Monday, September 26, 2011

Harun Aminurrashid

26 Sep 2011

EKSTRA!

TOKOH WARISAN MELAYU
Penulis paling prolifik

Harun Aminurrashid juga aktif dalam badan-badan Melayu


PATAH tumbuh hilang berganti.

Namun, bagi masyarakat Melayu, terutama di Singapura, Harun Mohd Amin, atau lebih dikenali sebagai Harun Aminurrashid, merupakan seorang tokoh yang sukar dicari ganti hingga ke hari ini.

Anak kelahiran Singapura ini dianggap penulis Melayu paling prolifik dengan puluhan novel, buku teks sastera sekolah, makalah, catatan kembara dan penyunting majalah dan akhbar.

Allahyarham, yang dilahirkan di Kampung Telok Kurau pada 1907, juga seorang aktivis masyarakat dengan menubuhkan Lembaga Bahasa, Parti Rakyat dan Yayasan Rakyat Singapura bagi mendorong kemajuan politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Beliau gigih mencurah bakti dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu dan juga gerakan akar umbi. Novel-novel sejarahnya seperti Panglima Awang masih dianggap unggul sehingga kini.

Semasa hayatnya, beliau juga menggunakan pelbagai nama samaran seperti Har, Gustam Negara, Atma Jiwa dan Si Ketuit.

Harun Aminurrashid merupakan sasterawan yang telah banyak menyumbang terhadap sastera Melayu, khususnya penulisan novel berlatarkan sejarah dan isu nasionalisme sejak 1940-an.

Antara novel Allahyarham ialah Panglima Awang, Wak Chantok dan Darah Kedayan.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Latihan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak, pada usia kira-kira 17 tahun.

Setelah tamat pelajarannya di maktab itu, beliau menjadi guru di maktab itu juga.

Pada 1939, beliau dihantar ke Brunei sebagai 'Penguasa Pelajaran' hingga 1945. Selepas Perang Dunia kedua (1946), beliau dihantar kembali ke Singapura.

Allahyarham meninggal dunia pada 9 November 1986.

Semangat kebangsaan Allahyarham jelas terserlah pada penyertaan aktifnya dalam badan-badan Melayu semasa hayat beliau.

Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu dan Yang Dipertua Majlis Pelajaran Melayu.

Karya beliau sering diterbitkan di ruangan akhbar Warta Malaya, Warta Ahad, Warta Jenaka, Al-Ekhwan, Bulan Melayu dan Jasa.

Beliau juga menerbitkan pelbagai jenis majalah seperti Hiboran; Kenchana; Mutiara; Filem Raya; Melayu Raya; Bulanan Filem Raya; Fashion; Tunas (majalah mingguan kanak-kanak), Belia, Taman Kanak-Kanak, Hiboran Filem, Seni, majalah cerpen Kesah, buku bulanan Dewan Pujangga, buku berkala Punggok dan majalah triwulan Medan Sastera.

Nota: Rencana ini disiarkan dengan kerjasama Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.

Pantun

26 Sep 2011

EKSTRA!

MARI BERPANTUN
Bak daripada mata turun ke hati daripada pantun budaya dikenali

Oleh
Mohamad Ashik
SEORANG pujangga Barat pernah berkata bahawa kalau ingin mengenali budaya Melayu, kenalilah pantunnya.

Cara hidup orang-orang Melayu lama, yang dimaksudkan oleh Pujangga Barat itu, memang boleh tergambar menerusi pantun-pantun mereka.

Ia sering digambarkan dalam pembayang maksud pada baris pertama dan kedua dalam sesuatu rangkap pantun.

Kalau pantunnya menggambarkan pemandangan laut dan sekitarnya, dapat kita jangka bahawa si pemantun tinggal di pesisiran pantai atau di kampung nelayan yang terdapat sampan, desiran ombak, pohon nyiur yang melambai dan sebagainya.

