Saturday, July 10, 2010

Kg Glam

28 Jun 2010

KOMENTAR

PANDANGAN
Memartabat Kg Glam pada tempatnya

Oleh
Ayub Johari
SEKIRANYA ditanya: Di manakah jantung peradaban Melayu/Islam Singapura, apakah jawapan anda?

Ini bukan soalan cepu emas bagi mereka yang sudah arif sejarah.

Asal petempatan Melayu utama tidak syak lagi ialah Kampong Glam sehingga Sungai Singapura dan membawa ke Bukit Larangan - tempat raja-raja bersemayam.

Namun, setakat manakah kawasan tradisional ini mendapat tempat dalam kesedaran kita?

Di Kampong Glamlah bermula kehadiran perantau rumpun Melayu dari sejauh Bugis, Jawa, Bawean, Sumatera dan disertai pula kaum India Muslim dan Arab.

Itulah sebabnya Kampong Glam, menurut Hikayat Abdullah, menjadi kawasan Istana atau pentadbiran kesultanan Melayu selepas Singapura dibuka British. Di sini terdapat juga deretan rumah orang kaya Melayu, banglo, percetakan dan toko buku, madrasah, restoran dan sebagainya.

Jadi, Kampong Glam pernah merupakan hab atau pusat untuk menampung kegiatan Islam, bijak pandai dan perniagaan.

Menurut Jamaal Anthony Green dalam bukunya, Our Journey, (terbitan Majlis Ugama Islam Singapura, 2006), Kampong Glam merupakan pusat jemaah haji seNusantara. Tidak hairanlah Kampong Glam juga diberi nama Kampung Kaji (pelat Jawa yang bermaksud haji).

Lazimnya peradaban Melayu/Islam ditandai dengan masjid sebagai pusat ibadah, sosial dan pendidikan. Masjid pertama di Kampong Glam ialah Masjid Sultan yang dibina pada 1824.

Ia kemudian dibina semula pada 1920 dan sebuah bangunan tambahan dibina pada 1993. Masjid ini sejak dahulu ditadbir oleh sebuah pengamanah yang diwakili oleh dua orang daripada masyarakat Melayu, Bugis, Jawa, Arab, India Utara dan India Selatan.

Masjid Hajjah Fatimah, yang terletak di Jalan Sultan, dibina pada 1846 merupakan wakaf Hajah Fatimah, seorang hartawan wanita berasal dari Melaka dan bersuamikan bangsawan Bugis. Anak Allahyarhamah, Raja Siti, berkahwin dengan Syed Abdul Rahman Alsagoff, saudagar Arab yang terkenal.

Masjid Malabar, yang terletak di simpang antara Jalan Sultan dengan Victoria Street, dibina oleh orang India Muslim pada 1918.

Orang Bawean membina masjid di Weld Road, tidak jauh dari Kampong Kapor dinamakan Masjid Bawean. Orang Jawa pula membina Masjid Maaruf di Clyde Street. Kededua masjid ini dirobohkan sekitar tahun 1980-an kerana terlibat dengan pembinaan jalan raya.

Masjid Maaruf dikenal juga dengan Masjid Baru. Ia terkenal dengan kolahnya yang besar untuk berwuduk dan dikenali sebagai masjid yang dipelopori oleh warisan ulama yang terkenal di Singapura. Mereka menjadi imam dan memberi kuliah di masjid ini.

Ia diawali oleh Sheikh Muhammad Suhaimi, pendakwah terkenal dari Jawa. Ia diturunkan kepada anaknya, Allahyarham Sheikh Muhammad Fadlullah Suhaimi, lahir di Kampong Gelam dan mendapat pendidikan di Azhar. Beliau diganti oleh anaknya, Allahyarham Ustaz Taha Suhaimi, juga lulusan Al-Azhar, kemudian diikuti oleh Allahyarham Ustaz Kamil Suhaimi.

Ustaz Kamil pernah menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Muis. Beliau berkelulusan Azhar tetapi meneruskan pengajian guaman di England dan membuka firma guamannya sendiri di Singapura.

