Saturday, September 19, 2009

HARUN AMINURRASHID

19 Sep 2009

EKSTRA!

Penulis lambang kemegahan

Berjuang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Singapura agar ia digunakan pada peringkat universiti

Oleh
Sundusia Rosdi
TIDAK keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya segelintir generasi muda yang mengenali Harun Aminurrashid atau Haji Harun Muhd Amin, sasterawan kelahiran Singapura yang cergas menulis dari tahun-tahun 1940-an hingga 1960-an.

Bagi yang berpendidikan sekolah Melayu, tentu nama ini tidak asing kerana Harun Aminurrashid merupakan pengarang buku bacaan Sinar Baharu (7 penggal) dan Cahaya Baharu (6 penggal) dalam tulisan Rumi. Buku-buku ini pernah digunakan sebagai teks bacaan oleh pelajar-pelajar sekolah Melayu pada tahun-tahun 1960-an.

Untuk mengenali lebih dekat tentang beliau yang juga dikenali sebagai Pak Har, Penulis Khas Tanjung Malim, Atma Jiwa, Gustam Negara dan Si Ketuit, serta perjuangannya dalam persuratan dan pendidikan sekolah Melayu, anda boleh membaca buku karya Abdullah Hussain, Sasterawan Negara Malaysia, bertajuk Harun Aminurrashid: Pembangkit Semangat Kebangsaan, setebal 492 halaman ini.

Bahagian pertama buku ini merakamkan riwayat hidup Pak Har yang berketurunan Bugis dan lahir pada 8 Ogos 1907 serta meninggal dunia pada 9 November 1986 di Singapura.

Bahagian kedua pula menyelongkar karya-karya pilihannya daripada pelbagai genre iaitu puisi, novel, catatan perjalanan, rencana dan lain-lain.

Dalam usia 17 tahun beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjong Malim, Perak, yang merupakan institusi tertinggi di seluruh Semenanjung Tanah Melayu bagi anak-anak Melayu ketika itu. Setelah tamat pengajian, beliau menjadi guru sebelum kerajaan British memindahkannya ke Brunei sebagai Penguasa Pelajaran pada tahun 1939 kerana kecurigaan pihak penjajah terhadap kegiatannya yang dianggap membakar semangat nasionalisme teman-teman semaktabnya dan masyarakat Melayu amnya.

PERNAH DIPENJARAKAN

Pada tahun 1946, Pak Har pernah dipenjarakan kerana disyaki bersubahat dengan tentera Jepun semasa pendudukan Jepun. Kerana tidak mempercayai pihak penjajah British, beliau menolak tawaran menjadi guru semula dan terus menumpukan perhatian terhadap bidang penulisan sebagai mata pencarian.

Beliau mula menulis novel pertamanya, Melor Kuala Lumpur, pada tahun 1930-an dan pelbagai karya lain di samping menjadi penulis majalah Hiboran (1946) dan penyunting akhbar Melayu Raya (1950).

Antara hasil karya yang menjulang namanya ialah novel Darah Kedayan, Panglima Awang (1961), Tun Mandak (1963), Gugur di Lembah Kinabalu (1963), Nur dan Ros dan Siapakah Yang Bersalah?

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) telah menghargai jasa Pak Har dengan menterjemahkan novelnya, Simpang Perinang, kepada bahasa Inggeris dan Urdu pada tahun 1966 dan Darah Kedayan kepada bahasa Cina.

Oleh kerana semangat kemelayuannya yang kental, beliau turut cergas berpolitik di samping berjuang untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Singapura agar ia digunakan pada peringkat universiti.

Cita-citanya tercapai apabila sekolah-sekolah menengah Melayu Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang ditubuhkan pada tahun 1960-an di Singapura.

Buku ini juga melampirkan gambar-gambar kenangan Pak Har bersama keluarga dan teman-teman yang diambil daripada koleksi peribadinya.

Pada bahagian akhir buku ini, penulis mengembarkan petikan beberapa karya pilihan dan surat-surat Pak Har serta pandangan beberapa orang pengkaji serta pengkritik tentang hasil penanya.

Karya-karya Pak Har, terutama majalah-majalah dan surat khabar yang pernah dipimpinnya, kini menjadi lambang kemegahan koleksi peribadi di Perpustakaan Tun Sri Lanang di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.

Nota: Penulis ialah seorang pustakawan kanan di Lembaga Perpustakaan Negara.



--------------------------------------------------------------------------------


INFO BUKU

Tajuk: Harun Aminurrashid: Pembangkit Semangat Kebangsaan.
Pengarang: Abdullah Hussain.
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan Kedua), 2006.
Di mana boleh didapati: Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian, Perpustakaan Daerah di Jurong dan Woodlands serta perpustakaan awam di Bedok dan Sembawang.
Nombor pengkelasan: 899.283 ABD.




--------------------------------------------------------------------------------


KIRIM SUMBANGAN ANDA

Ruangan ini mengajak anda mengirimkan ulasan, petikan atau bicara buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu atau bukan Melayu yang dianggap menarik.

Untuk meningkatkan pengetahuan kita mengenai buku-buku yang baru atau relatif baru dalam pasaran, anda digalakkan menyumbangkan ulasan atau petikan buku-buku sedemikian untuk ruangan ini.