Jika si pemantun melukiskan pemandangan desa dalam pembayang maksud pantunnya, jelas mereka tinggal di daerah sawah padi, bendang, kebun, kawasan pergunungan, sungai, dan sebagainya.

Untuk menjadi pemantun yang baik, adalah baik jika anda mempunyai deria rasa dan penglihatan yang tajam.

Kita perlu perhatikan keadaan sekeliling dan dapat menguasai perbendaharaan kata atau vokab yang kaya dengan perkataan-perkataan Melayu lama, dan diperkayakan pula dengan bahasa-bahasa daerah nusantara Melayu.

Dengan demikian, kita akan dapat menghasilkan pantun-pantun yang bermutu, dengan rangkap-rangkap pantun yang mempunyai dua baris pertama dan kedua, yang diisi dengan pembayang maksud berkias, dalam maknanya, dan sekurang-kurangnya ada pertalian dengan maksud pantun.

Dengan elemen-elemen ini barulah boleh pantun itu dikatakan pantun bermutu.

Kita digalakkan supaya sentiasa berfikir, dan mengemukakan persoalan mengapa sesuatu perkara itu berlaku.

Misalnya seorang penduduk desa, duduk di tepian sungai dan memerhatikan seekor burung tempua sedang membuat sarang di tebing sungai yang berpokok. Tempua ialah sejenis burung yang pandai menganyam sarang.

Setelah lama memerhatikan gerak-geri si tempua tadi membuat sarang di sebatang dahan pokok yang mencecah ke air sungai, timbul pertanyaan dalam benaknya, mengapa si burung tadi tidak membuat sarang di atas pokok yang tinggi.

Maka daripada situlah timbul peribahasa, kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.

Jika burung tempua bijak berfikir, kenapa kita manusia yang diberikan kelebihan akal, tidak mahu berfikir?

Burung tempua bersarang rendah kerana mudah baginya meminum air sungai, dari sarang yang dibuatnya hampir mencecah air.

Dapatkah pantun peribahasa tadi, dipantunkan? Tentu sekali boleh, kalau kita dapat mengarang pembayang maksudnya.

Pulau Cempedak nampak bertenda,
Perahu dua sibuk memunggah;
Kalau tidak berada-ada,
Masakan tempua bersarang rendah.

Perhatikan bunyi hujung pantun tadi: bertenda, memunggah, ada dan rendah. Bertenda maksudnya khemah.

Ada juga peribahasa yang seakan dengan 'kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah', iaitu kekata 'ada udang di sebalik batu', yang bererti ada sesuatu maksud yang tersembunyi.

Cuba pantunkan peribahasa tadi, dengan mengarang pembayang maksudnya saperti ini:

Kera memanjat pohon berpahat,
Pohon di bendang jalan berliku;
Apa hajat apa muslihat,
Ada udang di sebalik batu.

Perhatikan bunyi hujung setiap baris pantun tadi iaitu 'berpahat, berliku, muslihat dan batu'.

Jadi, kalau kita bijak memilih kata-kata, kita dapat menghasilkan pantun yang bermutu tinggi dengan mempunyai dalam maksud yang tersirat.

Wednesday, September 14, 2011

Usah Sampai Islam Disalah Erti Lagi

14 Sep 2011

EKSTRA!

REFLEKSI
Usah Sampai Islam Disalah Erti Lagi


SUNGGUH pantas masa beredar.

Diam tak diam, serangan pengganas yang meranapkan Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat, pada 11 September 2001 sudah 10 tahun berlalu.

Seluruh dunia, terutama rakyat Amerika, mengenang insiden yang terkenal dengan peristiwa 9/11 itu Ahad lalu.

Banyak telah diperkatakan di dada akhbar, televisyen, majalah dan laman Internet tentang peristiwa itu.

Pak Su hanya ingin reflek peristiwa ini dari segi reaksi terhadap peristiwa hitam itu.

Reaksi awal semua pihak ialah terkejut, terpegun dan marah.

Terkejut dan terpegun antara lain kerana Amerika, sebagai adikuasa dunia yang gagah perkasa, tiba-tiba menerima serangan sebegitu rupa.

Marah kerana serangan tidak berperikemanusiaan itu mengorbankan hampir 3,000 jiwa yang tidak berdosa.

Kesannya menggerunkan kerana tindakan penyerang, dipercayai kumpulan militan Islam, itu mengakibatkan imej dan nama Islam sebagai agama yang menyeru kepada perdamaian disalah tanggap dan dibenci.

Bak seekor kerbau membawa lumpur, semua orang terpalit, peristiwa itu mengakibatkan masyarakat Islam di serata tempat, terutama di Amerika, tanpa mengira kecenderungan agama mereka, dipandang serong.

Ini diburukkan lagi dengan pelbagai laporan berhubung pengganasan dan keganasan melibatkan kumpulan seperti Al- Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

Reaksi dunia itu dapat difahami.

Secara logik, peristiwa yang membangkitkan kebencian terhadap Islam bermakna orang bukan Islam akan semakin menjauhi Islam. Malah, sebahagian orang Islam boleh teruji keimanan dengan peristiwa serupa itu.

Beberapa tahun selepas peristiwa itu, masih banyak suara yang lantang menentang Islam.

Ini termasuk rencana-rencana yang memperlekehkan Islam, kartun yang mempersenda Nabi Muhammad saw dan gesaan membakar Al-Quran.

Itu yang kita dengar daripada laporan akhbar.

Mungkin banyak yang berlaku tanpa kita sedari.

Semasa perhimpunan sekumpulan belia dalam Ramadan lalu, misalnya, seorang belia berkongsi cerita bagaimana beliau, sebelum memeluk Islam, diberi amaran oleh bapanya tentang Islam dan orang Muslim selepas peristiwa 9/11.

Cara reaksi menghasilkan kesan berlainan. Yang sekadar membaca laporan biasa mungkin terus membenci Islam atau bersikap acuh tak acuh.

Tetapi ada pula, lantaran benci dan marah, terdorong meninjau Islam - apakah benar Islam menyokong atau menganjurkan pengganasan, kenapa ada yang sanggup mengorbankan diri atas nama agama dan apa Islam sebenarnya?

Ini membuat permintaan terhadap Al- Quran dan terjemahannya dan buku-buku mengenai Islam meningkat.

Pak Su pernah terbaca laporan bahawa penjualan Al-Quran dan terjemahannya dikatakan laris di Barat.

Hasilnya, lebih ramai memahami bahawa Islam adalah agama suci yang menekankan kedamaian dan menolak keganasan dan pengganasan.

Hasilnya, ramai menerima Islam, seperti yang pernah dilaporkan dalam web Islamonline dan pertubuhan-pertubuhan Islam di Barat.

Dan belia yang berkongsi cerita dalam Ramadan lalu, Zikril Hakim, juga akhirnya memeluk Islam.

Pak Su tertarik dengan cara orang Islam kita di Singapura memberi reaksi dalam menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan terkait dengan Islam - baik mengenai peristiwa 9/11, perkembangan berita mengenai kumpulan Al-Qaeda, mahupun kes-kes yang berkaitan dengan Jemaah Islamiyah.

Kita tidak diam atau berpeluk tubuh membiarkan keadaan berlaku tanpa tindakan.

Kita juga tidak melatah sehingga boleh tambah memburukkan keadaan.

Sebaliknya kita tenang menghadapi cabaran sambil menerangkan dan membetulkan keadaan.

Pak Su nak sebut beberapa contoh.

Pertama, penubuhan Pusat Harmoni yang diusahakan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Ia antara lain memaparkan nilai-nilai sejagat Islam dan membina jambatan hubungan antara agama.

