Thursday, April 15, 2010

RITUAL 'PASANG GELANGGANG'



MENYERU SEMANGAT KUDA: Seorang pemain kuda kepang mengasap kudanya menggunakan tempat bara dengan membakar arang dan kemenyan sebagai 'makanan' kuda yang akan digunakan semasa persembahannya nanti. - Foto Taufik A Kadir

Mudah cetak
E-mel

11 Apr 2010

ISTIMEWA

RITUAL 'PASANG GELANGGANG'

Soalan: Kenapa gelanggang perlu 'disemah' terlebih dahulu sehari sebelum permainan kuda kepang diadakan, dan kenapa ada pemain yang memakan kaca?

Oleh
Chairul Fahmi Hussaini
SEBELUM memulakan sesebuah persembahan kuda kepang, ketua kumpulan akan 'menjenguk' dahulu tempat permainan mereka untuk 'pasang gelanggang'.

Ini didedahkan Ketua Kumpulan Sapto Manunggal Jiwo, Encik Ishak Yusoff, 48 tahun, yang mengaku mengadakan lawatan sedemikian pada malam sebelum hari sesebuah acara kuda kepang diadakan.

'Sebelum permainan dimulakan pada hari Minggu misalnya, pada 12 tengah malamnya saya perlu ke tempat itu untuk 'pasang gelanggang' di empat penjuru di mana tengah-tengahnya nanti para pemain kuda kepang akan bermain.

'Sebelum orang jejak tempat itu, kita perlu pastikan yang kita datang dulu. Minta izin, semah dulu kerana kita pun tak nampak benda-benda yang kotor-kotor. Itu cara kita 'pasang gelanggang' untuk acara yang akan berlangsung esoknya.

'Kemudian pada sebelah pagi, bila budak-budak datang, kita dah tak perlu bimbang. Kita siapkan perkakas, kuda, gamelan, semuanya disusun dan setelah itu baca doa selamat sikit bagi menghindari perkara-perkara tidak diingini daripada berlaku.

'Ada sesetengah kumpulan sebelum bikin persembahan mereka berpuasa untuk bersihkan badan, antara tiga hari dengan seminggu. Selalunya yang berpuasa adalah penunggang-penunggang kuda, biar badan mereka bersih. Jadi, kalau orang kata syirik, kami bangkang.

'Bila permainan berakhir, kita tutup gelanggang, kita bersyukur segalanya selamat,' terangnya sambil menambah secara purata sesebuah kumpulan mempunyai antara 12 dengan 20 pemain kuda kepang.

Diajukan pandangan bahawa satu perkara lazim dalam sesebuah persembahan kuda kepang ialah pemainnya akan memakan kaca, satu perbuatan yang ditegah agama, Encik Ishak menjawab:

'Ia (makan kaca) memang sepatutnya tidak digalakkan. Tapi kekadang, mungkin (makan kaca) dah jadi makanan dia. Tapi kita cuba elak, tak nak adakan kaca-kaca sebagai makanan.'

Tentang respons Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang melarang keras aspek 'menurun' dalam persembahan kuda kepang, Encik Ishak berkata:

'Memang susah nak diterangkan, tapi kita memang nak elakkan pertengkaran yang menyangkut pada agama. Itu memang kita tak nak, pasal kita anggap ini satu hiburan, satu permainan sahaja, tak lebih daripada itu.'

Pemeriksaan rambang akhbar ini juga menunjukkan bahawa golongan remaja membentuk sekitar 60 hingga 70 peratus pemain kuda kepang.

Ditanya tentang ramainya penglibatan belia dalam kegiatan kuda kepang, Penasihat Kumpulan Jaran Sembrani, Encik Abdul Malik Haji Marwi, berkata bahawa ini adalah satu cara untuk mengelakkan mereka daripada membuang masa dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

'Daripada budak-budak ini bercampur tak tentu arah atau lakukan benda-benda yang tak betul, baik saya kumpulkan mereka.

'Anak-anak remaja sekarang, haluan mereka ke mana? Kalau tak ke Marina, mereka ke VivoCity. Jadi saya kumpulkan mereka.

'Sekarang setiap minggu remaja-remaja ini ada depan mata saya, setiap hari 'Nam (Sabtu), hari Minggu (Ahad), mereka training (berlatih) kuda kepang.

'Itu yang kasi saya semangat nak adakan kumpulan kuda kepang. Dalam kuda kepang ni, saya lebih minat dengan bunyi-bunyian.

'Tetapi bahanakan remaja sekarang kalau setakat main gamelan atau main kompang, mereka jadi bosan.

