Thursday, April 26, 2012

busana Melayu

24 Apr 2012

EKSTRA!

Pengaruh Dalam Busana Melayu

Perkembangan busana cerminkan kehidupan dan selera masyarakat yang dinamik

Oleh
Muhammad Jalani Abu Talib

BAYANGKAN situasi seorang laksamana yang berdiri segak atas anjung kapal. Bajunya seolah-olah melambai-lambai atas hembusan angin laut.

Berdasarkan lakaran tersebut, dapatlah ditafsirkan kecenderungan busana dan fesyen untuk berkembang mengikut tuntutan dan keperluan tertentu.

Fesyen memainkan peranan besar dalam perkembangan sebarang tamadun.

Hal yang sama malah dapat dilihat dalam busana Melayu.

Sesuai dengan peredaran zaman, busana Melayu turut berkembang bagi mencerminkan kehidupan dan selera masyarakat yang dinamik.

Busana sebarang peradaban dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya termasuk faktor cuaca, alam persekitaran, pengalaman, kepercayaan, nilai dan norma sesebuah masyarakat.

Sebagai sebuah masyarakat, bangsa Melayu mempunyai sistem sosial yang jelas sejak zaman dahulu.

Lewat busana yang dikenakan, dapatlah dibezakan antara golongan marhaen, pendekar, istana dan sebagainya. Perbezaan tersebut antaranya dapat diperhatikan menerusi perlengkapan harian.

Menjelaskan status sosial seseorang, masyarakat Melayu telah mencipta sejenis busana rasmi sekitar dua abad yang lalu.

Bergantung pada daerah dan fahaman, busana tersebut antaranya dapat dikenali sebagai baju sikap, baju layang, baju mengan dan baju alang.

Di daerah Singapura, baju tersebut dikenali sebagai baju sikap.

Sehingga kini, baju sikap merupakan sebahagian daripada pakaian rasmi sultan di Malaysia dalam istiadat-istiadat rasmi.

Dipercayai, baju sikap mula dipakai dua abad lalu di kalangan keluarga diraja Kedah.

Di samping itu, pada 1910, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mengenakan Baju Sikap semasa menghadiri Istiadat Pertabalan King George V di London.

Hal ini secara langsung menunjukkan bagaimana busana Melayu dapat dianggap sebagai pakaian formal, waimah dalam persekitaran Barat sekalipun.

Ia berbeza daripada tanggapan masyarakat kini berkenaan baju Melayu yang dianggapnya kuno.

Sejarah busana Melayu dipercayai bertunas sekitar 1424-1444. Pada ruang waktu tersebut, di bawah kerajaan Sultan Muhammad Syah, Sultan ketiga daripada empayar Kesultanan Melayu Melaka, orang Melayu ditekankan dengan kepentingan mempunyai identiti sendiri.

Lantaran itu, beliau bertitah supaya rakyatnya menghindari pemakaian cara 'atas angin' mahupun 'bawah angin'.

Cara pemakaian 'atas angin' merujuk pada cara pakaian kaum Arab, India dan Eropah manakala 'bawah angin' merujuk pada China dan Khmer.

Dikenakan dengan tengkolok, seluar, kain sampin, bengkung dan keris, baju ini membawa imej Melayu yang kental.

Malahan, sehingga kini, sukar dicari sebarang potongan baju Melayu moden yang dapat menandingi nilai ketampanan yang mampu diberikannya.

Atas dasar tersebut, sewaktu mula diperkenalkan, baju sikap hanya dikenakan golongan kerabat diraja, bangsawan, dan bergelar.

Selayaknya, baju sikap hanya dipakai oleh golongan Bangsawan yang berdarah raja di samping individu yang bergelar.

Jadi, bukan semua orang boleh memakai baju sikap ini.

Tanpa disedari, pemakaian baju tersebut menggariskan perbezaan antara golongan marhaen dan ternama.

Menekankan perbezaan tersebut, kesusasteraan seterusnya digunakan sebagai alat utama dalam memastikan rakyat memahami perbezaan yang digariskan.

Fenomena tersebut antaranya dapat diperhatikan dalam Hikayat Malim Deman. Lewat sastera tradisional itu, baju layang ataupun baju sikap kepunyaan Puteri Bongsu telah dicuri Malim Deman yang ketika itu dalam penyamaran.

Akibatnya, Puteri Bongsu tidak dapat pulang semula ke kayangan lalu menetap di Bandar Muar bersama Malim Deman.

Namun Malim Deman akhirnya terperangkap dalam kancah negatif sehinggakan isterinya merajuk.

Akhirnya, setelah menemui baju layang yang disembunyikan, Puteri Bongsu pulang ke kayangan bersama anak mereka.

Mempamerkan kecenderungan serupa dengan keadaan hari ini, fesyen pada waktu tersebut turut menerima pengaruh daripada tamadun-tamadun besar yang lain.

Reka bentuk asas baju sikap dijangka berasal dari Jawa atau Aceh.

Atas dasar pragmatik, seluar yang dikenakan biasanya mengikut potongan 'gunting Aceh' dengan kepanjangan melepasi lutut.

Menariknya, hal ini selaras dengan sistem aurat dalam Islam. Secara langsung, potongan-potongan tertentu digunakan bagi menjaga aib tubuh pemakai.

Setelah kemasukan Islam, konsep tersebut dimurnikan dan diperindahkan untuk zaman-zaman mendatang. Secara tidak langsung, ia sekali gus menjelaskan keakraban budaya Melayu dengan Islam.

Berbeza daripada tanggapan ramai, Islam tidak pernah bertindak seperti satu tamparan terhadap budaya Melayu. Malahan, Islam sekadar mengimbuhkan budaya tersebut bagi menghasilkan nilai falsafah dan budaya yang lebih utuh dan kaya.

pelihara jati diri dengan fasih bahasa

5 Apr 2012

KOMENTAR

PANDANGAN
Pelihara jati diri dengan fasih bahasa

Oleh
Mohd Maidin Packer Mohd

BEBERAPA tahun lalu, saya tercengang-cengang mendengar berita perdana Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memapar orang Melayu Kuala Lumpur bertutur dalam bahasa tersekat-sekat dan 'dicanggih' dengan campuran Inggeris.

Jenis 'kekok cakap Melayu dengan fasih' itu sudah pun melanda muda-mudi Singapura lebih awal.

Kekata Inggeris yang diganti bukanlah unik. Ada pilihan yang biasa digunakan. Tetapi orang muda itu terfikir-fikir mencari perkataan yang sesuai. Akhirnya tersembur Inggeris.

Sejak itu, saya dapati hal serupa menonton berita TV3 atau saluran lain Malaysia.

Pemuda kota seperti KL dan Singapura, yang amat terdedah dengan bahasa Inggeris, mudah terikut mencampur atau menginggeriskan bahasa Melayu.

Ada kalanya saya kasihan, ada kalanya kecewa. Kenapa susah sangat nak sebut 'cabaran' yang diganti dengan challenge atau 'keutamaan' yang diganti priority?

Lainlah kalau inflasi atau disiplin yang belum ada gantian tepat dalam bahasa Melayu.

Baru-baru ini, saya tinjau sejenak beberapa akhbar dan TV Indonesia - keadaannya lebih hebat (parah).

Jumlah kekata Inggeris yang diserap dan diindonesiakan luar biasa banyaknya dan luas digunakan sehingga terasa seolah-olah karyawan muda Indonesia, terutama di Jakarta, sudah memulakan 'arus peralihan' - menggantikan satu persatu kata Melayu baku dengan Inggeris.

