Tuesday, May 17, 2011

warkah ibu

12 Mei 2011

EKSTRA!

SEMPENA HARI IBU
Warkah Ibu


'ANAK-ANAKKU, hidup ibu memang cukup gembira dengan kamu semua.

Sehari tanpa melihat wajah kamu, ibu berasa risau. Bagi ibu, kamu semualah mata hati ibu. Pengarang jantung ibu.

Kasih ibu kepada anak tiada bezanya. Semua ibu sayang. Semua ibu hargai dan semuanya menjadi harapan ibu.

Anak-anakku, setiap kali solat, ibu panjatkan doa agar anak-anak ibu sentiasa sihat, menjadi anak yang saleha, anak yang berbudi pekerti tinggi dan anak-anak yang akan menjadi harapan agama, bangsa dan negara.

Ibu beruntung kerana setakat ini, anak-anak ibu memenuhi harapan seorang ibu. Rasa-rasanya, ibu dapat bergantung kasih kepada kamu semua apabila ibu semakin tua nanti.

Anak-anakku, lihatlah sekelilingmu. Pandanglah dengan mata hati kamu keadaan masyarakat kita. Sesetengah anggota masyarakat kita disebut orang sebagai masyarakat yang masih bobrok, masih dalam lingkaran kemiskinan, masih ketinggalan dalam banyak hal apatah lagi kemajuan dalam bidang pelajaran.

Kita, sebagai anggota masyarakat, tentunya bersedih dengan keadaan ini.

Tentunya kita tidak mahu masyarakat kita terus berada dalam keadaan seperti ini. Kita mahu semua anggota masyarakat kita maju, berjaya dalam semua bidang - duniawi dan ukhrawi.

Lihatlah anak-anakku... bagaimana ada di kalangan anak-anak kita yang hidupnya amat memilukan kerana tiadanya bimbingan agama.

Dalam usia remaja, mereka sudah menunjukkan 'belang'.

Pergaulan yang terlalu bebas antara lelaki dengan perempuan hingga berani melakukan seks bebas dan menimbulkan penyakit kelamin, ketagihan dadah atau arak adalah antara yang selalu kita dengar dan sangat menakutkan.

Kasihan mereka. Anakanak sebegini biasanya kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa, mereka kurang kasih sayang, ikatan keluarga tidak kukuh dan yang sangat ibu risaukan ialah kurangnya bimbingan agama.

Alangkah malangnya nasib mereka. Alangkah sedihnya jika mereka ini terus hanyut tanpa bimbingan. Siapa yang harus dipersalah jika mereka terus-terusan hanyut dan menjadi lebih teruk dari sekarang?

Anak-anak ibu yang sudah menjadi ayah dan ibu, tentu sedar betapa pentingnya peranan kamu dalam membimbing anak-anak kamu. Ingatlah, didikan agama yang sempurna dan bimbingan yang diberikan dengan penuh kasih sayang akan menghasilkan anak-anak yang baik, yang menyayangi ibu bapanya dan anak-anak yang tidak akan membiarkan anggota masyarakatnya terus lalai dan hidup tanpa arah tujuan.

Anak-anakku, bagi ibu, kitalah anggota masyarakat yang patut berusaha menyelamatkan mereka. Kita perlu bergotong-royong untuk sama-sama mengajak anak-anak yang tersasar atau anak-anak yang mencari kasih sayang di luar untuk kembali ke pangkal jalan.

Jika ada pihak-pihak yang dapat membimbing mereka, memberi perangsang agar mereka berusaha membaiki diri dan kembali ke pangkal jalan, insya-Allah, ibu yakin mereka itu akan dapat merubah diri menjadi manusia berguna.

Siapa yang tidak mahu berubah menjadi baik? Siapa yang tidak mahu kehidupan yang lebih baik dan siapa yang tidak mahu kehidupan yang tenteram dan damai serta penuh kasih sayang daripada keluarga?

Semua orang mahukan semua itu. Jadi, untuk mewujudkan semua itu, kita anggota masyarakat perlu sama-sama menggembleng tenaga membantu golongan anak-anak yang kurang bimbingan, kurang kasih sayang hingga menjadi anak-anak yang tersasar.

Anak-anakku, kamu semua akan menjadi generasi penerus masyarakat kita. Kamu dan mereka semua akan menjadi pemimpin masa depan dan kamu semualah tunggak harapan bangsa, agama dan negara.

Jadi, di bahu kamu semualah terpikul tugas-tugas ini - membawa masyarakat kita terus meniti masa depan dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada sekarang, maju jaya, berakhlak tinggi, berbudi pekerti dan menjadi masyarakat yang penyayang.

Semoga harapan ibu ini akan tercapai, insya-Allah.'

Ibu

JIRAN


AMAT PRIHATIN DAN SEDIA MEMBANTU: Penerima Anugerah Jiran Baik 2009, Encik Md Saleh Abu, dengan anugerahnya. Beliau juga menerima baucar pasar raya yang dikongsi dengan jiran-jiran dan anak-anaknya. - Foto JOHARI RAHMAT

Mudah cetak
E-mel

15 Mei 2011

SINGAPURA

Baikkah jiran anda?

Saran namanya untuk dicalonkan terima Anugerah Jiran Baik


SEPANJANG 10 tahun menetap di Corporation Drive di kawasan Jurong, Encik Md Saleh Abu tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan jiran-jirannya.

Begitu juga dengan jiran-jirannya yang amat mesra dengannya.

Bukan sahaja mereka bertegur sapa, malah Encik Md Saleh juga kerap menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh jiran-jirannya itu, tidak kira agama dan bangsa mereka.

Selain membantu memerhatikan keadaan jiran-jirannya yang uzur, bapa lima anak itu juga kerap membelikan barangan pasar yang dipesan jiran-jirannya, jika mereka tidak berdaya atau tidak ada masa untuk pergi sendiri.

Encik Md Saleh, 69 tahun, seorang noja di Masjid Assyakirin, turut menemani sesetengah jirannya berjalan-jalan mengambil angin atau sekadar duduk-duduk di kolong blok dan bersembang.

Bukan itu sahaja yang dilakukan Encik Md Saleh. Semasa memenangi Anugerah Jiran Baik atau Good Neighbour Award (GNA) pada 2009, Encik Saleh mengongsi sebahagian hadiah baucar yang dimenangi dengan jiran-jirannya.

'Saya berikan sejumlah $300 baucar pasar raya NTUC daripada $500 yang saya menangi kepada jiran-jiran, selain kepada anak-anak saya.

'Ini saya lakukan kerana sedar, saya tidak akan menang anugerah ini tanpa mereka.

'Mereka juga sangat baik. Jadi, mereka juga harus berkongsi hadiah yang saya menangi,' kata Encik Md Saleh, datuk 18 cucu yang tinggal bersama isterinya, Cik Salmah Ali, di flat satu bilik.

Menurut Encik Md Saleh lagi, walaupun beliau dan jiran-jirannya datang daripada latar belakang yang berbeza, mereka semua memastikan masing-masing dapat hidup dalam suasana harmoni dan berbaik sangka.

Pada tahun ini, Anugerah Jiran Baik akan diberikan lagi.

Dilancarkan dua tahun lalu, anugerah tersebut bertujuan mengenal pasti para penduduk - menerusi penglibatan mereka - yang menyumbang kepada keadaan sekitar yang lebih baik dalam kejiranan mereka.

Antara kriteria anugerah itu ialah kualiti dan sikap jiran yang baik, kelakuan baik yang patut dicontohi seperti membantu atau menerima penduduk baru dengan tangan terbuka serta semangat sukarelawan seperti menyertai kegiatan penduduk dan membantu golongan lebih tua.

Anugerah Jiran Baik dianjurkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Persatuan Rakyat (PA). Ia disokong oleh Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) dan Singapore Press Holdings (SPH).

Sekiranya, anda mempunyai jiran-jiran yang baik, anda boleh mendaftarkan nama mereka untuk anugerah tersebut.

Butiran lanjut mengenai anugerah itu dan cara-cara mendaftarkan jiran baik anda bakal diumumkan tidak lama lagi.