Kedua, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang diusahakan oleh asatizah setempat, antara lain bagi menangani isu berkaitan Islam dan pengganasan dan isu berkaitan Jemaah Islamiyah.

Usaha seperti ini membantu mengendurkan ketegangan bagi membetulkan salah tanggap terhadap Islam dan menangani pengganasan dan keganasan.

Ketiga, terdapat institusi seperti Yayasan Rahmatan Lilalamin dan Mercy Relief yang menghulurkan bantuan di peringkat antarabangsa, merentasi budaya dan agama, kepada pelbagai keperluan ekoran musibah dan bencana alam yang menimpa.

Dan keempat, usaha secara langsung dan tidak langsung setiap daripada kita sebagai penganut Islam - menerusi sikap, tindak-tanduk dan perlakuan kita setiap hari sebagai individu Islam.

Hakikatnya setiap kita adalah duta agama, bangsa dan keluarga kita. Peranan sebagai duta Islam ini adalah tanggungjawab. Kita disuruh berpesan-pesan - menyampaikan kebenaran nilai-nilai Islam dan berpesan dengan kesabaran.

Setiap perlakuan kita menjadi cermin terhadap nilai-nilai yang menjadi pegangan.

Islam adalah agama suci. Ia tidak harus dikotori kerana penganutnya salah mengerti dan silap menyampaikan sehingga ia disalah erti.

Pak Su

Monday, September 12, 2011

EUNOS

12 Sep 2011

EKSTRA!

TOKOH WARISAN
Banyak jasa

Almarhum Mohamed Eunos berperanan penting perjuang hak Melayu


TAHUKAH anda siapakah orang di sebalik estet perumahan Eunos yang terletak tidak jauh dari Geylang Serai sekarang?

Beliau ialah Mohamed Eunos Bin Abdullah yang merupakan salah seorang intelektual yang banyak memperjuangkan nasib dan kepentingan masyarakat Melayu di Singapura pada awal tahun 1900-an dahulu.

Allahyarham Mohamed Eunos dilahirkan dalam 1876 di Singapura dan akrab dengan keluarga diraja Johor.

Beliau memulakan kerjaya sebagai syahbandar (pentadbir pelabuhan di Singapura dan Muar), pengarang Utusan Melayu (1912-1914), ahli perundangan Melayu pertama dan Yang di-Pertua Kesatuan Melayu Singapura.

Fasih berbahasa Inggeris dan Melayu, beliau berperanan penting dalam memperjuang hak Melayu di Singapura dan Johor.

Beliau telah diamanahkan memimpin akhbar Utusan Melayu (yang pertama pada 1912) dan dikenali sebagai 'Bapa Kewartawanan' oleh sesetengah sarjana.

Khidmatnya dalam Dewan Perundangan Singapura telah membolehkan pembentukan kawasan rizab Melayu, Kampung Melayu-Kaki Bukit.

Menerusi Kesatuan Melayu Singapura (Kemas), beliau menggalakkan pendidikan dan kemahiran tinggi bagi masyarakat Melayu dan membawa penubuhan Utusan Melayu (1939 hingga kini).

Allahyarham telah menunjukkan peri pentingnya orang Melayu bersikap terbuka, bersaing dengan ilmu dan akhlak serta berani menyatakan haknya walaupun sebagai kaum minoriti dalam negara kota raya.

LATAR BELAKANG

Allahyarham Eunos dilahirkan dalam keluarga yang berada di Singapura. Bapa beliau merupakan seorang saudagar atau peniaga keturunan Minangkabau dari Sumatera, Indonesia.

Allahyarham menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampong Glam dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Ranffles Institution.

Selepas tamat pengajian, beliau bekerja dalam perkhidmatan awam sebagai syahbandar atau pentadbir pelabuhan di Singapura, sebelum menjadi syahbandar di Muar, Johor, pula.

Dalam 1907, pada usia semuda 31 tahun, Allahyarham menjadi editor pertama akhbar Utusan Melayu.

Tujuh tahun kemudian, beliau menjadi editor sebuah lagi akhbar Melayu, Lembaga Melayu.

Sepanjang kerjaya beliau sebagai wartawan, Allahyarham Eunos banyak menulis rencana yang memperjuangkan nasionalisme bangsa Melayu.

Azamnya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu mendorong Allahyarham menukar kerjaya daripada seorang wartawan menjadi perwakilan Melayu dalam Majlis Perbandaran ketika Singapura dan Malaysia masih di bawah penjajahan British.

Pada 1926, Allahyarham Eunos dan teman-teman seperjuangannya telah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura (Kemas) dan menjadi presidennya yang pertama.

KMS telah memperjuangkan pembentukan sebuah kawasan penempatan Melayu yang diberi nama Kampung Melayu dengan tujuan mengekalkan nilai-nilai dan cara kehidupan orang Melayu.

Projek pembentukan penempatan Melayu itu dibina dengan geran $700,000 daripada pentadbir British di bawah pimpinan Gobenor Sir Hugh Charles Clifford.

Dalam 1981, kawasan penempatan itu dirobohkan untuk memberi jalan kepada projek pembangunan negara Singapura.

Pemerintah Singapura kemudian menamakan estet perumahan HDB yang dibina di situ sebagai estet Eunos sebagai mengekal dan mengenang jasa-jasa Allahyarham Eunos yang meninggal dunia pada 12 Disember 1933.

Jenazah Allahyarham disemadikan di tanah perkuburan Bidadari.

Nota: Laporan hasil kerjasama Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.

Kenapa Malu Mengaku Melayu?

11 Sep 2011

KOMENTAR

KENAPA MALU MENGAKU MELAYU?

Masyarakat kita bukanlah hina sangat dan tidak ada maruah sampai kita malu hendak memperkenalkan diri sebagai orang Melayu


ANDA perasan tak? Ada orang Melayu kita yang berasa segan diri mereka dikenali sebagai orang Melayu.

Mereka bagaikan malu untuk mengenalkan diri mereka sebagai orang Melayu, walaupun nama mereka asalnya Melayu dan ibu bapa mereka orang Melayu, bahkan bergelar haji dan hajah.

Mereka kekok hendak bergaul dengan orang Melayu, bagaikan terasa diri terasing dalam masyarakat sendiri.

Mereka cuba menunjukkan gaya hidup Barat dan moden: Makan di restoran makanan Barat, bersantai di pub dan kelab malam... walhal mereka dibesarkan dengan nasi lemak, sayur lodeh, lontong, sambal tumis dan sebagainya.

Mereka seakan-akan berat untuk berbahasa Melayu, asyik berbahasa Inggeris dan kadangkala diselangi perkataan-perkataan asing untuk tunjukkan mereka ada class... walaupun lidah mereka sebenarnya 'lidah belacan'.

Bahkan, kalau boleh, nama dalam kad pengenalan pun mereka nak tukar.

JAUH KETINGGALAN?

Mereka ini malu mengaku Melayu, mungkin kerana mereka menganggap orang Melayu tidak maju, tidak dinamik, tidak ada standard dan jauh ketinggalan di belakang orang lain.

Mungkin mereka bimbang, jika mengaku Melayu, akan jatuhlah nanti taraf dan kedudukan mereka di mata kawan-kawan mereka yang bukan Melayu.

Maklumlah, siapa yang suka dikaitkan dengan masyarakat yang bermasalah: Masalah keciciran dalam pelajaran, cerai-berai, tiada rumah sampai berkhemah di tepi pantai, menagih dadah, kenakalan remaja, jenayah dan pelbagai masalah sosial lain.

Mungkin anda pernah berjumpa orang-orang seperti ini. Mungkin orang itu juga merupakan orang yang rapat dengan anda.

Bilangan mereka mungkin masih kecil... segelintir saja sekarang ini.

Itu sebabnya kita rasa tak payahlah nak buang masa fikirkan soal mereka. Seperti kata orang muda sekarang: 'Buat bodoh sudah...'

Namun, jika kita tidak hati-hati, yang segelintir ini boleh bertambah besar. Silap hari bulan, ia boleh menimbulkan masalah besar pula kepada masyarakat kita.

Itulah sebabnya saya menimbulkan perkara tersebut dalam tulisan saya ini.

BUKAN PERKARA REMEH

Bagi saya, ia bukan perkara remeh. Ia perlu diberi perhatian dari sekarang.

Kita perlu sama-sama fikirkan bagaimana hendak mengekang penyakit ini daripada berleluasa.

Jika tidak, suatu hari nanti, mana ada lagi Melayu di muka bumi ini? Menangislah nanti Hang Tuah yang dulu berkata, 'Takkan Melayu hilang di dunia'.

Ada satu lagi sebab mengapa kita harus prihatin dengan kewujudan sikap malu mengaku Melayu di kalangan orang kita ini.

Berkemungkinan besar, orang yang bersikap demikian merupakan golongan terpelajar dalam masyarakat kita; mereka yang berjaya menggenggam ijazah, mereka yang merupakan golongan karyawan - jurutera, arkitek, doktor, guru dan sebagainya.

Golongan terpelajar dan berjaya seperti inilah yang sering menjadi sandaran harapan untuk membantu memajukan masyarakat kita.

Terlalu banyak yang boleh disumbangkan oleh golongan Melayu yang berjaya ini.

Ilmu dan pengalaman mereka sahaja sudah menjadi aset yang amat berharga, apa lagi jika mereka sedia berkongsi dengan anak bangsa sendiri.

Ini sering dilakukan oleh golongan elit dan berjaya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Jika anda perhatikan, dalam masyarakat Cina misalnya, mereka mencari kejayaan dan kekayaan, kemudian tidak lokek berkongsi dengan kaum mereka, bahkan menyumbang kepada negara.

Mereka yang berjaya ini bukan sahaja memberi sumbangan wang dan harta dengan membina yayasan, bahkan turut menyingsing lengan menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk menjayakan lagi masyarakat mereka.

Tetapi, kalau golongan elit Melayu kita menunjukkan sikap sebaliknya pula, bagaimana kita hendak maju?

Sampai bila kita hendak mengharap bantuan pemerintah dan orang lain sahaja untuk membantu memajukan anak bangsa kita?

Kalau golongan yang berjaya ini segan atau malu mengaku Melayu, bagaimana hendak berkongsi tenaga dan fikiran dengan masyarakat mereka sendiri?

Kalau mereka sudah tidak mahu mengaku Melayu, apalah dihairankan sangat kalau perkara yang lain-lain yang berkaitan dengan masyarakat kita seperti budaya dan bahasa Melayu tidak penting lagi buat mereka?

USAH NASI JADI BUBUR

Saya harap kita dapat sama-sama memikirkan perkara ini. Jangan sampai sudah terhantuk baru kita hendak tengadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

Kalau anda berjumpa orang-orang seperti ini, cubalah nasihatkan mereka.

Kita tidak perlu berasa malu mengaku diri kita Melayu, beragama Islam dan warga negara Singapura.

Memanglah masyarakat kita ada banyak masalah dan cabaran. Tetapi, mana ada masyarakat yang cukup sempurna tanpa sebarang masalah?

Sedangkan masyarakat maju di Amerika, Jepun dan Korea pun berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran, inikan pula masyarakat kita!

Masyarakat Melayu kita bukanlah masyarakat yang hina dan tidak mempunyai maruah sampai kita malu hendak memperkenalkan diri sebagai orang Melayu.

