Monday, October 15, 2012

komen perkauman di alam maya


Tegas cegah 'tersasul' di alam maya

SEJAK setahun lalu, tampak tidak putus-putus watan ini menyaksikan rentetan peristiwa membabitkan penyiaran komen berbaur perkauman di alam maya. Terbaru, seorang pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Amy Cheong, dipecat selepas beliau membuat ulasan kurang manis berkenaan masyarakat Melayu di laman Facebooknya. Kes itu begitu serius sehingga Perdana Menteri Lee Hsien Loong sendiri terdorong membuat kenyataan mengenainya sedang beliau berada di luar negara.
Memang kejadian kali ini ketara berbeza berbanding kes terdahulu. Pertama, pelakunya berjawatan kanan - penolong pengarah di NTUC. Kedua, majikannya sebuah gerakan buruh yang mewakili dan berperanan membela hak para anggotanya tidak kira bangsa atau agama. Lantaran itu, tabik NTUC kerana bertindak menyiasat dan kemudian memecat pekerjanya itu dalam masa beberapa jam sahaja. Langkah pucuk pimpinan - termasuk pemimpin Melayu - segera tampil bersuara secara tegas tetapi cukup peka dan bijaksana juga membantu menjernihkan keadaan sebelum ia berleretan. Bak kata PM Lee, ia kes terkecuali yang tidak patut diperbesar-besarkan. Sesetengah pihak berhujah bahawa pemecatan itu sudah memadai tanpa apa-apa lagi langkah susulan, misalnya di pihak polis. Apa pun, penting memastikan apa saja tindakan yang diambil cukup berkesan dalam mencegah sesiapa lagi 'tersasul' seperti Cik Cheong.
Seyogia peristiwa ini menunjukkan betapa besarnya potensi dan pengaruh media sosial. Bayangkan - dalam masa setengah hari saja sudah ada ribuan pos bantahan di Internet, termasuk desakan bagi pemecatannya. Ternyata media sosial yang asalnya dijadikan Cik Cheong sebagai wadah meluahkan isi hatinya akhirnya makan tuan. Oleh itu, setiap warga harus mengambil iktibar dan berjaga-jaga mengemudi di alam maya - ia pedang dua mata yang luar biasa tajamnya.
Di balik mendung, ada sinaran mentari. Ulasan Cik Cheong menarik bantahan bukan saja orang Melayu, malah kaum lain. Antara yang membuat laporan polis, misalnya, adalah seorang bukan Melayu, pemimpin akar umbi Lionel de Souza. Peristiwa yang berpotensi memecahbelahkan warga rupa-rupanya menjadi penyatu hati dan bukti lanjut pendewasaan warga watan ini. Semoga perpaduan dan semangat kita dipupuk melalui cara yang lebih bererti dan membina lain kali.

No comments:

Post a Comment