentadbiran berbeza sehingga dapat membentuk kaum dinamik yang sebagaimana dapat dilihat di Indonesia sekarang.

Pada asasnya, Belanda menggunakan bahasa Melayu (disebut Maleischebrabbel). Bagaimanapun mereka telah gunakan istilah 'orang pedalaman' (atau Orang Asli) bagi anak tempatan yang lahir di situ, dengan ini ia menolak komuniti lain, khususnya kaum dominan bilangannya berbangsa Jawa, daripada menerima keistimewaan berlebihan.

Dengan itu, istilah 'Melayu' di Indonesia merujuk hanya kepada komuniti tersebut yang tinggal di Riau, Medan dan Kalimantan - membentuk hingga 4 peratus jumlah penduduk Republik itu.

Orang Sumatera seperti Minangkabau dan Batak tidak lagi dianggap sebagai Melayu.

Kemudian apabila Sukarno datang dengan memilih bahasa untuk pembinaan bangsa, pilihan tersebut menjadi bukti nyata.

Bahasa Melayu disamakan sebagai sistem terbuka. Ia boleh digunakan sesiapa sahaja dalam Republik itu. Keputusan tersebut turut mengelakkan orang Jawa menjadi terlalu berkuasa.

Milner turut menyatakan saling bergantungan antara identiti Melayu dan kerajaan atau budaya istana. Malah hubungan antara dua ini masih menjadi bukti di Malaysia. Menariknya, tidak sama seperti Indonesia, saya sebenarnya merujuk kepada kerajaan dan bukannya pemerintah.

Tambahan lagi, pokok pangkal karakter masyarakat tersebut, apabila kepimpinan yang kuat telah menentukan arah, malah pegangan seluruh komuniti bagi menyaksikan golongan elit yang memeluk Islam, maka bermula pertukaran tatanegara Asia Tenggara dari Hinduisme kepada Islam pada abad ke-14 dan ke-15.

Malah pemimpin agama muncul menjadi salah satu daripada sebilangan pusat alternatif pihak berkuasa untuk mencabar semua kekuasaan kerajaan.

Sebagai perbandingan, Milner menyatakan komuniti Melayu di Medan hampir musnah apabila istana diraja tempatan (Kesultanan Siak, Serdang dan Langat) memihak kepada Belanda menentang gerakan kemerdekaan dan berpecah akibat salah strategi, apabila pihak Jepun mengambil keputusan undur daripada peperangan.

Melalui topik utama tesis Milner - lagi dan lagi - ia adalah dasar perkauman dan identiti yang telah dicipta dan dipromosikan untuk alasan politik. Pandangan beliau itu tentunya benar, dan mungkin ada isu yang lebih mendalam dan perlu dipertimbang, sekurang-kurangnya berkaitan dengan kes di Malaysia.

Selama 50 tahun merdeka, rakyat telah disuap dengan diet eksklusif 'kerajaan berasas sejarah'. Bagaimanapun, kita boleh mempersoal cerita tersebut untuk menjadi kenyataan kepada jutaan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Mereka kini menjadi sebahagian identiti kita - sama ada kita suka atau tidak - apabila penyemakan sejarah tidak diubah semula atau memperbetulkan persepsi, maka cara kita melihat sama sahaja yang dulu mahupun sekarang.

Apa yang pasti, ikatan emosi komuniti Melayu terhadap kerajaan tidak boleh dipandang rendah - sebagaimana kita melihat kepimpinan PAS mengendali istana diraja Kelantan sejak sekian lama.

Pada masa sama, ketidakinginan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendampingi golongan Melayu elit tradisional ini mungkin menyebabkan beliau akan selalu dikenang dalam sejarah besar Malaysia, 'sekiranya...'.

Nota: Karim Raslan seorang penulis bebas dan menetap di Jakarta

Hari Kesyukuran Watan Majmuk

15 Ogos 2009

KOMENTAR

ANAK PASCA MERDEKA

Hari kesyukuran watan majmuk Oleh Mohd Noor A. Rahman

ANTARA Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang terbaik, menarik dan menghiburkan! Itulah rumusan hasil sembang saya dengan beberapa teman mengenai sambutan Hari Kebangsaan yang baru berlalu.
Peralihan dari satu babak ke satu babak memang teratur dan lancar.
Banyak persembahan menarik disajikan, termasuk kisah masyarakat berbilang bangsa dan babak cemas penggempuran pasukan keselamatan bagi mengatasi serangan pengganas.
Cuma, ada dua acara paling menarik perhatian saya.
Pertama, kisah Temasek yang ditemui Sang Nila Utama.
Pulau ini dikatakan sebagai tempat menarik baginya kerana tidak berlaku bencana alam seperti gempa bumi.
Sang Nila Utama dikatakan mendarat di tanah lapang di Kuala Temasek (sekarang Esplanade) dan melihat seekor haiwan yang menurut pengikutnya seekor singa.
Maka dinamakan Singapura, atau Kota Singa.
Dalam bahasa Sanskerta, perkataan 'singa' bermakna 'raja binatang yang gagah' dan 'pura' bermakna 'kota'.
Walaupun kisah penemuan Kota Singa itu dilakukan secara humor dan bersahaja (membabitkan pelakon dan pelawak Suhaimi Yusof dan Mark Lee), bagi saya ia masih penuh bermakna.
Ini kerana sebelum ini, sering ditekankan 'penemuan' Singapura moden oleh Sir Stamford Raffles.
Ia memberi gambaran seolah- olah pulau ini, sebelum penemuan Raffles, ibarat kurang pembangunan, kegiatan manusia atau perdagangan.
Walhal mengikut penemuan sejarah, Singapura mempunyai tamadun beberapa ratus tahun lamanya sebelum penemuan Raffles dengan Bukit Larangan, atau Fort Canning, dan juga kawasan Kampong Gelam menjadi antara nadi tamadun itu.
Mengenai Temasek pula, fakta sejarahnya tidak begitu banyak diketahui.
Memang sejak kedatangan Raffles, pulau ini membangun dengan pesat, khususnya sebagai pusat perdagangan di rantau ini dan juga dunia.
Ia menjadi pusat laluan perdagangan penting antara negara Timur Jauh seperti China dan Jepun dengan kawasan benua India, Timur Tengah dan Eropah.
Cuma hakikatnya, Singapura dinamakan si penemunya, Sang Nila Utama, bukan Raffles yang mentadbir pulau ini bagi pihak British.
Cerita ini perlu diuar-uarkan kepada warga setempat agar mereka tahu akan sejarah pulau kecil ini.
Sebab itu, penampilan kisah Sang Nila Utama dalam perbarisan kali ini amat menggembirakan saya sebagai anak jati negara ini.
Cuma ada yang mengkritik penyampaian cerita Sang Nila Utama sebagai terlalu bersahaja dan remeh - bak kurang memberi penghormatan kepada penemu pulau ini.
Berkaitan ini, ingin saya sarankan agar dapat diberikan nama jalan, bangunan atau institusi baru dengan nama penemu pulau ini, Sang Nila Utama.
Penghormatan sedemikian demi membantu warga mengingati beliau dan membentuk jati diri bangsa Singapura.
Pernah sebuah sekolah diberikan atas nama beliau, Sekolah Sang Nila Utama, namun ia telah tutup pada 1987.
Kini, ada banyak bangunan, tempat dan jalan raya diberi nama sempena Raffles, namun kurang sekali atas nama Sang Nila Utama.
Sementara itu, satu lagi acara yang menarik perhatian saya adalah detik membaca Ikrar Negara tepat pada 8.22 malam.
Walaupun ia bukan acara baru, kali ini pihak penganjur begitu bersungguh-sungguh mahu melibatkan seramai mungkin warga menyertai pembacaan ikrar ini - bukan sahaja merangkumi penonton di pelantar terapung di Marina Bay.
Dilaporkan ribuan lagi rakyat di beberapa lokasi lain seperti pusat membeli-belah setempat dan di beberapa negara serata dunia turut sama membaca Ikrar Negara yang ditulis pada 1966 oleh salah seorang bapa kemerdekaan Singapura yang juga Menteri Ehwal Luar pertama Singapura, mendiang S. Rajaratnam.
Saya dan anggota keluarga turut sama berdiri di depan televisyen di rumah dan melafazkan ikrar tersebut genap pada 8.22 malam. Alahai, patriotik juga anak-anak saya.
Lagipun, sejak meninggalkan bangku sekolah, inilah peluang saya - sekali dalam setahun - untuk melafazkan Ikrar Negara yang begitu bermakna.
Sememangnya, jika Ikrar Negara ini diamalkan setiap anak watan di sini, Singapura pasti dapat terus menikmati kemakmuran, kemajuan dan keharmonian di kalangan penduduknya yang berbilang bahasa, bangsa dan agama.
Dan itulah harapan saya sempena hari ulang tahun Singapura kali ini - satu bangsa Singapura yang memandang jauh daripada sekadar perbezaan kaum, bahasa dan agama dalam apa jua keadaan, tetapi mengutamakan persamaan.
Sebuah bangsa yang tidak mudah tergugat atau berpecah belah atau mudah termakan fitnah atau ideologi mana-mana pihak yang mahu memecahbelahkan masyarakat majmuk watan ini.
Justeru, kita perlu menyokong usaha memperkukuh perpaduan sosial dan usahlah meremehkannya, apatah lagi menjengkelnya sebagai kurang bermanfaat.
Singapura telah merdeka sejak 44 tahun lalu dan banyak cabaran yang telah, sedang dan bakal kita hadapi dari segi perpaduan sosial yang sentiasa menguji tahap persefahaman dan kerjasama kita sebagai sebuah bangsa Singapura.
Namun, dalam lubuk hati saya yakin Singapura akan terus makmur dan harmoni kerana sikap warganya yang berhati waja bak singa dan mensyukuri nikmat sebagai satu bangsa.
Dirgahayu Singapura.

