Monday, April 18, 2011

Filem Seram

17 Apr 2011

KOMENTAR

MAHU JADI PENAKUT?

Filem seram boleh pengaruhi pemikiran kita hingga dicemari kepercayaan karut


TERUS terang, saya tidak gemar menonton filem-filem hantu atau seram, apa lagi filem-filem Melayu dan Indonesia.

Bagi saya, sesebuah filem itu harus menghiburkan atau membantu mengurangkan tekanan atau lebih baik lagi, dapat membantu kita berfikir secara rasional dan lebih kritikal dalam kehidupan harian kita.

Tetapi cerita-cerita hantu yang menyeramkan?

Bagi saya, itu cuma buang duit... atau seperti kata anak muda, buang karan saja.

Namun, bukan itu yang mendorong saya menulis rencana kali ini.

Apa yang jadi keprihatinan saya ialah kesan menonton filem-filem seram itu ke atas jiwa kita dan anak-anak kita.

Jika sekali atau dua kali kita tonton filem-filem seram itu, mungkin tidak begitu mengesankan.

Tetapi, seperti yang kita perhatikan, sejak kebelakangan ini, semakin banyak filem hantu/seram yang dimainkan di kaca televisyen ataupun di panggung-panggung wayang - baik filem Barat, Korea, Jepun atau filem Melayu dari Malaysia sendiri.

Filem Melayu sahaja yang diterbitkan di negara jiran kita semakin menjadi-jadi dan ia mendapat sambutan ramai pula, termasuk daripada orang kita di Singapura ini.

Saya ingat filem Jangan Pandang Belakang yang mencatat kutipan tinggi di Malaysia dulu

Baru-baru ini, filem Khurafat pula mencatat box office. Begitu juga dengan filem-filem lain seperti Sini Ada Hantu, Hantu Kak Limah Balik Kampung, filem seram Mantera dan banyak lagi.

Perlu diingat, filem-filem ini bukan dimainkan di panggung wayang sahaja.

Bahkan, ia kemudian diterbitkan dalam bentuk DVD dan ramai orang kita yang membelinya di seberang Tambak.

Filem-filem ini kemudian ditonton di rumah bersama keluarga dan, tidak jarang, melibatkan anak-anak kecil juga.

Semakin cerita itu menyeramkan, semakin ia mendapat sambutan.

Kadangkala, saya lihat, ada kanakkanak berasa takut tetapi tetap suka menontonnya.

Kita boleh cakap, filem-filem seram atau hantu itu hanya sekadar hiburan.

Tetapi, tanpa kita sedari, ada kemungkinan ia boleh menimbulkan kesan negatif dalam pembangunan jiwa kita dan anak-anak.

Jika anda perhatikan, filem-filem itu, terutama filem Melayu dan Indonesia, menggambarkan kewujudan hantu dengan pelbagai paras rupa dan menyeramkan - walhal pada hakikatnya, kita sendiri mungkin tidak pernah melihat hantu atau bagaimanakah rupa paras jin sebenar, biarpun al-Quran sendiri mewajibkan manusia itu mempercayai perkara-perkara ghaib.

Tidak cukup dengan itu, filem tersebut seringkali juga memaparkan amalan-amalan kufur dan khurafat - tentang pemujaan roh dan syaitan, tentang penggunaan bomoh, pemakaian susuk, tentang perbuatan khianat dengan 'cara halus' serta macam-macam lagi.

Yang membimbangkan ialah jika kita terlalu terdedah kepada filem-filem seumpama itu, ia boleh membantutkan perkembangan minda kita pula.

Misalnya, jika ada masalah hubungan dalam keluarga atau mengalami penyakit yang kita anggap ganjil seperti gangguan perasaan, mungkin terdetik di fikiran kita kemungkinan kita 'dibuat orang' yang dengki dengan kita.

Lalu kita mencari dukun atau bomoh - ada yang sampai ke seberang Tambak - untuk mengubati penyakit kita itu, sedangkan apa yang sebenarnya kita perlukan ialah rawatan doktor atau pakar sakit jiwa.

Akibatnya, penyakit sebenar kita tidak terawat, masalah baru pula yang timbul seperti keretakan hubungan dalam keluarga atau dengan rakan-rakan angkara syak wasangka yang terbit daripada pemikiran karut kita.

Ini bukan perkara yang mustahil berlaku, jika kita membiarkan diri kita terbawa-bawa dengan apa yang kita tonton dalam filem atau televisyen.

