Sunday, January 29, 2012

isu-isu rumit

29 Jan 2012

EKSTRA!

Bagaimana Hendak Kita Jawab?

Kita perlu bersedia tangani isu-isu rumit yang akan terpaksa kita hadapi suatu hari nanti dan menjejas kewibaan masyarakat kita


SEMASA berita tentang perkahwinan seorang lelaki Melayu (warga Malaysia) dengan seorang lelaki Inggeris di luar negara tidak berapa lama dahulu, banyak reaksi yang diberi oleh masyarakat kita.

Seperti yang memang dijangkakan, ramai orang kita yang bagaikan beristighfar membaca laporan tersebut.

Mereka terkejut dan tidak setuju dengan amalan tersebut yang terang-terang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Namun, di tengah-tengah reaksi yang menentang perkahwinan itu, ada pula segelintir orang kita sendiri yang berpendapat sebaliknya pula.

Mereka berpendapat apa hak kita untuk campur tangan dalam urusan pasangan tersebut?

Saya sendiri pernah terima e-mel sedemikian.

Pengirimnya antara lain berpendapat, siapakah kita untuk menghalang pasangan yang amat cinta mencintai tanpa mengira jantinanya?

Lebih dari itu, penulis berkenaan berkata jika perkahwinan sesama jenis itu membuat mereka bahagia, mesti ada suatu yang salah pada kita untuk tidak berkongsi kegembiraan mereka itu.

Mungkinkah pengirim e-mel itu hanya sendirian sahaja yang berpendapat demikian?

Atau mungkinkah ada yang lain bersependapat dengan beliau?

Mungkin anda ada jawapannya.

Perkahwinan antara sesama jenis belum pernah berlaku di sini kerana ia masih dilarang dari segi undang-undang negara, apa lagi dari sudut hukum agama, baik Islam, Kristian atau agama lain.

Tetapi mengadakan hubungan sesama jenis, sama ada gay atau lesbian, bagai sudah jadi satu perkara biasa.

Orang Melayu kita pun ada berbuat demikian.

Apakah mungkin suatu hari nanti kita juga akan bersikap liberal dan menerima perkahwinan seumpama itu?

Kemudian ada satu lagi insiden yang menarik untuk saya kongsi di sini.

Kali ini, ia berdasarkan pengalaman seorang teman saya semasa menghadiri satu majlis ceramah agama tidak lama dahulu.

Teman saya itu menceritakan, ada seorang hadirin dalam majlis tersebut, seorang wanita muda berselendang, yang menimbulkan soal hantaran dan belanja perkahwinan yang terlalu tinggi sekarang ini.

Wanita itu berkata, beliau mempunyai seorang teman lelaki yang ingin meminangnya untuk dijadikan isteri, tetapi wang hantaran yang diletakkan oleh keluarganya di luar kemampuan kekasihnya itu.

Apa yang memeranjatkan hadirin dan ustaz yang mengadakan ceramah itu, menurut teman saya, ialah apabila wanita berkenaan berkata tidak bolehkah mereka setakat tinggal dan hidup bersama tanpa berkahwin?

Hakikat bahawa yang menimbulkan persoalan itu ialah seorang wanita muda dan bertudung, kata teman saya, membuat ustaz berkenaan urut dada.

Apa kata anda?

Mungkinkah suatu hari nanti - apabila ibu bapa meminta hantaran terlalu tinggi untuk anak perempuan mereka, di tamb ah dengan belanja perkahwinan yang begitu mahal - anak-anak muda kita akan mengambil jalan mudah untuk tinggal bersama tanpa ikatan pernikahan?

Bagaimana kita hendak menjawabnya?

Ada satu lagi contoh.

Sebelum ini saya pernah mendengar seorang anak muda yang menyatakan keinginannya untuk memelihara anjing kerana tertarik melihat anjing-anjing kecil yang jinak lagi cute milik jiran-jirannya.

Katanya, kalau kita boleh jadikan kucing sebgai binatang peliharaan di rumah, kenapa tidak anjing?

Kalau anjing itu ada kuman yang boleh membahayakan seperti yang dijelaskan sebagai rasional Islam melarang memelihara anjing, anak muda berkenaan bertanya, kenapa ramai orang pelihara anjing, tetapi tidak kena penyakit jangkitan kuman yang dimaksudkan itu?

Anak muda itu mungkin hanya setakat bertanya.

Bagaimana jika nanti keinginan itu benar-benar timbul di kalangan masyarakat kita dan menjadi trend ikut-ikutan pula?

Bukan tujuan rencana ini untuk menimbulkan perkara-perkara bukan-bukan yang belum jadi isu dalam masyarakat kita sekarang ini.

Ia juga bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa. Memang kita tidak harus mudah menghukum atau menyalahkan orang lain.

Cuma ia mengundang kita untuk berfikir. Bagaimana kalau perkara-perkara seperti itu berlaku dalam masyarakat kita nanti?

Bersediakah kita menghadapinya? Bagaimana harus kita tanganinya?

Apakah kita akan kutuk sahaja orang yang berbuat demikian sambil mengatakan ia berdosa atau kita akan cuba gunakan penjelasan secara rasional dan ilmiah sebagai menyokong prinsip agama yang melarang perbuatan seperti itu?

Ketiga-tiga insiden yang saya timbulkan ini mungkin agak mudah untuk kita jawab kerana hukum agama berkaitan dengannya memang sudah cukup jelas.

Namun, bagaimana kalau kita berhadapan dengan isu-isu lebih rumit yang tiada garis sempadan yang jelas antara pendirian agama dengan ciptaan sains?

Bagaimana jika suatu hari nanti, kemajuan dalam bioperubatan membolehkan ibu bapa memilih jenis bayi yang mereka inginkan, atau apa yang dikenali sebagai designer babies?

Apakah reaksi kita kalau ibu bapa boleh memilih benih untuk disemai dalam rahim ibu untuk memastikan tahap kebijaksanaan, warna kulit, bentuk tubuh dan rupa mengikut kemahuan mereka?

Bagaimana kalau nanti para saintis boleh membuat klon manusia?

Bersediakah kita untuk membuat garis sempadan antara apa yang dapat kita terima dengan apa yang tidak?

Kita tidak boleh menolak kemungkinan timbul banyak lagi isu dan persoalan lain yang memerlukan kita untuk berfikir dan menanganganinya secara saksama.

Kalau hendak diturutkan, banyak yang perlu kita fikirkan.

Komputer bukan mainan

29 Jan 2012

EKSTRA!

Komputer bukan mainan

Ibu bapa perlu sedar bahawa komputer dan alam siber mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan anak-anak kita


TERIAKAN terus-menerus kanak-kanak itu membuat para pelanggan lain di restoran itu bagai terpaku kehairanan.

Namun, tanpa menghiraukan mata-mata yang tajam menjeling ke arah mereka, ibu kepada pemilik suara kecil tetapi lantang itu, menghulurkan sekeping komputer leper bersalut kulit kelabu kepada anaknya.

Kanak-kanak berusia kira-kira tiga tahun itu tersenyum puas, wajahnya mirip seorang perwira yang baru berjaya menakluki lawannya.

Matanya kini terpaku pada skrin yang menunjukkan kartun animasi terkini di YouTube.

Dengan selamba, si ibu lantas menyambung semula perbualannya dengan rakannya yang duduk semeja.

Adegan itu mengingatkan saya akan perbahasan tentang penggunaan komputer dan Internet yang ditimbulkan di laman Facebook Berita Minggu (BMS) tidak berapa lama dahulu.

Seorang anggota BMS telah melahirkan keprihatinannya mengenai kandungan Internet dan bagaimana ibu bapa boleh memastikan anak-anak mereka tidak akan melungsuri kandungan Internet yang kurang sesuai seperti laman lucah dan sebagainya.

Kebimbangannya itu wajar.

Menurut beberapa sumber dalam talian, terdapat sekitar 12 peratus atau 25 juta laman web yang berunsur lucah.

Seperempat daripada semua pencarian di jentera pencari pula menjurus kepada kata-kata lucah.

Lebih membimbangkan, anggaran antarabangsa menetapkan usia purata kanak-kanak yang melihat kandungan lucah ialah 11 tahun.

Dalam konteks Singapura, ini bermakna anak anda mungkin mula mencari kandungan lucah apabila dia berada di darjah lima.

Malah, bahaya di Internet tidak terhad kepada kandungan lucah sahaja.

Terdapat pelbagai jenis jenayah siber yang melibatkan penipuan, pemalsuan dan pencurian identiti.

Ini belum termasuk masalah si penyumbaleweng (pervert) yang mengendap di bilik ngobrol atau chat room, memburu kanak-kanak yang mudah diperdaya bagi memuaskan nafsunya yang rakus.

Sebab itulah, saya turut berkongsi keprihatinan anggota BMS tadi.

Penyelesaian masalah ini rumit dan tiada penawar sejagat untuknya.

Kalau pun ada, ia merangkum penggunaan sofwe anti-virus, dinding kawalan (firewall) atau program pemantauan kegiatan kanak-kanak di alam maya. Masalahnya, keberkesanan kaedah-kaedah tersebut bergantung kepada sikap manusia.

Tanpa berniat menuding jari, pucuk pangkal masalah ini mungkin boleh dilihat menerusi senario yang saya gambarkan di atas, iaitu cara si ibu memujuk anaknya dengan menggunakan komputer lepernya.

Tidak berapa lama dahulu, seorang ibu hanya menggunakan mainan biasa untuk memujuk anak yang meragam.

Perubahan ini mencetus soalan tentang tanggapan kita terhadap komputer.

Adakah ia satu objek permainan, bahan memudahkan kerja di pejabat atau aksesori gaya hidup semata-mata?

Pada suatu masa dahulu, jawapan kepada soalan tersebut lebih jelas.

Sebagai contoh, peranan komputer peribadi pertama yang saya miliki lewat 1995 adalah jelas. Saya menggunakannya untuk menaip tugasan sekolah.

Pada ketika itu, penggunaan Internet belum berleluasa kerana faedahnya belum ketara dan prasarana sokongan pula kurang - bayangkan menunggu hampir sejam untuk berhubung dengan Internet menerusi telefon atau dial-up - sungguh menghampakan.

Sebaliknya, peranan komputer dalam hidup kita kini tidak begitu jelas, lebih-lebih dalam kehidupan anak-anak kita.

Suka atau tidak, kehidupan anak-anak kita kini terlalu bersangkut paut dengan dunia siber.

Malangnya, ramai ibu bapa yang masih menganggap komputer dan Internet sebagai alat untuk melaksanakan kerja sekolah semata-mata.

Malah, ada yang menganggapnya bak permainan, menurut penggiat keselamatan Internet Norton, Encik Effendy Ibrahim, apabila diminta mengulas tentang isu ini tidak berapa lama dahulu.

Mengikut Laporan Keluarga Dalam Talian Norton 2010, 36 peratus ibu bapa di Singapura sedar akan kegiatan anak-anak mereka di Internet.

Sementara itu, 63 peratus belia mengaku bahawa mereka tahu cara menyembunyikan kegiatan dalam talian daripada ibu bapa mereka.

'Penggunaan komputer dan Internet anak-anak di rumah tidak diberikan keutamaan, walaupun ia sebahagian besar daripada kehidupan anak-anak kita dewasa ini,' kata Encik Effendy, yang turut menyandang jawatan ketua perniagaan pengguna Symantec (Asia).

Beliau percaya, ibu bapa perlu bersikap lebih proaktif dalam mendidik dan mengasuh anak-anak mereka tentang adab dan bahaya Internet dan komputer.

Dan bak pepatah, melentur buluh biar dari rebung, langkah ini tentu sekali lebih berkesan jika dilakukan dari awal lagi, apabila si anak masih kecil lagi.

Berbalik kepada si ibu dan anak tadi.

Mungkin pada mulanya tidak salah bagi si comel untuk menganggap komputer dan Internet sebagai bahan permainan semata-mata.

Masalahnya timbul jika ibu bapa kekal berpendapat sedemikian apabila anaknya meningkat dewasa.

BUDI sebagai lambang bangsa

28 Jan 2012

KOMENTAR

Budi sebagai lambang bangsa


SAYA tersentuh dengan tulisan Encik Ismail Pantek (BM, 22 Januari) tentang budi bicara Melayu kita.

Memang benar, sasterawan merupakan satu golongan penting dalam masyarakat kita. Dari itu, usahlah abaikan sasterawan kita.

Seorang penyair Islam pernah berkata 'bahawasanya erti bangsa itu ialah budinya. Tidak ada budi tanpa bangsa'.

Hamka pula menyatakan, kebudayaan bangsa yang sejati timbul daripada budi bangsa, budi bangsa timbul daripada percikan keindahan.

Minda manusia secara semula jadi merangkumi cara-cara perkembangan berfalsafah, cara teologi, metafizikal dan yang positif. Usah biarkan kewarasan moral menghalang kita berbuat sesuatu yang betul. Selalulah berwaspada dengan kehadiran suatu keajaiban dan kita akan terpegun

Menurut Imam Syafie, memilih kata-kata yang baik dan pantas adalah termasuk budi pekerti.

Seorang lagi ahli pemikir juga ada berkata bahawa kita adalah apa yang kita bicara.

Dalam diri manusia, terdapat semua yang positif. Hati kecil kita sebenarnya melarang kita berbuat yang tidak baik.

Saya ada wawasan untuk dikongsi dengan pembaca tentang budi pekerti seseorang.

Apabila kita berbicara, itu menandakan kesempurnaan budi pekerti, maka kita patut pilih kata-kata yang baik. Banyak sebab untuk kita tersenyum, carilah ia.

Kita harus menganggap segala sesuatu itu penting, barulah kita tidak akan kehilangannya. Tidak mengapa jika kita telah berbuat kesalahan, satu perkara yang pasti, semua orang, termasuk saya sendiri, akan membuat salah. Lakukan suatu perkara yang kecil dengan baik daripada melakukan suatu yang besar dengan buruk.

Memfitnah orang lain dan mengarang-ngarang yang bukan kesalahannya adalah mengarang bohong. Kebohongan hanya terdapat pada orang yang rendah budi. Berhati-hati apabila mengungkap kata, walaupun sedang duduk seorang diri kerana tidak ada kata yang terlepas daripada pandangan Tuhan.

Kata-kata hikmah Hamka lagi - keutamaan budi ialah menghilangkan segala perangai buruk, adat istiadat yang rendah, yang telah ditentukan agama mana yang mesti dibuang dan mana yang mesti dipakai. Biasakan bersikap terpuji dan mulia yang berkesan dalam pergaulan setiap hari serta rasailah nikmatnya.

Budi pekerti kita tidak terpisah daripada bahasa yang kita gunakan. Maka, ilmu sastera yang halus seperti puisi menjadi sebahagian daripada budi.

Pucuk manis pucuk ubi
Daun purut digetus rusa
Yang manis bernama budi
Yang indah itu bahasa.

Sharifah Mohamed

Tuesday, January 24, 2012

Jati diri bangsa Melayu

22 Jan 2012

EKSTRA!

BUDI BICARA MELAYU KITA

Karya sasterawan Melayu yang memperjuangkan jati diri bangsa perlu dijadikan iktibar


MELAYU itu orang yang bijaksana.

Nakalnya bersulam jenaka.

Budi bahasanya tidak terkira...


Melayu itu kaya falsafahnya.

Kias kata bidal pusaka.

Akar budi bersulamkan daya.

Gedung akal laut bicara....


Berdamai cara Melayu indah sekali.
Silaturrahim hati yang murni.
Maaf diungkap senantiasa bersahut.
Tangan diulur sentiasa bersambut.
Luka pun tidak lagi berparut...


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun.
Menyanggah dengan senyum.
Marahnya dengan diam.
Merendah bukan menyembah.
Meninggi bukan melonjak.


Kata-kata ini saya sedut daripada sajak bertajuk Melayu, tulisan Allahyarham Usman Awang, salah seorang penyair dan sasterawan ulung Melayu yang amat saya kagumi tulisannya.

Sejak kecil lagi saya sudah diperkenalkan kepada karya-karya Usman Awang, selain beberapa tokoh sasterawan ulung Melayu dan Indonesia.

Sebuah novelnya yang bertajuk Tulang-Tulang Berserakan pernah saya pelajari sebagai buku teks mata pelajaran sastera sewaktu saya menuntut di menengah dua dahulu.

Dari dahulu hingga sekarang, saya memandang tinggi golongan sasterawan.

Bagi saya, sasterawan merupakan satu golongan penting dalam mana-mana masyarakat, termasuk masyarakat kita.

Saya melihat sasterawan sebagai satu golongan yang begitu peka akan kejadian yang berlaku dan nasib yang dialami oleh masyarakat mereka dan manusia sejagat umumnya.

Seringkali mereka dapat merasakan denyut nadi masyarakat sekeliling dan membuat pemerhatian yang kadangkala tidak dapat dilihat oleh masyarakat ramai.

Golongan sasterawanlah yang selalunya mendekatkan diri dengan masyarakat bawahan, yang sering mereka panggil golongan marhain.

Suara sasterawan seringkali mewakili suara golongan marhain ini.

Itulah pemahaman saya tentang sasterawan sejati ini.

Itulah sebabnya golongan sasterawan amat saya hormati dan mendapat tempat istimewa di hati saya... terutama mereka yang berjuang bukan kerana nama atau ganjaran, apa lagi untuk menang anugerah dan pangkat.

Berbalik kepada sajak Melayu karya Allahyarham Usman Awang ini, saya menimbulkannya dalam ruangan kali ini kerana bagi saya, sajak tersebut amat berguna untuk membantu kita mengenal sifat-sifat orang Melayu yang tidak banyak berbeza sampai sekarang - baik di Singapura atau di mana jua pun.

Bagi saya, banyak yang kita boleh jadikan iktibar daripada sajak tersebut. Begitu juga dengan karya-karya Allhyaryam yang lain... asalkan saja kita sedia membuka minda dan berlapang dada.

Apa yang saya petik dalam empat perenggan pertama rencana ini menunjukkan sifat-sifat positif orang Melayu kita.

Sebahagian besarnya wajar kita contohi, walaupun dalam melayari hidup di zaman moden ini.

Pada asasnya, saya yakin, orang Melayu kita sampai sekarang masih mementingkan budi bahasa.

Walaupun kita sudah jarang berpantun untuk meluahkan perasaan, sifat lembut dan bertimbang rasa seperti yang diungkapkan dalam sajak Allahyarham Usman Awang itu masih berakar umbi dalam masyarakat kita.

Sifat bermaaf-maafan dan mengerat silaturrahim masih menjadi amalan umum masyarakat kita.

Cuma kadangkala, ada sebahagian orang kita yang lupa akan budi bicara dalam melayari kehidupan seharian.

Ada orang kita yang mudah naik baran dan tidak teragak-agak bila melemparkan kata-kata kesat apabila sedang marah.

Saya pernah membaca komen-komen yang tersiar dalam Facebook dan laman sosial lain yang dibuat oleh kita.

Apabila mereka mengecam tentang sesuatu golongan atau kejadian yang menjejas masyarakat kita, pelbagai perkataan, termasuk kata-kata kesan mereka luahkan.

Apabila mereka membidas sesuatu pandangan yang bertentangan dengan pandangan mereka sendiri, mereka menulis seolah-oah mereka sahaja yang betul.

Sedang ada antara kita yang pantang ditegur, lalu mudah merah telinga mereka, ada pula yang tidak henti-henti melemparkan kritikan seolah-olah semuanya salah.

Mereka ini sering lupa akan pepatah Melayu agar berhati-hati; bagai menghela rambut dari tepung, rambut tidak putus tepung jangan terserak.

Golongan Melayu seperti ini disebut dalam sajak Melayu Usman Awang tadi yang berbunyi :

Watak Melayu menolak permusuhan.
Setia dan sabar tiada sempadan.
Tapi jika marah tak nampak telinga.
Musuh dicari ke lubang cacing.
Tak dapat tanduk telinga dijinjing...
Hebat amuknya tak kenal lawan.

Apa nasihat Usman Awang kepada orang Melayu dalam sajaknya itu? Ini katanya:

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka



Bagi saya, sajak tersebut bagai satu permata yang wajar kita jadikan panduan.

Karya-karya Allahyarham umumnya bagaikan permata yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri bangsanya.

Saya yakin, ramai juga antara sasterawan kita hari ini yang mempunyai semangat seperti Allahyarham.

Golongan inilah yang perlu kita berikan perhatian dan sokongan.

Jangan abaikan sasterawan kita.

Thursday, January 19, 2012

KERIS

10 Jan 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Keris Senjata Kebanggaan Orang Melayu


ANAK-ANAK muda zaman sekarang mungkin kurang menghargai keris.

Bagi mereka sekarang, keris hanyalah bahan hiasan untuk digantung di rumah atau diletakkan di atas almari.

Paling tidak, keris hanya dikaitkan dengan seni silat atau adat istiadat diraja yang masih menjadi amalan di negara jiran kita, Malaysia, Brunei dan mungkin juga Indonesia.

Apa yang kurang difahami ramai ialah keris pernah menjadi satu senjata penting bagi golongan pahlawan, pendekar dan pembesar Melayu di Nusantara sejak lebih 800 tahun lalu.

Bagi yang sedia mempelajari sejarah orang Melayu, tidak dapat tidak, mereka akan diketemukan dengan kehebatan pahlawan Melayu bermain senjata yang bernama keris.

Keris Taming Sari milik Hang Tuah, misalnya, dikatakan mempunyai pelbagai kesaktian seperti melindungi tubuh penggunanya daripada dicederakan oleh mana-mana senjata.

Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa keris merupakan lambang kebanggaan dan keperkasaan Melayu turun temurun.

Ia salah satu lambang kebesaran bagi raja-raja atau lambang kekuasaan atau kedaulatan.

Apa itu keris?

Keris mempunyai dua belah mata, melebar di pangkal dan tirus dihujungnya serta tajam.

Terdapat mata keris yang lurus dan berlok-lok dengan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya.

Keris mempunyai berbagai-bagai bentuk dan ukuran.

Kebanyakan keris terdiri dari jenis yang berlok, sama ada tiga, lima, tujuh atau sembilan dan lurus.

Kalau anda perhatikan dengan teliti, keris bukan sahaja cantik dan unik, bahkan apa yang menjadikannya hebat ialah seni reka bentuk keris yang pelbagai rupa.

Bukan senang untuk menghasilkan sebilah keris yang baik, cantik dan bermutu tinggi.

Tiga aspek penting mata keris adalah rupa awan larat dan corak pamor, bentuknya dan corak berombak yang wujud daripada campuran logam dan nikel.

Alat Senjata Warisan Melayu

Selain keris, orang Melayu opada zaman dahulu juga menggunakan senjata-senjata lain seperti lembing, parang, kelewang, beladau, badik, tombak dan banyak lagi.

Berbeza daripada keris yang sering melekat di tangan penggunanya dalam satu-satu pertarungan, lembing pula pada dasarnya adalah senjata yang dilontar ke arah musuh.

Batangnya diperbuat daripada kayu lurus berukuran sedepa, mata lembing dimasukkan ke dalam batang dan diperkuat dengan ikatan rotan atau simpai logam.

Mata lembing lazimnya dibentuk seperti pisau dan jarang sekalin berduri. Lembing Melayu dikatakan lebih pendek, ringan dan tajam mata dihujungnya.

Terdapat berbagai-bagai jenis lembing kebanyakannya bermata tajam diperbuat daripada kayu atau buluh.

Jika orang Melayu terkenal dengan keris, orang Bugis pula terkenal dengan senjata mereka yang dikenali sebagai badik.

Badik mempunyai mata yang lurus dan berkeluk seperti keris. Panjang mata badik ini adalah di antara 18 dengan 20 sentimeter dan lebar 2 sentimeter.

Hulu dan sarungnya diperbuat daripada bahan-bahan seperti kayu, tanduk dan gading serta dihias dengan motif awan larat.

Badik mempunyai mata yang tebal di bahagian belakangnya dan meruncing di hujungnya.

Kesimpulan

Seperti juga masyarakat lain, orang Melayu meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap senjata-senjata kebanggaannya, terutama keris.

Selain digunakan sebagai alat berperang atau mempertahankan diri, keris dan senjata lain Melayu juga seringkali dikaitkan dengan unsur-unsur alam ghaib.

Sesetengah orang dahulu mempercayai keris mempunyai kuasa dalaman yang dapat membantu mempertingkatkan ilmu kebatinan kepada si pemiliknya.

Mungkin kepercayaan tersebut sudah semakin menipis di kalangan masyarakat Melayu moden pada hari ini.

Bagaimanapun, senjata Melayu seperti keris, lembing dan badik ini tidak harus dibiarkan hilang ditelan zaman.

Ia mempunyai keunikan tersendiri dan berkait rapat dengan nilai dan budaya masyarakat Melayu turun temurun.

Keris adalah salah satu warisan kebanggaan kita.

gUrU

12 Jan 2012

KOMENTAR

PADA HEMAT SAYA
Contoh dan cemar pada guru

Oleh
Mohd Raman Daud
RENTETAN kes cabul melibatkan segelintir guru (termasuk guru tuisyen) dan muridnya sejak beberapa tahun ini memang memprihatinkan.

Kisah seperti ini tidak pernah terbayang sejauh ini. Namun, sejak ada media sosial, batas profesionalisme hubungan guru dan murid seolah- olah kian kabur.

Di Parlimen kelmarin, isu ini dijelaskan oleh Menteri Negara (Pendidikan), Encik Lawrence Wong. Katanya, semua guru yang baru memulakan kerjaya perlu melalui proses yang menekankan peri pentingnya nilai luhur keguruan.

Namun, perilaku guru yang tidak senonoh sudah diperikan orang dulu-dulu. Sewaktu belajar di Sekolah Rendah Tanglin Besar hampir lima dekad lalu, antara peribahasa yang kami cuba fahami ialah 'jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari'.

Kami tertawa terbahak-bahak mendengar peribahasa itu. Namun, guru bahasa ketika itu memang serius. Menurutnya, peribahasa itu membawa erti yang amat penting. Pertama-tama, peranan guru menjadi orang budiman, mendidik masyarakat termasuk murid sekolah rendah.

Setiap tingkah laku guru diperhatikan oleh masyarakat (orang kampung). Guru menjadi semacam matahari kampung.

Ketika pernah menjadi guru pelatih dan berdampingan dengan para guru, barulah saya dapat membezakan erti 'cikgu' dan 'guru'.

Menurut Pendeta Dr Hj Muhd Ariff Ahmad, 'cikgu' iaitu singkatan 'encik atau cik guru' lebih mencerminkan guru yang hidup makan gaji sehingga detik bersaranya.

Namun, 'guru' daripada bahasa Sanskerta yang bermakna seorang arif yang setia menunjuk ajar (orang Melayu dulu juga memanggilnya 'ajar-ajar' atau 'pengajar') serta mempunyai budi pekerti yang tinggi sehingga akhir hayatnya.

Profesi guru memang dipandang mulia dalam hampir semua tamadun. Socrates, Plato dan Aristotle merupakan ahli falsafah Yunani dan para guru yang menjadi asas tamadun Barat.

Bahkan, para rasul dan nabi merupakan guru yang agung yang menjadi asas kepada pelbagai agama. Confucius dianggap guru terbilang bagi tamadun Cina.

Dalam menyusur sejarah kebangkitan semangat nasionalisme Melayu, guru merupakan antara faktor penting.

Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak, dianggap wadah tampil guru yang luar biasa seperti Haron Mohd Amin (Pak Har yang merupakan novelis paling prolifik dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden), Mahmud Ahmad, Dr Muhd Ariff dan Masuri SN.

Selain wartawan yang menjadi peniup semangat lewat akhbar, guru amat berpengaruh dalam mencanangkan rasa harga diri orang Melayu agar tidak terus dijajah.

Pun sejarah sedemikian berlaku kerana tiada banyak bidang profesi lain bagi orang Melayu yang terjajah. Amat sedikit yang menjadi doktor, peguam dan seumpamanya tetapi mereka ada terlibat dalam membangun azam antipenjajahan.

Saya pernah terbaca tulisan sasterawan besar Indonesia, Putu Wijaya, asal Bali pada 2009 mengenai pujiannya kepada guru:

'Pada masa lalu, guru adalah orang yang lebih tahu yang mengajarkan seseorang tentang sesuatu yang ingin dikuasainya.

'Di dalam mengajarkan itu, berbagai-bagai cara ditempuh oleh guru sesuai dengan keupayaan masing- masing. Ada yang sangat mempertimbangkan mutu, keupayaan serta keterbatasan muridnya.

'Ia menjadi guru yang lebih merupakan orang tua yang mengarahkan dan menumbuhkan muridnya untuk menguasai ilmu dengan kasih sayang.'

Putu Wijaya (pernah menyertai Minggu Penulis Singapura tahun lalu) juga menyatakan:

'Ada guru yang sama sekali tidak peduli (cara lain untuk peduli), sehingga murid-muridnya akan berusaha dengan seluruh kemampuannya untuk pintar.

'Ketika para pelukis anggota Sanggar Bambu Yogya meminta Afandi meluangkan waktu untuk mengajar, agar kemampuan mereka meningkat, Afandi menolak. Dia bilang dia sedang berpacu untuk mengejar berbagai-bagai pencapaian di dunia internasional.

'Kalau Sanggar Bambu mahu belajar, jangan minta saya berhenti atau menoleh ke belakang, tapi silakan mengejarku, agar pengejaranku tidak terganggu,' kata pelukis terkenal Indonesia itu.')

Tambah Pak Putu, 68 tahun:

'Murid pun ada bermacam-macam. Ada yang patuh, belajar dengan sabar. Ia akan mengikuti seluruh ucapan, fikiran dan perintah daripada guru dengan hormat dan bahkan takut. Mati pun ia bersedia demi guru. Murid macam itu tumbuh menjadi duplikat guru kalau tidak bisa dikatakan pengikutnya yang setia.'

Barangkali dari sana lahir pepatah: 'Guru kencing berdiri, murid kencing berlari'.

Jadi, konteks peribahasa 'guru kencing berdiri' dinilai Pak Putu sebagai 'positif' menurut pandangan murid yang taksub akan gurunya.

Di sinilah berlaku tengkarah bahawa guru sedemikian hanya membawa kerosakan kepada murid atau pengikutnya.

Imam Abu Hamid Al-Ghazali menyifatkan ulama sebagai guru yang membawa dua kesan - baik atau rosak (ulama su').

Bahkan, beliau mengingatkan bahawa jumlah ulama merosak akan bertambah menjelang akhir zaman. Oleh itu, berhati-hatilah mencari guru atau berguru.