Selain singkatan yang banyak dicipta dan diguna (misal: wagub, mendagri), mereka kian lumrah dengan kekata Inggeris yang diindonesiakan seperti efisiensi, isolasi, aksi, posisi, komunikasi dan kompetisi. Orang muda hari ini cepat menyadur dan memelayukan kekata Inggeris. Ada bezanya.

Kalau di KL dan Singapura, kekata Inggeris disebut dalam Inggeris (misalnya excited dan situation), orang Indonesia menyebut 'ter-isolisasi' atau 'ke-isolisasi-an', menggantikan terpencil dan pemencilan; siap imbuhan seolah-olah ia sudah diterima sebagai kekata tempatan.

Pengaruh Inggeris sungguh tentu lebih hebat di Singapura yang penduduknya sudah lebih segenerasi bersekolah Inggeris. Anak muda hidup dengannya siang dan malam, termasuk di rumah.

Bahasa ibunda kurang digunakan walaupun di rumah. Buku agama pun Inggeris kerana 'kurang faham baca buku Melayu'. Bahkan kelas di madrasah hujung minggu juga menggunakan buku bahasa Inggeris!

Bahasa Inggeris dipakai di rumah memang suatu kelaziman. Ibu bapa muda mahu pendedahan secukupnya agar anak-anak siap ke sekolah dengan penguasaan yang mantap. Mereka tidak mahu anak terpinggir sejak hari pertama masuk kelas. Maka, jadilah Inggeris bahasa pertama keluarga.

Kita memahami keadaan ini, biarpun saya sendiri termasuk di antara kumpulan terakhir aliran Melayu sampai ke prauniversiti. Sampai hari ini, saya rasa bahasa Melayu saya lebih kukuh daripada bahasa Inggeris. Tentu yang sekolah Inggeris lebih kukuh Inggerisnya.

Soalnya apakah mutu bahasa Melayu muda-mudi kita akan terus meleset? Apakah bahasa Inggeris akan mengikis kefasihan berbahasa ibunda? Jika ada Singlish, mungkinkah nanti Malish?

FAKTOR GURU BAHASA MELAYU

Kita tahu guru Bahasa Melayu (GBM) berperanan penting mendidik bahasa Melayu yang betul dan setulen yang boleh. Ini juga satu cabaran kepada guru muda yang diasuh dalam aliran Inggeris.

Namun, saya difahamkan kebanyakan GBM dapat memikul tanggungjawab dengan baik kerana terlatih dan ada iltizam menjaga kemurnian bahasa ibunda. Mereka juga ikuti kursus peningkatan.

TERAPKAN BUDAYA

Pendidikan bahasa juga perlu diadun dengan pemahaman budaya, sekali gus membantu pelajar mengenal resam kegunaannya.

PERANAN MEDIA

Sebaran am - akhbar, radio dan TV - amat penting dalam aspek kebahasaan.

Dengan bahasa yang betul, rapi dan mudah, alat sebaran am menjadi sumber bacaan dan rujukan harian yang berpengaruh menjaga mutu bahasa Melayu di sini.

Malangnya, oleh kerana kian ramai wartawan muda juga daripada aliran Inggeris, saya dapati kemasukan kekata Inggeris kian ketara dalam ketiga-tiga sumber berita bahasa Melayu itu.

Cuba anda ikuti sendiri. Mudah mengesannya.

Misalnya, terdapat susunan ayat, gaya cerita dan laporan berbau Inggeris, dipengaruhi sumber berita dalam dan luar negeri yang berasal bahasa Inggeris, kemudian diterjemah mengikut gaya asal.

Di bahagian bukan berita, keadaan lebih menyerlah. Sudah ada ruangan Ekstra di BH dan Maintain di Suria. Drama TV dan radio banyak guna ayat Inggeris. Mungkin penulisnya mahu mencerminkan keadaan hidup semasa.

Pada pandangan saya, ketiga-tiga sumber berita Melayu perlu bertahan dan mengambil langkah menjaga saksiah (keaslian) bahasa Melayu. Usaha menjaga keaslian ini perlu dijadikan bahagian penting budaya kerja mereka.

Jika mantap keaslian bahasa, tentu ia memberi kesan baik. Begitu juga sebaliknya.

Jika alat sebaran am sama terikut arus generasi terdidik Inggeris, kemasukan ini akan bertambah.

Ini boleh menjadi senjata makan tuan. Jika terlalu banyak kekata Inggeris, apa perlunya masyarakat bersandar pada mereka lagi?

Dengan terjaga mutu bahasa, lepasan sekolah dan karyawan boleh terus mendengar, menonton atau membacanya, dan ini akan mengukuhkan bahasa ibunda mereka.

JAGA BAHASA

Perkataan juga ada nilai budayanya. Sebagai contoh, saya tercegat membaca risalah ceramah dengan tajuk Rasulullah Idolaku. Saya tegur penganjur - kekata 'idola' itu tidak sesuai dikait dengan Rasulullah. Mereka sempat mengubahnya.

Perkataan 'idola' (asalnya idol) tidak ada ruang dalam kehidupan orang Islam. Idol sering dikaitkan patung dan sistem pemujaan berhala.

Ketika pembukaan Makkah, patung-patung pujaan (idols) inilah yang pertama dimusnahkan oleh Rasulullah saw demi mengatasi pemesongan akidah.

Apakah kita mahu orang Islam 'meng-idola-kan' manusia? Penyeludupan kekata ini ke dalam bahasa dan kehidupan orang Islam harus dikekang.

Jika mudah terikut angin Barat (contoh: American Idol), kita boleh terbabas dengan cara dan amalan yang bercanggah. Begitu juga perkataan diva (dari dewa-dewi) dari sumber bahasa silam, Sanskerta, yang digunakan semasa orang Melayu masih Hindu.

Sejak kedatangan Islam kurun ke-13, para cendekiawan - pendakwah, pendita, sasterawan, ahli bahasa istana dan orang tua-tua - sudah berusaha mengalih sosok bahasa Melayu daripada berunsur Hindu kepada berteras Islam dengan kekata Arab Al-Quran.

Mereka melakukan 'pembersihan' ini secara bertahap. Janganlah pula kelekaan menyebabkan kita memasukkan semula kekata dengan percanggahan nilai.

Pemeliharaan bahasa adalah bidang yang tidak kurang penting. Ia perlukan usaha bersama, berterusan dan dukungan pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru, asatizah dan alat sebaran am agar bahasa Melayu terus subur pada masa depan.

Bahasa menjunjung budaya. Fasih bahasa, jiwai budaya agar mulia jati diri.

ranking sasterawan singapura

8 Apr 2012

EKSTRA!

Ranking sasterawan Singapura dibuat Mana Sikana sudah lapuk


RENCANA tulisan Anuar Othman pada 25 Mac 2012 mengusik benak hingga membuatkan saya terpanggil untuk menyumbangkan pandangan.

Secara ringkas, Anuar menyangkal pandangan Djamal Tukimin yang tersiar di akhbar ini pada 11 Mac lalu.

Di dalam penulisannya, Djamal meletakkan Allahyarham Iswardy di rankINg pertama dalam penulisan cerpen.

Anuar menolak ranking tersebut kerana beliau berpegang teguh dengan ranking yang dibentangkan oleh Mana Sikana dalam bukunya yang berjudul Sasterawan Melayu Pascamodenisme.