Kita boleh saja berkata, Hollywood juga menghasilkan filem-filem seram dan hantu untuk hiburan.

Kalau masyarakat yang maju di Barat menyukai cerita-cerita hantu, apa salahnya kita di sini juga mempunyai minat yang sama?

Namun, jangan lupa. Ada perbezaan antara kita dengan masyarakat Barat.

Mereka umumnya tidak percaya kewujudan mistik di dalam kehidupan masing-masing.

Lantas lebih mudah untuk mereka menerima filem-filem genre seram itu sebagai setakat hiburan semata-mata.

Tetapi bagi masyarakat kita?

Walaupun kita sudah anggap diri maju dan berpelajaran, masih wujud kepercayaan mengenai hantu dan mistik dalam masyarakat kita.

Walaupun kita menganggap diri kita sudah moden, ada orang kita yang masih percaya pada bomoh atau dukun untuk menyembuhkan penyakit seseorang atau menghalau roh-roh jahat.

Menonton filem-filem seram itu boleh menebalkan pemikiran dan anggapan seperti ini.

Lebih membimbangkan ialah apabila sesebuah filem seram itu ditonton oleh kanak-kanak.

Hakikatnya, kanak-kanak tidak boleh berfikir seperti orang dewasa.

Jika sering menonton filem-filem tersebut, sedikit sebanyak mereka boleh terpengaruh.

Walaupun mereka tidak pernah nampak hantu tetapi mereka akan sangka di sana sini ada jelmaan jin atau hantu yang boleh menyerupai apa saja.

Ini boleh merosakkan pemikiran mereka.

Mahukah anda membiarkan anak-anak anda dimomok-momokkan oleh apa yang digambarkan dalam filem-filem itu?

Mahukah anda melihat anak-anak anda jadi orang penakut... sampai hendak ke tandas dalam rumah pun mereka takut?

Saya harap kita dapat sama-sama memikirkan buruk baiknya kesan cerita-cerita seram ini.

Kita boleh sarankan supaya pihak lembaga penapisan filem lebih tegas lagi dalam dasar penapisannya bagi filem-filem ini.

Namun, pucuk pangkalnya kita sendiri. Kalau kita yang suka sangat dengan filem-filem itu, ke seberang Tambak pun sanggup kita pergi untuk membelinya.

Keprihatinan saya ialah, masyarakat kita sekarang sudah menghadapi banyak cabaran dalam usaha mencapai kemajuan hidup.

Kita tidak mampu membiarkan pemikiran kita dikotori dengan kepercayaan-kepercayaan karut.

Usah nanti pembuat filem mengaup keuntungan, kita pula jadi masyarakat yang mudah diperbodoh-bodohkan.

Mungkin anda tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Mungkin anda anggap saya ini terlalu alarmist, membesar-besarkan sesuatu yang bukan isu.

Mungkin anda anggap apa yang saya katakan ini salah dan tidak berasas.

Saya harap anda benar dan saya salah...

Semai bibit Hadiah Nobel Sastera

11 Apr 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Semai bibit Hadiah Nobel Sastera

Oleh
Jyh Wee Sew
POJOK Celoteh (BH 4 April) merangkai harapan agar penggunaan bahasa Melayu dibaik biak di negara ini sehingga terlahir pemenang Hadiah Nobel kelak.

Memang tiada sebab bagi karya Melayu, termasuk di negara ini, berada di luar pagar Hadiah Nobel bagi Sastera yang diselenggarakan oleh Akademi Sweden.

Dalam dekad 1960-an, karya kreatif bahasa Melayu pernah menempah sejarah cemerlang di Asia. Ranjau Sepanjang Jalan (1966) karya Shahnon Ahmad diangkat sebagai antara 10 novel terbaik sepanjang 1972 dalam harian Sydney Morning Herald (1973).

Terjemahannya muncul dengan nama No Harvest But A Thorn (1972) dalam bahasa Inggeris dan kemudian Le Riz (1987) dalam bahasa Perancis. Dewasa ini, Ranjau Sepanjang Jalan masih dijadikan rujukan wajib dalam modul Sastera Asia dan Masyarakat.

Shahnon (lahir 1933 di Sik, Kedah) mengakui sebagai peminat karya almarhum sasterawan besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925-2006), yang pernah dipertimbangkan sebagai calon Hadiah Nobel dalam sastera.