Dalam Islam, antara amalan berguru ialah mencari guru yang benar-benar dapat membimbing ilmu zahir dan batin.

Lazimnya, rantai pertalian guru dicari sehingga akhirnya sampai kepada para sahabat dan akhirnya Nabi Muhammad saw selaku guru agung Islam. Itulah sebabnya ulama silam sering membanggakan deretan gurunya yang sebenarnya berkaitan antara satu sama lain.

Zaman saya bersekolah rendah sehingga menengah masih diwarnai oleh guru yang bengis. Ada yang membawa rotan. Segelintir saja guru yang lucu dan bertindak macam teman.

Namun, dalam begitu banyak guru, saya teringat seorang guru yang mengajar Ilmu Hisab (Matematik) dan menjadi guru Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) di Sekolah Menengah Swiss Cottage.

Di sebalik wajah serius, hatinya mulia sehingga sanggup mengajak kami belajar kelas tambahan Matematik di rumah dalam bahasa Inggeris. Disediakan juadah untuk kami yang selalu lapar dan haus. Padahal kami murid aliran Melayu. Usahanya berhasil. Namun, guru itu kemudian berhijrah ke Malaysia. Semoga barakah laluan hidupnya.

Guru kini memang tidak sehebat dulu - jika masuk dalam kelas, tiba-tiba disebut 'malaikat lalu'. Seorang ustaz menceritakan pengetua Madrasah Aljunied yang apabila masuk pekarangan, murid yang gamat tiba-tiba sepi.

Ya, guru kini tidak lagi ditakuti bukan kerana hilang kehebatannya. Namun, guru sudah berubah menjadi teman yang menggantikan peranan ibu bapa yang terlalu sibuk atau tidak tahu mengasuh anaknya.

Guru kini tidak dilihat sebagai gedung ilmu sejak adanya Internet. Namun, guru lebih dinilai sebagai pemudah cara (fasilitator) yang tugasnya menyampaikan ilmu dan caranya kepada murid.

Bahkan murid disuruh belajar cara kumpulan untuk menemukan (discover) ilmu dan sebagainya. Kononnya, cara ini lebih inovatif. Saya sendiri kurang pasti.

Saya pernah menjadi guru kelas malam di Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa di Sekolah Menengah Monk's Hill lebih tiga dekad lalu. Pun saya mengajar sebagai guru pelatih cuma tiga bulan di sebuah sekolah kelas Pra-U. Namun, gaji guru ketika itu amat kecil, jadi terpaksa saya cari kerja lain.

Kini kian ibu bapa kekurangan masa, gurulah menjadi harapan. Sudahlah begitu, imej mereka juga terjejas oleh sikap segelintir yang memasuki profesi ini kerana dianggap 'mudah mendapatkan kerja' atau bergaji boleh tahan. Jadi, timbullah segelintir guru yang merosak kerana tiada dedikasi, apatah lagi berlaku cabul dan mendera.

Sedang Singapura kian berkembang menjadi hab ilmu dan pendidikan, profesi guru akan terus diperlukan. Kalangan mereka itu ada yang begitu tertekan. Bahkan saya diberitahu, ada guru termasuk pengetua yang perlu mendapatkan rawatan jiwa kerana tekanan kerja.

Pokoknya, guru akhirnya boleh jadi teman dalam mengenal kehidupan yang rumit.

Baru-baru ini saya menemui seorang guru pencen yang sedang pulih di hospital sesudah mengalami pendarahan usus.

'Man, berapa umur kau?' tanyanya.

'54, cikgu.'

'Eh kau dah tua rupanya, apatah lagi aku.'

Kami tertawa seolah-olah masa silam itulah guru. Dan kini tinggal sejarah saja.

Pantun

17 Jan 2012

EKSTRA!

MARI BERPANTUN
Biar pantun sedap didengar

Oleh
Mohamed Ashik

Pulau Serimbun nampak tepian,
Ombak beralun kolek berlima
Pantun Warisan dalam Asean,
Melestari pantun milik bersama

DATUK, nenek, ayah dan ibu menghantar kita ke sekolah dengan harapan supaya jadi anak berilmu dan pandai.

Bukan saja pandai, bahkan juga diharapkan agar kita jadi bijak, pintar, cerdik, cekap, mahir, pakar dan sebagainya sehingga bergelar sarjana, pendeta dan cendekiawan.

Tetapi sungguh sayang sekali jika di sebalik ilmu yang kita timba itu, kita masih tidak dapat membezakan antara kaca dengan intan untuk menerima nilai-nilai kebaikan dalam hidup.

Dalam menjalani hidup ini yang penuh dengan pancaroba, kita digalakkan supaya bijak membuat penilaian, setelah kita benar-benar memahami sesuatu.

Apabila kita telah pandai, jangan sekali-kali kepandaian kita itu mengubah corak keperibadian, sehingga kita jadi lupa diri, angkuh, sombong dan bermegah-megah. Takut bak dikata dalam pantun:

Pantai landai berteluk empat,
Bahtera berlabuh tidak berlaga;
Sepandai-pandai tupai melompat,
Akhirnya jatuh ke tanah juga.

Berbalik ke tujuan asal, dalam mempelajari pantun, kita juga digalakkan supaya pandai menilai, dan bijak memilih perkataan yang sesuai, supaya pantun bermutu dan sedap kedengaran di telinga. Kita tidak mahu mengarang pantun atas dasar asal boleh, sehingga tidak menghiraukan soal mutu.

Cuba dengar pantun berikut:


Budak-budak atas jambatan,
Campak batu seorang satu;
Ramai duduk di medan,
Campak pantun seorang satu.

Pembayang maksud pantun tadi memang cantik, menggambarkan kebiasaan budak-budak di kampung, yang suka bermain di atas jambatan sambil mencampak batu ke air.

Masyarakat di kampung juga memang suka duduk berkumpul di tanah lapang atau di serambi rumpun, sambil bergurau senda dan berpantun yang menjadi warisan lama ibunda.

Maka lahirlah pantun tadi:

Budak-budak atas jambatan,
Campak batu seorang satu,
Ramai duduk di medan,
Campak pantun seorang satu.

Cuba perhatikan suku kata pada baris ketiga pantun tadi, yang berbunyi 'ramai duduk di medan' tidak cukup dan kalau dipantunkan, kendengarannya janggal: Ramai duduk di medan, kalau ditambah satu perkataan, tentu sedap dipantunkan.