Saya tidak mempersoalkan kesahihan ranking itu. Apa yang menjadi pertanyaan ialah mengenai tahun di mana ranking itu dilakukan. Seperti yang kita ketahui, buku tulisan Mana Sikana itu diterbitkan pada 2004.

Ini bermakna ranking tersebut berdasarkan pada kajian yang dilakukan lapan tahun yang lalu. Lapan tahun merupakan satu jangka waktu yang panjang.

Dalam jangka masa itu, pelbagai perkembangan berlaku dalam dunia penulisan. Sudah tentu banyak karya penulis lain tidak termasuk dalam penilaian Mana Sikana.

Perlu diingat, dalam jangka waktu lapan tahun yang kebelakangan ini, ada penulis mapan yang tidak berduduk diam.

Dengan kesungguhan berkarya, mereka mampu menunjukkan kematangan dalam karyanya. Tidak lupa juga ada penulis-penulis baru yang berbakat lahir menyemarakkan ujana sastera Melayu Singapura.

Biarpun mereka baru berjinak-jinak dalam penulisan, tidak semestinya mereka tidak mampu menghasilkan karya bermutu yang dapat menandingi penulis mapan. Yang demikian, mereka juga harus dinilai sama untuk mendapat kedudukan dalam ranking yang terkini.

Kita tentu maklum bahawa setiap ranking yang dibuat itu merupakan satu proses yang subjektif. Ia juga tidak dapat bertahan lama kerana faktor masa.

Kriteria yang digunakan oleh pembuat ranking juga berbeza-beza, sama ada berdasarkan kuantiti atau kualiti.

Yang demikian, jika hendak memperkatakan tentang kedudukan penulis Melayu Singapura masakini sudah tentu ranking Mana Sikana tahun 2004 sudah dianggap obsolete.

Oleh kerana itu, apabila ranking itu diguna pakai semula dalam tahun ini, ia memberikan gambaran yang kurang tepat.

Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, Djamal dan Anuar harus menekankan bahawa pandangan mereka itu berdasarkan pada faktor masa dan genre.

Sudah tentu ia tidak boleh dijadikan sebagai satu ukurtara untuk menggambarkan ranking penulis masa kini yang menulis berbagai-bagai genre penulisan.

Ramai yang tentu akan mempersoalkan bagaimana mungkin Allahyarham Masuri SN disebariskan dengan Nadiputra atau Dr Hadijah Rahmat?

Setiap dari mereka berkarya dalam bidang yang berbeza. Sasterawan Negara Masuri SN lebih berat kepada penulisan puisi, sementara Nadiputra pula lebih kepada bidang teater dan Dr Hadijah pula pada penulisan esei sastera.

Biarpun ada genre penulisan yang mereka kongsi bersama tetapi masing-masing lebih prolifik dalam satu bidang yang spesifik.

Mana mungkin sebiji buah jambu dinilaikan sejajar dengan sebiji durian?

Biarpun begitu, saya tidak menyangkal yang kedua-dua jenis buah itu boleh dinilaikan dalam satu bakul.

Jika kita menentukan rasa buah-buahan sebagai kriteria untuk membuat penilaian, sudah tentu soal rasa itu sendiri adalah subjektif.

Dalam makalahnya, Djamal Tukimin menyatakan 'Pada suatu ketika, ketika berceramah dua kali di Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai cerpen Melayu, saya meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita.'

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Djamal membuat kajian itu hingga membuatkannya membuat keputusan demikian.

Tetapi, apa yang saya dapati, beliau menyatakan dengan jelas bahawa penilaiannya berdasarkan pada cerpen sahaja.

Dengan ketepatan itu, penilaiannya lebih mudah diterima kerana ia menjurus pada satu bidang.

Mungkin dapatan itu lebih tepat lagi jika disertakan jangka waktu penilaian itu dibuat. Jika ia sekadar pandangan peribadi seperti yang Anuar jelaskan, ia tidak seharusnya dipandang secara serius.

Yang pasti, setiap penilaian harus disokong dengan butiran penting agar dapatan itu tidak menimbulkan seribu satu macam persoalan bukan saja di kalangan penulis tetapi juga masyarakat Melayu keseluruhannya.

sikap dan sifat

10 Apr 2012

EKSTRA!

PERISTIWA BAHASA
Perbezaan kosa kata 'sikap' dan 'sifat'

Oleh
Mohd Gani Ahmad

KOSA kata sikap dikatakan oleh beberapa ahli bahasa seiras maknanya dengan sigap.

Sigap bererti pantas, cepat, cergas, tangkas dalam gerakan; bersiap sedia atau kesiagaan.

Sigap dimaknakan juga oleh sesetengah pengguna bahasa sebagai keterampilan.

Kekerapan penggunaan sigap ini agak rendah dalam kalangan masyarakat sekarang.

Dari sudut semantik, makna pertama sikap ialah bentuk tubuh, potongan badan dan tokoh.

Makna kedua sikap ialah gaya berdiri, bergerak dan berpakaian.

Makna ketiganya pula ialah perbuatan, tindakan atau pandangan yang berdasarkan sesuatu pendapat atau fikiran.

Makna pertama dan kedua sikap kelihatan seakan-akan sama dengan makna kosa kata sifat. Makna ketiga sikap pula tidak terdapat dalam kata sifat. Tegasnya, makna ketiga inilah yang membezakan penggunaan kededua kosa kata ini.

Sikap berjenis kata nama. Untuk memahami perbezaan antara kosa kekata sifat dan sikap ini, fahami dan pelajari ayat-ayat contoh yang berikut yang menggunakan kata sikap:

Bolehkah kosa kata sikap berganti tempat dengan kosa kata sifat?


  • Sikap pemuda itu terhadap budaya bangsanya sudah semakin menipis sejak dia tinggal selama 10 tahun di Eropah. (Sikap dalam ayat ini bermakna tindakan atau pandangan atau pendapat)

  • Saya agak menyampah melihat sikapnya yang tidak menghormati orang yang lebih tua daripadanya. (Sikap bermakna perangai dan kelakuan)

  • Sikap mereka yang keterlaluan itu dapat dilihat daripada tingkah lakunya dan tutur katanya. (tindak tanduk, perlakuan)

  • Sikapnya berubah menjadi angkuh dan mengada-ngada sejak menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif syarikat. (perangai, tingkah laku, perbuatannya)
    Jika jawapannya ya atau boleh, maka kededua kosa kata ini ada persamaan makna dan penggunaannya. Dan jika jawapannya tidak, maka itulah perbezaan ketara antara kekata sifat dengan sikap ini. Sikap dalam bahasa Inggeris boleh diterjemahkan dengan perkataan attitude atau posture. Sifat pula diterjemah sebagai nature, natural dan character. Dalam bahasa Melayu, kosa kata natural ini bermakna bersifat semula jadi dan alamiah, menjadi kebiasaan dan kelaziman. Character pula menjadi karakter, bermakna sifat (ciri) perwatakan yang membezaan seseorang dengan orang lain. Sifat lebih condong kepada rupa sesuatu benda yang dapat dilihat, tanda atau ciri khas sesuatu benda; perangai, tabiat dan watak seseorang. Sifat dapat dilihat dari luaran. Sifat lebih menekankan kepada yang lahir dan yang mudah dilihat. Sikap pula kesan tingkah laku atau perbuatan seseorang yang agak abstrak sifatnya untuk dimengerti. Pengertian kosa kata ini hanya terlihat apabila seseorang itu bertindak atau melakukan sesuatu perlakuan; barulah nampak sikapnya. Pelajari ayat contoh yang berikut yang saya kutip daripada berita dalam akhbar baru-baru ini: 1. Dia bagaimanapun tidak mengendahkan amaran mereka itu dan meneruskan sikap kasarnya - melaung dengan kuat dan menggunakan isyarat tangan. 2. Dia kemudian ditahan kerana bersikap tidak senonoh dan dibawa ke balai polis. Kesimpulannya, perbezaan hanya terletak pada penggunaan kededua kosa kata ini. Sifat lebih menonjol kepada sikap yang telah mendarah daging dan menjadi kelaziman. Sikap pula terlahir hasil perbuatan makhluk yang hidup bernyawa khususnya manusia. Benda-benda mati seperti batu, pokok serta haiwan, tidak mungkin boleh melahirkan sesuatu sikap.
  • bahasa Melayu

    18 Apr 2012

    KOMENTAR

    PANDANGAN
    Bahasa dalam takrif rumpun Melayu

    Oleh
    Md Ayub Johari

    PADA seminar kepimpinan belia sempena perayaan 30 tahun Yayasan Mendaki baru-baru ini, segelintir belia menunjukkan kemahiran khat kepada tetamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam.

    Khat dan tulisan Jawi merupakan antara warisan Melayu yang kian pupus sejak tulisan Rumi diperluas pada akhir 1950-an.

    Padahal pengembangan bahasa Melayu amat bergantung pada tulisan Jawi sejak abad kelapan.

    Lama sebelum Portugis menjajah Melaka pada 1511, bahasa Melayu dalam tulisan Jawi telah menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan dengan bangsa-bangsa lain di Asia Tenggara.

    Menurut Francois Valentyn (1666-1727), seorang pendeta dan ahli sejarah Belanda, ketika berada di Melaka:

    'Bahasa Melayu berkeupayaan bertindak sebagai alat komunikasi dan lingua franca yang penting di Asia Tenggara seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah.'

    Pandangannya menggemakan dapatan pengembara asal Italy dalam ekspedisi Ferdinand Magellan mengelilingi dunia, iaitu Antonio Figafetta, yang juga penyusun kamus Melayu-Italy pada tahun 1522.

    Bahasa Melayu sudah berkembang berdasarkan catatan batu bersurat di Kedukan Bukit (683 Masihi), Talang Tuwo (684 Masihi), Kota Kapor dan Pulau Bangka (686 Masihi) yang menunjukkan kerajaan Seriwijaya telah menggunakannya.

    Ketika Stamford Raffles mendarat di Singapura pada 1819 dan selanjutnya membuka pulau ini dengan persetujuan Sultan Husin Shah dan Temenggong Abdul Rahman pada 1824, bahasa Melayu terus luas digunakan.

    Antara 1850 dengan 1960, Singapura merupakan pusat intelektual Melayu di rantau ini.

    Dasar British menjadikan Singapura sebagai pelabuhan bebas dan membawa masuk ramai pendatang dari Nusantara, India, China, Arab, Eropah dan lain-lain.

    Bahasa Melayu ketika itu menjadi bahasa perhubungan di Singapura.

    Raffles mempunyai guru bahasa Melayu seperti Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir untuk menuliskan perutusan beliau yang dikirimkan kepada para pemimpin dan raja-raja Melayu di Nusantara.

    Antara peranan terpenting bahasa Melayu yang dipercayai berasal dari kawasan Sungai Melayu di Sumatera ialah peranannya menyatukan semua suku kaum menjadi rumpun Melayu.

    Hal ini diakui oleh Jose Rizal, bapa kemerdekaan Filipina yang menyeru penyatuan rumpun Melayu.

    Bahkan, bahasa Melayu turut mentakrifkan 'golongan Peranakan' seperti India Muslim yang juga dipanggil Jawi Peranakan dan kaum Cina Selat atau Baba Peranakan.

    Umumnya, rumpun Melayu terbahagi dua - yang majoriti beragama Islam dan yang tidak beragama Islam.

    Namun, yang menguntai mereka ialah bahasa Melayu sebagai pengantarnya.

    Golongan Peranakan berperanan penting dalam memajukan bahasa Melayu. Misalnya, banyak pantun Melayu merupakan sumbangan Baba Peranakan.

    Akhbar Melayu terawal ialah Jawi Peranakan pada tahun 1876. Ia dimiliki seorang Jawi Peranakan yang bernama Gulam al-Hindi.

    Kemuncak zaman intelektual Melayu ialah ketika terdapat industri perfileman, percetakan dan persuratkhabaran di sini.

    Di Cecil Street, Syarikat Percetakan Utusan menerbitkan akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman, Utusan Kanak-Kanak dan majalah Mastika serta Majalah Filem dan Sport.

    Kampong Gelam pernah menjadi pusat sasterawan, budayawan dan ahli sejarah seperti Harun Aminurrashid, Mahmud Ahmad, Buyong Adil, Ramli Abdul Hadi, Keris Mas, Osman Awang, Muhammad Ariff Ahmad dan lain-lain termasuk penulis buku-buku agama yang terkenal seperti Kiai Muhammad Fadhlullah Suhaimi yang hasil karangannya banyak diterbitkan oleh Percetakan H.M. Ali di Arab Street.

    Di Geylang pula terdapat di antaranya percetakan Qalam, Melayu Raya, Geliga dan Usaha Printers yang menerbitkan akhbar dan majalah.

    Antara majalah yang terkenal ialah Qalam terbitan sasterawan Syed Idrus yang pernah dibantu mufasir Sheikh Abdullah Basmeih.

    Qalam pernah menampung tulisan Profesor Ahmad Ibrahim, seorang pakar perundangan, dan bahasawan Pendeta Za'ba.

    Sejak sekolah aliran Melayu pupus di Singapura pada 1970-an, bahasa Melayu sebagaimana bahasa ibunda yang lain disokong kelanjutannya oleh Dasar Dwibahasa.

    Sayangnya, semangat kebahasaan anak muda kita kini agak luntur dan perlu dijana lewat pendidikan dan kegiatan seperti anjuran Majlis Bahasa Melayu.

    Oleh itu, kita perlu memikirkan dengan serius dan kreatif akan masa depan bahasa Melayu - tidak sekadar melihat keindahan tulisan Jawi atau khat, bahkan mengembalikan semangat pada penggunaannya di rumah, dalam berkarya dan di mana saja yang terluang.

    Jati Diri Melayu Budiman

    22 Apr 2012

    KOMENTAR

    Jati diri Melayu budiman


    BAGAIMANA kita hendak mengenal hati budi orang Melayu?

    Apakah cukup kita menilai jati diri orang Melayu hanya dari segi pakaian, percakapan, tingkah laku dan amalan sahaja?

    Saya fikir, masih banyak yang perlu kita kupas dan kita perjelaskan, terutama kepada anak-anak muda kita sendiri, tentang erti jati diri bagi orang-orang Melayu.

    Ini penting, agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan tanggapan-tanggapan negatif lagi kurang tepat, baik yang ditimbulkan oleh orang lain, mahupun oleh orang Melayu kita sendiri.

    Mungkin dek cengkaman sindrom minoriti - bahawa kita hanya golongan minoriti dan ketinggalan pula di belakang kaum-kaum lain - maka kita berasa tiada apa yang hendak kita banggakan tentang masyarakat kita.

    Anak-anak muda kita pun semakin keberatan berbahasa Melayu, bahasa ibunda mereka sendiri.

    Apa yang harus kita lakukan?

    Selain usaha memajukan diri dalam pendidikan, ekonomi dan perniagaan, satu perkara penting yang harus kita usahakan ialah kembali mengenal jati diri sebenar orang Melayu.

    Untuk mengenali orang Melayu, tidak cukup kita hanya melihat dari segi luaran sahaja - pemakaian, tingkah laku, tutur bahasa, budaya dan amalan seharian.

    Bahkan, ia juga harus dilihat dari segi dalaman atau batiniah Melayu. Ia bukan sekadar rasa atau emosi, bahkan meluputi hati budi kita sebagai orang Melayu.

    Seorang cendekiawan Melayu Malaysia, Profesor Dr Hashim Hj. Musa, dalam bukunya bertajuk Hati Budi Melayu, telah menyimpulkan bahawa terdapat 26 teras hati budi orang Melayu kita, iaitu:

    1. Hidup berteraskan agama Islam. 2. Utamakan pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi, bertakwa dan beramal. 3. Nilai kerja yang utamakan kesungguhan, kecekapan, kerajinan dan kerukunan bagi manfaat dunia dan akhirat sehingga ke anak cucu. 4. Taat dan berkhidmat kepada ibu bapa serta memuliakan mereka. 5. Setia kepada ketua yang adil dan terpuji.

    6. Halus budi bahasa dan budi pekerti.

    7. Sentiasa bermuafakat, bertegang rasa, tolong-menolong dan mengutamakan kebajikan umum dan hidup bermasyarakat.

    8. Hormat dan khidmat dalam pergaulan dan dengan tetamu.

    9. Sederhana dalam tutur kata dan tingkah laku, hemat dan cermat, tidak kasar, keras dan ganas:

    10. Prihatin tentang harga diri, maruah yang terjelma dalam istilah 'menjaga air muka' dan 'rasa malu yang mendalam'.

    11. Tahu tempat letak sesuatu dan diri setiap orang dan bertindak sewajarnya.

    12. Membela, mempertahan kebenaran dan keadilan.

    13. Menanam budi dan membalas budi.

    14. Sifat pemaaf dan pemurah.

    15. Sifat kasih sayang.

    16. Hidup sederhana.

    17. Setia dan rela berkorban.

    18. Sikap berdikari.

    19. Menghormati hak dan milik orang lain.

    20. Jujur dan ikhlas.

    21. Berbaik sangka terhadap sesama makhluk.

    22. Sifat keterbukaan, tidak menyimpan rasa dan curang.

    23. Sifat amanah:

    24. Memanfaatkan waktu, tidak membuang masa.

    25. Memandang masa depan:

    26. Mensyukuri nikmat Allah:

    Kesemuanya terkandung dalam ajaran orang tua-tua Melayu yang disampaikan secara indah lagi berkesan menerusi simpulan bahasa, pepatah, pantun dan sebagainya yang dikaji oleh Profesor Hashim.

    Menurut beliau, jika 26 perkara ini dapat disemai, dipupuk dan diamalkan, ia dapat melahirkan Melayu budiman handal, bijak dan tangkas dan dapat menjadi pemangkin kepada pembinaan peradaban Melayu selanjutnya dalam zaman moden ini.

    Apakah terlalu sukar untuk kita mengamalkannya?

    Dalam masyarakat Melayu turun-temurun, orang-orang yang dianggap mempunyai nilai etika, moral dan akhlak yang tinggi dipandang mulia oleh masyarakat.

    Mereka dinamakan seorang orang Melayu yang budiman.

    Mereka mempunyai budi pekerti dan adab sopan yang mulia; budi bahasa dan budi bicara yang bernas; hati budi yang tinggi, akal fikiran dan dilengkapi dengan ilmu, kebijaksanaan, dan kebaikan.

    Inilah juga yang harus kita semaikan dalam jiwa anak-anak kita zaman sekarang, tanpa mengira berapa jauh kita melangkah dan seberapa tinggi pun pencapaian kita.

    Orang Melayu sebenarnya bangsa yang besar, yang mempunyai tamadun budaya dan falsafah sendiri yang jelas tercermin dalam pepatah, pantun warisan dan adat resam nenek moyang mereka.

    Mereka telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu, atau mungkin lebih awal daripada itu.

    Bacalah sejarah dan anda akan dapati orang Melayu memang handal dan bijaksana. Mereka telah membentuk empayar yang besar dan menjadi pedagang berjaya yang meneroka dunia dengan berbekal hati budi yang kukuh dan luhur.

    Jadi, mengapa harus kita malu untuk mempertahankan nilai-nilai murni dan jati diri kita sebagai orang Melayu, walaupun jumlah kita setakat kurang setengah juta di bumi Singapura ini?

    Saya akhiri rencana ini dengan mengajak anda merenungi pantun warisan berikut yang menunjukkan betapa pentingnya budi dalam masyarakat kita sejak turun-temurun.

    Tegak rumah kerana sendi,

    Runtuh sendi rumah binasa;

    Tegak bangsa kerana budi,

    Runtuh budi hilanglah bangsa.

    Bunga melati bunga di darat,

    Bunga seroja di tepi kali;

    Hina besi kerana karat,

    Hina manusia tidak berbudi.

    Di sana padi di sini padi,

    Baru bernama sawah dan bendang;

    Di sana budi di sini budi,

    Baru sempurna bernama orang.

    menjadi muslim cemerlang

    USTAZ MUHD IBRAHIM KASSIM: Pengarang buku The Seven Excellent Habits of A Successful Mu'min. 22 Apr 2012 SYIAR Tujuh amalan BAGAIMANA menjadi masyarakat Muslim cemerlang? Amalkan tujuh perkara yang digariskan Allah menerusi beberapa ayat dalam Surah Al-Mukminun. Jika tujuh perkara itu dilaksanakan, Allah menjanjikan kejayaan besar. Allah berfirman: 'Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya; dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna; dan orangorang yang menunaikan zakat; dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela, barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas; dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya; dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.' - Al-Mukminun: 1-11. Tujuh amalan ke arah kecemerlangan ini telah dihasilkan dalam bentuk buku kecil oleh ulama setempat, Ustaz Ibrahim Mohd Kassim, bertajuk The Seven Excellent Habits of A Successful Mu'min (Tujuh Tabiat Cemerlang Mukmin yang Berjaya) bagi membentuk peribadi yang utuh. Ustaz Mohd Ibrahim, yang juga pengasas Pusat Pengajian Secara Tradisi Al Fathhu, baru-baru ini berkongsi panduan tersebut dengan sekumpulan tenaga kerja Masjid Al-Istiqamah. Menurutnya, pelaksanaan tujuh amalan itu boleh membantu umat Islam menjadi umat contoh, sesuai dengan ayat yang menyatakan 'kamu adalah sebaik-baik umat', sekali gus membantu melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini, berdaya menjaga diri, keluarga dan anak cucu walau cabaran datang menderu. Berikut tujuh perkara yang harus diamalkan: Khusyuk dalam solat Solat yang khusyuk adalah satu proses pembersihan dan peningkatan jiwa. Solat khusyuk bak talian yang menyambungkan hubungan antara makhluk dengan Khaliknya (Pencipta). Khusyuk tidak boleh dicapai jika minda dipenuhi dengan pelbagai fikiran. Usaha ke arah khusyuk bermula daripada wuduk yang betul (pembersihan jasmani iaitu anggota wuduk dan pembersihan rohani iaitu menyucikan diri daripada perasaan dan sifat tercela seperti marah, dendam, iri, sakit hati dan sebagainya). Ini disusuli dengan niat yang ikhlas dan sedar diri sedang menghadapi Yang Maha Pencipta, menutup semua 'jendela' yang ganggu fikiran, menjuruskan perhatian kepada-Nya dan cuba mencapai makam ihsan (berdasarkan hadis - berasa seolah- olah melihat Allah, jika tidak yakini bahawa Allah sedang melihat kamu). Memahami dan menghayati bacaan dalam solat, menjaga rukun-rukun solat, mengingat kematian, menyedari betapa kerdilnya diri, berasa malu ke atas dosa- dosa yang dilakukan dan berasa bersyukur atas segala pemberian-Nya dapat membantu ke arah khusyuk. Solat yang betul dapat membentuk jiwa luhur. Antara permohonan dalam solat ialah memohon petunjuk kepada jalan yang lurus - termasuk menjadi orang yang jujur dan amanah dalam apa jua bentuk kedudukan atau peranan. 'Solat bukan hanya untuk akhirat. Ia juga membawa kebaikan di dunia dan mendatangkan jalan keluar kepada pelbagai masalah. Solat mengingat diri kepada Allah, membawa ketenangan dan meluruskan fikiran,' kata Ustaz Ibrahim. Menjauhkan diri daripada 'lagha' - perkataaan dan perbuatan sia-sia Kehidupan amat terbatas. Kita tiada banyak masa di dunia. Maka itu jangan buang masa dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti bertengkar, bual kosong, umpat, gosip, menghasut, atau mengatakan sesuatu yang boleh menyakiti perasaan dan mendatangkan kemurkaan Allah. Lagha termasuk panjang angan-angan dan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah seperti terpaut pada televisyen. Panduannya ialah - kalau bercakap biar yang baik, jujur, positif dan berniat baik. Jika tidak, lebih baik diam. Berusahalah menjadi orang yang benar dan tulus dalam perkataan dan perbuatan. Mengeluarkan zakat dan bersegera melakukan kebajikan Memberi apa yang kamu cintai. Zakat adalah rukun. 'Zakat' di sini merangkumi infak dan kebajikan. Dalam permulaan surah Al-Baqarah, takwa merangkumi tiga kategori iaitu percayakan yang ghaib, dirikan solat dan berinfak. Kebajikan itu luas. Memberi bantuan (dalam pelbagai bentuk termasuk wang, tenaga dan nasihat), berlaku adil, mengeluarkan perkataan yang baik, mengalihkan paku dari jalan raya, memberi senyuman dan salam adalah antara bentuk kebajikan. Memberi harus ikhlas (hinggakan tangan kiri tidak tahu akan tangan kanan yang memberi) tanpa mengharapkan balasan atau pujian. Memberi secara senyap-senyap adalah baik. Memberi secara terbuka dilakukan hanya jika ia dapat menggalakkan atau menjadi dorongan kepada orang lain melakukan kebajikan. Usah keberatan atau ragu melakukan kebajikan kerana ia menghapuskan sikap tamak atau pentingkan diri sendiri dan membantuk rasa cinta dan kasih sayang. Elakkan zina Bukan sahaja mengelak, dekat pun jangan. Zina membawa banyak kerosakan - menjatuhkan maruah dan harga diri, menghancurkan keluarga dan malah boleh membawa pembunuhan dan bunuh diri. Zina membawa banyak masalah. Antara cara mengawal diri ialah dengan menjaga mata kerana daripada mata turun ke hati yang membisikkan pelbagai keinginan. Ia bak kebakaran yang bermula daripada percikan api. Hubungan seks adalah untuk prokreasi (menghasilkan anak keturunan menerusi pernikahan), bukan rekreasi (suka-suka dengan siapa sahaja). Antara cara mengawal diri ialah sedar bahawa Allah sentiasa melihat, sedar bahawa diri adalah khalifah, mengingat mati dan ingat setiap perbuatan ada balasan. Menjaga amanah Nabi terkenal sebagai Al- Amin kerana sifatnya yang amanah. Orang Mukmin harus menjaga amanah dalam pelbagai bentuk - harta, barang, pinjaman, perancangan, rahsia, tugas dan tanggungjawab, ilmu pengetahuan, bakat dan sebagainya. Allah mengamanahkan isteri kepada suami dan suami kepada isteri, anak-anak kepada ibu bapa. Rumah tangga boleh runtuh apabila amanah tidak dijaga. Bank dan insitusi kewangan besar seperti Lehman Brothers runtuh juga kerana masalah amanah. Muslim yang berjaya ialah Muslim yang menjaga amanah. Nabi menyatakan antara ciri orang munafik ialah apabila diberi amanah, dia khianat; apabila berkata, dia bohong; apabila berjanji, dia mungkir. Kita juga harus menjaga amanah terhadap kurniaan Allah pada diri - lidah, mata, telinga, perut, kemaluan, tangan dan kaki. Gunakan kurniaan ini melakukan ketaatan kepada-Nya, bukan berbuat dosa. Tunaikan janji Orang yang berjaya adalah orang yang menepati janjinya. Penuhi janji menggambarkan keutuhan peribadi. Ingkari janji boleh membuat orang hilang kepercayaan. Ia menghilangkan rasa hormat, timbulkan rasa kecewa, hampa dan boleh merosakkan hubungan. Dalam sepotong hadis, Nabi bersabda: 'Sayangi kanak-kanak. Layani mereka dengan baik dan jika kamu berjanji dengan mereka, tunaikan.' Dalam surah Al-Israa: 34, Allah berfirman: '... dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabnya.' Panduannya dalam bab ini, jangan berjanji kalau tidak sanggup penuhi. Buat janji jika yakin dapat menunaikannya. Jaga solat lima waktu Usah tinggalkan tanggungjawab ini atau memperlekehkannya. Solat adalah talian hubungan antara hamba dengan Penciptanya. Nabi menyatakan solat lima waktu bak sungai yang mengalir di depan rumah. Jika kamu mandi lima hari sehari, apakah kotoran akan melekat di badan? Tidak. Solat lima waktu membina disiplin dan membawa ketenangan diri. Solat adalah anugerah terbesar kepada manusia. Ia harus dijaga, dihargai dan dirai. Perintah dirikan solat lima waktu diberi secara langsung kepada Nabi dalam peristiwa isra dan mikraj, tidak seperti perintah lain yang diberi menerusi perantaraan Jibrail. Solat lima waktu mengandungi banyak rahmat dan rahsia. Ia antara cara mengingatkan tentang hakikat diri, sebagai tanggungjawab dan sebagai melahirkan rasa syukur. Kita mengucapkan terima kasih kepada pemberi hadiah. Apakah kita tidak berterima kasih kepada Allah yang telah memberi kita kehidupan ini. Hakikatnya, kita berhutang hidup ini kepada Allah. Hidup adalah satu anugerah. Nabi melakukan banyak solat sebagai melahirkan rasa syukur. Dalam satu riwayat, Aisyah bertanya kepada Nabi kenapa Baginda giat melakukan solat sedangkan semua dosanya telah diampunkan, Nabi menjawab 'apakah aku tidak harus menjadi orang yang bersyukur?' Allah menyatakan 'Kalau kamu mensyukuri nikmat-Ku, Aku akan tambahkan; jika kamu mengkufurinya, sesungguhnya azab ku amat pedih'. Ustaz Ibrahim memetik kata-kata pujangga bahawa dunia diibaratkan pentas. Manusia adalah pelakon-pelakonnya. Tetapi bagaimana melakonkannya? Ustaz Ibrahim berkata: 'Kita sudah diberi panduan cara memainkan peranan kita: Al-Quran menjadi skripnya, Nabi Muhammad menjadi pengarahnya. Ikut sahaja dan kita telah memainkan peranan dengan selamat.' Tujuh amalan ini adalah antara panduan yang diberikan Tuhan. Jika kita bersungguh-sungguh melaksanakannya, kita akan menjadi manusia dan masyarakat cemerlang.

