Monday, May 31, 2010

Jangan sampai kehilangan punca oleh Pasuni Maulan

31 Mei 2010

KOMENTAR

PANDANGAN
Jangan sampai kehilangan punca

Oleh
Pasuni Maulan

SEBAHAGIAN masyarakat kita masih lagi mewarisi pelbagai masalah sejak beberapa dekad yang lalu - penagihan dadah, jenayah, kehamilan remaja, penceraian dan sebagainya

Perangkaan penghuni di pusat tahanan bagi kesalahan juvena dan jenayah dewasa kurang diketahui umum. Namun bersandarkan kes-kes yang dipaparkan di media massa, dapat disimpulkan jumlah pesalah 'berbangsa Melayu' melebihi kadar penduduk Melayu/Islam Singapura.

Masalah sosial bak tiada akan berakhir - laksana membawa tepung dalam karung reput. Ditutup lubang yang bocor, tempat lain pula yang merekah sehingga tepung bertaburan.

Telah tiba masanya usaha gigih yang dilakukan berbagai pihak perlu dinilai semula. Dalam ruangan terhad ini, saya ingin menyentuh betapa penting mendisiplinkan peri laku anak muda kita.

Program pendidikan seks remaja

Banyak wang yang telah dibelanjakan untuk menjayakan program pendidikan seks remaja. Apakah ukur tara kejayaan yang telah ditetapkan sudah dicapai?

Adakah program sedemikian sekadar meningkatkan kesedaran atau megurangkan kes salah laku seks? Hal ini perlu disemak dengan tuntas.

Jangan jadi anjing menyalak bukit. Jika hubungan bebas anak-anak di peringkat sekolah dan remaja dibiarkan, bererti apa jua program asuhan seks untuk remaja mungkin tidak berkesan.

Kian ketara pelajar seawal menengah dua dan tiga berpimpin tangan ketika pergi dan pulang dari sekolah. Bagi yang lebih lebih tinggi umurnya pula, pergaulan mereka semakin memualkan - seperti tidak segan silu bercumbu di pengangkutan awam dan ditempat umum.

Usaha meningkatkan umur perkahwinan dari 16 tahun kepada 18 tahun diharapkan dapat mengurangkan pasangan muda yang ingin bernikah.

Namun di sebalik itu, ia hanyalah sekadar melambatkan mereka menjadi pasangan suami isteri yang sah tetapi hubungan bebas terus berkembang.

Kajian menyeluruh perlu diadakan tentang hubungan seks bebas dan kaitannya dengan penghayatan beragama keluarga dan tahap sosio ekonomi mereka serta pendidikan agama yang dilalui para remaja.

Masjid dan badan Islam wajar diserahkan tugas menyampaikan pendidikan seks bersendikan agama secara khusus atau diselitkan dalam kurikulum madrasah hujung minggu.

Mewajibkan pendidikan agama

Pemerintah menekankan peri penting pendidikan dan sudah melaksanakan Pendidikan Wajib (CE) sejak hampir sedekad yang lalu untuk memastikan semua anak Singapura diberikan peluang asas meraih ilmu bagi menyahut cabaran masa depan Negara.

Mereka yang tidak mendaftarkan anak bagi pengambilan murid ke darjah satu akan dikesan dan ibu bapa mereka akan dinasihatkan sehingga didenda jika melengahkan tanggungjawab asas ini.

Sayangnya, pendidikan agama tidak termasuk dalam CE. Hal ini dapat difahami kerana konteks sekular Singapura. Namun, ia menjadi kewajipan pada diri ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka diberikan pendidikan agama.

Sehingga kini jumlah anak Islam yang tidak menghadiri kelas-kelas agama dikatakan masih banyak. Bukankah ini merupakan satu cabaran untuk kita atasi?

Tanpa pendidikan agama yang disampaikan dengan berkesan kepada anak-anak kita, dikhuatiri akan kehilangan jati diri mereka sebagai Muslim yang bertanggungjawab.

Memang ibu bapa tidak boleh dipaksa untuk memastikan pendidikan agama anak mereka, tetapi tekanan sosial boleh dikenakan sehingga membuat mereka berasa 'malu' dan terdorong untuk tidak membiarkan anak-anak mereka.

Asatizah terlatih serta kurikulum dan pedogogi (cara pengajaran) agama yang disusun dengan baik diperlukan agar anak-anak kita berasa terangsang untuk belajar agama.

Mengukuhkan iman anak kita merupakan sebaik-baik bekalan ibu bapa dalam menghadapi cabaran dunia yang pesat berubah. Bahkan cara ini melindungi mereka dari jerat ajaran sesat, termasuk fahaman pelampau yang boleh mengancam keharmonian negara.

Ingatlah bahawa asas Islam bermula dengan wahyu pertama ialah 'Bacalah' - seruan mencari ilmu, terlebih utama ilmu agama.

Kita berdosa jika membiarkan anak kita 'diyatimkan' oleh ilmu agama dek kesilapan dan pengabaian peranan ibu bapa.

Oleh itu, masjid dan pertubuhan Islam perlu memikirkan strategi berkesan di peringkat kejiranan demi memastikan setiap anak Islam menghadiri kelas agama.

Tentulah untuk lebih mudah mendekati umat Islam, masjid dan badan Islam perlu memiliki daftar umat Islam di kawasan masing-masing. Ini boleh diperolehi daripada daftar pembayar zakat.

Tiada suatu tugas yang mudah dalam membetulkan masyarakat. Namun dalam setiap kesukaran, akan menanti jalan keluar ke arah kesenangan.

Oleh itu, amat wajar agar usaha mendekati keluarga yang tidak menghantar anak-anak mengikuti kelas agama dijadikan sebagai satu dari kayu ukur kelakonan (berdasarkan Indeks Kelakonan Utama) sesebuah masjid kejiranan.

Kita perlu bertindak sebelum mengeluh seolah-olah kehilangan punca.

Nota: Penulis ialah seorang ustaz, pemimpin masyarakat dan pemikir.

Kenapa Perlu belajar Mandarin oleh Ismail Pantek

30 Mei 2010

EKSTRA!

Kenapa perlu belajar Mandarin?

Usah anggap ia bahasa asing yang hanya akan menyusahkan diri dan anak-anak kita, sebaliknya anggap ia alat tingkatkan daya saing


TIDAK berapa lama lagi, Majlis Bahasa Melayu kita akan memulakan Bulan Bahasa Melayu.

Ia satu usaha murni untuk menggalakkan masyarakat kita, terutama anak-anak muda, agar lebih cintakan bahasa ibunda mereka.

Namun, bukan soal itu yang ingin saya ketengahkan dalam rencana saya kali ini, tetapi sebaliknya bahasa Cina, atau lebih khusus lagi, Mandarin.

Terus terang, kita perlu mempercepat langkah belajar bahasa tersebut demi penakatan kita dalam era globalisasi ini.