Namun, ulasan mengenai buku-buku yang sudah agak lama diterbitkan masih akan disiarkan, jika sesuai.

Kirimkan rencana anda itu berserta gambar kulit buku dalam format JPG dan butir-butir mengenai buku itu iaitu penerbit, harga buku dan di mana ia dijual atau boleh didapatkan.

Berikan juga nama penuh, alamat, nombor telefon serta pekerjaan/pengajian anda.

Kirim kepada Dewani Abbas melalui e-mel dewani@sph.com.sg atau pos ke Berita Harian, Singapore Press Holdings, 1000 Toa Payoh North, Singapura 318994

BIAR SEDERHANA DAN BANTU YANG KURANG UPAYA

18 Sep 2009

KOMENTAR

SINAR AIDILFITRI
Biar sederhana dan bantu yang kurang upaya

Oleh
Sulaiman Jeem

ESOK berakhirlah ibadah puasa 1430 Hijrah disusuli dengan kemunculan Syawal menandakan Aidilfitri yang lazimnya disambut meriah oleh umat Islam di rantau ini, termasuk Singapura.

Apatah lagi Hari Raya tahun ini jatuh pada hari Ahad dan Isnin tentulah hari cuti juga - tempoh lama untuk beraya.

Islam menetapkan adab menyambut Aidilfitri sebagai hari kemenangan selepas sebulan berpuasa dan melaksanakan pelbagai ibadah termasuk zakat fitrah, solat tarawih, khatam Al-Quran dan banyak lagi.

Adab ziarah

Ziarah-menziarahi keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai memang digalakkan bagi memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Namun, jagalah pakaian dan bersopan, lebih-lebih lagi jika mengunjungi rumah ibu bapa atau sesepuh.

Lazimnya, kunjung-mengunjungi itu dilakukan mereka yang mampu dan tidak menghadapi masalah kewangan.

Namun ziarahilah juga keluarga yang terjejas akibat kegawatan ekonomi dan mungkin bersedih. Jadi, ziarahlah dengan menghulurkan wang raya dan hadiah kuih-muih.

Bersikap sederhana

Banyak orang Islam bersedih meninggalkan Ramadan yang membawa berbagai barakah dan 'bonus' pahala. Tidak dapat dipastikan apakah tahun depan mereka menyambut Ramadan lagi.

Dalam Islam, apa jua tindakan hendaklah sederhana. Maka begitulah sambutan Aidilfitri. Pastikan kita lakukan yang termampu dan usaha membazir atau boros.

Bantu yang kurang upaya

Islam ialah agama ihsan.

Daripada 1.5 bilion umat Islam, sepertiga dipercayai hidup di bawah paras kemiskinan atau miskin tegar. Oleh itu, wajar kita mengetepikan wang untuk sentiasa membantu saudara seagama yang susah.

Bahkan di negara kita juga terdapat keluarga susah kerana ditimpa bencana. Tetapi ada juga segelintir yang susah kerana sikap malas. Oleh itu, kita perlu pandai membuat pembezaan. Jika kurang pasti, hulurkan derma kepada badan Islam yang bertauliah untuk membantu golongan susah.

Lebaran bertujuan menambah ibadah dan takwa dengan membantu sesiapa yang kurang mampu, bukan untuk menunjuk-nunjukkan kelebihan dan kemewahan.

Kembali kepada sejarah

Untuk menyelami erti Aidilfitri, kita perlu kembali kepada sejarah.

Puasa diperintahkan Allah ke atas umat Islam dalam tahun hijrah kedua.

Selepas dua tahun bermastautin di Madinah, Rasulullah saw mendapati masyarakat Arab menyambut dua hari raya.

Menurut para sahabat asal Madinah, dua hari itu ialah perayaan yang diwarisi daripada datuk nenek mereka terdahulu.

Rasulullah saw kemudian menyatakan bahawa Islam menggantikan dua perayaan yang mereka sambut itu dengan dua perayaan yang lebih bermakna: Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep Hari Raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan, bukan budaya atau kelaziman.

Ia disambut sebagai satu kemenangan bagi mereka yang berjaya mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan.

Ia juga kerana puasa Ramadan melahirkan 'individu baru'. Perkataan 'fitri' bermaksud fitrah iaitu kejayaan kembali kepada fitrah yang asal - tiada dosa dan noda.

Fitrah bermakna suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda. Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambutnya itu sendiri perlu mengikut adab dan peraturannya.

Apabila diumumkan Hari Raya, maka dimulakan malamnya dengan ibadah memperbanyak solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Sebuah hadis riwayat Imam Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan: 'Bahawa sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati akan mati: hari kiamat.'

Pada zaman Rasulullah saw, seorang lelaki bertanya kepada baginda: 'Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut Aidilfitri.'

Baginda bertanya: 'Kenapa, wahai saudaraku?'

'Kerana saya tidak ada baju baru.'

Rasulullah saw bertanya kepada beberapa sahabat jika ada yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki itu.

Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa sahaja bergaya dengan memakai baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah bahawa dalam menyambutnya, tidak semua orang bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai.