Wednesday, August 17, 2011

Wisma Geylang Serai

17 Ogos 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Menanti 'Wisma Geylang Serai'

Oleh
Ayub Johari
MELIHAT keadaan lesu kompleks Kampung Melayu Geylang Serai yang berusia hampir dua dekad, tentulah masyarakat Melayu mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, baru-baru ini.

Pada Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, PM Lee menyatakan bahawa pemerintah akan membina sebuah pusat sivik dan plaza yang baru bagi menggantikan kompleks itu yang akan tamat tempoh pajakannya.

Nama sementara bagi pusat itu ialah 'Wisma Geylang Serai'.

PM Lee mengakui: orang Melayu mempunyai talian emosi yang mendalam pada Geylang.

Antara lain, 'Wisma Geylang Serai' akan menempatkan Kelab Masyarakat Geylang Serai dan sebuah galeri warisan untuk mengingatkan kita tentang kawasan Geylang Serai yang lama.

Katanya: Kejiranannya akan ditingkatkan dengan reka bentuk dan sentuhan seni bina Melayu, terutama di sepanjang Geylang Road.

Beliau turut mengumumkan bahawa Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pertahanan), Dr Mohd Maliki Osman, diberi tugas memantau projek tersebut.

Gagasan Perkampungan Melayu ditimbulkan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura sejak Singapura mengalami perubahan pesat pembangunan bandar. Banyak kampung terpaksa dirobohkan demi membangun estet perumahan, perusahaan dan sebagainya.

Akhirnya, dengan inisiatif para anggota Parlimen Melayu, kompleks itu didirikan pada 1992. Kompleks tersebut cuba menonjolkan seni bina kampung Melayu, dengan acara seni budaya sehinggalah sukan seperti gasing.

Namun, lama-kelamaan kompleks itu bak terbiar lesu dengan kegiatan usaha niaganya antara hidup dengan tidak. Konsep restoran Melayu terbaik atau rawatan tradisional terbaik seolah-olah malap.

Dengan keadaan binaan papan yang kian usang, wajar kompleks ini dirobohkan. Namun, semangat dan keindahan gagasan Perkampungan Melayu perlu disuburkan dalam konteks metropolitan Singapura.

Singapura merupakan negara maju tetapi perlu memelihara warisannya secara pragmatik dan luhur. Geylang Serai boleh menjadi kebanggaan bukan saja untuk orang Melayu, bahkan seluruh Singapura dan sektor pelancongan.

Pada 'Wisma Geylang Serai' boleh diterapkan seni bina bumbung limas dan Minang dengan serambi hadapan dan ibu rumah, ukiran awan larat dan tumbuhan, ukiran Papan Tumpu Kasau mengelilingi pinggir bumbung rumah, ukiran birai dinding rendah yang mengelilingi serambi rumah serta ukiran di atas pintu dan tingkap.

Selain ukiran tebuk, ukiran timbul boleh menghiasai pintu, tingkap dan sebahagian dindingnya. Kompleks ini akan bertambah indah dengan taman herba Melayu. Rumah contoh ini boleh menampung muzium bagi kenangan generasi dan tatapan minda generasi muda.

Di Melaka dan Pulau Pinang, terdapat rumah Baba Peranakan yang menjadi tarikan pelancong (termasuk set penggambaran siri Little Nonya terbitan Singapura).

Di Singapura pula, Joo Chiat Road, Emerald Hill dan Duxton Plain dapat membanggakan warisan Baba Peranakan.

Semoga 'Wisma Geylang Serai' dapat menonjolkan kekayaan tamadun Melayu. Alangkah baiknya jika tenaga kerja pembinaannya melibatkan anak-anak Singapura yang akan mengkaji dan melestari seni bina dan motif ukiran Melayu.

Dengan kehadiran 'Wisma Geylang Serai' yang tersergam kelak, diharap kawasan sekeliling terus dinaik taraf atau dikekalkan mutu pemeliharaannya agar indah dan menarik.

Ini termasuklah bangunan Joo Chiat Complex, Tristar, Galaxy (Rumah Darul Arqam), deretan kedai di Haig Road yang menghadap Geylang Road hingga ke City Plaza.

Bahkan kawasan pejalan kaki boleh dibina sengkuap yang mempunyai hiasan berbentuk ukiran Melayu, besi pemisah longkang dan tiang lampu diganti dengan bahan yang mempunyai motif hiasan - sejajar dengan terbinanya kelak 'Wisma Geylang Serai'.



No comments:

Post a Comment