Antara novel Pramoedya ialah Keluarga Gerilya, yang pernah dijadikan teks sastera di Singapura. Ia memaparkan kesengsaraan dan pengorbanan anak-anak Amilah, bunga tangsi yang semakin nyanyuk dimamah usia. Namun siri novelnya, Bumi Manusia, yang ditimbangkan oleh Akademi Sweden.

Kemampuan bahasa Melayu menyampaikan budi, konflik dan resmi masyarakat setempat telah terbukti dengan kewibawaan penulis Melayu seperti Shahnon Ahmad, Usman Awang (Tongkat Warrant, 1929-2001), A. Samad Said (1935 -) dan Muhammad Dahlan (Arena Wati, 1925-2009) pada kurun ke-20. Penulis mapan lazimnya menimba pengalaman yang berwarna semasa menempuhi dan mengatasi liku-liku dan cabaran hidup.

Penghijrahan dari kampung ke kota dianggap oleh pengkaji sebagai satu tema utama dalam novel-novel Shahnon. Kemiskinan, nilai kemanusiaan dan keharmonian kaum sering kali menjadi latar dalam sajak Tongkat Warrant.

Namun hidup menjadi sasterawan tidak selalunya 'lumayan'. Sampai-sampai Sasterawan Negara Malaysia, A. Samad Said, pun pernah melancarkan mogok tulis sebagai demonstrasi pasif seorang penulis kreatif menghadapi kesempitan ekonomi.

Pendek kata, penulisan merupakan satu proses introspektif yang tidak terbeli dengan sogokan kebendaan. Minat terhadap bahasa Melayu sukar diperniagakan dan selera berkarya hanya terlahir menerusi dorongan sanubari. Sejauh manakah minat menulis dan menggunakan bahasa Melayu dapat dibangkitkan berhubungan rapat dengan kecenderungan dan gaya bahasa ibu bapa.

Seperkara itu, penggunaan bahasa ibunda di rumah seboleh- bolehnya bukan kod bahasa terhad. Konsep kod bahasa terhad telah diutarakan oleh Basil Bernstein, pakar sosiologi dan pendidikan British, yang mendapati ibu bapa kelas menengah menggunakan kod bahasa yang lebih meluas fungsinya.

Sebaliknya ibu bapa golongan pekerja menggunakan kod bahasa terhad semasa berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Walaupun kedua-dua kod ini sama penting, kod meluas menjadi simbol semiotik keutamaan masyarakat.

Dengan ini, jelaslah bahawa anak muda kita telah dibesarkan di rumah dengan gaya bahasa tertentu, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Sememangnya, di rumahlah tempatnya minat bahasa anak dilentur dan dipupuk ke zaman dewasanya.

Jadi menjadi sasterawan bertaraf dunia bukan dipupuk sekolah. Tetapi benihnya disemai di rumah - untuk berkarya dan moga-moga menjadi penerima Hadiah Nobel bagi Sastera pada suatu hari kelak.

Syampu sahaja belum cukup

7 Apr 2011

EKSTRA!

Syampu sahaja belum cukup


TAHUKAH anda bahawa lebih 95 peratus syampu di pasaran komersial mengandungi Sodium Lauryl Sulfate (SLS) iaitu bahan kimia yang terdapat dalam sabun pencuci biasa?

SLS mengeluarkan banyak buih dan peranannya memudahkan kotoran yang melekat di rambut mengalir bersama air yang membilasnya. Tetapi kimia SLS, sedikit demi sedikit meninggalkan kesan kerak di kulit kepala. Jika dibiarkan berkumpul lama, ia menyebabkan kulit kepala tidak sihat, rambut gugur dan mengeluarkan kelemumur.

Ini dijelaskan Cik Aisah Ibramsah, pemilik Aisah Salon dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang dandanan dan rawatan rambut.

Sejak menyedari mudarat SLS ketika mengikuti kursus rawatan rambut, beliau tidak lagi menyentuh syampu di pasaran komersial biasa.

Bahkan, menurut beliau, kebanyakan salun mewah tempat beliau pernah bekerja hanya menggunakan syampu bebas SLS, diimport dari negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Eropah. Terdapat juga syampu bebas SLS dari Asia yang menggunakan sumber alami.

'SLS boleh membuat rambut kita bersinar tetapi ia juga meninggalkan toksin di kulit kepala. Ramai tidak menyedari hal ini dan bertindak dengan hanya menukar jenama syampu tanpa mereka sedari hampir semua jenama di pasar raya di sini mengandungi SLS,' katanya yang menggunakan jenama Nioxin di salonnya, diimport dari Amerika.

Menurut tinjauan wartawan, syampu bebas SLS lain di pasaran ialah Tara Smith, Aveda, Organic Hair System, Optima Australian Tea Tree dan Dead Sea Natural Mineral Shampoo dari Boots.

Menjaga kesihatan kulit kepala penting untuk kesihatan rambut tetapi kurang diberi perhatian oleh ramai orang Melayu, kata Cik Aisyah.

'Berdasarkan pengalaman saya bertahun bekerja di salun, saya dapati orang kita hanya mahu rambut mereka kelihatan cantik dengan menggunting, keriting atau mewarnakannya.

'Tidak ramai minta khidmat rawatan rambut seperti urut kepala dengan minyak atau membersihkan kulit kepala. Walhal, rambut tidak akan bertahan lama dan cantik jika kulit kepala tidak sihat.

'Menggunakan syampu saja tidak mencukupi kerana bahagian kulit juga perlu dibersihkan, bukan setakat rambut,' tambah Cik Aisah.

Beliau menyarankan mereka yang bermasalah kulit rambut teruk mendapatkan rawatan dua kali sebulan. Untuk keadaan biasa, sekali sebulan sudah mencukupi.

Silat : Kategori Seni



berita harian khamis 14 april 2011

Wednesday, April 6, 2011

Anda Tahu Nama Nenek Moyang? oleh Ismail Pantek

3 Apr 2011

KOMENTAR

ANDA TAHU NAMA NENEK MOYANG?

Pengetahuan cetek akan warisan bangsa sendiri menyebabkan anak-anak muda kita lemah semangat


KALAU ada orang tanya, siapakah nama datuk nenek moyang atau salasilah keluarga anda, dapatkah anda menjawabnya?

Berkemungkinan besar, tidak. Ramai yang tidak akan tahu menjawabnya, apa lagi anak-anak muda.

Terus terang, saya sendiri cuma tahu nama saya Ismail bin Pantek bin Kemeh.

Pantek bapa saya, Kemeh nama datuk saya. Saya tidak tahu nama moyang-moyang saya, apa lagi asal usul dan kisah-kisah mereka.

Bagi kita, perkara-perkara seperti ini tidak penting. Ia perkara remeh. Asal kita tahu nama ibu bapa dan datuk nenek kita sudah cukup.

Tetapi, jika anda tanya kaum-kaum lain, termasuklah orang Cina dan orang Arab sendiri, ramai yang begitu mengambil berat salasilah keluarga mereka.

Ada yang dapat mengesan nama nenek moyang mereka sampai beberapa keturunan lamanya.

Mereka berbuat demikian kerana bangga dengan warisan mereka dan menyimpannya sampai ke anak cucu.

Ini yang perlu kita fikirkan bersama, walaupun dalam zaman moden ini.

Biar saya jelaskan sedikit.

Pakar-pakar mengatakan, pembentukan sesuatu bangsa itu bermula daripada keluarga.

Menurut mereka, kalau kita tidak mengambil berat tentang susur-galur keluarga, ia bermakna kita tidak menghargai keluarga sendiri.

Kalau kita tidak menghargai keluarga sendiri, macam mana kita hendak menghargai bangsa kita?

Jika kita tidak tahu akan asal usul keluarga kita sendiri, bagaimana kita hendak mengetahui sejarah atau ketamadunan bangsa kita?

Saya timbulkan perkara ini kerana tertarik dengan satu ucapan yang diberikan oleh Menteri Negara (Pendidikan dan Ehwal Dalam Negeri) kita, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam sesi dialog bersama anggota sayap belia Parti Tindakan Rakyat (PAP) minggu lalu.

Menurut beliau, kita sebagai orang Melayu harus bangga, justeru giat memperkenalkan warisan tamadun kita yang tidak kurang gahnya.

Beliau kata, orang Melayu sejak dahulu sudah mempunyai ketamadunan yang tinggi - dengan sistem pemerintahan, strategi peperangan, sistem cukai, seni, bahasa dan sastera yang tersendiri.

Bahkan, kita mempunyai pakar strategi perang sehebat Sun Tzu, iaitu Tun Perak, yang berjaya menghindar Melaka daripada jatuh ke tangan kerajaan Siam menerusi strategi menyerang pada waktu malam.