'Jadi mereka bukan nak main gamelan saja, mereka nak cuba tarian pulak. Lepas tu nak cuba tunggang kuda pulak, jadi semua mereka nak cuba.

'Macam kita dulu lain, kalau kita di bahagian gamelan, kita main gamelan saja, kalau di bahagian tarian, menari, lepas tu nak tunggang pulak. Budak-budak sekarang dia nak upgrade (ada peningkatan),' kata Encik Abdul Malik.

Menyentuh tentang evolusi permainan kuda kepang, yang kini turut merangkumi persembahan tarian 'Barongan', seorang pemain gamelan yang pernah aktif dalam kuda kepang, Encik Ramle Ismail, 42 tahun, tidak menafikan hal itu.

Beliau yang mendapat bimbingan pakar dalam permainan gamelan di Indonesia, malah berkata, banyak perubahan telah berlaku dalam persembahan kuda kepang di Singapura sekarang, sejajar dengan perubahan selera masyarakat.

'Dari segi tarian kuda kepang umpamanya, sebahagiannya dipetik daripada wayang dikenali sebagai 'Wayang Wong'. Dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai 'Ramayana Ballet'. Nak belajar tarian-tarian ni memang banyak, tapi kita ambil yang ringkas dan mudah. Kesemua tarian ni kita ambil dari kisah epik Hindu, Mahabharata.

'Dari segi lagu juga, dulu dan sekarang banyak bezanya.

'Lagu pada masa dulu bunyinya cuma inang-itung-inang-itung. Sekarang lagu-lagu dah canggih. Mereka dah campurkan lagu Jawa dengan lagu moden.

'Lagu-lagu sekarang ada campuran lagu joget, lagu dangdut pun mereka dah boleh main. Lagu 'Lenggang Kangkung', lagu-lagu Siti Nurhaliza, lagu Inul, pun mereka boleh mainkan,' ceritanya

Kuda Kepang


11 Apr 2010

ISTIMEWA

Jika bukan sekarang, bila lagi isu kuda kepang mahu diselesaikan?

Oleh
Chairul Fahmi Hussaini
SUDAH tiba masanya kita tangani isu kuda kepang secara serius. Ini kerana sejak sekian lama, masyarakat kita seakan-akan sukar untuk menyelesaikannya.

Tegahan dan larangan yang disuarakan sebahagian besar masyarakat kita selama ini, bahawa permainan kuda kepang tidak menuruti lunas dan ajaran Islam, dipandang sepi.

Alasan penyokong, peminat dan pendukung kuda kepang - ia hanyalah untuk hiburan semata-mata.

Jelas sekali, golongan ini perlu mengerti bahawa kuda kepang adalah budaya Jawa yang berunsur Hindu dan mencakupi aspek khurafat.

Hakikatnya, masyarakat kita perlu berpijak di bumi nyata, kerana kuda kepang ni bak kata seorang teman, adalah cermin masyarakat kita yang suka berkhayal dan suka jadi 'kebal' dan suka pada 'magik-magik'.

Ya, kita seharusnya memajukan seni dan memartabatkan budaya bangsa, tetapi kededuanya tidak harus ada unsur khurafat terutama sekali dalam zaman moden sekarang.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat persembahan kuda kepang yang melibatkan aspek 'menurun' dan 'makan kaca' harus dibuang.

Ia bukan budaya Melayu dan bukan ajaran Islam.

Amalan 'menurun' ini malah mampu menjejas ketenteraman awam.

Tidak dapat dinafikan, saat si penunggang kuda mulai diresap 'semangat' hasil jampi dan mantera pemimpinnya, mereka mampu bertindak liar.

Malah, sehingga disebat belati pun, kelihatannya tidak apa-apa.

Buktinya?

Lihat pelbagai rakaman yang disiarkan lewat YouTube di Internet.

Keadaan ini membawa kita kepada satu aspek penting: Bagaimanakah kita dapat memastikan keselamatan anak-anak kita, wanita dan orang tua terjamin andai si pemain kuda kepang mulai meliar dan tidak mampu dijinakkan semula?

Tentu ia suatu yang harus difikirkan.

Jadi, arahan Majlis Bandaran agar acara sebegini diadakan dalam kawasan tertutup adalah wajar dan boleh kita fahami. Keselamatan dan ketenteraman awam menjadi pertimbangan utama. Kita tidak mampu melihat sesuatu kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam hal ini, kita perlu mengelak dari bersikap dah terhantuk baru nak terngadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, kata pepatah.

Oleh itu, penggiat dan peminat seni kuda kepang perlu melakar strategi baru, dalam terus memartabatkan seni kuda kepang. Pihak penganjur atau tuan rumah yang mengundang kumpulan-kumpulan kuda kepang membuat persembahan juga perlu lebih peka.