Mungkin ada daripada anda menganggap Mandarin itu hanya untuk orang-orang Cina dan kita tidak perlu menggunakannya, apa lagi sampai nak bersusah payah  belajar bahasa tersebut.

Buat apa nak pikul satu beban lagi, sedangkan sekarang sahaja kita menghadapi cabaran besar menguasai dua bahasa - Melayu dan Inggeris? Itu belum termasuk bahasa Arab, bahasa agama kita.

Terserah pada anda membuat kesimpulan.

Tetapi, bagi saya, kita perlu bersikap pragmatik dan membuka minda kita kepada tuntutan zaman sekarang serta keperluan masa depan.

Kita kini berada dalam era globalisasi atau pensejagatan yang melihat kemunculan China sebagai satu kuasa besar ekonomi dan politik yang baru. Ia menuntut satu perubahan paradigma dalam diri kita.

Cakap mudahnya, kita perlu buat perubahan pada pemikiran kita kerana pemikiran lama tidak akan mampu membawa kita untuk bersaing dengan orang lain.

Sekarang sahaja, kita makin sering mendengar keluhan anak-anak Melayu kita (dan juga orang bukan Cina) yang kecewa apabila pekerjaan yang diiklankan memerlukan mereka sekurangkurangnya boleh bertutur Mandarin.

Kita anggap ini satu diskriminasi dan amalan tidak adil.

Ia bahkan turut diberi perhatian pemerintah dan juga kesatuan sekerja, yang kemudian menasihatkan majikan agar bersikap lebih adil dan tidak mengamalkan diskriminasi kaum, agama dan juga bahasa.

Tetapi, kita juga mesti bersikap realistik. Sampai bila kita dapat menahan arus penggunaan Mandarin daripada melanda kita?

Apakah kita masih mahu berdegil hingga akhirnya membiarkan diri ditenggelami arus tersebut?

Mengapa perlu belajar Mandarin?

Faktor utamanya ialah negara China yang kian muncul sebagai kuasa besar dunia dengan penduduk lebih 1 bilion orang.

Dengan pasaran sebesar itu ( melebihi jumlah penduduk Amerika, Eropah dan Jepun keseluruhannya), tiada siapa yang mampu untuk tidak mempedulikan peluang-peluang perniagaan dengan negara tersebut.

Walaupun kian ramai rakyat dan pengusaha China sendiri yang berusaha belajar bahasa Inggeris, bahasa perdagangan antarabangsa sekarang ini, mereka tentunya lebih senang dan percaya berurusan dengan orang asing yang mampu menjalin komunikasi dengan menggunakan bahasa Mandarin yang baik.

Berjuta-juta orang bukan Cina kini giat mempelajari Mandarin, dengan pemerintah China sendiri menganggarkan angka ini sudah menghampiri 100 juta orang sekarang.

Pentingnya mempelajari Mandarin juga disedari oleh orang-orang bukan Asia seperti Amerika dan Eropah.

Bahkan, Indonesia sendiri, negara jiran terdekat kita, kian menggalakkan rakyatnya menguasai Mandarin.

Hakikatnya, Mandarin kian menjadi mata pelajaran bahasa asing utama di banyak negara, mengatasi kedudukan bahasa-bahasa asing lainnya seperti Perancis, Jerman, Jepun dan Sepanyol.

Bagaimana dengan Singapura sendiri?

Keadaan kita di sini sudah jelas, umpama pepatah 'sudah terang lagi bersuluh'.

Dengan kaum Cina yang membentuk 75 peratus jumlah penduduk Singapura, dan dengan urusan perniagaan yang semakin berlipat ganda dengan negara China, peri pentingnya Mandarin sudah tidak perlu diperdebat.

Cuma, yang menjadi persoalan, sampai bila masyarakat Melayu kita hendak berdiam diri dan menutup mata daripada hakikat tersebut?

Jawabnya mudah. Kita harus mempercepat langkah mempelajari bahasa tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Mandarin adalah salah satu bahasa yang amat sulit untuk dipelajari, terutama dari segi tulisan.

Tetapi itu tidak harus mematikan semangat kita. Tambahan pula, sudah ada anak-anak Melayu kita yang mula mempelajarinya, bahkan ada yang sudah meraih manfaat daripada kelebihan menguasai bahasa tersebut.

Memang tidak semua mampu belajar sampai tiga bahasa. Lantaran itu, kita perlu mendekatinya selangkah demi selangkah.

Nasihat saya, anda yang mampu, belajarlah dari sekarang.

Galakkan anak-anak kita agar ambil kesempatan mengikuti dengan serius kelas-kelas Mandarin yang ditawarkan di sekolah sebagai tambahan kepada bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.

Bagi yang dewasa, carilah kelas-kelas Mandarin yang diadakan di kelab-kelab masyarakat dan sebagainya.

Yang paling penting, bagi saya, kita betulkan sikap kita terhadap Mandarin.

Jangan anggap ia sebagai bahasa asing yang hanya akan menyusahkan diri dan anak-anak kita.

Tetapi, anggaplah ia sebagai satu alat untuk meningkatkan daya saing kita, bukan sahaja di Singapura, bahkan di luar negara, terutama China.

Bagi saya, Mandarin tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu kita, selagi kita yakin dan berpegang teguh pada jati diri kita.

Masa depan bahasa perlu jiwa kepimpinan oleh Yahya Hamid

23 Mei 2010

FORUM

Masa depan bahasa perlu jiwa kepimpinan


SAYA terpanggil mengusulkan suatu perubahan sikap mendasar orang Melayu terhadap bahasa ibundanya kerana keterkaitan budaya dan jati diri kita sebagai orang Melayu. Dua perkara yang perlu ditekankan adalah: Nilai niaga dan rasa bangga.

Pertama, penekanan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa yang bernilai niaga. Bahasa Melayu adalah bahasa Nusantara dengan sekitar 300 juta pengguna. Jumlah yang begitu besar tentulah mengundang pasaran niaga yang juga besar.

Kedua, tingkatkan rasa bangga terhadap bahasa Melayu dan keupayaan berbahasa Melayu. Sebenarnya bahasa Melayu sudah pun 'berakar umbi' sejak zaman Kerajaan Sriwijaya kira-kira 1,600 tahun lalu.

Menurut Darwis Harahap dalam bukunya Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu terbitan Universiti Sains Malaysia:

"Aksara Rencong ialah huruf Melayu Tua yang lebih tua daripada aksara Jawa Kuno (tulisan Kawi). Masyarakat yang telah memiliki kemahiran bertulis dianggap sebagai masyarakat yang telah tinggi peradabannya dan tentu telah mempunyai masyarakat yang berkurun- kurun lamanya."

Para pedagang dari India dan negeri Arab, dan pendakwah Islam dan penjajah umumnya, menggunakan bahasa Melayu dalam hubungan mereka dengan orang-orang tempatan kerana bahasa Melayu sudah pun menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan di Nusantara pada ketika itu.

Dengan dilaungkan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928 oleh pejuang kemerdekaan Indonesia dan dengan tercapainya kemerdekaan Indonesia pada 1945, bahasa Melayu dimartabatkan dengan diangkatnya bahasa Indonesia sebagai bahasa kesatuan dan persatuan Indonesia.

Dalam buku bertajuk Cermat Berbahasa Indonesia untuk Perguruan Tinggi tulisan Zaenal Arifin dan Amran Tasai, persoalan ini ditimbulkan: "Mengapakah Bahasa Melayu Diangkat Menjadi Bahasa Indonesia?"(Halaman 8). Mereka mengemukakan empat sebab sebagai berikut:

1. Bahasa Melayu sudah merupakan lingua franca (bahasa perantara) di Indonesia, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan.

2. Sistem bahasa Melayu sederhana, mudah dipelajari kerana bahasa ini tidak dikenal sebagai tingkatan bahasa, seperti dalam Bahasa Jawa (ngoko, kromo) atau perbezaan bahasa kasar dan halus seperti dalam Bahasa Sunda (kasar, lemes).

3. Suku Jawa, suku Sunda dan suku-suku lain dengan sukarela menerima bahasa Indonesia sebagai bahasa nasional.

4. Bahasa Melayu mempunyai kesanggupan untuk dipakai sebagai bahasa kebudayaan dalam erti yang luas.

Keputusan yang diambil para pejuang kemerdekaan Indonesia mengangkat bahasa Melayu menjadi Bahasa Indonesia adalah bijaksana dan tepat, dan kerana inilah kita dapat berhubungan lebih erat lagi sesama kita melewati perbatasan negara.

Jadi, tidak ada alasan baik bagi para pemimpin Melayu di Singapura tidak menguasai bahasa Melayu dan tidak menggunakannya dalam suasana yang sesuai.

Yahya Hamid

Jangan Sampai sekadar menjadi bahasa pasar oleh Mohamad Farhan

23 Mei 2010

FORUM

Jangan sampai sekadar menjadi bahasa pasar


MEMBACA surat Encik Wahid Noordin (Tiada jalan pintas kuasai dan cintai bahasa Melayu, BH, 19 Mei), saya terpanggil untuk mengongsi pandangan.

Masalah penguasaan bahasa Melayu, terutama sekali di kalangan pelajar dan golongan muda, hangat dibincangkan semenjak usulan semakan ke atas kurikulum bahasa ibunda ditimbulkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Kebimbangan atas kesannya jelas terlihat daripada kepantasan tindakan Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) dan Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu (PGBM) membincangkannya dengan pihak MOE.

Huraian bagi masalah penguasaan bahasa Melayu, terutama di kalangan pelajar dan golongan muda, sebenarnya telah lama dibincangkan bahasawan dan guru-guru bahasa Melayu kita.

Antaranya ialah perlunya mendidik anak-anak kita dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul semenjak kecil lagi, sesuai dengan pepatah melentur buluh dari rebungnya.

Hendaklah kita membiasakan mereka membaca akhbar Berita Harian serta buku dan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Tatkala menonton televisyen bersama keluarga, kita boleh membiasakan mereka menonton siaran berita dengan memberi perhatian kepada penyampaiannya yang fasih dan lancar.

Kita juga boleh menjadikan beberapa pengacara televisyen sebagai contoh bagi anak-anak kita.

Pengacara yang fasih dwibahasa seperti Najip Ali pula boleh kita jadikan contoh bahawa tidak mustahil untuk menguasai kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dengan baik.

Ini bererti kita perlu menjadikan rumah kita sebagai madrasah pertama bagi anak-anak kita menguasai dan mencintai bahasa Melayu.

Selain saranan di atas, hendaklah kita sendiri membiasakan penggunaan bahasa Melayu yang baik bersama ahli keluarga.

Barulah kemudian langkah ini dapat diteruskan bersama saudara-mara dan sahabat-handai.

Akhir sekali, teringat saya akan nasihat imam Masjidil Haram, Allahyarham Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin, kepada keluarganya: “Janganlah jadi seperti suatu kaum yang walaupun menguasai bahasa Arab yang fasih, mereka tetap menggunakan bahasa pasar.”

Saya rasa nasihat itu amat sesuai bagi kita.

Mohamed Farhan

Mohamed Samsudin

Tuesday, May 25, 2010

Penakatan bahasa ibunda bukan bertepuk sebelah tangan

24 Mei 2010

KOMENTAR

Penakatan bahasa ibunda bukan bertepuk sebelah tangan


BERTEPUK sebelah tangan tidak akan berbunyi. Begitulah isu pembelajaran bahasa ibunda kini. Pemerintah sudah pun menegaskan nilai agregat Bahasa Ibunda (MTL) bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tidak dikurangi. Bahkan, satu jawatankuasa khas pimpinan pengarah agung pendidikan, Cik Ho Peng, ditugaskan menyemak kurikulum sedia ada. Semakan itu kelak berteras pembelajaran pembezaan (differentiated learning) berdasarkan penggunaan harian bahasa ibunda dewasa ini.

Inilah hasil komitmen pemerintah mendengar suara hati rakyat yang amnya tidak rela martabat MTL terjejas. Mungkin ada pihak yang mengaitkan tolak ansur pemerintah itu dengan pilihan raya menjelang. Namun, itu soal kedua. Lebih penting, apakah sambutan warga selanjutnya? Tidak cukup hangat-hangat tahi ayam sahaja. Bayangkan, trend menggunakan bahasa Inggeris di rumah dalam kalangan keluarga Cina dan India meningkat seganda kepada 60 peratus berbanding dua dekad lalu. Bahkan keluarga Melayu juga menunjukkan pola serupa. Ini berlaku ketika MTL diberi penilaian setaraf dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik pada peringkat PSLE.

Masa depan bahasa ibunda bukan di bahu sekolah sahaja. Semua pihak berperanan dan harus berpimpin tangan. Lantaran itu, lejangan daripada perbahasan kini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Jika betul-betul serius, rakyat, terutama ibu bapa, mestilah mempertingkat penggunaan bahasa ibunda secara harian - baik di rumah, di luar rumah mahupun di tempat kerja. Ini saja jalan pastinya.

Warga perlu gigih memberi maklum balas kepada jawatankuasa semakan MTL nanti. Di sekolah, jejak kerjaya guru MTL perlu dipertingkat sebagai rangsangan. Pengajaran MTL mestilah hidup dan interaktif. Kepentingan bahasa ibunda perlu diterap dalam jiwa murid sejak di tadika lagi. Pelajar boleh dikenalkan kepada teks sastera menarik agar belajar MTL tidak bersifat linguistik yang membosankan. Kementerian Pendidikan (MOE) pula boleh menjalin kerjasama dengan media bagi penggunaan bahasa ibunda secara lebih luas dan teliti - baik dalam akhbar, iklan mahupun rancangan TV. Pengalaman negara lain memelihara bahasa ibunda boleh diserap. Penakatan bahasa ibunda merupakan daya saing watan ini. Kita tidak mampu kelu pada lisan dan kekok pada tulisan.

Monday, May 17, 2010

Wajar prihatin program seksualiti di sekolah

13 Mei 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Wajar prihatin program seksualiti di sekolah

Oleh
A. Rahman Basrun
DUA minggu lalu, Kementerian Pendidikan (MOE) secara rasmi memberi 'lampu hijau' kepada enam badan untuk menjalankan sebuah program yang ramai anggap sebagai 'lampu merah' - perihal seksualiti - di sekolah.

Kebetulan pada hari munculnya berita itu di akhbar The Straits Times (ST), di akhbar ini pula tersiar pojok saya yang juga menyentuh isu pendidikan seks di sekolah (Berjaga-jaga gejala Lady Gaga, BH, 29 April).

Laporan ST itu disusuli surat demi surat daripada pembacanya.

Ternyata masih ada keprihatinan meluas di kalangan warga perihal pendidikan seksualiti di sekolah - setidak-tidaknya di kalangan masyarakat bukan Melayu.

Kenapakah saya katakan demikian? Sebabnya, tidak seorang pun daripada mereka yang memberi maklum balas itu orang Melayu. Bahkan, di akhbar ini sendiri, jangan cakap surat pembaca, berita tersebut tidak tersiar langsung.

Gambarannya seolah-olah program seksualiti di sekolah-sekolah tiada kesan atau tidak relevan pada kehidupan orang Melayu!

Ia mengingatkan pada pojok rakan saya, Mohd Noor A. Rahman, Sabtu lalu (Padah jika tidak prihatin isu nasional, BH) perihal ketidakpedulian masyarakat Melayu pada perkembangan peringkat nasional.

Walhal kita sendiri tahu orang kita tidak terlepas daripada pengaruh seks dan seksualiti - di kalangan remaja mahupun orang dewasa.

Ia tersurat dalam kadar tinggi kehamilan remaja Melayu dan kes- kes pelik dari mahkamah - termasuklah kes ayah merogol anaknya sendiri.

Ia tersirat dalam perangai dan pakaian orang kita - terutama anak muda - yang semakin menjolok mata.

Lantaran itu, saya terdorong membuat rumusan:


orang kita tidak baca akhbar Inggeris jadi tidak tahu tentang program pendidikan seksualiti dihidupkan semula (tidak mungkin);


orang kita tidak ambil kisah kerana menganggap program sedemikian tidak penting;


orang kita yakin program itu kelak tidak menjejas pendirian agama anak mereka perihal seks; atau


orang kita meletakkan kepercayaan penuh pada MOE dalam soal menyediakan pendidikan seksualiti terbaik kepada anak mereka.

Kesemua rumusan ini membimbangkan. Bukannya saya mempersoal manfaat program pendidikan seksualiti itu. Bahkan, saya meyakini ketelitian MOE memilih keenam- enam badan tersebut.

Garis panduan MOE pun cukup ketat. Misalnya, meskipun hampir semua badan itu ada kaitan dengan pertubuhan Kristian, MOE sejak awal lagi mengingatkan supaya usah berdakwah semasa pengajaran.

Namun, dalam konteks watan ini yang berbilang kaum dan agama, sukar membincangkan isu sepeka seks dan seksualiti tanpa menyentuh atau tersentuh soal sistem nilai hidup baik pelajar mahupun pengajarnya.

Masalah timbul jika ada percanggahan nilai antara kededua pihak.

Misalnya, salah satu badan yang terpilih, Eka Training Group, tidak memandang serong terhadap onani jika tidak berlebihan. Eka juga bersikap neutral terhadap homoseks.

Padahal kita tahu Islam melarang dua perkara itu.

Menurut Eka, topik onani dan homoseks secara rasmi tiada dalam program seksualitinya di sekolah.

Namun, bayangkan jika dua perkara tersebut ditanyakan murid semasa Eka mengendalikan programnya. Takkan nak elak soalan? Dan tidakkah ini boleh mengelirukan seseorang pelajar Melayu Islam, misalnya, dari segi orientasi seksualnya?

Pengajaran konsep 'pengamalan seks secara selamat' juga berdilema serupa - yakni bercanggah dengan ajaran agama dan budaya orang kita, meskipun ia bertujuan mencegah penyakit berjangkit dan kehamilan di luar nikah.

Memang bagus MOE menetapkan agar pengajaran seksualiti di sekolah tidak menyinggung 'mana- mana kaum, jantina atau agama'.

Pun bagus MOE menyelidik apakah pendirian setiap badan pengelola program tersebut dalam soal seks luar nikah, pengguguran anak, kontrasepsi, onani dan homoseks.

Namun, sebagai tambahan, mungkin setiap badan itu juga perlu diuji akan kearifan mereka dalam soal kedudukan seks dan seksualiti menurut pandangan pelbagai kaum dan agama di sini.

Ini kerana pengetahuan sedemikian akan menjadikan penyampaian mereka lebih relevan dan bertepatan dengan sistem nilai hidup seseorang pelajar.

Akhir kalam, sebenarnya saya terkilan kerana tampak tiada badan Melayu Islam di kalangan enam badan itu.

Ini kerana, bukankah selaku satu cara hidup, Islam mempunyai pandangan dan pendekatan serba unik dan menyeluruh tentang permasalahan seks dan seksualiti?

Ini termasuklah perkara universal seperti harga diri, pembahagian harta pusaka, kemuliaan institusi perkahwinan dan keluarga, ikatan kaum kerabat dan pembangunan tamadun.

Mudah-mudahan ada pihak kelak yang tampil menawarkan program seksualiti berjenama orang kita.

Bukan saja dalam isu seksualiti, bahkan juga dalam bidang-bidang yang lain.

Hakikatnya, kesedaran tentang seks dan permasalahannya saja tidak cukup tanpa iringan nilai moral sebagai panduan dan kawalan.

Bak kes makan haruan seorang ayah baru-baru ini - dia menolak tawaran seks isterinya di dubur atas dasar dia tahu perbuatan itu dilarang agama.

Tetapi, merogol anak perempuan sendiri tiada salahnya?

Tanggungjawab utama membimbing anak dalam soal seks dan seksualiti sebenarnya terletak di bahu ibu bapa, bukan sekolah.

Mujurlah MOE menuntut pihak sekolah supaya menyiarkan butir- butir sebarang program pendidikan seksualiti di laman webnya. Tujuannya agar kita sebagai ibu bapa dapat memeriksa dan menilai sendiri isi kandungan program yang ditawarkan.

Usahlah tunggu nasi menjadi bubur baru kita hendak tunjuk peduli.

Menjadi Bangsa Yang Berbahasa Ibunda

13 Mei 2010

KOMENTAR

PADA HEMAT SAYA
Menjadi bangsa yang berbahasa ibunda

Oleh
Mohd Raman Daud

SEORANG teman lama tersipu-sipu ketika anaknya lebih selesa berbahasa Inggeris daripada bahasa ibundanya ketika berbual dengan saya.

Itu kisah 10 tahun dulu.

Sehingga kini pun anaknya masih senang berbahasa Inggeris apabila bersua.

Pernah saya bertanya dalam bahasa Melayu:

'Masih baca Berita Harian?'

Anak yang sudah jadi pemuda itu tampak canggung.

Sedekad lalu, saya teringat bagaimana ayahnya cuba mencari alasan:

'Tengoklah budak-budak sekarang. Apa kita nak cakap, ini zaman mereka.'

Saya melihat para-para dan mejanya. Tak nampak pun buku, Berita Harian atau terjemahan Al-Quran dalam bahasa Melayu.

Bak seperti perasan, kawan itu berkata:

'Aku cuma baca akhbar Melayu hujung minggu saja. Anak- anak aku tak baca akhbar pun, cuma tengok Internet.'

Kerana mengikuti peredaran zaman, ada kalanya kita membiarkan diri kita bak lalang yang condong ke mana saja menurut tiupan angin.

Kini sembang di radio sekalipun macam tidak sah tanpa sisipan bahasa Inggeris. Bahkan ada saluran radio khas dengan campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang merojakkan. Semua atas nama peredaran zaman.

Jadi, kalangan warga Singapura, terutama guru dan pemuka bahasa ibunda, tentulah berasa terkejut memuncak apabila Menteri Pendidikan Dr Ng Eng Hen menyebut perihal pelajar seperti anak kawan saya itu yang baik dalam sains dan matematik serta Inggeris, tetapi lemah dalam bahasa ibunda.

Dr Ng telah pun menjelaskan dan memohon maaf bahawa beliau sebenarnya tersasul dan sekadar menyatakan keprihatinan.

Penjelasan Dr Ng dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam sidang akhbar khas kelmarin diharap melegakan keresahan umum mengenai masa depan bahasa ibunda.

Bahkan PM Lee secara tegas, termasuk bertutur dalam bahasa Melayu, menyatakan dwibahasa (bahasa ibunda dan bahasa kerja Inggeris) akan terus menjadi teras pendidikan nasional.

Ertinya, pemarkahan untuk bahasa ibunda tidak akan dikurangkan dan tetap mantap. Sebaliknya, cara pembelajaran pembezaan (differentiated learning) akan dipertingkat untuk membantu pelajar seperti anak kawan saya itu.

Apa sebenarnya pembelajaran pembezaan?

Saya hanya mengetahuinya beberapa tahun lalu ketika diundang duduk dalam Jawatankuasa Semakan Pedagogi dan Kurikulum Bahasa Melayu.

Ungkapan ini menjelaskan bahawa pengajaran dan pembelajaran tidak boleh sama saja kepada setiap murid. Ini kerana setiap murid berbeza.

Jadi, guru perlu menggunakan teknik berbeza agar mesejnya kesampaian dalam akal dan lubuk hati pelajar.

Hakikatnya, bukan mudah mengamalkan kaedah ini. Oleh itu, antara sebab guru (termasuk guru bahasa ibunda) menerima ganjaran besar kerana tugas mencabar iaitu 'melentur' anak kita. Jadi, usah kita cemburu akan gaji guru.

Namun, tugas guru hanya sepenggal masa saja. Macam mana pula di rumah? Peranan ibu bapa seperti kita pula dituntut.

Suatu masa dulu disarankan agar ibu atau bapa menggunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di rumah. Tampaknya saranan itu sudah lapuk. Sebabnya jelas: masa untuk menggunakan bahasa ibunda semakin suntuk dan tersudut.

Di sekolah, masa pengajaran Bahasa Ibunda memang terhad. Selain Bahasa Inggeris sebagai subjek tersendiri, semua mata pelajaran diajarkan dalam bahasa Inggeris. Ketika bersama kawan pun, murid berbual bahasa Inggeris.

Bahkan suasana bekerja, bermain, bersembang di Singapura - semuanya Inggeris. Itu pun mutu bahasa Inggeris kita di sini dikatakan merosot sehingga perlu diadakan kempen dan sebagainya.

Keterpinggiran bahasa ibunda bukanlah perkara yang unik di Singapura. Senario serupa berlaku di negara-negara jiran termasuk Indonesia, negara terbesar di Asia Tenggara. Baru semalam ilmuwan Ahmad Ali Nurdin dalam pojoknya, E-mel Dari Bandung, mengupas masalah mutu bahasa Indonesia yang merudum.

Padahal bukanlah sebuah negara Indonesia tanpa Sumpah Pemuda 1928 yang antara lain mengangkat bahasa Indonesia sebagai bahasa penyatu.

Sebagai bahasa global, Inggeris memang ampuh. Kekuatannya dijana Amerika Syarikat dan sejumlah negara bekas jajahan British yang dipanggil Komanwel.

Bahkan kini China, negara terbesar penggunaan Mandarin, telah mengamalkan dasar terbuka untuk menggalak rakyatnya berbahasa Inggeris. Antara lain, China menggalakkan pelawat berbahasa Inggeris tinggal di rumah warganya untuk mengajarkan bahasa itu.

Bangsa yang bangga bahasa ibunda seperti Perancis pun kian alah oleh Inggeris. Kekata Inggeris menjadi kata ambilan dalam kebanyakan bahasa dunia. Ini disebabkan penemuan sains dan teknologi serta apa jua disiplin telah diinggeriskan walaupun hal sedemikian tidaklah benar.

Jika dikaji, bahasa Inggeris banyak mengambil bahasa lain termasuk bahasa Melayu sendiri seperti kekata bomoh, amuk, lancar (launch) dan sebagainya.

Oleh itu, berlakulah semacam adu hela tali bahasa ibunda dan Inggeris. Jika pemerintah, guru, pemuka bahasa dan ibu bapa tidak tegas dan arif mengawal, bahasa ibunda akan pupus dengan sendirinya.

Tanpa bahasa ibunda, apalah yang dinamakan warisan budaya?

Kini golongan guru, pemuka bahasa ibunda termasuk wartawan seperti saya memang dalam medan yang akhir.

Lihatlah suasana di Malaysia yang cuba mengembalikan kepentingan bahasa Malaysia tetapi tersangkut-sangkut dek politik pragmatisme.

Mujurlah di sebalik sikap pragmatik Singapura, kita masih berpada-pada dalam menanggapi bahasa ibunda.

Kita sedar ada ibu bapa yang turut berhijrah dengan anak mereka ke negara yang mengutamakan bahasa Inggeris - gara-gara antara lain tidak mampu menguasai bahasa ibunda.

Hal ini lebih berlaku pada keluarga Cina atau perkahwinan campur. Namun inilah harga yang perlu dibayar jika penyesuaian tidak dapat dilaksanakan.

Namun jika ikhtiar pengajaran pembezaan dapat dijayakan dengan daya kreatif guru, kerjasama pemuka bahasa dan selanjutnya, mungkin soal bahasa ibunda sebagai penghambat 'anak yang sekadar tahu Inggeris' tidak berterusan.

Kisah ini perlu menjadi penggugah gerakan seperti Majlis Bahasa Melayu untuk menyemak dan memperhebat kegiatannya agar kesampaian termasuk di mesyuarat atau minit mesyuarat dalam badan Melayu, hatta di masjid hendaklah dalam bahasa Melayu (apatah lagi jika semua anggotanya memang orang Melayu).

Saya masih teringat seorang pemuka bahasa berasa terkejut ketika mengikuti mesyuarat sebuah pertubuhan warisan - dialog dan minit dalam bahasa Inggeris.

Padahal yang hadir ialah orang Melayu belaka. Apalah sukarnya minit dalam bahasa Melayu diterjemah kemudian ke Inggeris?

Jadi, di sebalik sikap dan ikhtiar pemerintah, masa depan bahasa ibunda di tangan kita sendiri. Antara tanda penakatannya ialah kehadiran akhbar ini - apakah ia masih ada setengah abad lagi di watan ini?

Saya berharap juga anak kawan saya yang bakal berumah tangga kelak dan mudah-mudahan dikurniai anak, akhirnya sedar.

Dasar Dwibahasa kekal

14 Mei 2010

SINGAPURA

Eng Hen beri guru Bahasa Ibunda jaminan dasar dwibahasa kekal penting, mereka dihargai


MENTERI Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, telah menulis kepada semua guru Bahasa Ibunda (MTL), menekankan peri penting dasar dwibahasa yang dilaksana pemerintah selama ini dan menjamin bahawa guru MTL dihargai di atas segala apa yang telah mereka lakukan untuk mengajar bahasa ibunda kepada kanan-kanak di sini.

Dalam suratnya itu, Dr Ng berkata pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk MTL, termasuk menggajikan lebih ramai guru MTL dan mempertingkat kemudahan bagi pembelajaran dan latihan guru.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bersama Dr Ng telah memberi jaminan pemerintah tidak akan mengurangkan nilai markah MTL bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Ini selepas banyak pihak khuatir perkara itu akan dilakukan pemerintah setelah Dr Ng membayangkannya dalam satu wawancara dengan akhbar The Straits Times.

Dr Ng mengirim surat dua halamannya itu kepada para guru MTL menerusi e-mel pada hari sama. Surat itu diberi kepada media kelmarin.

Beliau merujuk kepada reaksi keras sejak tiga minggu lalu terhadap bayangan yang beliau beri dalam wawancara itu.

Antara mereka yang memberi reaksi itu ialah para guru MTL. Ramai daripada mereka tertanya-tanya adakah mereka menghadapi risiko diberhentikan kerja.

Meredakan kebimbangan itu, Dr Ng dalam suratnya berkata jumlah guru Bahasa Ibunda sebenarnya akan ditambah agar sekolah dapat melakukan lebih banyak lagi bagi memenuhi keperluan murid yang mempunyai kemampuan berbeza-beza.

'Jumlah guru MTL akan ditambah. Kami akan mengadakan lebih banyak program pengayaan dan program berkembar dengan sekolah-sekolah di China, India dan Malaysia.

'Kami telah meluaskan program bahasa pilihan di peringkat sekolah menengah dan maktab rendah,' ujarnya.

Memuji dedikasi para guru MTL, Dr Ng berkata dalam suratnya: 'Pelajar kita bernasib baik mempunyai guru-guru MTL yang ghairah, yang telah memupuk bergenerasi warga Singapura yang dwibahasa.

'Kerja keras dan komitmen anda... telah membantu (Kementerian Pendidikan) mempertingkat pengajaran MTL, sedang kita menjalankan semakan dari masa ke masa.'

Usah Biar Bahasa Melayu hambat kemajuan anak Melayu

14 Mei 2010

SINGAPURA

PANDANGAN
Usah biar Bahasa Melayu hambat kemajuan anak Melayu

Oleh
Puad Ibrahim
KELUARGA saya mungkin dalam golongan yang dimaksudkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Walaupun saya wartawan Berita Harian - menulis dan bercakap dalam bahasa Melayu di pejabat - saya menghadapi sekitaran berbeza di rumah.

Kami sekeluarga lebih selesa berbahasa Inggeris.

Keluarga Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah semakin bertambah, kata Encik Lee.

Peri penting bahasa Inggeris di Singapura antara sebab yang mendorong keluarga saya lebih kerap sehingga lebih selesa berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu.

Akibat selalu bercakap dalam bahasa Inggeris di rumah, penguasaan bahasa Melayu anak-anak saya agak terhad.

Ia memang silap saya sendiri kerana tidak mengamalkan menggunakan bahasa Melayu dengan mereka sejak mereka kecil.

Saya mempunyai empat anak, semuanya sudah bersekolah.

Anak sulung saya, lelaki, sekarang dalam menengah satu. Semasa dia berada dalam darjah lima dan enam, dia mempunyai tutor untuk membimbingnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Berkat bimbingan itu dan usaha kerasnya, anak saya menunjukkan prestasi baik dalam mata pelajaran itu dan Bahasa Melayu Lanjutan.

Keputusan Peperiksaan Sijil Tamat Sekolah (PSLE) anak saya itu boleh dibanggakan - Gred A bagi Bahasa Melayu dan Merit bagi Bahasa Melayu Lanjutan.

Namun, apa yang agak mengecewakan saya ialah kejayaannya itu dikecapi dengan bantuan seorang tutor.

Pada zaman saya di sekolah dahulu, perkara itu tidak pernah saya dengar. Tutor Bahasa Melayu diperlukan hanya oleh pelajar bukan Melayu atau pelajar Melayu kacukan.

Saya sering berkata kepada anak-anak saya bahawa sebagai orang Melayu, senang untuk mereka mendapat Gred A* dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Melayu mudah dipelajari.

Namun sebenarnya sekitaran sudah banyak berubah - mendapat markah cemerlang dalam Bahasa Melayu, termasuk di peringkat PSLE tidak semudah dahulu.

Oleh itu, anak saya meminta dimasukkan ke kelas tuisyen supaya dia dapat markah cemerlang dalam Bahasa Melayu.

Mujur juga ketika itu dia mempunyai nenek sebagai 'kawan' bertutur bahasa Melayu. Tetapi kini neneknya sudah berpindah.

Jadi saya, seperti ibu bapa lain yang dikatakan Encik Lee, memasukkan anak-anak saya ke kelas tuisyen untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

Tahun ini anak kedua saya, perempuan, akan menduduki PSLE. Dia juga mempunyai tutor Bahasa Melayu bagi memastikan dia mendapat markah cemerlang dalam mata pelajaran itu.

Tahap penguasaannya sekarang lebih baik daripada dahulu.

Tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah anak ketiga dan bongsu saya, kedua-duanya perempuan, yang berada dalam darjah satu dan prasekolah.

Saya bimbang kerana mereka enggan bercakap langsung dalam bahasa Melayu, lebih fasih bertutur bahasa Inggeris.

Tidak seperti abang dan kakak mereka, yang mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu, mereka tidak mempunyai asasnya langsung.

Saya cuba memulakan perbualan dengan mereka menggunakan bahasa Melayu, tetapi mereka menjawab 'No!' sambil menutup telinga.

Bahkan, anak ketiga saya meminta dipindahkan daripada kelas agama yang menggunakan bahasa Melayu kepada kelas menggunakan bahasa Inggeris.

Kini saya masukkan dia ke dalam kelas agama yang menggunakan dwibahasa, bahasa Melayu dan Inggeris. Dia juga mempunyai tutor Bahasa Melayu, dan sekarang bahasa Melayunya boleh tahan.

Tetapi beberapa rakan Melayu sekolahnya di kawasan Bukit Timah menghadapi kesukaran menguasai bahasa Melayu.

Menurut isteri saya, seorang anggota Kumpulan Sukarela Ibu Bapa (PVG) sekolah itu, satu sesi tambahan telah diadakan untuk membimbing beberapa murid Melayu itu agar mereka lancar membaca dalam bahasa Melayu.

Mereka membaca merangkak- rangkak dan kadangkala tidak tahu apa yang dibaca mereka.

Anak bongsu saya pula tidak mahu langsung bercakap dalam bahasa Melayu kerana dia memang tidak diajar bahasa itu di pusat prasekolahnya. Kurikulum pusat itu tidak merangkumi Bahasa Melayu.

Tetapi dia berada di pusat itu atas pilihan kami sendiri.

Apa yang saya paparkan di sini bukan bertujuan mengetengahkan masalah saya, tetapi hanya mengongsi keprihatinan dan realiti perkembangan bahasa hari ini, terutama dalam soal penggunaan bahasa ibunda di rumah dan di luar rumah.

Saya yakin terdapat ramai lagi keluarga Melayu, terutama yang muda dan berpendidikan Inggeris, menghadapi keadaan seperti saya.

Memang agak malu menceritakan kegagalan anak-anak saya menguasai bahasa Melayu sedangkan bapa mereka saban hari menulis dalam bahasa itu.

Namun, itulah hakikatnya. Bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa kebiasaan bagi kebanyakan kita kerana ia bahasa global.

Bahkan para karyawan Indonesia dan Malaysia lebih senang berbahasa Inggeris dengan saya daripada menggunakan bahasa ibunda mereka.

Di luar rumah pula saya sendiri jarang mendengar anak-anak muda kita menggunakan bahasa Melayu di kalangan mereka.

Di pusat beli-belah dan restoran, pekerja muda Melayu lebih suka berbahasa Inggeris dengan saya, sekalipun apabila saya bercakap dengan mereka menggunakan bahasa Melayu.

Oleh itu, sebagai wartawan akhbar ini yang amat mencintai bahasa ibundanya sendiri, saya menyambut baik langkah pemerintah menyemak corak pengajaran dan ujian bahasa ibunda bagi memastikan murid-murid seperti anak saya dapat terus belajar bahasa ibunda mereka dengan yakin dan menyeronokkan.

Pengajaran Bahasa Melayu perlu relevan dengan trend masa kini dan latar demografi keluarga Melayu yang kian berubah.

Ini demi mendukung terus dasar dwibahasa kita agar warisan bangsa dapat dikekalkan dalam keluarga seperti keluarga saya.

Manfaat dasar dwibahasa memang ketara kerana keupayaan dwibahasa saya sendiri adalah hasil daripada dasar tersebut.

Saya berharap semakan terhadap pengajaran Bahasa Ibunda nanti dapat menghasilkan sukatan pelajaran yang tidak sukar diikuti, tidak membosankan dan ujiannya pula tidak membebankan.

Ia sebaliknya harus mencetuskan rasa cinta pelajar terhadap bahasa ibunda - tidak setakat dalam kelas bahkan pada bila-bila masa dan di mana-mana.

Saya akur murid Melayu hari ini tidak menghadapi kesukaran lulus dengan baik dalam Bahasa Melayu.

Tetapi pada masa depan, kita tidak boleh menolak kemungkinan mereka menghadapi kesukaran seperti yang dihadapi sesetengah murid Cina daripada keluarga berpendidikan Inggeris.

Keluarga seperti keluarga saya mungkin golongan minoriti hari ini (hanya 35 peratus), tetapi pada tahun-tahun mendatang jumlahnya boleh membesar.

Kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan itu dari sekarang.

Oleh itu, saya berharap masyarakat Melayu dapat menerima dan terbuka dengan hasil daripada proses semakan pengajaran Bahasa Ibunda itu kelak.

Hakikatnya, ada keluarga Melayu menghadapi masalah sama seperti keluarga bukan Melayu berhubung penguasaan bahasa ibunda mereka.

Jangan sampai mata pelajaran Bahasa Melayu menjadi satu lagi penghambat kepada kemajuan anak-anak kita di sekolah pada hari muka, dek kita tidak membuat penyesuaian hari ini

Thursday, May 6, 2010

Langgar pantang, bentan jadinya

3 Mei 2010

EKSTRA!

BUDAYA
Langgar pantang, bentan jadinya

Pesakit tidak jalani rawatan dengan betul boleh dapat sakit lebih teruk


Oleh
Noor Hasnah Adam


PEPATAH Melayu 'Biar mati anak, jangan mati adat', merujuk pada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat Melayu.


Adat dan pantang larang merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian.


Sekiranya seseorang melanggar adat pantang larang ketika sakit, orang itu dikatakan akan mengalami bentan.


Bentan bermaksud berbalik sakit. Ertinya, jika seseorang itu sakit tetapi tidak menjalani rawatan yang betul atau menyalahi pantang, orang itu akan mendapat bentan.


Sakit yang pada awalnya sudah semakin sembuh akan menjadi bertambah buruk dan melarat.


Sebagai contoh, wanita yang baru melahirkan anak perlu berpantang. Wanita yang mengalami keguguran janin juga perlu menjalani pantang sama seperti orang bersalin. Antara gejala bentan pada wanita yang baru melahirkan atau keguguran ialah sakit pada ari-ari, keluar darah atau nanah dari saluran peranakan ataupun berlaku buasir.


Sekiranya wanita itu tidak memakan ubat ramuan seperti jamu dan herba, tidak bertungku dan berbengkung serta tidak memakai pilis, wanita itu akan melarat sakitnya.


Luka dalam tubuh wanita itu memerlukan ubat dan rawatan yang betul.


Dikatakan, sekiranya wanita tidak memakai pilis, pada masa akan datang darah putihnya akan naik ke mata.


Itulah punca wanita itu boleh mendapat serangan sakit kepala (migraine) dan mengalami pandangan berpinar serta rabun.


Pilis ialah sejenis ramuan serbuk herba yang dicampur dengan sedikit air, kemudian ditampal pada dahi wanita yang dalam pantang.


Wanita selepas bersalin atau keguguran perlu menjalani tempoh berpantang selama 44 hari.


Semasa berpantang, segala pergerakan dan makan minum wanita baru bersalin atau keguguran juga perlu dijaga.


Berpantang bertujuan mengelakkan bentan.


Mengikut adat resam orang Melayu, kenduri patut diadakan pada hari ke 45.


Semasa majlis kenduri itu, wanita itu akan dimandikan air sintok limau dan dilangirkan (dibersihkan) badan dan rambut. Upacara itu menandakan berakhirnya tempoh berpantang.


Bentan juga sering dikaitkan dengan adat istiadat Melayu seperti berkhatan atau bersunat.


Anak-anak lelaki yang baru selesai berkhatan dilarang terlalu banyak bergerak apatah lagi berlari-lari. Sekiranya pantang ini dilanggar, anak-anak ini akan bentan.


Luka pada kulit yang disunat itu akan menjadi teruk dan berdarah semula. Akibatnya, sakit akan berpanjangan.


Dalam sejarah Melayu, ada diriwayatkan Sultan Alaudin sakit.


Setelah semakin sihat, baginda telah santap nasi susu lalu bentan. Sultan Alauddin kembali gering.


Melalui hikayat ini, dapat difahami bahawa konsep bentan telah lama difahami masyarakat Melayu. Sultan Alaudin sebenarnya tidak boleh makan minum sebarangan setelah beransur baik daripada sakit. Disebabkan 'salah makan', sakit yang dialami sebelum ini berulang kembali.


Sebenarnya, 'salah makan' paling sering dikaitkan dengan penyakit kerana bagi masyarakat Melayu, makanan boleh menjadi racun atau penawar. Prinsip pertama perubatan Melayu ialah: setiap keuzuran ada sebab dan musabab. Sebab musabab atau punca, bermula daripada manusia sendiri seperti jangkitan kuman, bakteria, virus dan pemakanan.


'Salah makan' merupakan punca utama mengapa manusia mengalami keuzuran. Berpegang pada prinsip yang sama juga, 'salah makan' juga menjadi punca utama kenapa kita mengalami bentan.


Dari sudut sains, bentan dianggap seperti infection, allergic atau side effect, kesan daripada sesuatu pembedahan atau ubat yang dimakan ketika sakit.


Konsep bentan hanya difahami sepenuhnya oleh orang Melayu yang berpegang pada adat, nilai dan budaya Melayu. Sekiranya kita mengikut pantang larang ketika sakit, insyaallah kita tidak akan mengalami bentan.


Itulah kepercayaan orang Melayu kita.

Benar atau Dongeng

1 Mei 2010

EKSTRA!

Benar atau dongeng?

Kisah gergasi wujud di dasar Loch Ness di Scotland menjadikan ia cerita menarik di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah


APAKAH sebenarnya yang wujud di dasar Danau Ness atau lebih dikenali sebagai Loch Ness di Scotland?

Benarkah wujudnya sejenis kehidupan gergasi atau naga laut seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini?

Mungkin bagi kebanyakan orang, kisah sejenis gergasi yang wujud di dasar Loch Ness hanya sebuah kisah dongeng.

Namun dokumen-dokumen terbaru yang didedahkan baru-baru ini di Scotland menunjukkan bahawa pada tahun-tahun 1930-an, para pegawai polis di Scotland begitu yakin akan kehidupan sejenis gergasi yang hidup di dasar danau tersebut.

Mereka begitu yakin sehinggakan mereka bimbang bagaimana untuk melindungi gergasi itu daripada menjadi mangsa para pemburu.

Laman AP melaporkan bahawa fail-fail daripada Arkib Nasional di Scotland menunjukkan bahawa para pegawai setempat telah meminta Parlimen Britain menyiasat isu tersebut dan mengesahkan tentang kewujudan gergasi itu - sebagai keperluan sains.

Seorang pegawai polis kanan, William Fraser, dipetik sebagai berkata: 'Kisah mengenai kewujudan gergasi di Loch Ness memang diketahui.

'Tetapi laporan yang menyatakan bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk melindunginya, merupakan sesuatu yang tidak diketahui.'

Laporan berjudul The Nessie Files, yang disimpan selama 70 tahun itu didedahkan sebagai sebahagian daripada satu pameran berkaitan rahsia pemerintah.

Pameran itu mengkaji bagaimana pemerintah pernah - pada satu ketika - merahsiakan hampir segalanya. Pameran itu juga mengkaji bagaimana sikap pemerintah mula berubah dan lebih terbuka pada masa ini.

Pastinya gergasi Nessie masih merupakan satu misteri.

Danau di mana gergasi itu dikatakan hidup adalah yang paling dalam di Britain - sekitar 230 meter dalamnya.

Legenda mengenai kehidupan di dasar danau itu mula tercatit sejak 565 Selepas Masihi (A.D.) apabila seorang lelaki Kristian, St Columba, dikatakan menghalau sejenis gergasi laut dengan menggunakan kuasa doa, menurut Arkib Nasional negara itu.

Dokumen-dokumen juga menunjukkan usaha pihak media mencari dan mendokumenkan gergasi itu.

Dan usaha mencari mula bertambah pada tahun- tahun 1930-an apabila seorang doktor bedah mengambil foto sejenis kepala dinosaur yang keluar dari dasar air danau tersebut.

Pakar arkib, Encik Tristram Clarke, berkata surat-surat lama yang disimpan menunjukkan bahawa orang ramai benar-benar mempercayai tentang kewujudan gergasi itu.

Walau apa pun, Clarker berkata surat-surat tersebut menunjukkan bahawa pihak polis pada ketika itu amat tertekan dalam usaha melindungi gergasi tersebut.

Seorang penceramah jurusan media dan budaya di Universiti Northumbria, Encik Lee Baron, berkata:

'Sebab mengapa kisah dongeng Nessie masih berterusan ialah kerana ia satu kisah yang menarik.

'Kita semua dapat rasakan dan bayangkan soalan seperti bagaimana sekiranya ia benar.

'Terdapat banyak kisah dongeng gergasi di danau- danau di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi kerana adanya kisah Nessie telah dilihat, serta foto-foto palsu yang dilaporkan, maka Nessie dianggap yang paling menarik.'