Hab ilmu ditandai dua madrasah terkenal, Madrasah Aljunied dan Madrasah Alsagoff. Madrasah tersebut bukan sahaja melahirkan ramai asatizah di Singapura dan di rantau ini, malah ramai menjadi pemimpin dan pemuka Islam dan tidak kurang yang menjadi menteri di negara tetangga.

Jawatankuasa Haiah Dakwah Muis pernah menganjurkan beberapa kursus menjadi imam dan bilal di madrasah ini, manakala Perdaus pula menganjurkan kegiatan keagamaan dan kursus rumah tangga di Madrasah Alsagoff.

Dua sekolah Melayu, Kota Raja dan Sekolah Melayu Kampong Gelam, melahirkan ramai guru Melayu, para penggiat seni dan sastera.

Terdapat juga firma-firma percetakan dan penerbit buku yang mengeluarkan buku-buku Melayu, Arab dan agama. Firma percetakan Melayu yang besar seperti Qalam dan Melayu Raya terletak di Geylang. Utusan Melayu di Cecil Street.

Kebanyakan percetakan dan penerbitan Melayu terdapat di Kampong Glam, seperti Royal Press, Ahmadiah Press, Sulaiman Marie, Pustaka Melayu, Harmy dan lain-lain. Hasil tulisan penulis tersohor Melayu seperti Harun Aminurashid sebahagian besar diterbitkan di sini. Mereka juga kerap ditemui di sini baik sebagai pegawai di firma-firma tersebut mahupun melihat hasil tulisan mereka diterbitkan.

Ia dimulakan oleh Munshi Abdullah, yang menulis syair Kampung Gelam Terbakar pada 2 Februari 1847 di sini (lihat Buku Hikayat Abdullah). Oleh kerana api kebakaran sangat besar sampai ke Kampung Jawa dan sekitarnya, menyebabkan gabenor Singapura dan Melaka ketika itu, William J. Butterworth, turut membantu memadamkan api.

Hab perniagaan ditandai dengan rancaknya perniagaan di sini yang menjual segala keperluan khususnya makanan, pakaian, barang-barang kemas, buku-buku, peralatan elektrik, barang-barang keperluan untuk menunaikan haji dan lain-lain.

Kerabat diraja dan orang kenamaan dari negara jiran membeli- belah di sini, terutama pakaian kerana kedai-kedai di Kampung Jawa menjual kain-kain yang halus daripada jenama unggul dari seluruh dunia, termasuk batik tulis yang halus dari Indonesia.

Pada tahun 1950-an, saya masih dapat merasakan suasana yang rancak dan menggembirakan di kawasan ini apabila melihat ramai pelajar daripada empat buah sekolah sama- sama menunggu bas untuk pulang atau melihat-lihat kedai di sekitar kawasan ini.

Kedai buku MIBS sering dikunjungi kerana ia menjual buku-buku Melayu dari negara-negara jiran. Terdapat juga Kampong Gelam Radio dan Syarikat Allwie, yang menjual barang-barang elektrik.

Restoran memang banyak di deretan kedai di sepanjang North Bridge Road dan Kandahar Street. Paling menyeronokkan ialah suasana gerai makanan di sepanjang Jalan Sultan dengan pelbagai sajian etnik Melayu dijual dengan harga yang berpatutan.

Setelah selesai solat Jumaat, kita akan melihat kawasan Kampong Glam dilimpahi oleh jemaah dari lima buah masjid di kawasan ini,

Di Kampong Glam juga, berkumandang orkesta Melayu dan pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Singapura diasaskan pada 1926 oleh Mohd Eunos Abdullah dan juga Parti Islam Semalaya (PAS, pembangkang Malaysia) digagaskan.

Para intelek Islam seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan ramai lagi sering ke sini, terutama ke rumah nombor 10 Bussorah Street yang menjadi kediaman Osman Kalam, seorang penyiar dan intelek. Rumahnya juga dipanggil 10 Downing Street (sempena kediaman Perdana Menteri Britain).

Oleh itu, wajar sejarah Kampong Glam dibuku dan didokumentasikan dengan teliti oleh Taman Warisan Melayu dan badan-badan Melayu/Islam dengan bantuan Jabatan Sejarah Universiti Nasional Singapura (NUS).

Inilah warisan kita dan di sinilah asal peradaban Melayu/Islam Singapura. Kita akan rugi besar jika tidak melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment