Sunday, October 21, 2012

pandangan tv melayu


PANDANGAN

Pertingkat TV Melayu

MEDIA elektronik atau media cetak adalah media yang dapat memberi banyak maklumat dan pengetahuan.
Bagi media elektronik seperti televisyen (TV), ia antara media kegemaran masyarakat memandangkan ia memuatkan banyak perkara/isu seperti politik, ekonomi, sosial, sukan dan hiburan. Ramai yang menghabiskan banyak masa di rumah menonton TV.
TV berpotensi mempengaruhi perilaku seseorang. Umumnya, TV mampu membuat kita ingat 50 peratus daripada apa yang kita lihat dan dengar walaupun hanya sekali ditayangkan.
Penonton akan ingat 85 peratus daripada apa yang mereka tonton di kaca TV setelah tiga jam kemudian dan 65 peratus setelah tiga hari kemudian.
TAJAAN DAN MUTU PROGRAM
Cuma masalah atau cabaran utama bagi sesebuah saluran TV yang perlu mendapatkan tajaan adalah ia selalu menyiarkan rancangan ringan dan berunsur menghibur, yang dianggap lebih mudah berjaya sekali gus lebih mudah mendapat tajaan.
Namun, sebagai stesen TV yang bertanggungjawab, perlu ada keseimbangan antara menghibur dengan menjaga mutu, termasuk mutu bahasa dan lakonan.
Sayangnya, bahasa yang digunakan dalam beberapa rancangan TV setempat agak kasar dan patut dijauhi.
Rancangan yang mampu merosakkan akhlak juga banyak ditonjolkan seperti pakaian atau watak-watak yang tidak senonoh.
Selepas tayangan drama Anak Metropolitan 3 yang kurang jelas manfaatnya kepada penonton, kini penonton Melayu setempat disajikan pula dengan drama dua selebriti - Munah dan Hirzi.
Kededua mereka dianggap popular dengan klip video 'gila-gila' di YouTube dan kini pula diundang menjayakan drama di Suria dengan mereka memegang watak utama.
Menurut pengamatan saya, mutu program, lakonan dan skrip rancangan masa kini begitu berbeza daripada apa yang pernah ditonton pada 1980-an dan 1990-an.
Cuma kita bernasib baik kerana para pelakon handalan dan profesional masih muncul di Suria dan diharap para penerbit baru masih tidak melupai pelakon veteran seperti Jorah Ahmad, yang bakat lakonannya belum dapat ditandingi pelakon masa kini.
Masa dan zaman berlalu, namun ini tidak bermakna kita harus melupakan pegangan agama, tradisi dan budaya dalam drama setempat kita.
Melayu tetap kekal Melayu dan tidak boleh ditukar; tidak wujud label 'Melayu baru' atau 'Melayu kolot'.
Pada pandangan saya, kebanyakan penerbit seperti sudah tidak hiraukan lagi tentang mutu rancangan.
Reaksi antaranya kepada pendapat saya ini adalah:
"Jangan jadi kolot, program Melayu perlu diubah dan kita tak perlu agama, tradisi dan budaya dalam program kita."
Jika ini pemikiran mereka, maka ini silap. Seyogia, filem-filem dari negara pengeluar filem nombor satu di dunia, India, hampir kesemuanya mengandungi unsur agama, tradisi dan budaya.
Paling ketara, mereka menggunakan bahasa Tamil dan Hindi walaupun dilakonkan para pelakon muda. Filem-filem mereka selalu menjadi box office dan boleh diterima orang ramai.
Ada beberapa perkara yang menyebabkan kenapa mutu rancangan siaran MediaCorp Suria begitu menurun.
Antaranya:
  • Kurang kesungguhan dan keikhlasan daripada pihak penerbit kerana selalu pentingkan rating yang tinggi daripada mutu.
  • Kurangnya bajet lalu tidak mampu mengambil pelakon mapan dan tenaga profesional untuk menjalankan perfileman, menulis skrip dan lain-lain.
  • Drama diarah, ditulis skripnya dan disunting visualnya oleh pekerja bukan Melayu yang kefahaman mereka sangat cetek tentang cara seorang Melayu itu bergaul, bercakap dan sebagainya.
KESAN KEPADA PENONTON
Golongan muda yang paling ramai menonton TV. Perkara yang menjadi tontonan mereka selalunya berkaitan hiburan, seperti rancangan drama dan nyanyian.
Hiburan boleh mendatangkan ketenangan dan mengatasi masalah emosi. Namun, jika ditonton secara keterlaluan, ia boleh mendatangkan mudarat besar pada emosi dan kehidupan penonton.
Tanpa kita sedari, TV banyak 'mendidik' golongan muda, bukannya ibu bapa mereka. Belaian dan kasih sayang yang sepatutnya diberikan ibu bapa telah beralih kepada TV, dan perkara ini amat menyedihkan. Oleh kerana besarnya pengaruh tersebut, pemilihan program TV harus tepat.
Bukan semua rancangan TV setempat bersifat negatif. Ada juga drama dan rancangan yang merangsang otak supaya menjadi matang seperti rancangan dokumentari berkaitan alam semula jadi.
Kehidupan haiwan dan tumbuhan yang ditayangkan memberi kesedaran kepada mereka bahawa alam ciptaan Tuhan amat luas dan tiada penghujungnya.
MASA DEPAN
Industri televisyen akan berkembang pesat. Banyak saluran baru akan muncul di negara jiran. Ini bermakna permintaan bagi program televisyen akan meningkat.
Lantas Suria harus segera mengubah strategi agar program Melayu setempat boleh dikembang dan dijual kepada negara lain.
Sayangnya, para penerbit dari negara jiran tidak rasa tertawan kerana program-program terbitan MediaCorp Suria kurang menarik apatah lagi menyengat dan tidak dapat beri saingan walaupun ditayangkan di negara mereka.
Suria boleh berperanan membina dalam mendorong penonton meningkatkan keperibadian mereka, demi terciptanya generasi yang sihat dan bangsa yang maju - yang ditonjolkan dalam konsep 'masyarakat cemerlang'.
Saya menggesa penerbit setempat agar memberi penekanan terhadap mutu rancangan terbitan mereka. Jika kita mahu lebih ramai orang menonton rancangan terbitan setempat, mutu dan standard program itu mesti diperbaiki.
Dalam hal ini, Penguasa Pembangunan Media (MDA) juga harus memberi sokongan penuh dari segi pemasaran dan penajaan/dana agar industri penerbitan drama setempat dapat dipertingkat dan dikembangkan.
Nota: Penulis berijazah sarjana perfileman dan merupakan penerbit/pengarah dokumentari televisyen dan filem bebas dan telah menerbitkan dokumentari/filem untuk Discovery, National Geographic Channel, History Channel dan beberapa lagi saluran antarabangsa.

No comments:

Post a Comment