Tuesday, February 28, 2012

pantun

21 Feb 2012

EKSTRA!

Pastikan maksud ingin disampai sebelum karang pantun


Mari Berpantun Oleh
Mohamed Ashik
Penulis Tamu

DALAM panduan-panduan mengarang pantun yang saya berikan dalam keluaran lalu, telah saya jelaskan bahawa untuk mula mengarang pantun, mesti telah ada maksud yang ingin disampaikan, barulah dikarang akan pembayang maksudnya.

Pantun yang boleh dianggap bermutu ialah pembayang maksudnya ada kaitan dengan maksud dan bunyi penghujung tidak boleh semuanya sama.

Bunyi hujung baris pertama pembayang maksud, hendaklah sama bunyi dengan penghujung baris ketiga maksud pantun, manakala bunyi hujung baris kedua pada pembayang maksud, hendaklah sama bunyinya dengan hujung baris keempat pantun yang dikarang.

Saya terbaca serangkap pantun yang berbunyi begini:

Jauh-jauh kapal datang,

Jintan selasih dimasak minyak;

Tuan jauh ke mari datang,

Terima kasihlah banyak-banyak.

Cuba perhatikan pada hujung baris pertama 'datang' sama bunyinya dengan hujung baris ketiga 'datang'. Hujung baris ketiga tidak seharusnya menggunakan perkataan yang sama 'datang'.

Ia boleh digantikan dengan perkataan seperti 'petang', 'kentang', 'lintang' dan sebagainya. Manakala pembayang maksud pantun tersebut, tidak ada kaitannya dengan maksud pantun.

Pantun tersebut boleh diperbaiki dengan mengarangnya begini:

Pucuk pauh dari seberang,

Dibawa orang dalam terendak;

Dari jauh Tuan datang,

Terima kasih banyak-banyak.

Saya terbaca juga serangkap pantun yang berbunyi begini:

Kalau roboh kota Melaka,

papan di Jawa saya dirikan;

Kicau riuh majlis perayaan,

bila spiderman silat-silatan?

Pembayang maksud pantun tersebut adalah pinjaman daripada pantun pusaka yang biasa kita dengar bunyinya begini:

Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa saya dirikan;

Kalau benar bagai dikata,

Nyawa dan badan saya serahkan.

Dalam mengarang serangkap pantun baru, kita tidak boleh meminjam pembayang maksud daripada serangkap pantun pusaka.

Pantun pusaka terdiri dengan sendirinya, tidak boleh diubah-ubah kerana dikhuatiri akan hilang keasliannya.

Tambahan pula bunyi hujung baris pertama 'Kota Melaka', manakala bunyi hujung baris ketiga 'perayaan' sedang bunyi hujung baris kedua, ketiga dan keempat sama bunyinya, iaitu 'dirikan', 'perayaan' dan 'silat-silatan' - jadi lari daripada persyaratan pantun.

Pantun yang ingin disampaikan boleh diperbaiki begini:

Pulau jauh bergemerlapan,

Nampak dari Pulau Selat;

Meriah riuh majlis perayaan,

Bila masanya spiderman bersilat.

Jadi dalam pemilihan kata-kata, dan menentukan bunyi hujung setiap baris pantun, harus dikarang berhati-hati supaya pantun yang dihasilkan akan nampak bermutu.

No comments:

Post a Comment