Monday, October 15, 2012

komen perkauman


CIK AMY CHEONG: Komennya boleh menjejas maruah Melayu/Islam Singapura tetapi kita juga harus cari puncanya. - Foto fail

Ambil iktibar kes komen perkauman

SEORANG penolong pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Amy Cheong, telah pun dipecat hanya beberapa jam selepas mengeluarkan komen berbaur perkauman dalam laman Facebooknya.
Dalam konteks kehidupan di Singapura yang berbilang bangsa dan agama, kes seperti ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini sudah ada beberapa individu yang juga mencetuskan komen-komen berbaur perkauman di Internet.
Mujur pemerintah tegas bertindak dan memandang berat akan keharmonian kaum di Singapura.
Cakap mudahnya, Singapura tidak mampu bertolak ansur kepada mana-mana individu yang cuba menggoyahkan keutuhan warga yang berbilang bangsa dan agama yang telah sekian lama hidup aman di sini.
Malangnya, komen-komen sebegini tetap wujud dari masa ke masa dalam media sosial, mungkin dek undang-undang yang kurang berat.
Setakat ini, sesiapa yang terlibat sama ada didenda, dihukum penjara (tempoh pendek) atau sekadar diberi amaran keras.
Menurut seorang warga emas, komen berbaur perkauman sudah timbul sejak zaman kampung lagi apabila jika ada pertengkaran sesama warga, kata-kata kesat lagi ofensif sering diluahkan.
Namun, tambahnya, dulu setakat luahan lisan.
Kini, apa yang ditulis (komen berbaur perkauman) boleh membawa padah kerana punya bukti jelas lagi kukuh untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
Saya pula berpandangan terdapat dua golongan dalam masalah ini.
Golongan pertama merupakan individu tidak bertanggungjawab yang dengan sengaja, tanpa sebab, mencetuskan hubungan huru-hara di kalangan warga yang pelbagai bangsa dan agama dengan komen-komen ofensif.
Cakap mudahnya, individu seperti ini sering memperbesar kelemahan atau kekurangan sesuatu masyarakat. Tujuannya untuk memalukan serta mendiskriminasikan sesuatu bangsa itu.
Golongan kedua merupakan individu yang bertindak secara terburu-buru atau spontan apabila keselesaan yang diinginkan diragut secara tiba-tiba.
Memang komen yang diluahkan Cik Amy Cheong tampak boleh menjejas harga diri/maruah sesuatu bangsa itu. Namun, pada masa yang sama, bagi berlaku adil, puncanya juga perlu dikenal pasti.
Contohnya, kita sering disuguhkan dengan majlis perkahwinan, keramaian atau upacara keagamaan bangsa lain yang berlangsung beberapa hari dengan bunyi muzik atau peralatan lain yang kadangkala membingitkan di kolong blok tanpa menghiraukan jiran tetangga yang inginkan suasana damai dan berehat di rumah.
Cuba bayangkan jika komen sebegini diluahkan bangsa sendiri perihal sikap kita yang jelas melanggar tuntutan agama agar menghormati dan tidak mengganggu jiran tetangga dengan sikap kita itu.
Oleh itu, dalam kita menghukum pemberi komen ofensif, perlu juga kita perbaiki sikap kita dalam usaha menghormati jiran dalam estet kita.
Pada masa yang sama, kita juga perlukan individu seperti pemimpin akar umbi dari kawasan undi perseorangan Hougang, Encik Lionel de Souza, yang segera membuat laporan polis perihal kenyataan Cik Amy Cheong itu.
Kesimpulannya, dengan adanya ruangan media sosial, tanpa disedari kita dididik supaya terus bersatu dalam memperteguh hubungan kaum dan agama di sini memandangkan tiada lagi ruang bagi mana-mana pihak 'melempar batu sembunyi tangan' kerana terlalu banyak mata yang boleh membaca setiap luahan hati kita di media sosial.
Mohd Ikhlash Abdullah

No comments:

Post a Comment