Sunday, May 13, 2012

bahasa melayu

13 Mei 2012

FORUM

Pilihan guna bahasa Melayu terletak pada diri sendiri


SAYA teruja akan program Bulan Bahasa tahun ini, yang lebih menumpukan dan menyediakan pelbagai acara bagi menerapkan nilai-nilai murni, baik bagi yang tua mahupun muda.

Saya juga gembira apabila pengerusi Bulan Bahasa 2012, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, meyakinkan bahawa acara yang bakal diadakan boleh dinikmati masyarakat umum dan juga golongan muda yang lebih selesa bertutur bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.
Ada orang berkata bahawa mereka tidak suka atau sukar berbahasa Melayu. Soalan saya, apakah kita bukan orang Melayu? Bahasa melambangkan bangsa seseorang.
Seorang ahli bahasa berkata bahasa bukanlah suatu abstrak yang bijak pandai, yang membuat kamus, tetapi adalah sesuatu pembangunan daripada usaha, keperluan, pertalian, kebahagiaan, kasih sayang, rasa, kesukaan manusia sejagat yang luas dan mempunyai dasar yang mendalam, hampir mencecah bumi.
Pengetahuan bahasa dapat ditambah dengan pembacaan. Di samping menambah pengetahuan, penguasaan bahasa akan terus meningkat. Dalam masyarakat besar atau kecil, budi tetap mempunyai mutu dan nilai yang tinggi.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa Melayu anak-anak daripada peringkat kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menerapkan nilai budi dalam diri anak.
Kalau kita rajin membaca buku tentang budi, kita akan mendapat beberapa petunjuk dan pedoman ke jalan budi mulia.
Di rumah, ibu bapa boleh menjawab dan membimbing pertanyaan anak-anak dalam bahasa Melayu. Itu pilihan anda.
Bagi pelajar semua peringkat, sekolah dan guru memainkan peranan penting menggalak penggunaan bahasa Melayu.
Untuk pelajar dewasa, uniknya bahasa Melayu ialah terdapat pantun, yang banyak menyebut tentang budi.
Bagi ibu bapa pula, setiap hari pasti ada sekurang-kurangnya satu perkataan Melayu yang kita gunakan.
Tidak perlu kita merendah diri dengan berkata kita tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu. Berbicaralah dalam bahasa Melayu dari sekarang.
Dalam MRT, di perpustakaan, di tempat umum, semua orang Melayu boleh berbahasa Melayu walaupun di selang-selikan dengan bahasa lain. Jadi, mengapa kita perlu berasa rendah diri atau malu menggunakan bahasa ibunda kita sendiri?
Bagi masyarakat umum, ikon tertentu dapat memainkan peranan dalam pelbagai cara. Misalnya di televisyen, ahli bahasa atau tokoh politik boleh menceritakan pengalaman mereka dalam sepatah dua bahasa Melayu.
Dari akhbar pula mungkin boleh diadakan, sebagai contoh, ruangan Bahasa Kita, yang menyenaraikan kata-kata daripada pelbagai lapisan masyarakat (mungkin boleh bermula daripada wartawan Berita Harian kerana mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan keutuhan dan keindahan bahasa Melayu).
Di media elektronik seperti Facebook dan Twitter, tulisan ringkas kita boleh dibuat dalam bahasa Melayu betul.
Ini semua boleh dilakukan. Pilihan ada pada kita.
Akhir kalam, budi merangkumi hati dan jiwa, iaitu keperibadian seseorang atau suatu bangsa. Budi tidak terpisah daripada bahasa, sebab itu dikatakan 'budi bahasa'.
Burung serindit terbang melayang,
Terbang hinggap di ranting mati,
Bukan ringgit dipandang orang,
Pandang atas bahasa budi.
Sharifah Mohamed

No comments:

Post a Comment