Tuesday, February 28, 2012

leftenan adnan

18 Feb 2012

SINGAPURA

Keberanian Leftenan Adnan disebut hingga kini

Tahun ini Singapura memperingati ulang tahun ke-70 kejatuhan pulau ini ke tangan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Antara pertempuran hebat ialah yang melibatkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berjuang bermati-matian mempertahankan Bukit Chandu yang strategik di Pasir Panjang. NUR DHUA ESOOF (nurdhuha@sph.com.sg) menyingkap kisah pemimpin pasukan itu, Leftenan Adnan Saidi, yang berjuang hingga ke titisan darah terakhirnya.


TUJUH puluh tahun lalu, pada 14 Februari 1942, Leftenan Adnan Saidi daripada Rejimen Askar Melayu (RAM) ditangkap tentera Jepun, diikat pada sebatang pokok ceri dan ditusuk berkali-kali dengan bayonet sehingga mati.

Peristiwa pahit yang mengorbankan hampir kesemua askar RAM yang dikerah mempertahankan Bukit Chandu di Pasir Panjang sudah lama berlalu, namun jasa mereka dikenang hingga kini.

Tahun ini ulang tahun ke-70 kejatuhan Singapura ke tangan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua, dan perjuangan Leftenan Adnan serta anak buahnya antara yang tidak pernah dilupakan.

Pelbagai acara dianjurkan bagi warga Singapura mengenang mereka yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.

Beberapa askar veteran turut diundang ke acara-acara itu. Antara yang dijemput bagi mewakili Rejimen Askar Melayu Diraja (nama RAM selepas perang), yang memainkan peranan besar mempertahankan pulau ini, ialah Kolonel (Bersara) Abdul Malik Mohd Alwi, presiden Kelab Pegawai RAMD di Kuala Lumpur.

Bekas askar RAMD berumur 68 tahun itu berkata walaupun beliau tidak terlibat dalam peperangan, beliau mengenali ramai anak askar yang berjuang dalam Perang Dunia Kedua.

'Kebanyakan mereka ahli kelab RAMD. Selalunya mereka duduk bersembang dan mengenangkan kisah-kisah lama, terutama yang berlaku pada zaman peperangan,' katanya.

Antara cerita yang sering dikongsi, menurut beliau, ialah kisah Leftenan Adnan, yang terkorban pada usia muda 27 tahun.

Menurut Kolonel Abdul Malik, Leftenan Adnan antara askar Melayu pertama yang direkrut sewaktu penubuhan RAM pada 1933.

Seorang askar cekap dan berani, beliau dinaikkan pangkat daripada rekrut kepada leftenan kedua dalam masa singkat.

Pada 1941, Leftenan Adnan dihantar bertugas di Singapura. Beliau dan isteri serta dua anaknya tinggal di sebuah rumah besar di Pasir Panjang.

Apabila bahaya perang mula mengancam, beliau menyuruh isterinya yang sedang sarat mengandung pulang ke kampungnya di Kajang, Selangor, bersama anakanak mereka.

Tentera Jepun mula menyerang Singapura pada 8 Februari 1942. Serangan itu berterusan hingga 14 Februari, dengan pertempuran paling getir dilaporkan berlaku di Bukit Chandu, antara medan terakhir sebelum Singapura menyerah kalah pada 15 Februari.

Serangan ke atas kubu yang didirikan Leftenan Adnan bersama 42 askar RAM pimpinannya di Bukit Chandu bermula subuh, dalam keadaan masih gelap.

Serangan datang bertubi-tubi dari dua penjuru, dengan tentera Jepun menggunakan pelbagai jenis senjata, termasuk meriam besar.

Walaupun bilangan askar RAM sangat kecil berbanding askar Jepun dan bekalan peluru mereka tidak mencukupi, Leftenan Adnan enggan menyerah kalah atau melarikan diri walaupun dinasihatkan rakan-rakannya supaya berbuat demikian.

'Apabila sudah habis peluru, mereka bertempur dengan musuh dari jarak dekat menggunakan bayonet pula,' kata Kolonel Abdul Malik.

Menurut laporan, Leftenan Adnan cedera terkena peluru namun tetap tidak mahu mengalah.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata 'Kembang jarak, kembang jagung; berani bawak mesti berani tanggung' lalu mara dan terus mempertahankan Bukit Chandu.

Namun, kubu pertahanan di Bukit Chandu jatuh jua ke tangan tentera Jepun.

Hampir semua askar Melayu yang bertahan di bukit itu sama ada gugur dalam pertempuran atau dibunuh dengan kejam.

Leftenan Adnan sendiri digantung hidup-hidup dengan kaki ke atas dan kepala ke bawah sebelum ditusuk berkali-kali dan kemudian dibakar sehingga menjadi abu.

Sehari selepas kubu Bukit Chandu jatuh, tentera British mengaku kalah dan menyerahkan kuasa kepada tentera Jepun pimpinan Jeneral T. Yamashita.

Kolonel Abdul Malik bangga akan keberanian Leftenen Adnan.

'Sikap berani itu adalah tradisi yang ditinggalkan Leftenan Adnan kepada RAMD. Motonya, 'biar putih tulang, jangan putih mata', menjadi pegangan rejimen kami hingga ke hari ini,' katanya.

Namun, Kolonel Abdul Malik berkata terdapat ramai lagi wira RAMD yang harus turut disanjungi.

'Ada beberapa pegawai ditangkap dan diperintahkan oleh Jepun supaya menanggalkan uniform Rejimen Melayu dan memasuki angkatan tentera Jepun, tetapi mereka tidak mahu menjadi pembelot sehingga akhirnya mereka dibunuh.

'Mereka semua adalah orang- orang yang berani, tetapi yang kita ingat hanya kisah Leftenan Adnan. Mungkin kerana dia merupakan seorang komander muda berjiwa pahlawan,' ujar beliau.

Kisah RAM dan Leftenan Adnan dipapar di sebuah pusat interpretatif, Imbasan di Bukit Chandu, di Pepys Road, dekat Pasir Panjang, dan di dua muzium di Port Dickson, Negeri Sembilan, tempat lahir RAMD.

Kisah hidup Leftenan Adnan turut dijadikan filem pada 2000 dengan tajuk Leftenan Adnan dan siri televisyen A War Diary.

1 comment: