Tuesday, February 1, 2011

Sama-sama Waspada apbila berbicara isu sensitif

2 Feb 2011

FORUM

Sama-sama waspada apabila berbicara isu sensitif


TENTUNYA kenyataan rasmi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bahawa pandangan Menteri Pembimbing (MM), Encik Lee Kuan Yew, tidak didukung oleh beliau dan pemerintah, meredakan keadaan dan perasaan tersinggung masyarakat Melayu/Islam kita.

Episod sebegitu mengajak kita memikirkan beberapa perkara dan diharap ia dapat mengurangkan kemungkinan berulangnya isu-isu seperti itu pada masa hadapan.

Pertama, mengikut MM Lee orang Melayu/ Islam adalah paling kurang integrasi di Singapura – kerana mereka "berbeza dan terpisah" jika dilihat dari segi pakaian dan amalan makanan mereka.

Jawapan beliau untuk menyelesaikan isu ini: "Kurangkan ketaatan kepada amalan-amalan agama."

Kenyataan MM Lee itu bukanlah baru.

Beliau berhujah sedemikian semenjak 1988 lagi apabila beliau kesali apa yang dilihat sebagai keinginan masyarakat Melayu/Islam berpakaian, makan dan berkelakuan seperti apa yang disebutnya orang Islam di Timur Tengah.

Pada 2001, setelah memerhatikan betapa Muslim kelihatan bertambah taat kepada agama, beliau terus merumuskan Singapura menghadapi masalah.

Kini, beliau ulang lagi sentimen yang sama.

Kedua, keprihatinan beliau tentang perlunya integrasi kaum di negara ini memang berasas.

Malah, semua kaum di Singapura perlu berusaha demi menuju arah matlamat tersebut.

Sebagai penganut Islam, orang Melayu faham dan terima dasar menghormati kepelbagaian kaum dan agama kerana inilah yang dianjur agama kita.

Masyarakat Melayu/Islam kita telah banyak berusaha mengamalkan sikap toleransi, menghargai orang-orang bukan Melayu, mempunyai kawan daripada pelbagai agama, dan telah membuktikan semangat mahu membina sebuah negara yang berintegrasi dan bersatu padu.

Ketiga, hakikat bahawa masyarakat kita tidaklah seperti yang dinyatakan MM Lee telah banyak dibuktikan menerusi data dan kesimpulan daripada beberapa kajian beberapa profesor universiti dan institusi disegani, seperti Institusi Kajian Dasar (IPS) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Satu kajian awal oleh IPS lebih kurang pada 2002 menunjukkan bahawa 95 peratus orang Melayu mendapati Singapura sebagai negeri yang baik untuk dijadikan tempat tinggal jika dibandingkan dengan hanya 89 peratus rakyat Cina dan 77 peratus rakyat India yang berpendapat sedemikian.

Satu lagi hasil kajian IPS pada 2009 mendedahkan orang Melayu menduduki tempat teratas dalam aspek ‘kesediaan untuk berkorban’ bagi Singapura.

Baru-baru ini, kajian NYC menunjukkan orang Melayulah yang mencatat markah tertinggi dalam aspek ‘mempercayai kaum lain’.

Malah, dalam sejarah, orang Melayu telah turut menyumbang bakti mereka dan cukup membuktikan taat setia mereka kepada negara, termasuk semasa perjuangan dan pengorbanan rejimen Askar Melayu.

Begitulah juga reaksi orang Melayu apabila berlakunya perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965.

Bukan sahaja pengundi Melayu banyak yang mengundi Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan bukan Umno, bahkan apabila ada tawaran tanah luas khas di Johor untuk Melayu Singapura, dan banyak lagi tawaran pekerjaan yang baik di Malaysia, sebahagian besar rakyat Melayu Singapura masih mengambil keputusan tidak berhijrah ke Malaysia.

Kenyataan MM Lee bahawa kononnya orang Melayu dan Islam merupakan masalah besar dalam usaha pemerintah mahu mengintegrasikan negara yang berbilang bangsa dan agama ini, jelasnya tidak tepat; malah yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.

Maka itu, mujur PM Lee dan Kabinet mengasingkan diri daripada pandangan MM Lee.

Kurangnya integrasi di negara lain bukan tertakluk kepada keinginan sesuatu kaum atau agama untuk mengenakan pakaian berbeza dan makanan berlainan dan tersendiri – tetapi pada isu lebih besar, iaitu pembangunan negara secara keseluruhannya, termasuk bagaimana sebuah negara itu diperintah dan tahap penglibatan rakyat dalam sama-sama membina negara.

Akhir sekali, diharapkan pada lain masa, para pemimpin kita akan lebih berhati-hati apabila mengeluarkan komen atau menyentuh isu-isu sensitif seperti kaum, agama dan budaya.

Tabiat berterusan menunjuk jari kepada orang Melayu/Islam dan melahirkan rasa kurang senang mengenai tahap keislaman mereka perlu dihentikan segera.

Yang perlu juga kita titikberatkan adalah jika pemerintah mahukan semua golongan rakyat prihatin dan berwaspada apabila berbicara dan menyentuh isu-isu sensitif seperti kaum dan agama, diharapkan para pemimpin kita juga harus sama-sama menjunjung prinsip ini.

Profesor Madya Dr Hussin Mutalib

No comments:

Post a Comment