Ramai orang duduk di medan. Hujung ayat pada baris kedua dan keempat sama, 'Campak batu seorang satu, dengan campak pantun seorang satu. Dalam syarat berpantun salah. Pantun tadi semoleknya ditulis begini:


Permai sungguh kampung bertaman,
Nampak dari Tanjung Batu;
Ramai orang duduk di laman,
Campak pantun seorang satu.

Sekian dahulu buat kali ini dan sehingga bertemu lagi di lain terbitan, terimalah salam perpisahan berpantun:


Anak penghulu bermain layang,
Ramai berhimpun di padang terbuka;
Jauh dirindu dekat disayang,
Pantun Warisan jangan dilupa.

ASAL USUL ORANG MELAYU

17 Jan 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Asal Usul Bangsa Melayu

Dari sudut mana pun ditakrifkan, mereka mempunyai sejarah yang panjang


SIAPAKAH antara kita yang layak dipanggil sebagai orang atau bangsa Melayu?

Sering kali, sebahagian kita memandang ringan atas takrif orang Melayu ini.

Bagi kita, asal seseorang itu berbahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu dan beragama Islam, maka beliau layak dikenali sebagai orang Melayu.

Namun, di kalangan bijak pandai dan pakar kaji masyarakat, terdapat perbahasan yang meluas tentang siapa yang layak dipanggil sebagai bangsa Melayu. Mereka mempersoalkan pendekatan mana yang harus diikuti bagi mentakrifkan diri sebagai seorang Melayu?

Apakah kita harus mengikut pentakrifan undang-undang atau memandangnya dari sudut antropologi, etnologi atau budaya?

Allahyarham Abdul Rahim Kajai, seorang tokoh wartawan Melayu dahulu, mentakrifkan bangsa Melayu sebagai penduduk asal gugusan kepulauan Melayu atau alam Melayu seperti di pulau Jawa, Bugis, Madura, Bawean, Minangkabau dan juga Banjar. Orang Asli seperti suku kaum Semang, Jakun dan Pangan termasuk dalam definisi Melayu kerana mereka juga adalah penduduk asli di Semenanjung.

Menurut beliau lagi, 'Jika seseorang itu bangsa Melayu, dia akan tetap dan kekal sebagai bangsa Melayu, walaupun dia dilahirkan di Kutub Utara, bertukar kerakyatan, hatta bertukar agama sekalipun'.

Sasterawan Allahyarham Usman Awang pula memberi takrif menarik tentang orang Melayu dalam sajaknya berjudul Melayu.

Salah satu rangkap sajak itu berbunyi:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu)

Di Malaysia, penduduk peribumi daripada keturunan Minang, Jawa, Aceh, Bugis dan Mandailing antaranya, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu.

Bahkan orang bukan peribumi yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu. Mereka dikatakan telah 'masuk Melayu'.

Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan negara itu: 'Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura'.

Dari segi penakrifan antropologi pula, mengikut Syed Husin Ali, seorang pakar antropologi Malaysia, orang Melayu itu dari segi lahiriah, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.

Menurut Syed Hussein Al-Attas menerusi bukunya Mitos Peribumi Malas, para pengkaji Barat mempercayai orang Melayu tergolong dalam gagasan puak Malayo-Polinesia. Gagasan ini termasuk mereka yang menghuni kawasan geografi yang dikenali kini sebagai Myanmar, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Kepulauan Polinesia sehingga ke kepulauan Hawaii.

Hakikatnya, walau dari sudut mana pun kita mentakrifkan orang Melayu, ternyata mereka mempunyai sejarah yang panjang.

Bahkan, ada yang mengatakan bahawa orang Melayu yang pertama menghuni kawasan nusantara Melayu ini dipercayai pada kira-kira 50,000 Sebelum Masihi.

Secara amnya terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu iaitu:

Teori Yunan yang mengatakan bahawa orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto dan juga Melayu Deutro.

Teori ini antara lain bersandarkan pada penemuan Kapak Tua di Kepulauan Melayu yang menunjukkan adanya penghijrahan penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.

Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan bahawa bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja.

Penduduk di Kemboja pula dikatakan mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekali gus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.

Satu lagi teori tentang asal usul orang Melayu ini dikenali Teori Nusantara.

Teori ini antara lain bersandarkan hujah bahawa Bangsa Melayu dan Bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama.

Ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.

Tuesday, January 3, 2012

Menilai Pantun

3 Jan 2012

EKSTRA!

MARI BERPANTUN
Mari kenali, fahami dan menilai pantun

Oleh
Mohamed Ashik
Hiasan meja alas berenda,
Dibeli orang dari tanjung;
Warisan Pantun menemui anda,.
Melestari pantun pusaka dijunjung

PARA pembaca yang bistari lagi jauhari, kali ini saya ingin mengajak anda mengenali dan memahami serta menilai pantun, pusaka ibunda.

Sebagaimana yang dimaklumi, pantun adalah cabang puisi lama, yang mempunyai pelbagai jenis mengikut keadaan, di mana situasi pemantun berada.

Ada pantun nasihat, pendidikan, ditinggal pergi, luahan rasa cinta, kasih sayang, merindu kekasih, mengenang nasib diri, pantun masuk melamar dan meminang dan sebagainya.

Terdapat juga pantun yang mempunyai maksud atau pengertian yang mendalam yang menghendaki kita menafsir apa yang tersurat dan yang tersirat, serta memerlukan kita bermakrifat dan berfirasat.

Apakah yang dimaksudkan makrifat?

Makrifat ialah pengetahuan.

Seperti pengetahuan kita tentang kewujudan dan keesaan Tuhan, sehingga membawa kita kepada satu aras, atau tingkat penyerahan diri kepada Allah swt yang naik setingkat demi setingkat, sehingga akhirnya sampai kepada tingkat keyakinan yang kuat.

Kesannya ialah kita akan menjadi seorang yang mengenal Tuhan dari segi zat dan sifatnya, sehingga akhirnya dapat mengetahui rahsia-rahsia ketuhanan.

Ia membuatkan kita bermakrifat, iaitu memikirkan sedalam-dalamnya tentang sesuatu hingga kita mengetahui benar-benar tentang apa yang kita anuti selama ini.

Kini, kita telah mengerti tentang apa yang dikatakan makrifat.

Tetapi apa pula yang dikatakan firasat?

Firasat ialah keadaan yang dirasakan atau diketahui akan terjadi sesuatu, setelah melihat tingkah laku atau gejala tertentu.

Jadi andainya ada pemantun yang mengemukakan pantun-pantun yang berunsurkan makrifat, dan yang ingin mengukur firasat kita, maka sekurang-kurangnya kita telah bersedia menjawab apa saja pantun yang dijual atau pantun soalan yang dikemukakan kepada kita.

Sekarang cuba teliti pantun ini:

Puteri Kencana bertudung hijau,
Duduk bersemi menjahit perca
Memecah cahaya intan berkilau;
Mengapa bersembunyi di balik kaca.

Pantun ini membawa pengertian bahawa orang yang ada bakat mempunyai ilmu tersendiri, tetapi mengapa masih hendak menipu diri sendiri atau tidak yakin.

Sebagai menjawab pantun yang jual itu, begini jawapannya:

Rempah jintan, di Kota Raya,
Anyaman ramin, nampak berbinar;
Kilauan intan, bertabur cahaya,
Kerana cermin, memusnah sinar.

Cuba perhatikan rima hujung kata dalam pantun itu, baris pertama sama dengan baris ketiga, baris kedua serupa dengan baris keempat. Jintan dengan intan, raya dengan cahaya, ramin dengan cermin, berbinar dengan sinar.

Makrifat maksud pantun tadi, kilauan intan bertabur cahaya.

Sebagaimana yang kita maklumi, intan itu bersegi petaknya, dan melantunkan cahaya yang memercik, mentelah lagi di tempat gelita. Oleh kerana cahayanya terpantul ke cermin, maka sinar intan itu seakan-akan tertangkis.

Firasatnya, diumpamakan seperti orang berilmu, tetapi ada segelintirnya yang berperasaan inferiority complex atau berasa rendah diri, takut-takut kalau-kalau ada cendekiawan lain yang kepintarannya melebihi diri beliau.

Tetapi sayang oleh kerana kurang makrifatnya, maka cermin yang kurang status keilmuannya ditakuti tanpa berasas.

Itu sebabnya firasat itu perlu, dalam pada itu, kita juga perlu kaya dengan makrifat.

Sebelum berpisah terimalah salam perpisahan berpantun daripada saya, Mohamed Ashik:

Megah kota berkibar bendera,
Taman indah pandang tak jemu;
Berpisah kita untuk sementara,
Sepekan sudah kita bertemu.

TANJAK

3 Jan 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Tanjak Lambang Status


HARI ini, jarang sekali kita melihat lelaki Melayu di sini bertanjak di kepala.

Kalau ada pun, cuma sekali-sekala dan biasanya dipakai pengantin lelaki yang berpakaian Melayu.

Apa yang lebih sering kita lihat ialah kaum lelaki kita memakai songkok dengan pakaian Melayu.

Tahukah anda bahawa tanjak adalah antara warisan kebanggaan budaya Melayu sejak zaman-berzaman?

Ia mungkin dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai dijadikan pakaian seharian pada zaman ini.

Tetapi dahulu, ia merupakan pakaian kebanggaan lelaki Melayu dan menerusi tanjak yang dipakai, kita dapat tahu taraf atau kedudukannya dalam masyarakat.

Tanjak atau dikenali juga sebagai destar dan jenis tengkolok adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.

Ia masih diamalkan di Malaysia, terutama di kalangan istana, kerana negara jiran kita itu hingga kini masih mengekalkan sistem beraja Melayu.

Tanjak pada kebiasaannya akan dipadankan dengan bengkung, kain samping dan baju Melayu berserta keris.

Pemakaian tanjak di kalangan masyarakat kita dikatakan mempunyai sejarah yang panjang.

Sebelum zaman Kesultanan Melaka, iaitu salah satu empayar Melayu yang terakhir di rantau ini sebelum kedatangan penjajah Barat, kaun lelaki Melayu hanya menggunakan segelai kain yang diikat di kepala untuk menutup rambut agar mereka kelihatan gagah dan kemas.

Ikatan kain itu lama-kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman. Ia kemudian diolah dan diubah suai mengikut taraf seseorang.

Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka dengan mengubah sehelai kain yang dipakai sebagai penutup kepala.

Pemakaian tanjak dalam masyarakat Melayu mempunyai erti budaya yang tinggi.

Ia melambangkan kedudukan seseorang dalam masyarakat.

Apa yang dipakai oleh rakyat biasa berbentuk simpulan biasa.

Rakyat biasa tidak boleh memakai bentuk tanjak yang sama dengan bentuk tanjak raja atau sultan.

Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat daripada kain sutera dari China atau India, manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak daripada kain biasa.

Hari ini, kebanyakan tanjak dibuat daripada kain songket.

Cara mengikat tanjak pula bergantung pada kedudukan orang yang memakainya.

Lebih tinggi statusnya, lebih indah dan banyak lipatan kain pada tanjak itu.

Kalau raja, penghujung tanjak pasti tinggi dan tajam. Ia melambangkan darjat dan kuasanya.

Kalau pendekar, ikatannya lebih kemas dan duduk tegap mencerminkan kegagahannya.

Dengan kepelbagaian cara membentuk dan mengikat tanjak, ia menggambarkan betapa tingginya daya penciptaan pereka-pereka bentuk tanjak tradisi Melayu.

Keindahan dan kesenian reka bentuk tanjak ini masih terpelihara dengan baik dan utuh, terutama di negara jiran kita iaitu Malaysia dan Riau, dan di negara kita juga.

Perincian tentang tanjak dan jenis-jenisnya terungkap dalam buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau tulisan Tenas Affendy.

Menurutnya, 42 jenis tanjak diterangkan dalam bentuk ungkapan Melayu.

Rangkap pertama ungkapan tentang tanjak dalam buku tersebut berbunyi berikut:

Sekali bernama destar
Duanya bernama tanjak
Yang dijunjung di kepala
Yang dipakai berpatut-patut
Yang beradat berlembaga
Yang beradat berketurunan
Yang dijaga pelihara
Yang bertempat dan bertepatan
Yang ada asal usulnya.