Tuesday, August 2, 2011

Habiburrahman El Shirazy

HABIBURRAHMAN EL SHIRAZY: Novel beliau, 'Ayat-Ayat Cinta', yang diangkat menjadi filem telah mencetuskan satu fenomena yang berjangkit di rantau ini dengan kemunculan drama-drama televisyen yang serupa temanya.

Mudah cetak
E-mel

31 Jul 2011

EKSTRA!

PENCETUS TREND 'ISLAM ROMANTIS'

Habiburrahman El Shirazy, penulis yang mendapat jolokan 'Doctor Cinta' dan 'Novelis Nombor 1 Indonesia' sedang menyiapkan antara lain sambungan kepada cerita 'Ayat-Ayat Cinta'


PENANGAN novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy, memang tidak dapat disangkal lagi sehingga sesiapa yang membacanya begitu tersentuh dan ditusuk sanubarinya.

Payah melepaskan naskhah romantis yang dibawa berhijrah ke persada perfileman sehingga mencetus satu fenomena yang berjangkit di rantau ini dengan kemunculan drama-drama keislaman seperti Nur Kasih, Kitab Cinta, Tahajjud Cinta dan Stanza Cinta.

Justeru, dalam kesempatan singkat bertemu Habiburrahman, 34 tahun, yang diundang ke Singapura sempena kempen menggalak budaya membaca, READ! Singapore anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), idea-idea bernasnya di samping projek terkininya meraikan cinta berbaur keislaman, cuba dikupas.

Bapa dua anak kecil berusia lima tahun dan empat tahun itu begitu tenang dan berulang kali memanjatkan kesyukuran, mengenang karya-karyanya yang diterima peminat sastera bukan sahaja di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, malah di Hongkong, Taiwan, Prague (ibukota Republik Czech) dan Australia.

'Alhamdulillah, dari dulu hingga sekarang, saya masih diundang untuk berbincang mengenai Ayat- Ayat Cinta yang 'meletup' itu. Semoga perkembangan ini menjadi sesuatu yang positif dan dapat memupuk percintaan anak-anak muda terhadap bahasa Nusantara. Saya kira, ia semacam suatu kebanggaan bersama bahawa karya dalam bahasa Melayu ini bisa mencetus satu fenomena antarabangsa.

'Apabila Ayat-Ayat Cinta menjadi trend dan ikutan orang lain, ia merupakan sesuatu yang wajar dalam dunia industri (baik perfileman mahupun penghasilan bahan bacaan). Fenomena itu benar-benar membangkitkan semangat saya untuk terus berkarya.

'Saya ingin berdialog dengan pembaca. Saya ingin merealisasikan karya-karya saya secara visual sebab itu saya 'terjun' menjadi sutradara,' jelas lulusan Universiti Al-Azhar itu ketika ditemui di Library@Esplanade.

Mata penanya sering ditajamkan sejak berjinak-jinak dalam bidang penulisan di bangku sekolah menengah. Ayat-ayat yang dicoretkan tatkala terlantar sakit di hospital selepas satu kemalangan motosikal di Magelang, Jawa, beberapa tahun lalu juga bak penawar yang melenyapkan segala penderitaan dek ujian kecil yang dihadapi itu.

'Sesiapa pun berhak memiliki cinta. Saat mengilhamkan Ayat-Ayat Cinta yang diterbitkan pada 2004, saya melihat fenomena anak-anak muda yang asyik dengan cinta liberal ala Hollywood yang tidak sesuai dengan nilai-nilai ketimuran.

'Apa kurangnya budaya timur kita? Ia tetap romantis. Kalau dijaga penuh keprihatinan, tiada yang kurang keindahannya. Lagi pun, saya ingin sampaikan betapa Islam itu indah, Islam juga romantis.

'Gambaran tidak tepat yang pernah didengar... oh... orang Islam seolah-olah tiada cinta. Kalau kita Muslim, kita mesti keras. Itu tidak benar,' tambahnya.

Maka, menyusuli Ayat-Ayat Cinta, Habiburrahman gigih menghasilkan beberapa karya lain termasuk Ketika Cinta Berbuah Surga, Di Atas Sajadah Cinta, Dalam Mihrab Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan Bumi Cinta.

Tiga kunci asas dalam menghasilkan novel yang baik, ujarnya, mudah dihadam. Pertama, novel itu berupaya berdialog dengan pembaca, membawanya berhijrah 'masuk' ke dalam jalan cerita yang dibentangkan.

Kedua, si penulis harus jelas siapa kumpulan sasarannya. Ketiga, untuk menarik golongan muda, harus ada pengetahuan tentang trend semasa yang digemari mereka.

Dalam kesibukannya berkarya dan berada di balik kamera, tidakkah beliau tertekan untuk terus menghasilkan novel-novel bermutu setaraf dengan Ayat- Ayat Cinta?

'Awalnya, sempat saya berfikir mengenai bebanan yang menimbulkan semacam segunung berat tekanan untuk dipikul. Namun, saya tersentak daripada keresahan itu dan terfikir kalau bebanan itu dirasakan, akan berhentilah saya berkarya.

'Sasterawan terkemuka seperti William Shakespeare, W.S. Rendra, Chairil Anwar dan Profesor Hamka juga menghasilkan pelbagai karya. Ada yang benar-benar 'meletup', ada yang langsung tidak dikenali. Justeru, seorang sasterawan harus berani berkarya dan tidak dibebani tuntutan setiap karyanya harus diterima dan popular,' katanya dengan nada positif.

Di ambang Ramadan yang bakal menjelang esok, Habiburrahman gigih turun padang, menyiapkan sinetron Ramadan, Dari Sujud Ke Sujud.

Penggambaran filem Cinta Suci Zahrana (dipadankan daripada novel terkininya), juga bakal bermula selepas Lebaran dan dijadualkan ditayangkan sekitar Disember ini.

Menurut beliau, menjadi sutradara menuntutnya melakukan lebih daripada setakat membayangkan dialog-dialog sesuai dan menebarkan kreativiti yang datang dari hati.

'Kalau menjadi penulis novel, saya boleh bergerak sendiri dan tidak terlibat dengan orang lain. Saya mahu bikin wataknya menangis, silakan.

'Menjadi sutradara, ia tidak semudah itu. Saya ibarat jeneral di medan perang dengan ribuan pasukan saya sendiri. Mahu maju bagaimana? Kalau cuacanya berubah, mahu fikirkan jadual hotel dan artis - kalau si artis ada acara lain, bagaimana mahu menyusun semuanya.

'Kalau sesuatu adegan memerlukan suasana cerah, harus bergegas syuting sebelum matahari tenggelam. Banyak perkara tidak diduga harus ditangani dengan bijak,' katanya lagi.

Apakah 'Doktor Cinta' dan 'Novelis Nombor 1 Indonesia' (dinobatkan Universitas Diponegoro, Semarang) ini mampu mengubati rindu peminat novelnya dengan novel-novel susulan, bagi menyambung kisah-kisah cinta tulus suci?

Jawabnya, sambil mengukir senyuman:

'Insya-Allah, saya dalam perancangan menyiapkan novel Bumi Cinta 2 dan Ayat-Ayat Cinta 2.'

No comments:

Post a Comment