BUKAN BANGSA KERDIL Bangsa kita bukanlah bangsa yang kerdil. Kita mempunyai sejarah yang panjang di rantau ini. Kita mempunyai budaya dan warisan bangsa yang wajar disanjung tinggi.

Pelajarilah sejarah. Kita akan dapati orang Melayu pernah membina empayar yang besar, pernah jadi peniaga berjaya, jadi peneroka dan berdiri sama tinggi dengan lain-lain bangsa besar di muka bumi ini.

Bahkan hari ini juga, di sebalik kedudukan sebagai kaum minoriti, masyarakat kita mampu mencapai kejayaan dalam banyak bidang termasuk pendidikan dan ekonomi.

Memanglah, langkah kita masih jauh tetapi kita telah pun membuktikan keupayaan untuk maju.

Ini bukan setakat kata-kata kosong untuk mendabik dada yang tidak kena pada tempatnya. Ini satu hakikat sebenar.

Jadi, apa nak kita malukan mengaku diri kita Melayu?

Monday, September 5, 2011

RAJA ALI HAJI

22 Ogos 2011

EKSTRA!

TOKOH WARISAN MELAYU
Berpemikiran progresif

Raja Ali Haji bina saksiah rumpun Melayu yang perlu berbangga dengan bahasa, budaya dan agama Islam


RAJA Ali Haji Bin Raja Haji Ahmad ialah anak kelahiran diraja di Pulau Penyengat (ada menyebutnya di Selangor).

Beliau merupakan cucu penentang penjajahan Belanda, Raja Ali Haji Fisabililah.

Beliau lahir dalam 1808 dan membesar di Pulau Penyengat, yang dianggap pusat Kerajaan Riau-Lingga.

Raja Ali Haji dijulang sebagai pujangga Melayu silam yang terakhir dalam abad ke-19 kerana warisan besar karya bahasa dan persuratannya.

SUMBANGAN

Walaupun terasuh dalam suasana tradisional, Raja Ali Haji memaparkan pemikiran progresif lewat pelbagai karyanya yang menguntai warisan terbaik Dunia Melayu dan Islam.

Beliau merupakan ahli bahasa, perkamusan, sastera, pengulas sejarah dan penasihat kepada keluarga diraja Riau.

Raja Ali Haji terkenal sebagai pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa Melayu lewat buku Pedoman Bahasa.

Buku itu dianggap menjadi asas bahasa Melayu standard yang kemudian diangkat menjadi bahasa nasional Indonesia dalam Kongres Pemuda Indonesia pada 28 Oktober 1928.

Buku beliau yang berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa, iaitu Kamus Loghat Melayu-Johor-Pahang-RiauLingga penggal yang pertama, merupakan kamus ekabahasa pertama di Nusantara.

Namun, karya Raja Ali Haji yang dianggap terbesar ialah Gurindam Dua Belas (1847), yang menjadi pembaru arus sastera pada zamannya.

Karya ini juga jelas menonjolkan nilai-nilai keagamaan, ketaatan dan nasihat oleh Raja Ali Haji.

Antara petikan karya tersebut ialah:

Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilang nama,
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka itulah orang yang makrifat,
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah,
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri,
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang terpedaya,
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudharat

Pemikiran Raja Ali Haji dalam bidang falsafah Islam dan diplomasi Melayu, terutama erti adab yang terangkum dalam Gurindam Dua Belas masih berkesan ke hari ini.

IKTIBAR

Raja Ali Haji membuktikan kerendahan hatinya sebagai pujangga untuk membina saksiah rumpun Melayu yang perlu berbangga dengan bahasa, budaya dan agama Islam.

Sarjana besar Riau, Dr U.U. Hamidy, menyifatkan Raja Ali Haji sebagai seorang tokoh yang telah membina dan memelihara bahasa Melayu di Riau.

'Usahanya telah melapangkan jalan bagi terbentuknya bahasa nasional Indonesia.

