Monday, October 15, 2012

kepelbagaian budaya


PANDANGAN

Perkukuh dasar kepelbagaian budaya di S'pura

SERING dilaporkan bahawa Singapura mengamalkan dasar multiracialism atau kepelbagaian bangsa dan multiculturalism atau kepelbagaian budaya.
Kededua istilah itu digunakan untuk menunjukkan makna yang sama.
Sebenarnya, ada nuansa sikap di sebalik penggunaan kededua terminologi itu amatlah berbeza.
Menurut beberapa penulis, termasuk Profesor Madya Hussin Mutalib, kepelbagaian bangsa (multiracialism) didirikan atas titik permulaan yang menganggap perbezaan kaum di dalam sebuah negara adalah suatu masalah yang perlu diawasi, diteliti dan, jika perlu, ditangani.
Ia menganggap setiap orang memiliki kesetiaan kepada kaum etniknya lebih daripada yang lain, dan sikap ini perlu diubah demi menjamin ketaatan pada negara.
Jika perbezaaan antara kaum tidak dipantau, dan jika tiada undang-undang keras menjaga keharmonian kaum diwujudkan, maka keamanan dalam sebuah negara itu sukar dicapai.
Kepelbagaian budaya (multiculturalism) pula berbeza. Ia menganggap perbezaan antara budaya pelbagai kaum adalah suatu kekuatan bagi sebuah negara.
Melalui kepelbagaian ini, akan lahirlah kesan positif; manusia bebas mengamalkan adat mereka, bebas menjadi 'diri mereka' sendiri dan yang penting, tidak akan timbul konflik antara ketaatan kepada bangsa dan negara kerana negara sendiri menggalak mereka supaya terus mengekalkan bentuk budaya mereka.
Pada pendapat saya, selama ini keamanan dalam negara kita adalah hasil dasar multiracialism.
Negara kita membenarkan setiap kaum mengamalkan tradisi dan budaya mereka, tetapi selalu diingatkan tentang bahayanya jika sifat perkauman berleluasa.
Menerusi Pendidikan Kebangsaan, rakyat Singapura diperingat tentang titik hitam sejarah seperti rusuhan Maria Hertogh dan rusuhan kaum pada 1964 agar setiap kita berhati-hati ketika membincangkan dan menghadapi isu yang melibatkan bangsa, bahasa dan agama.
Tidak dinafikan, dasar ini telah berjaya dalam menjamin kesejahteraan negara.
Cuma, dengan negara dan masyarakat kita yang semakin matang, wajarkah dasar ini disemak? Beberapa kejadian baru-baru ini hanya menguatkan pertanyaan ini.
Walaupun insiden Amy Cheong dikatakan satu kejadian terpencil, telah banyak lagi kejadian seperti ini yang berlaku.
Contohnya, seorang yang mengatakan anak Muslim kecil yang bersongkok adalah pengganas; dua orang Cina yang diberkas kerana menghina Islam di Internet dan banyak lagi.
Malah, ada juga Muslim sendiri yang masih bersifat perkauman dan meluahkan kekata yang boleh dianggap sebagai rasis - cuba saja lihat di alam siber dan kita akan tahu. Justeru, benarkah insiden Amy Cheong itu suatu perkara yang terpencil?
Saya lebih cenderung kepada pendapat Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Luar, Encik K. Shanmugam.
Beliau berkata isu ini menggambarkan keadaan lebih serius dalam masyarakat kita iaitu terdapat 'garis retak' dalam perhubungan antara kaum.
Walaupun dasar multiracialism telah pun membawa keamanan dan kesejahteraan, saya fikir apa yang tercapai selama ini hanyalah toleransi antara kaum, dan belum mencapai peringkat keharmonian kaum. Rakyat Singapura belum dapat menghargai dan menyambut baik sepenuhnya kepelbagaian di antara kaum.
Apa yang diperlukan adalah perubahan kepada multiculturalism.
Isu bangsa tidaklah perlu dilihat seperti dahulu, di mana ia langsung tidak harus dibincang, dan setiap kali ada seseorang mengeluarkan kekata berbaur perkauman, dia dikenakan hukuman keras. Hukuman hanya sesuatu perkara reaktif, bukan proaktif.
Memang, hukuman berat kadangkala diperlukan, namun ia tidak dapat menghakis sikap perkauman yang dimiliki sesetengah orang. Apa yang perlu adalah rombakan semula terhadap cara kita menghadapi isu-isu berkaitan bangsa.
Wujudnya berbagai-bagai kaum di Singapura ini harus dilihat sebagai aset yang boleh digunakan.
Setiap kaum harus diberi ruang menonjolkan identiti sendiri, dengan penuh kehormatan terhadap istiadat agama dan bangsa lain.
Sejak bangku sekolah rendah lagi, anak-anak kita hendaklah diajar bahawa kepelbagaian kaum negara kita merupakan kekuatan kita, dan mereka perlu menyambut baik kepelbagaian itu.
Janganlah menekankan isu-isu 'rusuhan kaum' dan perkara negatif yang boleh timbul daripada kepelbagaian ini.
Jika seseorang itu diajar sejak kecil bahawa perbezaan kaum boleh membawa kepada konflik, sudah tentulah beliau akan sedikit sebanyak berasa risau terhadap kaum berlainan. Tetapi jika dia diajar bahawa perbezaan itu membawa kepada kebaikan, sudah tentu dia lebih terbuka kepada orang daripada kaum lain.
Dengan langkah ini juga, kita dapat mewujudkan keharmonian yang sebenar, dan bukan setakat toleransi yang wujud kini. Barulah kita benar-benar dapat menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu setiap masyarakat, termasuk masyarakat Melayu.

No comments:

Post a Comment