Tuesday, February 28, 2012

seloka

14 Feb 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Sampaikan mesej menerusi seloka


SELOKA ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas. Ia tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, berirama ataupun tidak.

Antara ciri seloka adalah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka dan mengkritik tingkah laku serta sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran atau jenaka.

Kata seloka berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu 'Sloka'.

Menurut Pendeta Za'ba, seloka adalah sejenis karangan yang lebih kurang sama seperti gurindam; sebab itu kebanyakan sifat-sifat gurindam ada padanya.

Menurut beliau lagi, seloka mempunyai unsur kelakar, geli hati, gurau senda, giat, ejek, dan terkadang perasaan nyanyi, asyik berahi, hiba rawan, khayal dan mimpi.

Dalam bahasa Jawa, seloka disamakan dengan peribahasa.

Seloka biasanya ditulis dua atau empat baris dan terkadang ditulis lebih daripada empat baris.

Masyarakat Melayu mencipta seloka untuk mencerminkan rasa tidak puas hati mereka terhadap seseorang yang digambarkan melalui seloka.

Antara contoh seloka dalam kesusteraan Melayu lama ialah Seloka Emak Si Rendang, Seloka Pak Kaduk dan Seloka Pak Pandir.

Seloka Pak Kaduk misalnya mengandungi cerita yang memberi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat dahulu dan sekarang bahawa Pak Kaduk bernasib malang akibat kejahilannya sendiri.

Antara bunyi seloka itu ialah:

Aduhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung

tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awak pulang kebuluran,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Ada isteri dibunuh,

Nyaris mati oleh tak makan,

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk.

Tidak kurang lucunya ialah Seloka Pak Pandir mengenai kebodohan watak Pak Pandir.

Antara selokanya ialah:

Pandai! Pak Pandir!

Anak dipijak dagang dijunjung,

Kucing dibunuh tikus dibela,

Harta habis badan tergadai,

Mendengar gelagak dagang,

Tak sedar bertelanjang,

Mendengar guruh di langit,

Air tempayan dicurahkan,

Mulut disuap pisang,

Buntut dicangkuk onak,

Gunting makan di hujung,

Pak Pandir juga menanggung!

Apa didengar gelagak dagang,

Gelagak rambutan jantan,

Orang berbunga dia berbunga,

Orang berbuah dia haram!

Kilat memancar hujan tak jadi,

Awak juga yang menanggung!

Satu lagi sifat Pak Pandir dibayangkan seperti berikut:

Inilah sifat Pak Pandir

Asalkan bergaya

itulah kaya

Asalkan berkilat itulah intan

Asalkan buntat

pasti bertuah

Asalkan berbungkal

itulah emas

Selain watak-watak lucu dan bodoh ini, ada juga seloka yang mengungkap kehilangan adat Melayu.

Berikut ialah contohnya:

Aduhai resam, wahai adat!

Lembaga di mana telah berpudat?

Wah! Hilang adat

lenyaplah bahasa,

Ghaib sepi tiada bersisa...

Laksana dipagut

tedung yang bisa!

Kesimpulannya, seloka ialah antara kira-kira 20 jenis puisi tradisional warisan Melayu kita.

Dapat dikatakan bahawa penghasilan seloka berkait rapat dengan bahasa dan mempunyai mesej berunsur sindiran.

Bahasa merupakan wadah bagi menyampaikan mesej dalam seloka tersebut.

Penggunaan bahasa yang indah mampu menarik minat pembaca untuk mengetahui mesej yang ingin disampaikan.

No comments:

Post a Comment