Tuesday, October 30, 2012

Pak Zubir Said



ALLAHYARHAM PAK ZUBIR: Banyak terapkan nilai-nilai kemelayuan menerusi lagu-lagu latar dalam filem-filem klasik Melayu.
- Foto fail

Pak Zubir Pelestari Identiti Melayu

PELBAGAI kegiatan telah dijalankan sepanjang beberapa minggu ini bagi memperingati jasa dan bakti Almarhum Pak Zubir Said.
Antaranya ialah pelancaran biografi Pak Zubir yang bertajuk Zubir Said, The Composer of Majulah Singapura, tayangan filem Majulah! The Film Music of Pak Zubir Said dan konsert Bintang Hati - Malam Kenangan Pak Zubir pada 12 Oktober lalu.
Kegiatan-kegiatan sebegini diharap tidak berhenti di sini sahaja.
Kajian-kajian mendalam dan kritikal terhadap pemikiran Pak Zubir wajar dipertingkatkan.
Semasa hayatnya, Pak Zubir aktif dan banyak menyumbang kertas kerja bersifat ilmiah berkenaan muzik dan budaya Melayu.
Hasil penulisannya bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh pakar-pakar sejarah dan muzikologi, bahkan oleh ahli-ahli ilmu masyarakat (sosiologi) yang ingin mengkaji secara lebih dalam laras pemikiran pejuang-pejuang kemerdekaan yang hidup sezaman dengan beliau.
Ini kerana, seperti yang telah diungkapkan Datin Rohana Zubir, anak Pak Zubir yang juga penulis biografinya, sifat patriotiknya kepada Singapura, seperti yang terungkap dalam Majulah Singapura, terbetik daripada pengalaman awal kehidupannya di Sumatra sebelum beliau berhijrah ke Singapura pada 1928 ketika usia beliau hanya 21 tahun.
Menurut Datin Rohana, bapanya "banyak belajar tentang kemerdekaan, sifat berdikari, dan ketahanan (resilient) semasa menempuh banyak dugaan hidup".
Allahyarham Pak Zubir mempunyai kekuatan mental yang tinggi bagi mengharungi segala cabaran itu.
Dengan pengalaman-pengalaman inilah beliau menghasilkan banyak lagu patriotik seperti Melayu Raya, Tanah Bangsa dan Daulat, dan Ikatan Budaya.
Namun, satu perkara yang mungkin jarang diperkatakan tentang sumbangan Pak Zubir adalah pendekatannya terhadap tradisi dan modenisasi.
Gubahan Pak Zubir menerusi lagu-lagu latar dalam filem-filem klasik Melayu banyak menerapkan nilai-nilai kemelayuan.
Hal ini mengingatkan saya kepada perdebatan hangat pakar-pakar sosiologi sekitar '90an tentang peranan tradisi dalam modenisasi.
Pada waktu itu, wacana nilai Asia lawan nilai Barat hangat diperkatakan. Wujud aliran pemikiran bahawa kemajuan masyarakat sinonim kepada pembaratan (westernization).
Pada dasarnya, karya-karya Pak Zubir boleh dikatakan menyanggah keras kaitan modenisasi dengan pembaratan.
Malah, karya-karyanya lebih cenderung kepada pengukuhan tradisi menurut definisi sosiologi.
Dr Shaharuddin Maaruf, mantan ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), berpandangan bahawa "tradisi adalah unsur-unsur budaya dan nilai yang penting dalam mempengaruhi dan mengorak pemikiran sesuatu masyarakat pada sesuatu waktu".
Tradisi tidak semestinya menghalang modenisasi atau tidak serasi dengannya.
Ia bukan sahaja mengukuhkan jati diri sesuatu masyarakat, sifat tradisi itu bahkan membenarkan satu masyarakat "buang yang keruh, ambil yang jernih" demi mencapai kemajuan. Masyarakat Jepun, misalnya, dapat mencapai kemajuan tinggi dan modenisasi sambil mengekalkan nilai-nilai jati bangsanya.
Saya melihat pengukuhan tradisi ini diterapkan dalam gubahan-gubahan muzik Pak Zubir.
Seperti yang diceritakan Datin Rohana dalam bukunya, Pak Zubir sangat sensitif terhadap gubahan-gubahannya.
Misalnya, Pak Zubir tidak setuju jika gubahan-gubahannya - baik dalam sudut melodi mahupun lirik - diubah suai tanpa keizinannya.
Pengubahsuaian tanpa keizinan penggubah asli disifatkan beliau seperti "orang yang masuk rumah orang lain, pindahkan perabot-perabot sesuka hati". Ini tidak sesuai dengan nilai kemelayuan dan agama Islam yang menegakkan keikhlasan dan kejujuran.
Gubahan muzik Pak Zubir juga menyangkal satu lagi perspektif masa kini yang sering membayangkan identiti Melayu sebagai satu konstruksi.
Perspektif seperti ini jarang mengungkapkan bagaimana seorang Melayu melihat nilai-nilai dan identitinya sendiri.
Kita sedar bahawa masyarakat Melayu bukan satu masyarakat homogen. Namun, tentu sekali ada tradisi-tradisi dasar yang mengikat identiti orang-orang Melayu.
Inilah yang saya dapati dalam muzik gubahan Pak Zubir, yang memasukkan unsur-unsur gurindam, nasihat, patriotisme, Islam, nilai gotong-royong dan kehidupan harian masyarakat Melayu.
Unsur-unsur ini boleh disifatkan sebagai tradisi dalam muzik Melayu.
Tentu sekali masyarakat memerlukan pembaharuan dan ia harus disertakan dengan kemajuan pemikiran.
Hal ini juga perlu bagi muzik Melayu.
Bagaimanapun, tradisi-tradisi Melayu harus dikekalkan.
Saya berpandangan bahawa interpretasi Maestro Amri dan Orkestra Melayu Singapura dalam menghidupkan lagu-lagu Pak Zubir dengan memberikan nafas baru kepada lagu-lagu Pak Zubir sangat tepat.
Walaupun peralatan-peralatan muzik dan teknologi-teknologi terbaru disertakan dalam proses pengubahsuaian ini, gubahan-gubahan muzik dan interpretasi lagu-lagu Pak Zubir tetap mengekalkan unsur-unsur tradisi Melayu.
Semoga usaha Orkestra Melayu Singapura ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak lagi kajian terhadap kerja keras Pak Zubir dalam melestarikan identiti Melayu.
Nota: Penulis calon doktor falsafah Sekolah Pengajian Antarabangsa, Politik, dan Strategik Universiti Kebangsaan Australia (ANU). Beliau penerima biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) PGS 2011.

No comments:

Post a Comment