Monday, September 26, 2011

Harun Aminurrashid

26 Sep 2011

EKSTRA!

TOKOH WARISAN MELAYU
Penulis paling prolifik

Harun Aminurrashid juga aktif dalam badan-badan Melayu


PATAH tumbuh hilang berganti.

Namun, bagi masyarakat Melayu, terutama di Singapura, Harun Mohd Amin, atau lebih dikenali sebagai Harun Aminurrashid, merupakan seorang tokoh yang sukar dicari ganti hingga ke hari ini.

Anak kelahiran Singapura ini dianggap penulis Melayu paling prolifik dengan puluhan novel, buku teks sastera sekolah, makalah, catatan kembara dan penyunting majalah dan akhbar.

Allahyarham, yang dilahirkan di Kampung Telok Kurau pada 1907, juga seorang aktivis masyarakat dengan menubuhkan Lembaga Bahasa, Parti Rakyat dan Yayasan Rakyat Singapura bagi mendorong kemajuan politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Beliau gigih mencurah bakti dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu dan juga gerakan akar umbi. Novel-novel sejarahnya seperti Panglima Awang masih dianggap unggul sehingga kini.

Semasa hayatnya, beliau juga menggunakan pelbagai nama samaran seperti Har, Gustam Negara, Atma Jiwa dan Si Ketuit.

Harun Aminurrashid merupakan sasterawan yang telah banyak menyumbang terhadap sastera Melayu, khususnya penulisan novel berlatarkan sejarah dan isu nasionalisme sejak 1940-an.

Antara novel Allahyarham ialah Panglima Awang, Wak Chantok dan Darah Kedayan.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Latihan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak, pada usia kira-kira 17 tahun.

Setelah tamat pelajarannya di maktab itu, beliau menjadi guru di maktab itu juga.

Pada 1939, beliau dihantar ke Brunei sebagai 'Penguasa Pelajaran' hingga 1945. Selepas Perang Dunia kedua (1946), beliau dihantar kembali ke Singapura.

Allahyarham meninggal dunia pada 9 November 1986.

Semangat kebangsaan Allahyarham jelas terserlah pada penyertaan aktifnya dalam badan-badan Melayu semasa hayat beliau.

Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu dan Yang Dipertua Majlis Pelajaran Melayu.

Karya beliau sering diterbitkan di ruangan akhbar Warta Malaya, Warta Ahad, Warta Jenaka, Al-Ekhwan, Bulan Melayu dan Jasa.

Beliau juga menerbitkan pelbagai jenis majalah seperti Hiboran; Kenchana; Mutiara; Filem Raya; Melayu Raya; Bulanan Filem Raya; Fashion; Tunas (majalah mingguan kanak-kanak), Belia, Taman Kanak-Kanak, Hiboran Filem, Seni, majalah cerpen Kesah, buku bulanan Dewan Pujangga, buku berkala Punggok dan majalah triwulan Medan Sastera.

Nota: Rencana ini disiarkan dengan kerjasama Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.

1 comment: