Tuesday, August 2, 2011

Anugerah tertinggi sastera untuk Dr Hadijah

SUMBANGAN DIIKTIRAF: Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat menjadi sasterawan wanita dan pakar akademik pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang. Beliau menerima anugerah daripada tetamu terhormat, Dr Yaacob Ibrahim (kanan) dengan diperhatikan encik Masagos. - Foto TUKIMAN WARJI

Mudah cetak
E-mel

31 Jul 2011

SINGAPURA

Anugerah tertinggi sastera untuk Dr Hadijah

Buat pertama kali sasterawan wanita menangi Anugerah Tun Seri Lanang sejak 1993


BUAT julung-julung kalinya sejak 1993, Anugerah Tun Seri Lanang diberikan kepada seorang sasterawan wanita, yang juga pakar akademik - Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat.

Penganugerahan itu diberikan kepada beliau atas usaha gigih dan sumbangan besarnya dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Anugerah itu disampaikan kepada Dr Hadijah, 53 tahun, oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di majlis Anugerah Persuratan 2011, yang diadakan di Hotel Shangri-La petang semalam.

Anugerah sastera terulung itu adalah yang ke-11 diberikan sejauh ini.

Dr Hadijah, merupakan antara 15 penerima Anugerah Persuratan, yang terbahagi kepada empat kategori, yang diadakan di Hotel Shang-ri La, semalam.

Anugerah Tun Seri Lanang, yang menawarkan hadiah $5,000, diberikan kepada tokoh persuratan ulung dalam masyarakat Singapura, pejuang seni dan pemaju pemikiran masyarakat.

Pemenang-pemenang terdahulu termasuk pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, Allahyarham Dr Masuri S.N., dan Encik Mohd Latiff Mohd.

Dalam ucapannya, Dr Hadijah melahirkan rasa terharu kerana usahanya dalam memperkayakan lagi dunia persuratan Melayu selama ini diiktiraf.

'Dengan rendah hati, saya menerima anugerah ini. Namun... kita perlulah memperkasakan lagi visi dan strategi di sebalik penganugerahan ini. Selain bentuk pengiktirafan ini, kita perlu juga memikirkan langkah-langkah untuk benar-benar menghidupkan 'semangat tulen dan wawasan penulis Sastera Melayu' secara lebih bermakna di kalangan generasi akan datang,' katanya.

Dr Hadijah merupakan Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, merangkap Timbalan Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Melayu dan Indonesia dari Sekolah Pengajian Timur dan Afrika, Universiti London.

Beliau telah menulis sembilan buah buku, menyunting 11 buku dan banyak tulisan akademik di jurnal antarabangsa.

Antara buku yang dihasilkannya ialah Sastera dan Manusia Melayu Baru - Kumpulan Esei dan Wawancara, Munsyi, sebuah drama sejarah, berdasarkan autobiografi Abdullah bin Sheikh Abdul Kadir Munshi dan Antara Dua Kota - Mengesan Jejak-jejak Peninggalan Munsyi Abdullah di Melaka dan Singapura yang memenangi Hadiah Sastera Singapura 2000 (Non-Fiksi).

Bidang penyelidikan beliau ialah Sastera Melayu Klasik dan moden, sastera kanak- kanak, pendidikan sastera, sastera Islam, historiografi Melayu, Sastera Melayu Singapura, Sejarah Penempatan Melayu dan perkembangan sosio-budaya Melayu Singapura.

Beliau mengajar kaedah mengajar sastera dan pendidikan sastera untuk program siswazah dan pasca-siswazah.

Dr Hadijah telah banyak menyumbang kepada pembangunan sastera di dalam dan luar negara melalui kajian dan pembentangan kertas kerja. Beliau amat aktif dalam mendokumentasikan khazanah Melayu Singapura, khususnya seperti kajian lengkap mengenai sejarah; Istana Kampong Gelam; dan kampung-kampung di Singapura.

Dalam majlis itu, Dr Yaacob dalam ucapannya berkata, sastera Melayu memainkan peranan penting dalam mengembangkan warisan dan menyampaikan gejolak rasa, denyut nadi serta isi hati atau suara masyarakat.

'Selain keindahan bahasa, penghasilan karya-karya sastera Melayu turut diisi dengan pemikiran, pandangan hidup, falsafah dan peradaban Melayu, terutama dalam konteks masyarakat kita yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya...

'Pemerintah akan terus memberi sokongan untuk merancakkan arena persuratan tanah air,' katanya.

Tambah Dr Yaacob, terdapat ruang dan wadah untuk para penulis bereksperimen dan menggabungkan pelbagai media untuk melahirkan karya sastera yang lebih dinamik.

Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Persuratan 2011, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) akan terus menyokong dan menggalakkan perkembangan bidang persuratan Melayu tanahair.

'Bidang persuratan membolehkan pemikiran dan nilai masyarakat pengguna bahasa tersebut dizahirkan melalui penceritaan yang kreatif dan menarik. Melalui sastera, kita dapat mengajak pembaca memikirkan, menilai dan membincangkan sesuatu isu yang diketengahkan,' katanya.

No comments:

Post a Comment