Tuesday, August 2, 2011

golongan Penerima

31 Jul 2011

FORUM

Pastikan penerima usaha berdikari


DARI kes penderaan kanak-kanak sehinggalah isu warga terpaksa merempat di tepi pantai, masalah orang Melayu sering mendapat perhatian masyarakat.

Kesannya lebih mendalam apabila kes sebegitu tersiar di dada akhbar. Keprihatinan yang ditunjukkan warga setempat sungguh menggalakkan.

Respons paling mudah ialah masing-masing cuba mencari jawapan atau rumusan mengenai sesuatu kes itu dan kemudian menuding jari sama ada ke arah keluarga terlibat atau badan kebajikan yang menguruskan hal sedemikian.

Apakah program bantuan yang diadakan oleh badan kebajikan selama ini kurang memberi kesan pada keluarga berisiko itu? Atau, keluarga terlibat tidak tahu berdikari dan bersyukur atas bantuan yang disediakan buat mereka selama ini?

Inilah persoalan yang diajukan ke atas seorang pegawai kebajikan mapan ketika bersembang dengannya. Pada pandangan peribadinya, ada dua golongan miskin di Singapura.

Golongan pertama insan miskin tetapi kaya alasan. Golongan kedua insan miskin tetapi malu 'meminta-minta' jadi mereka berusaha gigih untuk keluar daripada lingkaran musibah.

Ada persamaan pada dua golongan itu, seperti miskin, kurang berpelajaran dan beberapa perkara lain yang memburukkan keadaan mereka.

Yang membezakan mereka ialah sikap mereka. Golongan pertama lebih 'relaks' meraih bantuan setiap bulan manakala golongan kedua berusaha sedaya upaya untuk keluar daripada kemiskinan.

Contohnya, jika ada sebarang skim bantuan golongan pertama sering datang hingga muka itu yang selalu dilihat. Tetapi jika ada pameran pekerjaan atau program peningkatan diri, pelbagai alasan diberi mereka untuk tidak menyertainya.

Cakap mudahnya, golongan pertama lebih selesa hidup 'bertongkat' selama yang boleh.

Pada pegawai kebajikan itu, golongan pertama bak duri dalam daging kerana sikap dan pemikiran mereka menghambat usaha badan kebajikan mengasingkan keperluan dua golongan itu.

Ada baiknya badan kebajikan menyemak secara menyeluruh setiap kes yang berdaftar bagi skim bantuan kewangan mahupun barangan, peningkatan diri dan subsidi bagi anak.

Ini boleh menyediakan garis panduan bagi meneliti sejauh mana sesebuah keluarga itu telah berusaha untuk berdikari atau keluar daripada lingkaran musibah.

Saya percaya jika kita berjaya mengemas kini peranan dan misi badan kebajikan, kelak akan tinggal hanya golongan miskin yang minta dibantu agar dapat berdikari dan bukan yang meminta-minta sahaja.

Mohd Ikhlash Abdullah

No comments:

Post a Comment