Tuesday, May 28, 2013

Hiperbola Metafora

Hiperbola, personifikasi dan metafora dalam penulisan 


oleh T. Ahmad Mohamed
TERDAPAT pelbagai kaedah bahasa yang digunakan penulis untuk melahirkan keindahan dalam penulisan. Antaranya ialah teknik penggunaan:
a. Hiperbola: Kaedah bahasa yang dilambangi kekata yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan untuk menimbulkan kesan penegasan pandangan, perasaan dan pemikiran.
b. Personifikasi (pengorangan): Kaedah bahasa yang memberi sifat manusia kepada sesuatu yang bukan manusia (objek, haiwan, konsep dan sebagainya).
c. Metafora: Kaedah bahasa yang menghubungkan sesuatu objek dengan objek lain atau konsep
Membaca cerpen Semut Hitam Israk Mikraj yang diterbitkan di Berita Minggu pada 12 Mei 2013, saya terpanggil untuk menyentuh tentang kebijaksanaan dan kecerakinan para penulis dalam memanfaatkan unsur-unsur ini dalam karya penulisan mereka.
Tentunya apa pun kaedah bahasa jika dimanfaatkan sebijaknya, pasti meninggalkan kesan keindahan bahasa dalam penulisan.
Lihat sahaja bagaimana Usman Awang memanfaatkan unsur-unsur personifikasi (pengorangan) dan hiperbola dalam puisinya, Kekasih, yang malar segar sehingga ke hari ini.
Kekasih
Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu
Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu
Akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan kujuluk bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu
Akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu
Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.
Namun demikian, penulisan apa pun genrenya, bukan sahaja tentang kaedah bahasa. Ia juga adalah suatu kecerakinan (eksperimen dan analisis) yang melibatkan kesesuaian antara pemilihan idea dan isi, juga antara bentuk dan bahasa.
Penulis sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengguna pakai kaedah bahasa yang secara tidak langsung tanpa disedarinya boleh menyentuh sensiviti agama. Sekadar contoh, ditukil secara rambang baris-baris daripada beberapa buah puisi:
1. Aku mendengar suara-Mu Tuhan
2. Berjalan beriringan dengan-Mu
3. Kupakai sarung-Mu dalam sujudku
4. Kau hadir dalam doaku
Baris-baris di atas adalah antara inisiatif ketukangan seseorang penyair lewat menghasilkan sesebuah karya puisinya.
Namun ketidaktelitiannya dalam pemilihan helah bahasa, secara tidak langsung telah mempersonifikasikan Tuhan (Ilahi) daripada segi zat-Nya dan sifat-Nya, meskipun saya pasti tidak dimaksudkan begitu.
Keindahan bahasa serta baris-baris puisi yang ditukangi itu akan lebih lembut, berlapis dan berhikmah andainya diteliti dan dicerakin semula seperti contoh di bawah demi mencari reda Ilahi.
1. Aku mendengar kalam-Mu Tuhan.
2. Berjalan beriringan rahmat-Mu.
3. Di hamparan sejadah kusujud mencari reda-mu
4. Moga doaku Kau makbulkan.
Begitu juga dalam cerpen Semut Hitam Israk Mikraj saya tukil:
"Mak nak ceritakan pada Ayu, semut ni ikut mak naik bas dan kereta api ke hospital dan dapat balik dengan selamat. Tentu semut ini akan beritahu kawan-kawannya, dia Israk Mikraj.''
Mungkin penulis sekadar bertujuan menyisipkan kisah Israk Mikraj dengan memetaforakannya dengan kisah perjalanan sang semut yang 'terangkut' dari rumah ke hospital.
Namun, bukankah Israk Mikraj itu sesuatu yang eksklusif kepada junjungan kita Rasulullah sehingga tidak dianugerahkan kepada nabi-nabi lain apatah lagi insan atau makhluk lain.
Akhir kalam, berkarya dengan bijaksana disulami dengan kecerakinan dalam proses pengkaryaan adalah sifat kesederhanaan yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam hadisnya: "Sebaik-baik perkara ialah yang paling sederhana.''