Monday, January 24, 2011

Asmah Haji Omar

24 Jan 2011

EKSTRA!

DUNIA BAHASA
Tokoh ilmuwan bahasa Melayu

Oleh
Jyh Wee Sew
KULIT majalah Dewan Bahasa di Malaysia isu Disember 2010 memaparkan muka seorang wanita Melayu.

Wajah Asmah Haji Omar yang gigih menggerakkan tugas perancangan bahasa Melayu pada tahun '70-an dan pemupukan bahasa pada tahun '90-an hingga kini memang cocok sebagai hiasan depan majalah bahasa ini.

Sebenarnya, Asmah Haji Omar menerima anugerah tokoh ilmuwan bahasa Melayu kebangsaan sempena bulan bahasa kebangsaan negeri Perak 2010.

Anugerah ini membawa cek bernilai RM50,000 ($21,370) dan watikah penghargaan.

Syabas bagi komuniti ahli bahasa. Inilah julung-julung kali ahli bahasa telah diangkat ke taraf yang sama dengan seniman dan sasterawan negara.

Penerbitan ilmiah Asmah Haji Omar sepanjang 40 tahun terlalu banyak untuk disenaraikan.

Beliau wanita Melayu pertama di dunia yang mendapat PhD daripada Universiti London pada 1969.

Katalog buku di dalam sistem komputer Perpustakaan Awam (NLB) memuatkan 88 judul di bawah nama pakar bahasa ini.

Tinjauan ringkas ke atas jumlah buku yang dihasilkan dari 2005 hingga 2010 mencecah angka tujuh judul asli dan dua judul kemas kini.

Nahu Melayu Mutakhir kini dalam edisi kelima dan Susur Galur Bahasa Melayu dalam edisi kedua.

Dengan kekerapan ini, Nahu Melayu Mutakhir layak dianggap sebagai rujukan tuntas nahu bahasa Melayu.

Selain daripada itu, sebanyak empat naskhah suntingan telah diterbitkan dalam lima tahun kedua pada kurun ke-21 ini.

Kesarjanaan beliau sepadan dengan ijazah Doctor of Letters (D Litt.) yang diterima dari Universiti Malaya pada 2000 sebelum beliau bersara secara rasmi.

Di dalam dunia akademia, ijazah ini hanya diberikan berdasarkan kepakaran dan penerbitan yang memberikan sumbangan putus dalam sesuatu bidang ilmu secara berterusan.

Bagi penulisan Bahasa Melayu di Samudera: Benih Yang Baik Menjadi Pulau (DBP, 2006), Asmah Haji Omar merantau ke pulau Cocos di Australia Barat menerusi projek Jejak Bahasa TV3.

Naskhah ini buku pertama tentang diaspora Melayu di rantau asing.

Perkembangan keturunan Melayu di Melbourne sehingga tertubuhnya stesen radio bahasa Melayu melalui usaha komuniti pendatang Melayu bersama kerajaan negeri ada dilaporkan dalam buku ini.

Penguasaan budaya-bahasa dalam buku ini cukup sempurna.

Dalam satu perenggan ada dijelaskan bahawa batok dalam peribahasa melepaskan batok di tangga merujuk pada tempurung kelapa yang digunakan untuk mengambil air cuci kaki.

Selepas membersihkan kaki batok ditinggalkan pada tangga rumah tanpa menghiraukan kebajikan orang sebelumnya.

Jelaslah, batok peribahasa ini bukannya batuk kerana radang paru-paru.

Dalam semakan Google Scholar empat naskhah buku Asmah Haji Omar mencatatkan rekod sekuang-kurangnya 30 kali dijadikan sumber rujukan dalam pelbagai kajian.

Selepas menolak rujukan oleh pengarang sendiri, kesemua judul buku ini mempunyai purata keberkesanan antara 30 hingga 45 kali rujukan dalam hasil terbitan yang berbeza-beza.

Setakat ini, rekod keberkesanan ini masih tiada tandingannya di kalangan sarjana Melayu.

Di samping rekod bertulis, nama Asmah Haji Omar terus kedengaran di persidangan.

Baru-baru ini, Boonjera Chivarate (PhD) telah membentangkan penguasaan pragmatik bahasa Inggeris di sebuah universiti Thailand dalam Sidang Antarabangsa Pusat Bahasa Universiti Nasional Singapura yang Keempat di Hotel Orchard.

Kajian penguasaan bahasa Inggeris ini menggunakan kajian penguasaan bahasa Inggeris di kalangan siswa dan siswi Melayu dalam penyelidikan Asmah Haji Omar sebagai satu rujukan prakajian.

Dari awal lagi, Asmah Haji Omar memang menyokong dasar dwibahasa sebagai langkah ke hadapan bagi negara-negara Komanwel yang pernah diinggeriskan dalam sistem pentadbiran rasmi dan pendidikan kebangsaan.

Namun, penguasaan dua atau lebih bahasa tidak semestinya bererti penghayatan dua atau lebih budaya.

Selagi budaya asal masih dipupuk bahasa asing lebih bersifat alat tugasan dan komunikasi harian.

No comments:

Post a Comment