Negara, Kebangsaan

12 Ogos 2009
KOMENTAR

PANDANGAN

Harga sebuah kemerdekaan
OlehMohd Ayub Johari

TIADA kata yang paling merangsangkan di rantau ini selain 'merdeka'. Itulah kekata yang disebut oleh Perdana Menteri, Encik Lee Kuan Yew, 44 tahun lalu, ketika menyongsong kelahiran watan ini selepas dikeluarkan dari Malaysia.
Kemerdekaan kita memang tidak seperit sesetengah negara lain seperti Indonesia yang menuntut pengorbanan darah.
Sejak dijajah Belanda sejak 1619 apabila Syarikat Hindia Belanda membuka Batavia (sekarang Jakarta), Indonesia telah mengisytiharkan kemerdekaannya pada 1945 selepas penjajah Jepun menyerah kalah. Namun Belanda dengan sokongan British telah menyerang untuk berkuasa semula.
Rakyat Indonesia dan Asia menyaksikan bagaimana Jepun, sebuah negara Asia, dapat mengalahkan kuasa-kuasa Eropah termasuk Perancis, Inggeris dan Belanda di Asia Tenggara atau Russia. Kejayaan Jepun, walaupun di sebalik kekejamannya di rantau ini, telah membakar semangat juang anak bangsa.
Dua hari selepas hari keramat 17 Ogos 1945 ketika Presiden Sukarno dan Naib Presiden Hatta mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia daripada penjajahan Belanda, gempuran Belanda berlaku di udara, laut dan darat.
Indonesia hanya mempunyai tentera rakyat yang serba kekurangan pimpinan Jeneral Sudirman, bekas seorang santri Muhammadiyyah. Tentera Nasional Indonesia dibantu oleh kumpulan-kumpulan gerila yang menggunakan senjata buatan sendiri, termasuk bambu runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya seperti tombak). Ia menjadi lambang perjuangan rakyat jelata.
Selain Belanda dan British, Indonesia berdepan dengan pemberontak haluan kiri yang cuba merampas kuasa seperti yang berlaku di Madiun. Presiden Sukarno memerintahkan ketumbukan Siliwangi pimpinan Jeneral Abdul Haris Nasution untuk menumpaskan gerakan pemisah itu.
Akhirnya Belanda akur dengan kemerdekaan Indonesia.
Namun gerakan komunis berterusan pada 30 September 1965 sehingga mengorbankan enam jeneral dan hampir membunuh Jeneral Haris Nasution. Bangkit Jeneral Suharto yang menguasai keadaan dan akhirnya menggantikan Sukarno sebagai presiden kedua.
Di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga terdapat usaha melawan British yang berkuasa dalam abad ke-18, bermula di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Penentangan terhadap pemerintahan Inggeris berlaku secara kecil-kecilan, tidak menyeluruh seperti Datuk Dol Said di Naning (1832), Dato Maharajalela di Perak (1875), Dato Bahaman di Pahang (1891), Tok Janggut di Kelantan (1910) dan Mat Salleh di Sabah (1894-1900).
Selepas pendudukan Jepun, tercetus gerakan kemerdekaan selepas British cuba memperkenalkan Malayan Union pada 1 April 1946. Gagasan ini menamatkan kedudukan orang Melayu sebagai anak jati. Maka tertubuhlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) tetapi lebih dikenali dengan singkatan Inggeris, Umno.
Mungkin British sedar kesilapannya di Amerika Utara (kemerdekaan Amerika Syarikat) dan beberapa tempat lain yang merdeka menerusi perang. Proses kemerdekaan Tanah Melayu berlaku menurut rundingan dan perundangan. Mentelah sudah berlaku pemberontakan komunis yang mendorong perintah darurat (1948-1960).
Dengan kerjasama kaum-kaum Cina dan India, Tunku Abdul Rahman dapat membentuk perikatan yang membawa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Singapura menjadi negara berpemerintahan sendiri pada 1959 menerusi kejayaan Parti Tindakan Rakyat yang meraih 43 daripada 51 buah kerusi. Untuk merdeka, Singapura disyaratkan British agar menyertai Malaysia.
Selepas pungutan suara, mandat besar diterima untuk penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 (kebetulan hari lahir Encik Lee Kuan Yew).
Namun kehadiran Singapura dalam Malaysia ternyata tidak selesa kerana pelbagai masalah ideologi dan keperibadian. Akhirnya Tunku memutuskan sendiri untuk mengeluarkan Singapura. Maka merdekalah watan kecil ini.
Pada mulanya, banyak pihak menyangsi keupayaan Singapura untuk berdikari. Bahkan tentera British mengundurkan kehadirannya lebih awal sehingga memburukkan suasana pengangguran.
Ekonomi kita bergantung kepada pangkalan tentera Inggeris yang menggaji sebahagian besar para pekerja. Pelaburan asing sangat kurang.
Namun berkat usaha gigih pemerintah mengatasi silap tadbir dan rasuah, Singapura berjaya mengatur penakatannya di rantau ini. Kegiatan samseng dapat dikawal dan mogok dihentikan menerusi gerakan kesatuan yang sanggup bekerjasama dengan majikan. Pendidikan dipertingkat untuk menjadikan pekerja Singapura antara yang terbaik di dunia.
Lama-kelamaan, pelabur terbuka hati untuk ke sini. Dalam pada itu, peranan pemerintah dipertingkat menerusi persyarikatan. Rizab negara terus bertambah.
Dalam tempoh kurang empat dekad, Singapura sudah mengatasi bekas penjajahnya dari segi taraf hidup. Kemajuan Singapura terletak pada kepimpinan dan kerjasama rakyat dalam membina keharmonian dan keamanan. Inilah buah 'merdeka' yang kita nikmati.
Pun kita sedar bahawa sebuah negara berbilang bangsa dan agama ibarat sebuah mozek. Untuk membentuk mozek yang lengkap, setiap masyarakat mempunyai peranan masing-masing. jika kita tidak berhati-hati, mozek itu boleh pecah.
Kita, Malaysia dan Indonesia memiliki banyak persamaan - pernah terjajah, berbilang bangsa, budaya dan agama serta pernah diancam keselamatannya.
Kita gembira kerana ramai rakyat Malaysia dan Indonesia bekerja di Singapura sedang firma Singapura pula banyak menanam modal di Indonesia dan Malaysia. Keeratan hubungan rakyat tiga negara ini menentukan suasana mantap di rantau ini.
Jelaslah hari kebangsaan Singapura yang ke-44 dan setengah abad ulang tahun berpemerintah sendiri bak suatu detik kesyukuran. Merdeka merupakan satu rahmat dan wajar kita berikrar untuk meneruskannya:
Kami warganegara Singapura, sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira apa bangsa, bahasa atau agama, berikrar untuk membina suatu masyarakat yang demokratik, berdasarkan keadilan dan persamaan untuk mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan bagi negara kami.
Nota: Penulis ialah mantan guru dan aktif dalam gerakan akar umbi.

Negara/ Kebangsaan

12 Ogos 2009

KOMENTAR

E-MEL DARI HAWAII

Mencari ikatan sebuah watanOlehM Effendy A Hamid

KETIKA Singapura dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan dengan acara perbarisan, pemasangan bendera di bangunan dan rumah serta menyerap amanat Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, saya merenung erti dan konsep bangsa dan negara.
Ernest Renan, ahli falsafah Perancis yang terkenal dengan tulisan What is a Nation? (syarahan 1882 di Universiti Sorbonne), telah mengetengahkan dua fakta yang harus difahami:
Pertama, pemilikan warisan memori dan azam untuk tinggal bersama dan mengekalkan pusaka atau warisan.
Kedua, sebuah negara atau bangsa juga memerlukan semangat dan azam yang sama untuk bertindak demi membawa kebanggaan bersama.
Tetapi aspek yang paling penting, hujah Renan, sejarah silam penuh dengan kegemilangan dan tokoh masyhur merupakan penyatu bangsa dan negara.
Ini kerana rakyat akan mahu meneruskan kejayaan seperti yang dilakukan dalam sejarah.
Juga penting, hujahnya, ialah konsep penderitaan bersama. Zaman duka bersama akan tertancap dalam ingatan kebangsaan dan menjadi penggerak rakyat untuk bangkit.
Konsep 'menderita bersama' dan 'bersatu untuk melawan musuh' menjadi unsur kesedaran nasional bagi kebanyakan negara di Asia Tenggara.
Di Thailand, rakyatnya bangga dengan kejayaan raja-raja Siam seperti Maharaja Mongkut dan Chulalongkorn dalam perkembangan watan itu ke arah kemodenan tanpa dijajah Eropah, termasuk British dan Perancis.
Di Vietnam, kesedaran nasional berunsur sejarah perperangan yang bermula daripada kemenangan orang Vietnam utara melawan musuh hebat seperti Dinasti Cina, Mongol (yang menakluki negara Cina dan kemudian menyerang Vietnam), Perancis dan Amerika Syarikat.
Di Filipina, penentangan bapa kemerdekaan Jose Rizal yang menentang Sepanyol sentiasa diperingati. Di Indonesia pula, semangat Sukarno membakar azam menentang Belanda.
Apakah ada unsur 'menderita bersama' dan 'bersatu untuk melawan musuh' di Singapura? Bolehkah pengalaman sejarahnya disamakan dengan negara lain di Asia Tenggara?
Ini membuatkan saya berfikir tentang beberapa isu penting dalam penulisan sejarah Singapura.
Hakikatnya, memang susah untuk menyelidik sejarah Singapura sebelum era penjajahan British. Sumber-sumber sejarah dan arkeologi ada tetapi tidak sekaya tempat lain di Asia Tenggara - misalnya pulau Jawa dan Kemboja.
Seorang kawan Amerika telah membaca syarahan Renan dan mengikuti sejarah Singapura. Beliau amat tertarik dengan cara Singapura cuba membina jati diri kebangsaan sejak merdeka pada 1965.
Menurutnya, zaman 'derita bersama' Singapura adalah ketika Pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Ia amat mengazabkan dan sungguh berkesan untuk membina sebuah penyatuan yang kuat sekali sesama rakyat jelata - bak dihujahkan Renan.
Tetapi pada hemat saya, zaman Jepun juga memulakan proses pembaharuan identiti orang Singapura yang sedar mereka merupakan anak jajah empayar Britain.
Proses seterusnya melibatkan perubahan minda yang mendorong harga diri untuk merdeka dan mempunyai pemerintahan sendiri.
Tiba-tiba rakan Amerika itu bertanya: fakta sejarah mana dan apakah yang harus diingati dan apakah yang harus dilupakan oleh Singapura dalam rangka integrasi rakyatnya?
Saya merujuk kembali kepada Renan. Iaitu, sejarah kemerdekaan Singapura boleh dikatakan 'baru'.
Jadi, untuk memiliki sejarah lama, Singapura perlu menggali akar kehadiran sewaktu dinamai Temasek atau lebih lama lagi selagi tidak menimbulkan kepekaan antara kaum. Ertinya:
Sejarah kesultanan dan raja-raja Singapura: Dilupakan atau diingati kembali? Mengapa sejarah kesultanan penting kepada sejarah nasional Singapura? Bagaimanakah ia boleh diintegrasikan dalam penulisan sejarah Singapura tanpa masalah?
Sejarah identiti orang 'Melayu', 'Cina' dan 'India' di Singapura. Haruskah identiti awal golongan ini dipersoalkan? Adakah ini akan bercanggah dengan matlamat utama iaitu membina sebuah identiti nasional?
Penyelidikan arkeologi Singapura untuk meningkatkan kefahaman mengenai peranan Singapura dalam sejarah rangkaian perdagangan, politik dan masyarakat Asia Tenggara. Bagaimanakah ia boleh digunakan untuk menguatkan identiti rakyat Singapura?
Dengan meneliti isu-isu yang mencabar lagi rumit ini, Singapura akan lebih berupaya menguatkan jati diri nasionalnya.

Tuesday, August 4, 2009

Aku Bukan Wahabi - Ustaz Abdul Rahman Mohamed

Memoar Hidup Uz Abdul Rahman. Beliau berkongsi pengalaman pahit manis hidupnya dari kecil, alam persekolahan, remaja hinggalah menjadi pendakwah. Hidup beliau susah semasa kecil. Uz bertugas dengan LPM yang gila kuasa. Uz difitnah oleh pendakwah lain yang melabelnya Wahabi.

Bacaan ringan tetapi bermakna dan mengesankan. Pembaca pasti simpati akan ujian yang dialami Uz Abdul Rahman.