Tetapi sayang, kata Encik Masagos, ramai orang kita yang tidak tahu akan ketamadunan Melayu itu.

Masih kurang usaha badan-badan Melayu/Islam kita untuk mendefinisikan ketamadunan Melayu dalam lingkungan yang lebih luas daripada setakat lagu, tarian, teater dan sastera sahaja.

Kenyataan beliau itulah yang patut diberikan perhatian, bukan sahaja oleh para pemimpin badan, bahkan para pendidik, bijak pandai dan tentunya kita sendiri.

Kita seringkali tidak tahu dan tidak berasa perlu untuk memikirkan dari mana orang Melayu bermula.

Sampai sekarang, apabila bercakap tentang asal usul orang Melayu, ramai antara kita masih kabur dan keliru.

Kita mudah patah semangat apabila orang lain kata Melayu malas atau mundur atau tidak mempunyai budaya progresif.

Kita sangka tiada yang dapat kita jadikan sandaran daripada tamadun kita kerana kita hanya tahu budaya Melayu daripada sudut seni, lagu dan cerita-cerita dongeng.

Kita hanya tahu budaya kita dahulu membesar-besarkan taat setia membuta tuli atau raja yang tidak berperi kemanusiaan.

Kita sangka sejarah Melayu kita tidak lebih daripada kisah-kisah dongeng karut yang mengagung-agungkan raja.

Kita hanya tahu kisah kebodohan Pak Pandir dan Pak Kadok atau kisah kebodohan pembesar Melayu yang menasihatkan raja menggunakan betis rakyat sebagai pelindung daripada serangan ikan dalam peristiwa Singapura dilanggar todak.

Pengetahuan cetek akan warisan bangsa sendiri menyebabkan anak-anak muda kita lemah semangat, lantas lebih cenderung meniru budaya lain yang kononnya lebih moden dan progresif.

Bahkan ada yang sanggup menukar nama, seolah-olah malu dikenali sebagai orang Melayu.

Melihat amalan rasuah dan politik kotor di negara-negara lain dalam rumpun dunia Melayu hari ini, kita mudah membuat kesimpulan 'Ah, inilah sifat orang Melayu!'

Walhal, orang Melayu sebenarnya tidak begitu. Kita mewarisi tamadun yang berusia beribu-ribu tahun lamanya.

Ahli-ahli sejarah mengatakan, orang Melayu telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu, atau mungkin lebih awal daripada itu.

Lama sebelum kerajaan Melayu Melaka, sudah wujud banyak empayar Melayu lama - baik sebelum mahupun sesudah kedatangan Islam ke rantau ini.

Sudah wujud kerajaan-kerajaan Melayu seperti kerajaan Langkasuka di Thailand Selatan, Kuala Selinsing di Perak,dan Lembah Bujang di Kedah.

Orang Melayu sebenarnya bangsa yang besar, yang mempunyai tamadun budaya dan falsafah sendiri yang jelas tercermin dalam pepatah, pantun warisan dan adat resam nenek moyang mereka.

Banyak lagi ketamadunan Melayu yang dapat kita gali dan kita pelajari - tetapi kita tidak ambil peduli.

Orang Melayu kita sepatutnya bangga kerana mewarisi ketamadunan yang besar, sebagaimana orang Cina berbangga dengan tamadun Cina dan orang Barat dengan ketamadunan mereka.

Kembali menjejak kekayaan warisan kita bukan bermakna kita surut ke belakang, sedang orang lain maju ke depan.

Ia sebenarnya dapat menjadi bekalan penting untuk memberi semangat dan keyakinan kepada kita dalam mengharungi zaman moden sekarang.

Semoga lebih ramai pemimpin Melayu dan bijak pandai kita sealiran pemikiran dengan Encik Masagos... dan berusaha mendidik generasi muda sekarang mengambil inspirasi daripada warisan datuk nenek moyang mereka.

Friday, April 1, 2011

KUIZ CEPAT TEPAT

2 Apr 2011

KOMENTAR

CETUSAN MINDA
Langkah cepat dan tepat demi semai cinta bahasa

Oleh
Mohd Noor A. Rahman
SEKALI lagi, saya teruja menonton rancangan kuiz pelajar, Kuiz Cepat Tepat, yang peringkat akhirnya disiarkan di saluran Suria Isnin lalu.

