Monday, January 24, 2011

Di Sebalik makna Kepayang

24 Jan 2011

EKSTRA!

PERISTIWA BAHASA
Di sebalik makna kepayang

Oleh
Mohd Gani Ahmad
SAYANG sayang buah kepayang.

Begitulah bunyi baris pertama peribahasa yang berbentuk pantun dua kerat atau karmina yang lanjutannya berbunyi ditelan mabuk diluah/dibuang sayang.

Peribahasa ini membawa maksud: Seseorang yang menghadapi keadaan yang serba salah; dibuat boleh menimbulkan kerosakan atau kerugian dan jika ditinggalkan pula berasa sayang kerana sesuatu itu amat digemari atau diperlukannya.

Bunyi peribahasa ini seiras atau serupa bentuk dan maknanya dengan ditelan mati emak, diluah mati bapa, yang juga memperlihatkan keadaan yang serba tak kena dan agak sukar hendak dibuat keputusannya.

Kedua-duanya mengakibatkan kerugian dan musibah yang hebat dan mengesankan kehidupan.

Kosa kata kepayang yang seiras maknanya dengan keluak ini timbul ketika berbual-bual dengan Haji S Ahmad, pada Jumaat yang lalu, yang sedang mendengar penerangan ringkas mengenai rencana berdarmawisata ke Batam.

Beliau menyatakan sambil bercanda: '... Kalau ke Batam, saya harus mendapatkan buah keluak bagi memenuhi pesanan isteri. Jika tidak, saya tak boleh pulang ke rumah...'

Dalam esei Rawon Bukan Rawan, yang tersiar di akhbar ini pada 21 Disember 2009, ada saya menyatakan bahawa:

'... Buah keluaklah yang menghitamkan warna kuah rawon. Buah ini banyak digunakan oleh kaum Cina Peranakan dalam masakan mereka sejak dulu.

'Nama lain bagi keluak ini ialah payang atau kepayang atau istilah sainsnya, panguim edule.

'Namun buah kepayang atau keluak yang menjadi bahan campuran kuah rawon ini telah diproses dan tidak lagi mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita jika tidak digunakan secara berlebih-lebihan...'

Dalam ruangan Peristiwa Bahasa kali ini, marilah kita sembangkan kosa kata kepayang pula.

Menyentuh kosa kata kepayang, banyak lagu Melayu yang menggunakan kata nama buah kepayang ini.

Nikmati lirik lagu Yang Mana Satu Pilihan Hati nyanyian Khatijah Ibrahim, yang berbentuk pantun:

Sayang-sayang buah kepayang,
Mana nak sama si buah keranji;
Di sana sayang sini pun sayang,
Dua-dua memikat hati.

Kekadang kosa kata kepayang ini disebut payang sahaja oleh orang Melayu.

Payang boleh bermakna pukat yang menyerupai sebuah karung berjaring yang besar berbentuk setengah lingkaran.

Payang digunakan bagi menangkap atau menjaring ikan; di bahagian bawahnya tergantung ladung dan di atasnya pula ada pelampung.

Pukat payang ini akan ditarik perahu payang; oleh pemayang yang bererti orang yang menangkap ikan menggunakan payang.

Dalam dialek Jakarta, payang atau memayang boleh juga bermakna menolong orang berjalan dengan memapah atau menyangga tangan orang yang dibantu berjalan itu.

Selain keluak atau kepayang ini digunakan sebagai salah satu rempah-ratus atau bumbu, ramuan utama yang digunakan untuk memasak kuah rawon.

Buah keluak ini juga banyak digunakan sebagai campuran bumbu bagi memasak lauk ayam atau daging buah keluak.

Bagi kaum Cina Peranakan biasanya ketika memasak lauk khinzir buah keluak.

Di Tanah Toraja, mereka memasak lauk yang dipanggil pammarrasan; lauk ikan atau daging dan sayur-sayuran, yang kuahnya berwarna hitam.

Orang Sunda pula menamakan buah kepayang ini buah pucung atau pucing.

Pokok kepayang atau keluak ini merupakan tumbuh-tumbuhan liar yang terbiar di dalam hutan di kawasan paya atau rerawa di Asia Tenggara: di Indonesia, Malaysia dan Papua.

Pokok ini setinggi pokok durian. Buahnya lonjong macam roti Perancis atau bola ragbi, sebesar 15 hingga 17 sentimeter. Di dalamnya terdapat lima hingga enam biji kepayang.

Apa yang perlu diingat dan dijadikan panduan kepada mereka yang ingin menggunakan buah kepayang atau keluak ini, ialah buah ini mengandungi sejenis asam sinida atau hydrogen cyanide yang boleh memabukkan jika tidak diproses dengan sebaik-baiknya, terutama buah yang masih muda.

Namun buah keluak yang terjual di pasar sudah direbus dan dihilangkan asidnya.

Namun jika hendak menggunakannya, kita haruslah berpada-pada dan tidak boleh berlebih-lebihan; boleh memabukkan.

Antara peribahasa yang menggunakan kosa kata kepayang dan payang:


Bagai membelah kepayang muda, dimakan mabuk dicampak sayang yang bermakna menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit untuk diambil keputusan, tegasnya dalam keadaan yang serba salah.


Bulan terang paksa baik; payang ke laut, balok pun ke laut juga bermakna dalam masa kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari atau meraih keuntungan.


Mabuk kepayang bermakna bercinta atau mencintai seseorang yang keterlaluan hingga tidak dapat berbuat hal-hal yang lain atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian kerana dilanda atau dipengaruhi perasaan jatuh cinta.

No comments:

Post a Comment