Tuesday, December 11, 2012

Jati Diri Bangsa Melayu



USAHA LESTARI JATI DIRI: Pengukuhan jati diri orang Melayu, yang termasuk agama, bahasa, pakaian dan seninya, harus diusahakan secara segar dan dengan bermaya kerana jati diri mencerminkan juga jiwa masyarakat.
- Foto fail
WARISAN MELAYU

Mengekal Jati Diri Bangsa Melayu

Kejayaan boleh dicapai tanpa perlu korban nilai dan identiti Melayu
BUDAYA sesebuah bangsa atau masyarakat mencerminkan bukan sahaja kemajuan bangsa tersebut, bahkan jiwanya.
Atas dasar itu penting bagi setiap bangsa atau masyarakat memelihara budayanya sebagai identiti anggota bangsa atau masyarakat itu.
Nasoha Saabin, seorang ilmuan Melayu, menggariskan bahawa identiti Melayu umumnya terbentuk atas beberapa paksi utama yang termasuk Islam, bahasa dan busana Melayu.
Meneliti dalam konteks semasa, adalah membimbangkan, menurutnya, apabila masyarakat Melayu sendiri tidak lagi berbangga akan paksi yang membentuk jati diri mereka itu.
Apa yang dikhuatiri ialah bangsa Melayu akan hanya dilihat dari sudut genetik sahaja, sedangkan budaya dan jati diri warisan mereka menjadi lapuk ditelan zaman.
Ini boleh berlaku apabila orang Melayu sendiri terlalu terkejar-kejar imej moden, yang akan mengakibatkan mereka mudah berhadapan dengan krisis identiti.
Nasoha menarik perhatian kepada sebilangan orang Melayu yang sanggup meninggalkan identiti Melayu mereka dan cuba mengamalkan gaya hidup Barat semata-mata kerana mereka pernah menuntut di Barat atau berkahwin dengan pasangan kulit putih, di samping berbusana Barat.
Pertuturan bahasa Melayu mereka turut terjejas sehingga menampakkan ciri-ciri lenggok bahasa Eropah.
Hakikatnya, masyarakat Melayu harus berusaha menampilkan imej dan identiti Melayu.
Ini terutamanya dalam majlis-majlis bercirikan kebudayaan, seperti majlis pernikahan dan sebagainya.
Malahan, andai keadaan mengizinkan, busana bercirikan identiti Melayu harus ditonjolkan dalam majlis- majlis yang menemukan pelbagai kaum dan budaya asing.
Menurut catatan sejarah, Ibnu Khaldun tetap teguh berjubah Maghribi sewaktu menjadi hakim perundangan di Kahirah, Mesir, menentang kelaziman pada zaman tersebut.
Beliau tetap teguh akan jati dirinya sebagai seseorang berketurunan Andalusia Maghribi.
Mengikut prinsip asabiah yang diketengahkan Ibnu Khaldun, secara tidak langsung, identiti yang dibawanya lewat busana pemakaiannya, sekali gus meningkatkan semangat kesatuan dan kebanggaan akan tradisi bangsanya.
Mengambil iktibar daripada pendirian Ibnu Khaldun ini, kita harus berusaha agar tidak meninggalkan identiti kita sebagai orang Melayu, di sebalik usaha kita melangkah mencapai kemajuan hidup.
Ini harus kita lakukan walaupun dalam menghadapi arus kemodenan dalam kehidupan masyarakat metropolitan seperti di Singapura.
Kita boleh sahaja berfikiran moden, berpendidikan tinggi dan melengkapkan diri dengan keperluan-keperluan hidup di zaman moden ini.
Kita juga boleh berpakaian moden yang disesuaikan dengan keperluan di tempat kerja dan sebagainya.
Namun, kesemua itu tidak semestinya bermakna kita meninggalkan sekali jati diri kita sebagai orang Melayu.
Ia tidak bermakna meninggalkan busana atau pakaian Melayu yang penuh sopan atau lupa akan bahasa serta budaya warisan kita.
Kita memang dituntut berusaha memperbaiki diri dan mengejar kemajuan hidup agar tidak ketinggalan dalam zaman moden ini.
Namun, kesemua ini boleh dicapai tanpa perlu mengorbankan jati diri kita.
Pengukuhan identiti masyarakat Melayu haruslah diusahakan secara sedar dan bermaya.