'Bakti Raja Ali Haji membina dan memelihara bahasa Melayu, bagaikan mengapak dan menarah bahasa itu, sehingga akhirnya mempunyai bentuk dan dasar yang baik,' ujar Dr U.U. Hamidy.

Raja Ali Haji juga telah memberikan sumbangan besar dalam bidang penulisan sejarah Melayu menerusi buku beliau, Tuhfat al-Nafis ('Bingkisan Berharga' tentang sejarah Melayu).

Beliau meninggal dunia dalam 1873.

NOTA: Rencana ini disiarkan dengan kerjasama Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.

Ahmad Ibrahim

5 Sep 2011

EKSTRA!

Ahli perundangan

Profesor Ahmad Ibrahim (1916-1999)


TANYAKAN anak-anak muda sekarang, kemungkinan besar ramai yang tidak tahu siapakah itu Profesor Ahmad Mohamed Ibrahim.

Hakikatnya, Allahyarham adalah salah seorang tokoh kelahiran Singapura yang paling banyak memberi sumbangan bakti bukan sahaja kepada Republik ini, bahkan kepada negara jiran kita, Malaysia, juga.

Allahyarham, yang lahir dalam 1916, antara lain merupakan Peguam Negara yang pertama di Singapura, jawatan yang disandangnya dari 1963 hingga 1969.

Beliau merupakan anak Melayu pertama meraih Biasiswa Queen pada 1936 untuk pengajian di Universiti Cambridge dan mencatat kejayaan besar dalam bidang ekonomi dan perundangan serta tercatat sebagai pakar antarabangsa dalam bidang perlembagaan, syariah dan undang-undang sivil.

Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim merupakan tokoh perundangan sejak kes rusuhan Natrah (1950) di Singapura.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam rundingan bersejarah bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan percantuman Singapura dengan Malaysia.

Di samping itu, Allahyarham juga merupakan tokoh penting yang melakar Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dalam 1966 yang membawa kepada pembentukan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Ramai yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang Muslim yang benar-benar mengikuti jejak para ulama Islam silam dari segi kepintaran dalam membahagikan masa.

Beliau amat jarang berbual kosong dalam sesuatu mesyuarat tetapi hanya membincangkan hal-hal yang penting dan berkaitan sahaja.

Beliau juga jarang membatalkan kuliahnya semata-mata untuk menghadiri mesyuarat kerana beliau amat berminat mengajar.

Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang merendah hati, penyayang dan penyabar apabila berurusan dengan rakan sekerja dan para pelajarnya.

Beliau menganggap kerja yang dilakukannya adalah ibadah, sesuai dengan tuntutan Islam. Semua tanggungjawab yang dipikulkan ke bahunya dianggap sebagai amanah.

Beliau memancarkan insan geliga yang senantiasa dahagakan ilmu, suka berbakti kepada masyarakat dan yakin pembangunan rumpun Melayu perlu bersandarkan ilmu dan akhlak.

Di samping Singapura, Allahyarham juga banyak memberi sumbangan besar di Malaysia yang membawa kurnia pangkat Tan Sri.

Di Malaysia, Allahyarham antara lain telah membangunkan Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan dianggap tokoh ternama dalam penulisan perbandingan hukum syariah dan sivil.

Di sebalik kesibukan beliau dengan tugas-tugasnya, Allahyarham juga banyak menulis buku dan makalah, terutama yang berkaitan dengan undang-undang.

Antara hasil tulisannya ialah The legal status of the Muslims in Singapore (1965) di dalam Singapore: Malayan Law Journal.

Beliau juga telah menghasilkan tulisan mengenai kumpulan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Muis.

Sebelum beliau meninggal dunia dalam 1999, Allahyarham sempat meninggalkan sebuah lagi khazanah ilmu buat umat Islam yang merupakan sebuah buku berjudul Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia.

Nota: Laporan hasil kerjasama Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.