Adakan perbincangan dengan teliti dengan ketua kumpulan dan penyelaras majlis, dapatkan juga nasihat dari pihak berkuasa, pihak polis dan Majlis Bandaran misalnya.

Diharapkan sangat di pihak tuan rumah, dalam memenuhi hasrat untuk memeriahkan majlis, jagalah juga kesantunan Melayu kita.

Janganlah dalam keghairahan kita menjulang adat, adab kita dalam kehidupan bermasyarakat dikesampingkan.

Kuda Kepang

11 Apr 2010

ISTIMEWA

Tengkarah kuda kepang

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini Dan Hisham Hasim
PERMAINAN atau tarian kuda kepang semakin berkembang di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan dipercayai kini terdapat sekitar 40 buah kumpulan dengan ratusan anggota, ramai di kalangan golongan belia.

Namun kegiatan itu menimbulkan keprihatinan, dan ada kalanya kegerunan di kalangan orang ramai, kerana adanya unsur-unsur seperti menurun dan kepercayaan kekebalan.

Oleh kerana permainan kuda kepang dengan unsur-unsur itu boleh mengganggu ketenteraman awam, majlis bandaran tidak lagi memembenarkan persembahan itu di kolong blok dan kawasan terbuka di estet-estet perumahan awam.

Dari sudut agama Islam pula, ia ditegah.

Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), memperingatkan bahawa bahawa tarian kuda kepang yang melibatkan unsur-unsur menurun adalah haram dan menasihatkan masyarakat Islam supaya menghindari amalan sedemikian.

'Persembahan yang melibatkan unsur-unsur (menurun) tersebut bukan saja membahayakan diri pemain yang terlibat tetapi juga mengganggu ketenteraman orang awam yang hadir,' kata Pejabat Mufti.

Muis memberikan nasihat tersebut menyusuli pertanyaan Berita Minggu (BM) berhubung pendiriannya mengenai kegiatan sedemikian yang kelihatan semakin ketara sejak kebelakangan ini.

Malah, Muis pernah mengeluarkan fatwa dalam tahun 1979, mengumumkan bahawa permainan kuda kepang adalah haram di sisi Islam, kerana ia melibatkan penggunaan kuasa ghaib yang diserapkan kepada seseorang. Namun, kegiatan itu tetap tidak luput, malah berkembang sejak beberapa tahun lalu.

Menurut beberapa kumpulan yang ditemui akhbar ini, tarian tradisional yang asalnya dari Jawa itu kini telah memikat lebih ramai golongan muda dan minat terhadapnya semakin ketara dengan tayangan persembahan yang dimuat naikkan ke YouTube.

Namun difahamkan juga bahawa segolongan remaja yang terlibat turut terkait dalam kumpulan samseng jalanan (street corner gangs) dan kumpulan kongsi gelap.

Ketika menjawab pertanyaan BM, Majlis Bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata persembahan kuda kepang kini juga tidak dibenarkan diadakan di kolong blok dan kawasan-kawasan terbuka di estet perumahan awam di bawah naungan Majlis Bandaran PAP.

Mengenai keputusan tersebut, Encik Albert Teng, setiausaha penyelaras Majlis Bandaran PAP, menjelaskan bahawa persembahan kuda kepang yang melibatkan unsur-unsur menurun ada kemungkinan boleh menyebabkan kekacauan pada ketenteraman awam.

'Kami pada dasarnya prihatin kerana menerima semakin banyak maklum balas dan aduan berhubung gangguan-gangguan akibat persembahan sedemikian, yang menarik ramai penonton dan menyebabkan keriuhan, ada kalanya sampai larut malam,' kata beliau.

Oleh itu, demi mengurangkan gangguan kepada para penduduk, pihak majlis bandaran menasihatkan penganjur dan mereka yang terlibat dalam persembahan kuda kepang supaya mencari tempat lain yang tertutup seperti dewan tertutup.

Namun, Encik Teng menjelaskan pendirian Majlis Bandaran bahawa para penduduk bebas memohon bagi menggunakan kawasan terbuka masyarakat seperti kolong blok di bawah naungannya untuk majlis-majlis mereka selagi kegiatan mereka tidak mengganggu pada orang lain.

'Kami ingin menekankan bahawa semua bentuk persembahan etnik atau kebudayaan yang tidak melibatkan unsur yang mungkin menyebabkan kecemasan pada orang ramai, dibenarkan di kolong- kolong blok dan kawasan awam lain yang diuruskan Majlis Bandaran, selagi keizinan telah diberikan oleh Majlis Bandaran dan persembahan itu diadakan dalam tempoh yang mereka nyatakan,' kata Encik Teng