Wednesday, November 28, 2012

kehalusan Melayu


PADA HEMAT SAYA

Nilai besar 'kehalusan' Melayu

ADAB Melayu turut mencorakkan Asia Tenggara. Kenyataan ini bukan baru. Namun, apabila diujarkan Duta Kelana, Profesor Tommy Koh, 75 tahun, pada Forum Jangkauan Global anjuran akhbar The Straits Times pada Jumaat lalu, ia seolah-olah menggemakan pengamatan jauhari sejak zaman silam.
Para penjajah Barat, terutama yang kemudian menjadi semacam sarjana - daripada Thomas Stamford Raffles (pendiri loji British di Singapura) sehingga perisik dan sarjana Belanda, Snouck Hurgronje, telah lama mengungkapkan hal ini.
"Tidak dapat tidak, saya berasa bahawa bangsa Melayu sebagai satu kaum, bertutur satu bahasa dan bertebaran dalam kawasan luas, memelihara watak dan resam, di hampir semua negeri pesisir antara Laut Sulu dan Samudera Selatan."
Demikian terjemahan tukilan makalah Sir Thomas Stamford Raffles, On the Malay Nation (Asiatic Researchers, Jilid 12 (1816), muka 103).
Menurut Prof Koh, seorang sarjana perundangan yang tersohor dan sudah dianugerahi gelar doktor kehormat daripada banyak universiti ternama, sentuhan Melayu merubah kehadiran kaum-kaum lain.
Katanya, dalam konteks Singapura yang majoriti merupakan kaum Cina dan campur kehadiran India, budaya Melayulah yang "melicinkan" tepian yang bergerigis (rough edges).
Maka kaum-kaum ini menjadi kurang angkuh dan menolak sikap menantang (confrontational).
Katanya lagi, budaya Melayu "lebih lunak, halus" dan inilah yang membuat orang Singapura kurang garang atau bermegah-megah.
Pandangan beliau disampaikan sebagai respons kepada soalan seorang peserta: bagaimana penggabungan (integrasi) Asean terlaksana sedangkan negara-negara Asia Tenggara didapati berbeza budayanya.
Hujah Prof Koh, budaya-budaya negara Asean tidak bertentangan.
"Ada semacam budaya musyawarah di Asean," tegasnya.
Sebagai diplomat terbilang, memang Prof Koh menyedari konsep ini kerana sudah lama terlibat dalam urusan Asean.
Konsep 'musyawarah' digunakan begitu luas sehingga terbentuk Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) di Indonesia. Taraf MPR secara perundangan dianggap tertinggi - mengatasi presiden.
Musyawarah berasal daripada kekata Arab. Dalam bahasa Melayu, ia disebut pakat atau sepakatan, bak dinyatakan dalam peribahasa (bersifat tunjuk ajar, menurut Budayawan Besar Riau, Dr Tenas Effendy):
Bulat air kerana pembetung,
Bulat kata kerana muafakat.
"Untuk saling membantu, mencari muafakat. Ada budaya toleransi mengenai perbezaan antara yang lain, ada budaya ihsan (memaafkan) yang tiada pada bangsa Cina, Jepun dan Korea."
Beliau mengungkapkan anekdot yang diceritakan mantan setiausaha tetap Thai bagi ehwal luar mengenai hukuman ke atas sekumpulan askar muda yang terlibat dalam rampasan kuasa pada 2008.
Sesudah lama bertaubat, ada acara sambutan agar menerima mereka kembali dalam tentera Thai.
Ketika menyaksikannya, duta Korea Selatan bertanya kepada setiausaha tetap tadi mengapa ia boleh berlaku.
"Di Korea, orang begini akan dihukum oleh mahkamah tentera dan ditembak," kata duta itu.
Ujar Prof Koh:
"Kawan Thai saya memandangnya dan berkata, 'Wahai kawanku, itulah bezanya antara Asia Tenggara dengan Asia Timur Laut.'"
Tambah Prof Koh:
"Namun, saya tak pasti jika di Singapura. Di sini orang sedemikian mungkin dibicarakan di mahkamah tentera dan ditembak."
Prof Koh memang seorang optimis. Bermata harapan memang pembawaannya sewaktu saya baru mengenalinya di Lembaga Pengarah Majlis Seni Kebangsaan dalam 1996.
Menurutnya, Asia Tenggara mempunyai peradabannya yang berbeza daripada China dan India.
"Ia tercermin pada sastera, lukisan dan seni kita. Usah perkecil diri anda," katanya.
Jadi, berbalik pada adab Melayu: bagaimanakah ia boleh disuburkan sehingga seorang budiman Melayu dipandang mulia di pentas antarabangsa?
Ketika bersembang ringkas dengan Ustaz Ahmad Haris Suhaimi, pengarang sejumlah buku motivasi berdasarkan warisan Islam, jalan permulaan adab ialah didikan.
"Nabi kita diutus agar menyempurnakan adab. Itulah sebabnya akhlak baginda cukup luar biasa.
"Para Muslim awal memang indah adabnya. Selepas itu, barulah mereka diajarkan Nabi saw dengan ilmu agama seperti solat, puasa dan sebagainya sehingga kepada hukum-hakam.
"Jadi, wajar kita mulakan tadika Islam dengan pengajaran adab," katanya sambil menambah hal ini akan menjadi teras usahanya untuk buku selanjutnya.
Apabila adab indah, soal rasuah, silap tadbir, kezaliman dan apa jua yang negatif tentu dapat dibendung.
Kejayaan Wali Songo (para pendakwah terbilang di Jawa) dan sebaran Islam di rantau ini bukan menerusi pedang, tetapi adab para penyebarnya.
Itulah sebabnya Islam teguh di rantau ini berbanding mana-mana rantau lain.
Terorisme atau pengganasan bukan saja bertentangan dengan Islam, malah jauh daripada adab Melayu.
Menurut mahaguru terbilang dalam bidang adab Islam, Profesor Muhammad Naquib Al-Attas, Islam mengindahkan karakter Melayu yang lunak dan sopan.
Menjelang terbitnya zaman emas Pasifik dalam abad ke-21 ini, peradaban Melayu tentulah dinantikan.

BM diinggeriskan


E-MEL DARI KL

Alah bahasa Melayu diinggeriskan

SUASANA penginggerisan ke atas bahasa Melayu di Malaysia kini dikatakan di tahap 'membimbangkan'.
Demikian pandangan dua sarjana Malaysia, Dr Mohamed Yusof Ismail dan Profesor Dr Teo Kok Seong.
Dr Mohamed Yusof, Profesor Antropologi dan Pakar Runding di Universiti Terbuka Malaysia, memberitahu satu pertemuan ahli bahasa bahawa keterlanjuran menginggeriskan bahasa Melayu boleh mewujudkan suasana serupa di Papua New Guinea apabila kacukan bahasa Inggeris dan bahasa tempatan melahirkan 'pidgin English'.
Dr Teo, pendukung Bahasa Melayu dan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM, pula pada satu wacana bahasa kebangsaan baru-baru ini mendapati ketulenan bahasa Melayu kian terhakis kerana lemahnya azam orang Melayu sendiri.
Keazaman pengamal bahasa Melayu amat membimbangkan berbanding bangsa Cina yang menurut beliau kadang-kadang agak keterlaluan dalam melindungi bahasa Mandarin.
"Bahasa Melayu perlu mengurangkan perkataan pinjaman kerana bahasa Melayu itu sendiri kaya dengan perbendaharaan kata yang boleh dipilih.
"Kenapa perlu gunakan perkataan 'infrastruktur' walaupun sudah ada 'prasarana'? Kenapa perlu menggunakan perkataan 'kontemporari' jika perkataan 'semasa' mampu menyampaikan maksud sama?" katanya.
Tambah Dr Teo, disebabkan terlalu banyak perkataan Inggeris diserap dalam kosa kata Melayu, suatu hari nanti rujukan sering dibuat kepada kamus bahasa Inggeris untuk mengetahui makna sesuatu perkataan.
Contohnya, 'modulasi' lebih mudah diketahui maknanya dengan merujuk kepada kamus Inggeris, katanya.
Dr Mohamed Yusof juga menerima rungutan kalangan pelajar antarabangsa yang belajar bahasa Melayu:
"Kami perlu belajar bahasa Inggeris dulu, baru boleh faham bahasa Melayu," katanya, menukil sindiran pelajarnya.
Malah, Dr Mohamed Yusof, mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), masih ingat pengalaman beberapa pelajarnya yang menjalankan kajian di sebuah kampung.
"'Bagaimana kemudahan komunikasi di desa ini?' tanya pelajar. Penduduk kampung menjawab spontan: 'Pada masa komunis dulu kami hidup terseksa.' Mereka jelas keliru dengan perkataan 'komunikasi' yang bermaksud 'perhubungan'," katanya.
Bala paling besar, kata Dr Mohamed Yusof, berlaku apabila tatabahasa Melayu yang dipelopori Pendeta Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) 'dikhianati' oleh penggubal tatabahasa angkatan baru atas alasan agar bahasa Melayu lebih 'moden'.
Maka muncullah istilah saduran seperti 'frasa' (phrase), 'klausa' (clause), 'predikat' dan 'subjek' serta istilah seperti 'vokal' bagi menggantikan 'huruf saksi', 'ayat aktif' bagi menggantikan 'ayat bangun membuat', 'ayat pasif' bagi menggantikan 'ayat bangun kena buat', dan pelbagai lagi kerenah lain yang telah menghancurkan atau menidakkan kerja murni yang dipelopori Za'ba.
Dr Mohamed Yusof selanjutnya menarik perhatian betapa istilah yang sedia ada dan lama digunakan digantikan dengan istilah saduran yang kononnya menampakkan kecanggihan bahasa Melayu.
Misalnya, kata beliau, 'produk' menggantikan 'hasil mahsul', 'keluaran' dan 'barangan'; dan 'bajet' pula menggantikan 'belanjawan'.
Dr Mohamed Yusof memberi contoh lagi bagaimana banyak lagi istilah ciptaan Za'ba telah diketepikan. Pembaca tentu masih ingat istilah lama seperti 'mata-mata' dan 'mata-mata gelap' yang telah digantikan dengan 'polis' dan 'detektif.'
Beliau berpendapat penggubalan istilah baru dengan cara memberi makna baru kepada perkataan lama tidak berlaku di kalangan ahli bahasa selepas Za'ba, tidak seperti orang Inggeris.
Misalnya, apabila 'komputer' mula-mula timbul terdapat keperluan mencari istilah baru. Sebagai contoh, istilah cursor diambil daripada kosa kata lama Inggeris, tetapi diberikan makna baru.
Ahli bahasa di Malaysia memelayukannya terus kepada 'kursor'.
Jika Za'ba masih ada, mungkin dicadangkan istilah 'kekelip', 'kekunang' atau 'tetunjuk' kerana itulah sifat hakiki 'kursor' pada setiap layar 'komputer'.
Begitu juga dengan istilah mouse, virus, web, garbage, footprint dan sebagainya. Orang Inggeris memberikan makna baru kepada istilah lama.
Beliau menegaskan bahawa kita juga boleh mengambil iktibar daripada penduduk tempatan yang lebih bergeliga dalam menggubal istilah yang sesuai apabila perlu.
"Misalnya, ketika 'pizza' mula diperkenalkan di Kelantan, mereka memanggilnya 'roti berlauk'. Begitu juga dengan 'tauhu' yang dipanggil 'pati kacang', 'tauge' dipanggil 'kacang cambah', 'taucu' dipanggil 'kacang masin', buah 'tomato' dipanggil 'terung masam' dan 'carrot' dipanggil 'lobak merah'."
Sebenarnya, kata beliau, Melayu Malaysia boleh belajar memelihara bahasanya daripada orang Thai - tetapi jangan ikut cara Indonesia atau Filipina yang bercelaru bahasa masing-masing.
Misalnya, apabila 'telegram' mula-mula masuk ke Thailand, ahli bahasanya mencari istilah yang dapat menggambarkan sifatnya yang mutlak, iaitu toralek ('tora' = huruf dan 'lek' = jauh).
'Telefon' dalam bahasa Thai ialah 'torasap'. 'Sap' ialah istilah Sanskrit yang bersepupu dengan 'sabda' (kata-kata). 'Televisyen' adalah 'toratat'; tat bermakna 'gambar' atau 'rupa'.
Tidak ada perkataan 'radio' dalam bahasa Thai, tetapi diganti dengan 'wittayu' (daripada kekata Sanskrit, 'bayu').
"Bagi mereka, kepuk serumpun dan turun-temurun adalah Sanskrit, Khmer dan Melayu," tambah beliau.
Adakah amaran dua sarjana itu akan diberi perhatian para bahasawan?


Thursday, November 22, 2012

Pantun, gurindam, syair, seloka


WARISAN PANTUN

Perbezaan pantun daripada gurindam, seloka dan syair

SAYA ingin mengajak anda mengimbas kembali tentang pemahaman kita mengenai apa yang dikatakan gurindam, seloka dan syair dalam puisi tradisional Melayu kita.
Contoh syair adalah seperti berikut:
 Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Jika benar kepada diri,
Nasihat kebajikan ayahanda beri.
Perhatikan bahawa bunyi hujung setiap baris syair semuanya sama - berperi, bestari, diri dan beri.
Contoh seloka pula seperti berikut:
Sudah bertemu kasih sayang
Duduk terkurung malam siang
Hingga setapak tiada renggang
Tulang sendi habis berguncang
Perhatian bahawa bunyi hujung setiap baris seloka itu semuanya sama: sayang, siang, renggang dan berguncang.
Contoh gurindam pula ialah:
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang makrifat.
 Perhatikan bahawa baris pertama dan kedua bunyi hujungnya sama: agama dan nama; manakala baris ketiga dan keempat pula ialah empat dan makrifat.
 Begitulah bezanya syair, seloka dan gurindam berbanding pantun yang terangkum sebagai puisi Melayu lama.
 Sekali lagi diingatkan bahawa dalam pantun, hujung bunyi dalam serangkap pantun tidak boleh semuanya sama.
 Untuk memahaminya adalah mudah - bunyi hujung baris pertama sama dengan bunyi hujung baris ketiga; dan bunyi hujung baris kedua mesti sama dengan bunyi baris keempat (A.I.A.I.)
Melambai daun di Pulau Kelapa,
Saujana memandang dari titi;
Kalau cantik dipandang rupa,
Diharap sama budi pekerti.
Perhatikan Kelapa, titi, rupa dan pekerti.
Pembayang maksud pantun mengisahkan pemandangan. Ia tidak sama dengan maksud dan bukan merupakan pernyataan.
 Kalau dipantunkan begini:
 Barang diingat jangan dilupa,
Harus dijadikan perhiasan diri;
Kalau cantik dipandang rupa,
Diharap sama budi pekerti.
 Perhatikan bahawa baris pertama dan kedua bukan pembayang maksud, tetapi hanya merupakan pernyataan semata.
Sepatutnya baris pertama dan kedua adalah pembayang maksud yang mengisahkan pemandangan, perbuatan, barangan, sesuatu tempat dan sebagainya.
Akhir sekali, masih ada pembaca atau petugas di Radio yang berpantun tidak mengikut syarat berpantun.
Fahami betul-betul apa yang dikatakan pantun, barulah berpantun, jangan asal ikut bunyi hujung semuanya sama.
 Sebelum berundur terimalah serangkap pantun perpisahan:
Minyak Idaman bercampur serai,
Beli ragi jumlahnya lima;
Pantun Warisan menutup tirai,
Sepekan lagi kita bersama

Maritim Melayu


WARISAN MELAYU

Kehebatan Maritim Melayu

Kekuatannya pernah digeruni musuh
SEJAK berabad lamanya, armada-armada Melayu menguasai lautan Pasifik dan India.
Bahkan, menurut pendapat sekalangan peneliti, tidak ada sebarang bangsa lain yang mampu menguasai daerah lautan besar buat sekian lama.
Lebih menarik lagi, membuat bandingan dengan tamadun-tamadun lain yang dekat, ketamadunan Cina hanya mampu bersaing dengan kapal-kapal Melayu, khususnya dari sudut saiz kapal-kapal yang dibina, pada abad ke-13.
Anak-anak laut Melayu dahulu bukan sahaja amat disegani atas dasar kefahaman mereka yang mendalam akan ilmu perkapalan, malah dalam ilmu kelautan.
Jarang sekali kapal-kapal Melayu berhadapan dengan tentangan mahupun serangan yang hebat.
Menurut Gaspar Correia, seorang sejarawan Portugis yang terlibat dalam serangan ke atas Melaka pada 1511, sebuah jong ataupun kapal dari Aceh tidak mampu dikuasai pihak Portugis, meskipun berhadapan dengan 19 kapal perang besar.
Setelah lama berperang, panglima perang Portugis akhirnya mengutuskan kapal terhebatnya, Flor de la Mar, yang dinakhodai Alfonso de Albuquerque.
Namun, jong Aceh tersebut hanya mampu dikuasai pihak Portugis setelah berperang selama dua hari dan dua malam. Jong tersebut bahkan tidak berhadapan dengan kerosakan yang besar dek serangan meriam dan tembakan Portugis. Ia hanya tumpas setelah alat pengemudinya dimusnahkan.
Jelasnya, teras kekuatan tentera laut Melayu merupakan ilmu dan kefahaman yang mendalam akan aspek mekanikal dan taktikal dalam bidang maritim.
Dalam hal ini, terdapat pelbagai strategi menarik tentang bagaimana orang Melayu bertempur atas laut.
Menggunakan istilah-istilah yang tidak kurang menarik, panglima-panglima laut Melayu membahasakan strategi-strategi yang digunakan dengan nama-nama yang puitis.
Antara istilah tersebut termasuklah 'Kota Berjalan'.
Menurut catatan dalam Syair Perang Siak, 'Kota Berjalan' merupakan ibarat senjata rahsia bagi tentera laut kerajaan Siak.
Jarang-jarang dikemukakan, strategi 'Kota Berjalan' hanya dilaksanakan setelah berlakunya pertempuran yang sengit antara tentera Belanda dengan Siak selama 15 hari.
Menurut pengkaji ketamadunan Melayu, Donald J. Goudie, 'Kota Berjalan' merupakan ibarat sejenis kota terapung yang terbina atas sebuah kapal yang dilengkapi sekitar 16 laras meriam besar dan beberapa meriam lebih kecil.
Dalam rangka gerak peperangan yang berani mati, setiap seorang anak tentera laut yang terlibat berkhidmat dengan kesediaan gugur atas medan peperangan.
Dipercayai, setiap anak kapal tersebut akan mati dibedil dalam serangan demikian.
Selain itu, syair yang sama turut menerangkan bagaimana orang Melayu Siak menggunakan tali batangan sebagai pengadang yang menghalang kapal dan perahu musuh memasuki kawasan mereka.
Menjalinkan batang-batang kayu dengan rantai besi, tali batangan tersebut kemudian dibentangkan di sungai Siak.
Strategi tersebut turut digunakan pahlawan Pahang, Mat Kilau, dalam menentang serangan laut tentera Inggeris di Jeram Ampai.
Akibatnya, ramai tentera Inggeris mati lemas setelah tali tersebut ditarik ke atas permukaan air untuk membalikkan perahu-perahu yang digunakan mereka.
Dalam menyusur sejarah strategi-strategi peperangan Melayu, bangsa tersebut mempunyai ilmu yang amat disegani oleh musuh-musuh mereka pada waktu itu.
Andai diperhatikan, biarpun teknik-teknik yang digunakan tampak mudah dan ringkas, ia berkesan dalam berhadapan dengan bala tentera laut yang jauh lebih besar dan maju.
Apatah lagi kalau digabungkan teknik-teknik tersebut dengan kaedah peperangan gerila yang antaranya turut dikuasai orang Melayu.
Sekalipun terjerat dalam situasi yang dipandang tidak memungkinkan kemenangan, kelebihan tentera-tentera Melayu adalah menggunakan kelengkapan sedia ada dengan sebaik mungkin bagi memaksimumkan potensi setiap peralatan tersebut.
Disebabkan itu, selain teknik-teknik yang dibincangkan di atas, kaedah tempur yang paling digeruni merupakan kecenderungan anggota tentera laut Melayu menyamar sebagai nelayan, lengkap dengan perahu dan sampan kecil.
Tanpa dijangkakan pihak musuh, perahu-perahu tersebut akan berkumpul dalam satu barisan sebelum membedil kapal musuh dengan sebarang senjata api yang dipunyai mereka.
Lantaran itu, pihak musuh sukar mengenal pasti sama ada sekumpulan pelaut yang dilihat mereka sememangnya nelayan atau perajurit yang ditakuti.
Jelasnya, bagi pihak musuh sendiri, keupayaan orang Melayu untuk berjuang dan berperang dalam segala keterbatasan sekali gus menjadi senjata yang paling digeruni.

Monday, November 19, 2012

Orang Laut



TIDAK HARUS DILUPAKAN: Segelintir Orang Laut dari suku Orang Seletar yang masih boleh ditemui di Kampong Sungai Temon dan beberapa daerah lain di bahagian selatan Johor.
- Foto fail
WARISAN MELAYU

Orang Laut Dalam Sejarah Melayu

Mainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun Melayu
DALAM sejarah perkembangan orang Melayu, salah satu suku kaum yang jarang dibincangkan merupakan Orang Laut yang pada dasarnya merupakan antara suku kaum yang penting.
Orang Laut memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun Melayu.
Suku kaum tersebut adalah antara faktor tertubuhnya beberapa kerajaan Melayu lama.
Dalam konteks Singapura sendiri, menurut catatan Oliver William Walters, seorang sejarawan tentang alam Melayu, kejayaan Sang Nila Utama dalam mendirikan kerajaannya di Singapura sebenarnya terdorong oleh sokongan suku Orang Laut.
Menurut catatan sejarah, bagi membantunya dalam usahanya mendirikan kerajaan, Sang Nila Utama bernikah dengan anak Permaisuri Bintan, Wan Sri Benian.
Kononnya, tersirat sebalik tindakan tersebut adalah niat mendapatkan sokongan dan kesetiaan Orang Laut di sekitar daerah Bintan.
Hasil daripada sokongan tersebut, Sang Nila Utama berjaya menguasai bumi Temasek yang kemudiannya digantikan nama sebagai Singapura.
Sebelum kedatangan Sang Nila Utama, Singapura diperintah oleh seorang Sangaji, sebagaimana halnya bagi semua wilayah pemerintahan Majapahit.
Ironinya, sedang Sang Nila Utama sebenarnya merupakan keturunan Palembang yang berkerajaan Majapahit, beliau sendiri cuba mengorak langkah dan identitinya dengan membelakangi tradisi yang sedia ada.
Hasil daripada tekad tersebut dan sokongan Orang Laut, beliau membunuh Sangaji di Singapura serta melantik dirinya sebagai Raja.
Terkenal akan kejaguhan mereka tentang ilmu perlautan, suku Orang Laut lazimnya mempunyai tempat yang istimewa di hati Istana.
Sebahagian daripada mereka mendapat mandat sebagai panglima dan hulubalang istana sementara yang lain memainkan peranan berbeza-beza dalam istana.
Misalnya, di Riau secara khususnya, suku Ladi, Gelam, Sekanak, Sugi, Klong, Trong dan Moro, daripada suku Orang Laut yang lebih besar, berperanan sebagai pengemudi laut.
Suku Mepar pula menjadi pilihan istana, khususnya bagi tujuan yang lebih penting seperti menyampaikan watikah dan warkah rasmi kepada istana dan pembesar-pembesar lain.
Namun demikian, dalam suku Orang Laut sendiri, terdapat struktur yang kompleks berkenaan adat kehidupan mereka.
Bagaimanapun, seperti halnya bagi pelbagai ilmu-ilmu Melayu yang lain, sebahagian besar daripada ilmu berkenaan Orang Laut tidak pernah dirakamkan secara eksplisit.
Akibatnya, ilmu-ilmu yang ada terpaksa digali daripada sumber-sumber asing atau lewat tradisi lisan.
Namun, semakin hari berlalu, masalah kewujudan suku Orang Laut menjadi satu permasalahan yang meruncing.
Menentang ancaman zaman, kewujudan mereka semakin tergugat oleh keadaan yang tidak menyebelahi mereka.
Apatah pula, agama anutan sekalangan mereka tidak sealiran dengan agama anutan bangsa Melayu yang lebih luas, yakni Islam.
Dalam konteks Singapura, antara suku Orang Laut yang pernah hadir di sini termasuklah Orang Seletar dan Orang Kallang.
Bagaimanapun, adatnya pembangunan, perkampungan dan penempatan Orang Laut turut terjejas dengan kebanyakan daripada mereka dipindahkan ke pelbagai daerah serata Singapura.
Di samping itu, masih terdapat segelintir Orang Laut daripada suku Orang Seletar yang masih boleh ditemui di Kampong Sungai Temon dan beberapa daerah lain di bahagian selatan Johor.
Berbeza daripada budaya Melayu yang lain, Orang Seletar di Kampong Sungai Temon memuja dewa-dewa dan semangat-semangat tertentu.
Menggunakan variasi bahasa yang berbeza daripada bahasa Melayu Johor-Riau, bahasa asli mereka tidak mudah difahami masyarakat luas.
Atas dasar tersebut, masyarakat Orang Laut, khususnya Orang Seletar, sering dilihat sebagai masyarakat yang enggan berhubungan dengan masyarakat lain.
Bagaimanapun, hakikat sebenarnya ialah mereka tidak pernah melihat keperluan menggunakan bahasa Melayu baku sebelumnya kerana jarang mendarat.
Meski begitu, gaya hidup tersebut terpaksa diubah selepas Almarhum Sultan Ismail dari Johor memberikan sebidang tanah bagi menempatkan mereka selepas kemerdekaan Malaysia pada 1957.
Sejak itu, secara bertahap, kewujudan mereka semakin terjejas. Hal ini langsung berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.
Bahkan, menurut Yang Aseng dari Kampung Bakar Batu Danga, pada tahun-tahun 1930-an, selat Tebrau pernah ditandai ratusan perahu dan sampan Orang Seletar.
Bagaimanapun, pembinaan Tambak Johor antara Singapura dan Malaysia dianggap telah menjejas ikatan persaudaraan antara Orang Laut di Johor dengan di Singapura.
Kalau sebelumnya mereka boleh mendayung perahu mereka dari Gelang Patah ke Stulang Laut, hal tersebut kian tidak boleh dilakukan.
Memandangkan diri mereka pada waktu itu tidak terbiasa dengan persekitaran darat, hubungan keluarga mereka akhirnya terpisah.
Melihat kembali dalam konteks Melayu yang lebih luas, kewujudan Orang Laut dalam kalangan kita tidak sewajarnya dipinggirkan dan dilupakan sama sekali.
Andai dapat diambil iktibar daripada pengalaman Orang Seletar, terdapat keperluan bagi masyarakat Melayu supaya sedia menghadapi cabaran zaman yang penuh persaingan sejagat sekarang ini.

Tuesday, October 30, 2012

singapura


WARISAN KITA

Singapura permata di rantau Melayu

SINGAPURA merupakan daerah di rantau Melayu yang menarik sekali. Berhadapan dengan sejarah yang ditandai liku-liku manis dan pahit, nama Singapura tidak boleh dilepaskan daripada sebarang perbincangan tentang kepulauan Nusantara.
Hal ini berbeza daripada beberapa daerah lain di kepulauan Nusantara yang biarpun dianugerahi dengan saiz yang jauh lebih besar, kewujudannya lebih mudah dilupakan sejarah.
Namun sayangnya, seringkali apabila sejarah Singapura dibincangkan dalam sebarang wacana, masyarakat cenderung memulakannya dengan kedatangan Sir Stamford Raffles.
Paling tidak, mereka menelusuri sejarah Singapura lewat kedatangan Sang Nila Utama, seorang putera Kerajaan Srivijaya, pada 1324.
Tanpa disedari ramai, kewujudan Singapura malah telah dirakamkan pada tarikh yang jauh lebih awal lagi.
Jelasnya, lama sebelum kedatangan Sang Nila Utama, Singapura sudah pun wujud sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting di rantau ini.
Misalnya, sekitar Abad Kedua, Claudius Ptolemaeus, seorang ilmuan berbangsa Yunani, dalam melakarkan peta dunia, telah merakamkan kewujudan Singapura sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting. Dalam lakaran petanya, daerah pulau yang kini dikenali sebagai Singapura dinamakannya sebagai Sabana.
Pada Abad Ketiga, catatan negara China telah menggambarkan pulau 'Pu Luo Chung' yang sebenarnya merupakan transliterasi untuk 'Pulau Hujung' dalam bahasa Melayu.
Pertembungan budaya antara masyarakat Cina dari China dan Melayu tempatan malah berterusan sehingga zaman kedatangan Sang Nila Utama.
Singapura begitu sibuk pada waktu itu. Wang Dayuan, seorang pengembara China, mencatatkan bagaimana Singapura ibarat lubuk bagi kegiatan kelautan pada 1340.
Dukacita sekali apabila sebahagian besar fakta sejarahnya kurang disedari masyarakat kita sendiri.
Dalam menyelami budaya Melayu secara khusus, Singapura sebenarnya merupakan lombong emas yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Sayangnya, apabila kekayaan tersebut tidak disedari masyarakatnya sendiri, 'bijih-bijih emas' tersebut secara langsung mula pudar dan tertanam dalam sejarah.
Menyebut beberapa nilai kekayaan yang hadir dalam lipatan warisan Singapura, antara insan yang menarik namun belum pernah diteliti riwayat hidupnya termasuklah Habib Gohead Gostan yang kini dimakamkan di perkarangan Kubur Kassim di Siglap.
Seorang Arab marga Al-Khatib, beliau kononnya sering menjalani hidupnya dalam kaedah yang unik, yakni menapak beberapa langkah ke hadapan sebelum mundur beberapa langkah.
Jelasnya, riwayat awliyah tersebut yang menghabiskan sisa hidupnya di Singapura sekali gus menunjukkan betapa kayanya Singapura dengan cerita-cerita rakyat yang belum digali.
Melihat dalam konteks semasa pula, tidak kurang juga beberapa individu yang masih hidup namun terus meniti arus waktu senja.
Ada baiknya sekiranya segala bakti, ilmu, dan akal fikir mereka dapat dicungkil untuk dikongsikan bersama dengan anak-anak muda di Singapura sendiri.
Misalnya, merujuk pada budaya silat pengantin dalam majlis-majlis persandingan, memeranjatkan bagi ramai bahawa Singapura merupakan antara beberapa daerah terakhir yang masih lagi tekal mempertahankan adat tersebut.
Bahkan, dalam majlis-majlis persandingan di Singapura, silat pengantin itu menjadi ibarat penyeri dan pelengkap majlis. Ironinya, sedang Singapura merupakan antara daerah Melayu terakhir yang masih membudayakan adat tersebut, masyarakat Singapura sendiri lebih gemar mengaitkan kesenian mereka dengan suku bangsa Melayu yang lain.
Merumuskan penulisan, adalah molek sekiranya kata-kata Kofi Annan, mantan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dikutip sebagai iktibar.
Menurutnya, "terdapat keperluan bagi manusia hari ini untuk berdepan dengan kejahilan lewat ilmu, ketaksuban dengan tolak ansur, dan pelenyapan dengan pendedahan".

Pak Zubir Said



ALLAHYARHAM PAK ZUBIR: Banyak terapkan nilai-nilai kemelayuan menerusi lagu-lagu latar dalam filem-filem klasik Melayu.
- Foto fail

Pak Zubir Pelestari Identiti Melayu

PELBAGAI kegiatan telah dijalankan sepanjang beberapa minggu ini bagi memperingati jasa dan bakti Almarhum Pak Zubir Said.
Antaranya ialah pelancaran biografi Pak Zubir yang bertajuk Zubir Said, The Composer of Majulah Singapura, tayangan filem Majulah! The Film Music of Pak Zubir Said dan konsert Bintang Hati - Malam Kenangan Pak Zubir pada 12 Oktober lalu.
Kegiatan-kegiatan sebegini diharap tidak berhenti di sini sahaja.
Kajian-kajian mendalam dan kritikal terhadap pemikiran Pak Zubir wajar dipertingkatkan.
Semasa hayatnya, Pak Zubir aktif dan banyak menyumbang kertas kerja bersifat ilmiah berkenaan muzik dan budaya Melayu.
Hasil penulisannya bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh pakar-pakar sejarah dan muzikologi, bahkan oleh ahli-ahli ilmu masyarakat (sosiologi) yang ingin mengkaji secara lebih dalam laras pemikiran pejuang-pejuang kemerdekaan yang hidup sezaman dengan beliau.
Ini kerana, seperti yang telah diungkapkan Datin Rohana Zubir, anak Pak Zubir yang juga penulis biografinya, sifat patriotiknya kepada Singapura, seperti yang terungkap dalam Majulah Singapura, terbetik daripada pengalaman awal kehidupannya di Sumatra sebelum beliau berhijrah ke Singapura pada 1928 ketika usia beliau hanya 21 tahun.
Menurut Datin Rohana, bapanya "banyak belajar tentang kemerdekaan, sifat berdikari, dan ketahanan (resilient) semasa menempuh banyak dugaan hidup".
Allahyarham Pak Zubir mempunyai kekuatan mental yang tinggi bagi mengharungi segala cabaran itu.
Dengan pengalaman-pengalaman inilah beliau menghasilkan banyak lagu patriotik seperti Melayu Raya, Tanah Bangsa dan Daulat, dan Ikatan Budaya.
Namun, satu perkara yang mungkin jarang diperkatakan tentang sumbangan Pak Zubir adalah pendekatannya terhadap tradisi dan modenisasi.
Gubahan Pak Zubir menerusi lagu-lagu latar dalam filem-filem klasik Melayu banyak menerapkan nilai-nilai kemelayuan.
Hal ini mengingatkan saya kepada perdebatan hangat pakar-pakar sosiologi sekitar '90an tentang peranan tradisi dalam modenisasi.
Pada waktu itu, wacana nilai Asia lawan nilai Barat hangat diperkatakan. Wujud aliran pemikiran bahawa kemajuan masyarakat sinonim kepada pembaratan (westernization).
Pada dasarnya, karya-karya Pak Zubir boleh dikatakan menyanggah keras kaitan modenisasi dengan pembaratan.
Malah, karya-karyanya lebih cenderung kepada pengukuhan tradisi menurut definisi sosiologi.
Dr Shaharuddin Maaruf, mantan ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), berpandangan bahawa "tradisi adalah unsur-unsur budaya dan nilai yang penting dalam mempengaruhi dan mengorak pemikiran sesuatu masyarakat pada sesuatu waktu".
Tradisi tidak semestinya menghalang modenisasi atau tidak serasi dengannya.
Ia bukan sahaja mengukuhkan jati diri sesuatu masyarakat, sifat tradisi itu bahkan membenarkan satu masyarakat "buang yang keruh, ambil yang jernih" demi mencapai kemajuan. Masyarakat Jepun, misalnya, dapat mencapai kemajuan tinggi dan modenisasi sambil mengekalkan nilai-nilai jati bangsanya.
Saya melihat pengukuhan tradisi ini diterapkan dalam gubahan-gubahan muzik Pak Zubir.
Seperti yang diceritakan Datin Rohana dalam bukunya, Pak Zubir sangat sensitif terhadap gubahan-gubahannya.
Misalnya, Pak Zubir tidak setuju jika gubahan-gubahannya - baik dalam sudut melodi mahupun lirik - diubah suai tanpa keizinannya.
Pengubahsuaian tanpa keizinan penggubah asli disifatkan beliau seperti "orang yang masuk rumah orang lain, pindahkan perabot-perabot sesuka hati". Ini tidak sesuai dengan nilai kemelayuan dan agama Islam yang menegakkan keikhlasan dan kejujuran.
Gubahan muzik Pak Zubir juga menyangkal satu lagi perspektif masa kini yang sering membayangkan identiti Melayu sebagai satu konstruksi.
Perspektif seperti ini jarang mengungkapkan bagaimana seorang Melayu melihat nilai-nilai dan identitinya sendiri.
Kita sedar bahawa masyarakat Melayu bukan satu masyarakat homogen. Namun, tentu sekali ada tradisi-tradisi dasar yang mengikat identiti orang-orang Melayu.
Inilah yang saya dapati dalam muzik gubahan Pak Zubir, yang memasukkan unsur-unsur gurindam, nasihat, patriotisme, Islam, nilai gotong-royong dan kehidupan harian masyarakat Melayu.
Unsur-unsur ini boleh disifatkan sebagai tradisi dalam muzik Melayu.
Tentu sekali masyarakat memerlukan pembaharuan dan ia harus disertakan dengan kemajuan pemikiran.
Hal ini juga perlu bagi muzik Melayu.
Bagaimanapun, tradisi-tradisi Melayu harus dikekalkan.
Saya berpandangan bahawa interpretasi Maestro Amri dan Orkestra Melayu Singapura dalam menghidupkan lagu-lagu Pak Zubir dengan memberikan nafas baru kepada lagu-lagu Pak Zubir sangat tepat.
Walaupun peralatan-peralatan muzik dan teknologi-teknologi terbaru disertakan dalam proses pengubahsuaian ini, gubahan-gubahan muzik dan interpretasi lagu-lagu Pak Zubir tetap mengekalkan unsur-unsur tradisi Melayu.
Semoga usaha Orkestra Melayu Singapura ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak lagi kajian terhadap kerja keras Pak Zubir dalam melestarikan identiti Melayu.
Nota: Penulis calon doktor falsafah Sekolah Pengajian Antarabangsa, Politik, dan Strategik Universiti Kebangsaan Australia (ANU). Beliau penerima biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) PGS 2011.