Sunday, July 11, 2010

Bahasa Melayu bukan setakat gred di sijil

27 Mei 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Pastikan bahasa Melayu bukan setakat gred di sijil

Oleh
A. Rahman Basrun


Rakan saya itu bukan calang- calang orang - sangat prihatin tentang pendidikan anak dan perkembangan dalam dunia pendidikan.


Namun, beliau merenung panjang sebelum menjawab:


'Agar anak kita dapat gred yang baik bagi BM di sekolah.'


Saya syak ramai di kalangan kita yang bertanggapan sedemikian: kuasailah BM kerana ia salah satu mata pelajaran di sekolah.


Bahkan, saya syak itulah antara profil ibu bapa yang dimaksudkan tulisan Salim Omar Ismail di akhbar ini Isnin lalu (Periksa sikap sebelum minta Bahasa Melayu disemak, BH, 24 Mei).


Tanggapan sedemikian haruslah diperbetul.


Memanglah saya tumpang gembira pemerintah mengekalkan agregat Bahasa Ibunda (lantas BM) setara Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).


Pun saya akur kalaulah syor tersebut diteruskan, ia boleh menjejas pelajar Melayu yang dikatakan kurang mahir dalam tiga subjek selain Bahasa Ibunda itu.


Namun, saya turut melihatnya secara positif - bahawa sebarang kenaikan agregat bagi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sebaliknya boleh mendorong anak Melayu supaya mempertingkatkan kelakonannya dalam ketetiga mata pelajaran itu.


Tiada ertinya kurikulum BM kelak dipertingkat sekiranya pada akhirnya, anak Melayu kita tetap lemah dalam mata pelajaran lain.


Lantaran itu, pendekatan lebih syumul bukanlah mempertingkat pembelajaran BM sahaja, bahkan juga mata pelajaran yang lain.


Biarlah pengajarannya nanti serasi dengan semua pelajar tidak kira apa latar belakang mereka.


Pun saya dapati sepanjang perbahasan perihal Bahasa Ibunda, banyak sungguh hujah tentang mengapa agregat BM harus dikekalkan, tetapi sedikit sangat hujah tentang apa pentingnya kita menguasai bahasa Melayu itu sendiri.


Jika ada pun, hujahnya untuk lulus periksa (sebagaimana jawapan rakan saya tadi) atau memelihara tradisi. Kasihan bahasa Melayu jika peranannya setakat itu.


Kalaulah saya ibu bapa atau pelajar, tampak kurang insentif bagi saya memahiri bahasa Melayu.


Jadi, izinkan saya menyorot sedikit peranannya:



Titian jurang generasi


Ramai warga tua orang kita masih kelu lidah berbicara selain dalam bahasa Melayu.


Kerana itulah, misalnya, khutbah Jumaat masih berbahasa Melayu.


Kerana itulah, Perdana Menteri turut menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan dalam bahasa Melayu.


Kerana itulah, penting bagi generasi muda kita menguasai bahasa Melayu sebagai meniti jurang perhubungan dengan golongan berusia senja.



Bahasa rentas sempadan


Ketika tragedi tsunami dulu, keupayaan berbahasa Melayu di kalangan para pegawai watan ini memudahkan mereka menghulurkan bantuan kepada kawasan-kawasan yang terjejas di Indonesia.


Hakikatnya, Singapura dikelilingi negara jiran yang majoritinya berbahasa Melayu.


Kerana itulah, kepentingan bahasa Melayu dalam jalinan diplomasi dan perniagaan serantau turut diiktiraf menteri-menteri kita.



Bahasa cari makan


Sejak di bangku sekolah lagi, penguasaan dalam bahasa Melayu membantu saya mencari sedikit rezeki menerusi berkarya seperti menulis cerpen dan rencana, di samping bekerja menterjemahkan dokumen Inggeris-Melayu.


Kemahiran bahasa menjadi modal sifar kos sedangkan manfaatnya terasa sehingga ke akhir hayat.



Jati diri


Siapa tidak seronok jika di negeri orang, kita terserempak dengan orang lain yang berbahasa Melayu.


Ia semacam bertemu dengan saudara lama - kemesraan terjalin dengan serta-merta.


Begitulah kesannya bahasa Melayu sebagai sebahagian jati diri yang tiada had sempadan.



Warisan ilmu


Tidak sama penghayatan Al- Quran seseorang yang fasih berbahasa Arab berbanding seseorang yang hanya dapat memahami kitab suci menerusi terjemahannya.


Demikian juga dengan bahasa Melayu berkenaan teks klasik, sastera, keilmuan dan seterusnya.


Penguasaan bahasa Melayu juga membolehkan kita meninggalkan warisan ilmu dalam bentuk dan cara kita sendiri.



Pandangan jagat


Menurut sarjana Benjamin Whorf, bahasa membentuk pemikiran dan emosi lantas tanggapan kita terhadap realiti.


Ertinya, semakin baik kefasihan kita dalam sesuatu bahasa, semakin berkembang dan kukuh personaliti dan keperibadian kita.


Misalnya, lebih banyak peribahasa Melayu yang kita pelajari, lebih banyak nilai dan pedoman yang dapat kita sedari dan semaikan dalam diri.


Maka bahasa bukan setakat kata-kata tetapi rakaman nilai-nilai yang menunggu untuk dicari gali.



Paparan akhlak


Tidak sama bahasa seseorang budiman dengan yang bukan.


Bahasa Melayu jika diperhatikan penuh dengan bahasa budiman sedemikian.


Misalnya, ungkapan 'mohon maaf' dan 'tumpang lalu' lebih lembut dan halus bunyinya daripada 'sori ya', 'excuse me' atau 'panas! panas!' yang sering digunakan di pusat makanan kini.


Akhir kalam, tak kenal maka tak cinta. Usah bataskan kepentingan bahasa Melayu pada gred di sijil saja.

No comments:

Post a Comment