Kali ini, pertandingan dimenangi Sekolah Rendah Temasek. Syabas juga kepada Sekolah Rendah MacPherson dan Sekolah Rendah Punggol yang berjaya ke peringkat akhir.

Dua tahun lalu, saya pernah menulis meluahkan rasa gembira tentang inisiatif menganjurkan pertandingan itu termasuk penyiarannya di televisyen.

Pertama, rancangan itu dapat menyumbang kepada usaha menggalak penggunaan bahasa Melayu selain memupuk rasa cinta terhadap budaya dan sastera di kalangan murid kita.

Rancangan itu juga dapat membantu pelajar Melayu kita dalam aspek perbendaharaan kata, peribahasa, budaya Melayu dan banyak lagi.

Kedua, penyiaran di televisyen merupakan satu wadah baik yang mampu menimbulkan rasa ghairah bukan sahaja di kalangan pelajar dan guru, malah di kalangan ibu bapa terhadap bahasa Melayu.

Pada pendapat saya, penggunaan media massa ini mampu mempengaruhi ramai anggota masyarakat kita tentang betapa penting dan perlunya masyarakat terus berusaha dalam melestarikan bahasa, sastera dan budaya Melayu kita.

Sama penting, penimbaan ilmu dan pengasahan minda itu dilakukan dalam suasana bukan peperiksaan, dan menggunakan cara yang menyeronokkan.

Bukan sahaja peserta meraih manfaat, bahkan para penonton.

Atas sebab itu juga, saya mengalu-alukan rancangan Kementerian Pendidikan (MOE) melancarkan satu portal interaktif dalam talian berdasarkan permainan kuiz bahasa Kuiz Cepat Tepat ini di sekolah-sekolah rendah tahun ini bagi meningkatkan penguasaan dan penghayatan bahasa Melayu di kalangan murid.

Mengumumkan rancangan itu, Menteri Negara (Pendidikan), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:

'Kami berharap dengan wujudnya program tersebut, ini akan memperkayakan lagi bahan-bahan yang boleh digunakan guru-guru di sekolah untuk menarik minat para pelajar dalam mempelajari bahasa Melayu.'

Rancangan Kuiz Cepat Tepat kembali bagi musim kedua tahun ini.

Ia dianjurkan bersama Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan MediaCorp.

Seramai 440 murid dari 110 sekolah rendah telah menyertai peraduan itu yang bermula lewat tahun lalu.

Tahun ini, stesen radio Melayu, Ria 89.7 FM, menyiarkan pusingan suku akhir dan separuh akhir pada 15 dan 17 Mac lalu.

Hanya pusingan akhir disiarkan di televisyen, iaitu pada 28 Mac lalu.

Pada pendapat saya, adalah lebih baik bagi rancangan itu disiarkan di televisyen di peringkat lebih awal seperti yang dilakukan pada musim pertama dua tahun lalu.

Malah, dilaporkan di akhbar ini bahawa rancangan Kuiz Cepat Tepat itu mendapat sambutan hangat dan merupakan rancangan kanak-kanak yang paling ramai ditontoni dalam Tahun Belanjawan 2008/ 2009 (dua tahun lalu) dengan angka rating mencecah lebih 100,000 penonton Melayu.

Jadi, kenapakah format ini tidak diulangi? Apakah kerana masalah kos atau masalah berkaitan penganjuran pertandingan itu?

Saya pernah dimaklumkan bahawa kos penganjuran rancangan itu di televisyen agak tinggi.

Justeru, mungkin faktor ini menyebabkan rakaman pertandingan itu disiarkan melalui radio. Alasan ini boleh difahami.

Pada masa yang sama, dilaporkan juga bahawa pemerintah telah meningkatkan peruntukan bagi MLLPC kepada minimum $2.1 juta bagi tempoh lima tahun mendatang demi menyokong kegiatan bahasa dan kesusasteraan.

Ini berbanding $1.5 juta bagi tempoh yang sama sebelumnya.

Oleh itu, bagi tempoh mendatang, mungkin sebahagian tambahan dana ini dapat disalurkan bagi membiayai kos penganjuran pertandingan Kuiz Cepat Tepat di televisyen.

Malah, jika satu kajian kebolehlaksanaan mendapati pertandingan itu dapat dijadikan acara tahunan, maka ia harus dipertimbangkan.

Namun, jika kos masih menjadi hambatan, anjurkanlah kuiz ini secara dwitahunan, namun pada skala lebih berprestij yang memberi manfaat besar kepada pelajar kita khususnya dan anggota masyarakat umumnya.

Ini termasuk penyiaran pertandingan itu pada peringkat lebih awal, sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir.

Bagi saya, manfaat dan kesan membina Kuiz Cepat Tepat adalah jauh lebih besar berbanding sebilangan besar rancangan Melayu kanak-kanak yang disiarkan sekarang atau pernah disiarkan dalam tempoh satu dua tahun ini.

Malah, harapan menggunung agar lebih banyak pertandingan bahasa, sastera dan budaya dapat disiarkan di televisyen Melayu kita sebagai salah satu langkah bersepadu demi menggalak penggunaan bahasa Melayu di samping melestarikan ciri-ciri jati diri orang Melayu di sini.

Banyak pertandingan yang boleh dijadikan santapan penonton televisyen seperti pertandingan pantun/gurindam, bahas, kuiz (peringkat posrendah), sajak, pintar ejaan, dikir barat, boria, bercerita dan sketsa.

Banyak acara ini juga membabitkan golongan belia dan ini secara langsung menggalak dan melibatkan mereka sama-sama berusaha melestarikan bahasa dan budaya Melayu.

Penyiaran di televisyen merupakan satu insentif baik kepada usaha golongan belia ini sebagai penganjur.

Kini, banyak acara peraduan di televisyen lebih memberatkan bidang nyanyian dan lakonan.

Dalam era bahasa Inggeris lebih sering digunakan, baik di sekolah, rumah mahupun tempat kerja, usaha menggalak penggunaan dan pelestarian bahasa Melayu harus dipertingkat dan dilakukan sekerap mungkin serta di semua peringkat.

Sebarang kesempatan yang ada harus diambil dan sumber yang ada dilaburkan dengan baik.

Harus juga dilakar pendekatan bijak demi memastikan pertandingan televisyen dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu dapat diolah agar menjadi menarik.

Dengan cara ini, akan lebih ramai orang Melayu bukan hanya menghargai bahasa dan budaya Melayu, malah lebih mencintainya.

Dalam perkara ini, MLLPC dan juga Majlis Bahasa Melayu Singapura perlu bertindak cepat dan tepat supaya orang Melayu mencintai bahasa dan budayanya.

ASAS '50 PERLU UTAMAKAN ASASNYA oleh Abdul Rahman Mohd Said

2 Apr 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Asas '50 perlu utamakan asasnya

Oleh
Abdul Rahman Mohd Said
TAHNIAH kepada Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) kerana menerima geran bernilai $75,000 daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Semoga suntikan dana ini akan memberi Asas '50 lebih 'taring' dalam usahanya memperkasakan Bahasa Kebangsaan kita.

Sebagai seorang anggota Asas '50 seumur hidup (tetapi tidak aktif), saya amat bangga dengan kemajuan Asas '50 sepanjang 10 tahun yang lalu, baik dalam tebaran kegiatannya mahupun dalam kemantapan kedudukan kewangannya.

Kalau beberapa tahun lalu, rizabnya hanya sekitar $40,000, menurut penyata kira-kira terkini jumlah itu telah mencecah hampir $120,000 atau lebih tiga kali ganda.

Namun, jumlah itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan badan-badan Melayu/Islam lain yang rizabnya mencecah jutaan dolar, dan itu pun sumbangan mereka kepada masyarakat dikira tidak seberapa.

Lebih menguja ialah usaha Asas '50 bermesra dengan kaum belia dan penulis muda, yang lazimnya lebih senang berbahasa Inggeris.

Gejala ini bukan salah sesiapa, tetapi adalah dampak daripada perubahan demografi.

Menurut Banci Penduduk 2010, sebanyak 26 peratus anak Melayu berumur antara lima dengan 14 tahun bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, berbanding hanya 9.4 peratus sedekad lalu.

Lebih memilukan, ramai pelajar kita di institusi pengajian tinggi telah mula memulaukan bahasa ibunda mereka, dengan mengatakan bahasa Melayu tidak 'cool'.

Jadi usaha Asas '50 memikat hati kaum remaja agar mencintai bahasa ibunda mereka amat dialu-alukan.

Cuma, yang menimbulkan riak ialah strategi Asas '50 menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahan pemikat.

Saat ini, dua wadah komunikasi utama - warta dan juga laman Asas '50 - disaji dengan kandungan dalam bahasa Inggeris.

Apakah ini langkah terbaik untuk memperkasakan bahasa Melayu? Saya yakin isu ini sudah dibincang dan didebatkan di dalam Asas '50, dan para anggotanya tentu telah memberi kepercayaan kepada pucuk kepimpinan Asas '50 untuk melaksanakan langkah ini.

Namun, hati saya masih tertanya-tanya - apakah agaknya reaksi tokoh-tokoh pengasas badan itu, seperti almarhum Masuri SN atau almarhum Asraf Wahab?

Ini bukanlah soalan retorik; saya kenal betul dengan kededua tokoh ini sejak kecil lagi.

Almarhum Pak Asraf (wafat 1999) ialah paman saya sendiri.

Walaupun seorang pejuang bahasa Melayu, Pak Asraf bukanlah seorang fanatik.

Beliau pernah bertugas sebagai penterjemah di Oxford University Press.

Setiap kali buku terjemahan beliau (merupakan terjemahan klasik Inggeris) diterbitkan, beliau akan memberikan saya senaskhah yang dibubuhkan autografnya.

Dalam bahasa Melayu atau Inggeris, Pak Asraf amat tegas dalam penggunaan nahu dan jalan bahasa yang tepat, dan beliau amat cepat memperbetulkan apa-apa kesalahan saya.

Seyogia, ini berlaku pada tahun-tahun 1960-an - lama sebelum bahasa Inggeris menjadi 'cool' dan Bahasa Melayu 'tak cool'.

Jadi cuba bayangkan betapa berdebarnya hati saya waktu berucap dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris di Persidangan Dunia Melayu Dunia Islam di Kuala Lumpur anjuran Gapena (Gabungan Penulis Nasional Malaysia) pada lewat 1990-an.

Pak Asraf akan duduk di barisan hadapan meneliti setiap kata saya.

Selesainya setiap ucapan, Pak Asraf akan memberi penilaiannya, seperti beliau lakukan waktu saya masih kecil pada tahun-tahun 1960-an.

Cuma kali ini, beliau lebih berpuas hati.

Misalnya: 'Aman gunakan istilah bahasa Indonesia yang kita masih belum lagi gunakan dalam bahasa Melayu' atau 'You have combined the precision and elegance to bring your thoughts across effectively.'

Dalam kesempatan ini, kata-kata Pak Asraf terakhir di atas ini saya 'sedekahkan' kepada semua di Asas '50, terutamanya kepada pucuk pimpinan dan juga pengusaha warta dan laman web Asas '50.

Jika anda berhasrat memikat hati belia kita agar mencintai bahasa Melayu melalui perantaraan bahasa Inggeris, usahakan untuk menguasai ketepatan (precision) dan kehalusan (elegance) dalam penulisan anda, barulah usaha anda berkesan.

Seperti almarhum Pak Asraf, saya juga tidak fanatik dalam penggunaan bahasa.

Cuma saya prihatin dengan penggunaan bahasa yang tepat dan seni.

Saya meletakkan nasihat di atas sebagai matlamat kerana sangat nyata penguasaan bahasa Inggeris anda di dalam warta dan laman web Asas '50 amat lemah.

Dalam kelemahan itu, usaha murni anda akan karam.

Jangan sampai seperti pantun lama berikut:

Berburu di padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Masakan orang akan tertarik dengan keindahan bahasa Melayu yang seni, apabila bahasa pengantarnya bagaikan piring retak seribu.

Bagaimanakah kita boleh memupuk penggunaan bahasa Melayu yang tepat melalui penulisan bahasa Inggeris yang banyak kesilapan nahunya?

Ini baru penggunaan bahasa sebagai wadah komunikasi.

Kita belum sampai pun ke tahap sastera dan persuratan, atau bahasa sebagai penyambung budaya.

Apakah strategi Asas '50 untuk mengembangkan sastera dan persuratan Melayu Singapura melalui bahasa Inggeris?

Saya harap bukan dengan menterjemahkan karya Melayu yang seni kepada bahasa Inggeris yang pincang.

Sempena penerimaan geran NAC yang lumayan ini, sekali lagi saya ucapkan setuinggi tahniah kepada Asas '50, dan saya doakan semoga dana tambahan ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk melestarikan bahasa dan persuratan Melayu di Singapura.

Nota: Penulis 'penghulu' laman Kampungnet dan makalah ini tersiar di lamannya.