Wednesday, August 7, 2013

CARA MENYAMBUT IDUL FITRI - Sumber Jamiyah

Cara Rasulullah SAW Menyambut Hari Raya Eidul Fitri
Hari Raya atau Eidul Ftri adalah hari kemenangan, kegembiraan dan kesyukuran atas nikmat Allah SWT kerana kita berjaya menyempurnakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan. Rasulullah SAW menyambut kemenangannya dengan penuh kesederhanaan dan melakukan amalan-amalan berikut:

Mandi dan berpakaian bersih dan elok sebelum menunaikan solat Eidil Fitri.
Makan sebelum keluar menunaikan solat Eidul Fitri
Bertakbir bermula pada malam Hari Raya.
Mengucapkan tahniah sesama Muslim dengan ucapan yang baik.
Berpakaian yang bersih.
Keluar ke masjid melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
Ziarah menziarahi sesama Muslim dengan mengucapkan ucapan yang baik dan mendoakan kebaikan dan kesejahteraan bersama.
Semoga kita contohi amalan-amalan sunnah ini seraya kita bimbing ahli keluarga kita untuk menjejaki cara Rasulullah SAW menyambut Eidul Fitr. Begitu juga, tanamkan dalam diri kita sikap cermat dalam berbelanja, berterusan menjaga waktu solat beserta solat sunat, Jagalah etika dan adab sopan semasa berada di rumah orang yang diziarahi umpamanya pilihlah waktu yang sesuai untuk ziarah dan sebagainya.

Dalam bergembira juga, janganlah melanggar batas-batas yang telah digariskan oleh Islam samada dari segi pergaulan, berpakaian serta makan dan minum. Apa yang paling penting dari kegembiraan sambutan Eidul Fitri adalah untuk mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW juga menyegerakan puasa sunat 6 hari dalam Bulan Syawal secara berturut-turut. Ini membuktikan kesungguhannya mencari keredaan Allah SWT. Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, lalu diringi dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun." (HR Muslim)

Semoga Hari Kemenangan ini akan membawa keberkahan dan kemenangan hakiki kepada kita semua sebagai umat Islam. Apalagi setelah sebulan menjalani ibadah puasa, seharusnya kita sudah dapat memiliki sifat-sifat berikut:

1.Terbentuknya sikap taqwa dalam diri kita
Bulan Ramadan mendidik semua umat Islam tidak kira perempuan atau lelaki, yang kaya atau yang miskin, yang jauh atau yang dekat untuk sama-sama melakukan perintahnya iaitu dengan berpuasa, bersolat, bersedekah, berbuat kebaikan dan sebaliknya meninggalkan segala larangan dengan penuh penghayatan termasuk tabiat-tabiat buruk seperti merokok dan sebagainya sesuai firman Allah SWT: "...Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu..." (Al-Hujurat 49 ayat 13)
2.Akhlak yang baik
Di bulan mulia Ramadan, kita telah dididik untuk bersabar dalam menjalankan ibadah puasa, ikhlas dalam bersedekah dan beramal, bersyukur dalam segala keadaan, meninggalkan segala larangan kerana takutkan kemurkaan Allah SWT dan lain-lain lagi dari sifat mahmudah sehingga akhlak dan tabiat yang kurang elok terpadam dengan sendirinya. Bersabda Rasulullah SWT: "Orang Mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya.
3.Bertambahnya amalan-amalan baik
Jika di renungkan kembali, banyak amalan baik yang telah kita cetuskan pada bulan Ramadan ini dan kita amalkan selama sebulan. Pertama, berdiri menghadap ilahi, merukuk dan bersujud lebih 40 kali sehari dalam bentuk solat wajib dan solat sunat. Kedua, berniat mendapat keredaan Allah SWT melalui niat puasa, niat sedekah, niat melakukan kebajikan dan sebagainya. Ketiga, acapkali menzahirkan kesyukuran dengan doa selepas berbuka. Keempat, sentiasa mengingati Allah SWT melalui zikrullah, solat malam dan doa-doa khas setiap hari. Kelima, mengeratkan lagi silaturahim dengan berbuka bersama, bertukar-tukar juadah sesama tetangga, memberi makan saudara-saudara yang berpuasa, bersedekah dan sebagainya.
4.Menanam identiti Muslim sebenar
Pembentukkan syahsiah dan keperibadian Muslim melalui tiga perkara di atas memberi rupa kepada identiti seorang Muslim. Antara identiti seorang Muslim sebagaimana termaktub di dalam AlQuran ialah:

a.Kumpulan masyarakat yang bersatu sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Hujurat ayat 10:"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
b.Masyarakat yang selalu memperbaiki kelemahan diri dan berusaha kearah kecemerlangan. Firman Allah SWT di dalam surah An Nahl ayat 127: "Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
c.Masyarakat yang dermawan dengan semangat bantu membantu yang begitu terserlah sebagaimana maksud Hadis Rasullulah SAW dari Abu Musa Al Asy'ari ra: "Orang mukmin itu bagi mukmin lainnya seperti bangunan, sebagiannya menguatkan sebagian yang lain. Kemudian Nabi Muhammad menggabungkan jari-jari tangannya. Ketika itu Nabi Muhammad duduk, tiba-tiba datang seorang lelaki meminta bantuan. Nabi hadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: Tolonglah dia, maka kamu akan mendapatkan pahala. Dan Allah menetapkan lewat lisan Nabi-Nya apa yang dikehendaki."
(HR Imam Bukhari, Muslim, dan An Nasa'i).
5.Bersedia menuju alam akhirat
Ramadan mendidik rohani untuk terus mengingati akhirat yang kekal abadi. Ia tidak akan bermanfaat jika kehadiran bulan ini tidak diikuti dengan kesedaran bahawa dunia ini hanyalah sementara dan alam akhirat itu akan kita datangi dan diami selama-lamanya. Bersabda Rasulullah SAW: "Carilah oleh mu kehidupan akhirat, tetapi jangan kau lupa bahagianmu di dunia"
Semoga Ramadan Al Mubarak berhasil buat diri kita. Teruskan berusaha dan berdoa, sesungguhnya telah Allah janjikan kepada kita segala sesuatu yang tidak dimungkirinya sebagaimana firmanNya di dalam surah Al Mukmin ayat 60: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu."

Marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kekalkan amalan-amalan baik yang telah kita amalkan kerana amalan yang berterusan itu lebih disukai dari amalan yang terputus-putus. Daripada Aisyah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).