Saturday, January 26, 2013

'Pondok'


'Pondok' Pertahan Budaya Bawean

1 Januari 2013

Sistem pondok elemen penting kekalkan budaya Bawean

Oleh Muhammad Jailani Abu Talib

DALAM konteks Singapura, masyarakat Bawean merupakan suku kaum yang tidak asing lagi. Terkenal dengan nilai kesatuan antara ahli keluarga, masyarakat Bawean Singapura merupakan antara suku etnik yang mampu mempertahankan dan mewariskan sebahagian besar budaya mereka. Hasilnya dapat diperhatikan dengan jelas lewat hakikat bahawa bahasa Bawean masih mempunyai jumlah penutur yang mantap di Singapura.

Malahan, dalam ilmu persilatan kaum masyarakat itu, silat Bawean mekar berkembang di Singapura berbanding tanah asalnya sendiri.

Menariknya, lewat usaha beberapa individu di Singapura, silat Bawean telah berkembang ke daerah-daerah sekitarnya seperti di Johor dan Melaka.

Masyarakat Bawean dipercayai pertama kali menjejakkan kaki di Singapura untuk mencari rezeki sekitar 1828. Adat orang yang merantau, lelaki-lelaki Bawean yang keluar mencari rezeki di tanah orang lazimnya dilengkapi dengan ilmu-ilmu tertentu. Digandingkan pula dengan konsep masyarakat Bawean sebagai kaum yang gemarkan ilmu kebatinan, sebahagian di kalangan mereka bekerja sebagai pemandu kepada pegawai-pegawai Inggeris atau tauke-tauke Cina. Sebahagian yang lain pula bekerja sebagai penjaga kuda dan kelasi.

Berbekalkan semangat kesatuan dan persaudaraan, masyarakat Bawean gemar berkumpul sesama sendiri dan hidup secara berkelompok dalam 'ponthuk' ataupun pondok, yakni rumah tumpangan. Bahkan, kehidupan secara berpondok begitu sinonim dengan masyarakat Bawean di Singapura dan Tanah Melayu.

Pada awalnya, pondok hanya dimaksudkan sebagai tempat bagi para pendatang dan rakan-rakan sekampung tinggal secara sementara.

Ia kemudian menjadi sebuah institusi yang lebih utuh. Lengkap dengan kehadiran seorang lurah ataupun ketua yang menjadi khalifah bagi mentadbir keharmonian antara individu dan keluarga, setiap pondok mempunyai sistem peraturan yang unik dan dinamakan mengikut daerah asal para penghuni.

Dalam peraturan kehidupan di pondok Kalompang Gubuk, salah sebuah pondok Bawean di Singapura dahulu, terdapat waktu terhad bagi setiap warga pondok yang menggunakan bilik mandi. Lelaki-lelaki bujang, khususnya tetamu-tetamu lelaki pelaut yang hanya menumpang bermalam di sana, tidak dibenarkan ke tingkat dua rumah kedai itu.

Mereraka mengamalkan konsep memikul beban bersama. Segala perkakas dan barang-barang dapur telah dibeli bersama dengan dana yang dikumpulkan oleh warga serta bekas penduduk pondok tersebut. Barang-barang tersebut seterusnya disimpan di bawah pelantaran kecil atau meja yang disebut sebagai ambin.

Salah seorang penghuni pondok tersebut, Endah Junaidah, merakamkan pengalaman menarik sebagai penghuni di pondok tersebut. Menurutnya, segala isi yang berada bawah ambin tersebut telah dikirimkan ke masyarakat Kampung Kalompang Gubuk di Bawean apabila ambin tersebut dibuka dan dibuang sekitar 1970-an.

Mencerminkan ikatan kepada tanah leluhur meskipun telah merantau jauh, masyarakat Bawean mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Mereka membawa nilai-nilai yang tertanam dalam budaya kehidupan di tanah leluhur. Sistem pondok yang digunakan masyarakat Bawean merupakan gambaran terhadap sistem kelurahan atau pentadbiran di Pulau Bawean.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Zainal Abidin Borhan, mantan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, menggagaskan bahawa sistem pondok yang dikendalikan merupakan elemen penting dalam memastikan budaya Bawean terus dikekalkan.

Hasilnya, meskipun berada jauh dari tanah sendiri, budaya Bawean tetap berkembang mekar di rantau orang.

Semangat kesatuan dan asabiyah yang ditunjukkan masyarakat Bawean Mereka dalam menjaga pengalaman dan perkembangan budaya Bawean wajar dicontohi. Kesungguhan itu telah membolehkan budaya Bawean terus mekar berkembang dalam riak zaman yang semakin mencabar.

Dari segi ilmu bela diri Bawean, pencak Bawean seolahnya tidak terjejas dek zaman pemodenan dan terus berkembang di Singapura. Terdapat lebih banyak persatuan silat yang bercirikan ilmu bela diri Bawean berbanding Melayu di Singapura.

Budaya masyarakat Melayu umum di Singapura dapat berkembang dengan lebih pesat lewat nilai asabiyah dan kesatuan sesama sendiri. Dengan nilai bermuafakat dan bermasyarakat, jati diri orang Melayu dapat terus dipupuk dan dikembangkan bagi mengecapi kejayaan dan kegemilangan bersama.