    Tuesday, April 3, 2012

    'Ranking' Sasterawan



    PANDANGAN SEORANG BERPENGALAMAN: Djamal Tukimin meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita. - Foto TAUFIK A KADER

    Mudah cetak
    E-mel

    1 Apr 2012

    EKSTRA!

    Perlukah 'ranking' sasterawan?


    APAKAH sebenarnya yang diragukan dalam ranking penulis-penulis Singapura?

    Berkisar pada persoalan ini, tulisan Anuar Othman dalam 'Ranking dibuat Mana Sikana terhadap sasterawan tanah air lebih wajar diterima' (Berita Minggu, 25 Mac 2012) menarik perhatian saya.

    Esei tersebut ditulis sebagai reaksinya terhadap pandangan Djamal Tukimin dalam eseinya 'Pernah 'bermusuhan' dalam sastera' (Berita Minggu, 11 Mac 2012).

    Anuar Othman menulis, pandangan sasterawan terhadap sasterawan lain adalah subjektif. Begitu juga dengan pandangan Djamal yang meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita. Tetapi, sekiranya ia datang daripada seorang sarjana, kita lebih wajar menerimanya.

    Tanggapan itu terbit daripada satu lagi pandangan yang lebih awal oleh Mana Sikana atau Dr Abdul Rahman Napiah, mantan pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) melalui kajian resepsinya yang dipercayainya lebih bersifat ilmiah, objektif dan bersandarkan kajian demi kajian yang beliau jalankan.

    Kalau itulah yang dianggap Anuar Othman lebih wajar diterima, saya fikir tidak ada bezanya dengan pandangan Djamal Tukimin. Ini kerana kajian resepsi Mana Sikana juga masih boleh dianggap subjektif.

    Saya katakan demikian kerana seingat saya, Mana Sikana membuat kajian itu secara rambang tanpa membuat kajian yang menyeluruh. Kajian itu cuma dilakukan ke atas peserta-peserta yang mengikuti bengkel Ingin Menjadi Pengkritik anjuran Majlis Pusat (MP) dengan kerjasama Anuar Othman & Associates Media Enterprise di Rumah MP, Toa Payoh Central antara 8 Feb-29 Mac 2003.

    Tentulah amat sukar bagi kebanyakan mereka untuk menamakan 10 penulis Singapura yang dianggap terbaik dalam pengkaryaan sastera.

    Ini kerana mereka yang hadir di bengkel kritikan setiap Sabtu itu terdiri daripada mereka yang terlibat langsung dalam bidang penulisan. Antaranya ialah Basuki Sastero, Azizfakir, Eznillah Hj Razali, Norulashikin Jamain, Noridah Kamari, Rohman Munasip dan Anuar Othman sendiri .

    Selebihnya adalah guru dan penuntut NIE seperti Mohamed Ridhuan Mohamed dan Kartini Anwar.

    Pada pendapat saya, penampilan Djamal Tukimin sebagai seorang sasterawan yang dikenali luar dan dalam Singapura cukup terserlah. Pandangan Djamal Tukimin, walaupun subjektif, bukan daripada sarjana dan buku sastera yang dihasilkannya juga cukup sedikit, ia wajar diberikan perhatian sebagai pandangan orang sastera berpengalaman.

    Ranking yang dimuatkan dalam tulisan tersebut (sebenarnya bukan ranking kerana cuma satu nama saja).

    Ia cuba menonjolkan kekuatan Iswardy (Allahyarham) dalam pengkaryaannya, terutamanya cerpen, jika dibandingkan dengan penulis-penulis yang sezaman dengannya.

    Kewibawaan Mana Sikana pula yang saya sendiri kagumi dan memang tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja sebagai sasterawan dan kritikawan yang hampir keseluruhan tugasnya berdampingan dengan sastera dunia tetapi masih cukup bersedia berkongsi ilmunya bagi merancakkan dunia sastera kita dengan pelbagai gagasan kritikan.

    Pada pendapat saya, kajian resepsi Mana Sikana yang ditukil Anuar Othman dalam eseinya itu hanya sebagai langkah pengenalan sebelum beliau lebih dekat dengan perwajahan sebenar penulis-penulis dan sastera Melayu Singapura.

    Sekarang, setelah tempoh khidmatnya di sini tamat dan kembali ke kampung halamannya kalau ditanya tentang ranking sasterawan tanah air, mungkin ranking Mana Sikana sendiri akan jauh berbeza daripada kajian resepsinya yang telah lusuh itu.

    Jadi, apakah masih perlu kita membuat ranking terhadap sasterawan Singapura?

    Saya sendiri beranggapan ia sekadar ramalan yang tidak semestinya tepat atau tidak dapat diubah lagi. Adalah lebih penting setiap penulis menghasilkan karya yang sebaik mungkin dan diharapkan lahirnya pengkiritk yang dapat menilai dan mengukur keupayaan penulis dan sasterawan kita dengan ilmu kritikan dan pendekatan yang wajar demi kemanfaatan bersama.

    Geylang

    3 Apr 2012

    EKSTRA!

    ASAL ASUL
    Daripada Gêlang jadi Geylang?


    PERKATAAN 'Geylang' dalam peta Singapura yang dikeluarkan oleh Colonial Engineer Straits Settlement tahun 1898 tercetak sebagai 'Gêlang' ('ê' pepet - yang bunyinya seperti sebutan emak atau enam bukan ekor atau epokepok).

    Perubahan pada perkataan ini terjadi bukan sahaja pada ejaannya, malah pada sebutan perkataan itu hingga ke hari ini.

    Tempat atau kawasan yang disebut Geylang (Gêlang) sudah wujud jauh sebelum kedatangan Raffles.

    Ini terbukti berdasarkan peta Singapura yang diterbitkan pada 1898 di mana tercetak nama Gêlang bukan Geylang sebagaimana yang ada sekarang.

    Kawasan atau Kampung Gêlang pada mulanya merupakan kawasan kediaman orang Melayu antara Sungai Kallang dengan Sungai Gêlang.

    Sungai Gêlang tidak seluas dan tidak sepanjang Sungai Kallang. Hulu Sungai Gêlang berpunca daripada kawasan paya yang luas yang dikenali dengan panggilan Paya Lebar. Nama tempat itu kekal hingga sekarang.

    Di tebing Sungai Gêlang inilah menjadi tempat tinggal kaum nelayan pada waktu dahulu sebab sungai merupakan pengangkutan laut yang sangat penting.

    Jalan raya Gêlang atau Gelang Road dibina oleh British pada 1831. Nama itu kini berubah ejaan dan sebutannya menjadi Geylang.

    Bagaimana pula asalnya nama Gêlang?

    Gêlang berasal daripada nama sejenis tumbuhan, sama ada Gêlang Pasir (Portulaca Oleracea) atau Gêlang Laut (Sesuvium postulacastrum).

    Namun begitu, menurut H. T. Haughton menerusi tulisannya dalam Journal of The Royal Asiatic Society Straits Branch, Volume 20, 1889, besar kemungkinan bahawa nama Gêlang itu berasal daripada Gêlang Pasir.

    Gêlang Pasir ialah jenis tumbuhan menjalar atau melata tanpa musim daripada keluarga Portulacaceae yang tingginya boleh mencapai sehingga 40 sentimeter.

    Menurut Kamus Dewan oleh Teuku Iskandar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, nama lain bagi Gêlang Pasir ialah Rumput Beremi atau Segan Jantan iaitu jenis herba.

    Gêlang Pasir mempunyai taburan yang luas, iaitu dari Afrika Utara hingga ke Timur Tengah, India dan Malaysia.

    Pada umumnya tumbuhan ini dianggap sebagai rumpai eksotik.

    Namun, bukti menunjukkan bahawa spesies ini sudah wujud di Canada sejak abad ke-15, iaitu pada zaman sebelum Columbus.

    Gêlang Pasir mempunyai batang yang licin berwarna kemerah-merahan. Batang pokok ini kebanyakannya menjalar.

    Daunnya tersusun selang-seli dan berumpun pada pangkal batang pokok. Bunganya kuning dan mempunyai lima ruas selebar enam milimeter.

    Bunga-bunga Gêlang Pasir muncul sepanjang tahun, bergantung pada hujan yang mencukupi.

    Pokok ini berbunga satu demi satu selama beberapa jam sahaja pada setiap pagi yang cerah. Ia boleh hidup di tanah yang padat dan tidak subur. Ia juga tahan kemarau.

    Daunnya yang segar boleh dijadikan sayur, tetapi mesti direbus terlebih dahulu kerana ia banyak mengandungi garam.

    Berbalik kepada asal Gêlang.

    Lazimnya nama sesuatu tempat itu diperolehi sempena nama tanaman yang banyak terdapat di tempat itu.

    Mungkinkah di Geylang atau Gêlang pada masa dahulu banyak tumbuh pohon Gêlang Pasir sehingga kawasan itu dinamakan Gêlang?

    Atau apakah pula sejarah yang lebih sesuai menurut anda?

    Wallahuaklam.

    SULAMAN

    3 Apr 2012

    EKSTRA!

    WARISAN KITA
    Sulaman Rahsia Yang Terpusara

    Songket adalah khazanah Melayu yang sarat dengan nilai falsafah dan intelektual

    Oleh
    Muhammad Jalani Abu Talib
    DALAM membincangkan warisan intelektual Melayu, seni sastera sering menjadi tumpuan utama.

    Walhal, sebagai sebuah peradaban, bangsa Melayu juga kaya dengan khazanah keintelektualan lain yang tidak kurang kompleks dan kaya.

    Antara khazanah keintelektualan itu ialah songket.

    Songket pernah diakui seorang pengkaji Barat, Walter W. Skeats, sebagai kain sapu tangan raja-raja, yakni kain yang dianggap layak untuk golongan bangsawan dan raja-raja sahaja.

    Songket merupakan antara bahan khazanah Melayu yang sarat dengan nilai falsafah dan intelektual dalam pemikiran masyarakat Melayu lama.

    Ini jelas terbayang dalam pelbagai ungkapan adat dan pepatah yang menjelaskan peri pentingnya songket dalam kehidupan masyarakat Melayu kita.

    Jelasnya, selain menjadi lambang kesenian dan estetika Melayu yang bermutu tinggi, songket juga menyampaikan makna dan erti kemelayuan kepada pemakainya.

    Terdapat nilai-nilai ilmu yang tersirat di sebalik corak dan motifnya.

    Songket Melayu dapat dilihat sebagai suatu bahan yang merakamkan pola pemikiran, kefahaman dan keintelektualan masyarakat Melayu.

    Hubungan yang akrab antara manusia Melayu dengan alam akhirnya menghasilkan pelbagai motif bersangkutan alam.

    Antaranya termasuklah motif 'bunga cengkih' dan 'pucuk rebung'.

    Bunga cengkih digunakan masyarakat tempatan dalam masakan Melayu.

    Tanpa disedari ramai, bunga tersebut kerap digunakan dalam bidang perubatan dan pergigian sejak 200 tahun sebelum Masihi.

    Begitu juga dengan motif pucuk rebung, yang menjadi simbol hikmat dan kesuburan.

    Secara simbolik, motif pucuk rebung menegaskan betapa manusia harus berpendirian teguh, mempunyai iman yang kuat, takwa, rendah hati dan berakhlak mulia.

    Selain itu, pucuk rebung turut menyerupakan 'pohon hayat' dan 'bunga semangat' sebagai manifestasi semula jadi.

    Jelas sekali, motif-motif yang tergambar dalam songket Melayu tidak diilhamkan secara sewenang-wenangnya.

    Misalnya, unsur-unsur negatif seperti gambaran hantu dan binatang-binatang tertentu tidak dirakamkan dalam songket.

    Lazimnya, penenun tradisional tinggal di kampung-kampung yang dikelilingi pelbagai jenis pokok buah-buahan atau berdekatan dengan laut dan sering mengalami musim tengkujuh.

    Hasilnya, kebanyakan motif songket berteraskan bentuk pokok, bunga, burung dan sebagainya.

    Sementara itu, sesetengah motif Melayu berteraskan nama-nama kuih-muih yang dipercayai kesukaan raja-raja seperti seri kaya, wajik dan tepung talam.

    Sayangnya, dewasa ini, seni tenunan songket seolah-olah semakin pudar.

    Ini mungkin berpunca daripada sikap segelintir penenun yang kurang memahami nilai falsafah yang tersirat di sebalik tenunan songket.

    Mereka cenderung mengambil jalan pintas.

    Akibatnya, motif-motif yang dianggap rumit sengaja diringkaskan sehingga terkeluar daripada norma yang sewajarnya.

    Bagi 'mengubati' keadaan, pengkaji hari ini seharusnya berusaha mencari nilai-nilai yang hilang pada songket Melayu.

    Tanpa mereka sedari, songket Melayu membekamkan segala tatacara serta pola pemikiran masyarakat Melayu.

    Lewat penghayatan serta pengamatan songket Melayu, individu yang mendalami nilai yang dibawa songket Melayu akan terdedah kepada sistem pemikiran, hierarki, budaya, kosmologi, dan budi masyarakat Melayu.

    Nescaya, sistem kepercayaan Melayu masa kini turut dibentuk 'sulaman rahsia Melayu'.

    Harus diakui, kesusasteraan bukanlah satu-satunya wadah yang menyampaikan ilmu Melayu.

    Seperti hiroglif dalam masyarakat purba, motif-motif songket Melayu bertindak selaku catatan rahsia yang hanya mampu dikenali masyarakat yang hidup dalam persekitaran yang sama.

    Melestarikan pepatah alam terkembang menjadi guru, ilmu songket Melayu sewajarnya dikupas dan difahami sepenuhnya.

    Seandainya tidak, segala rahsia yang tersingkap tidak lebih daripada ilmu yang terpusara dalam perkembangan masa.