10 Jan 2011
EKSTRA!
Tarian Melayu tradisional
TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Demikian kita boleh ibaratkan tarian-tarian Melayu tradisional yang masih segar dipersembahkan di sana sini dari masa ke masa. Namun, tahukah anda jenis-jenis tarian Melayu tradisional?
Berikut maklumat mengenai beberapa tarian tersebut.
TARIAN MAK YONG
Tarian ini yang berasal dari Patani di selatan Thailand, dicipta untuk hiburan kerabat diraja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diraja lelaki.
Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.
TARIAN KUDA KEPANG
Tarian kuda kepang mulanya dibawa ke negeri Johor oleh pendatang dari Jawa.
Para penarinya menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.
ZAPIN
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Melayu ini boleh dilihat dengan ketara dalam tarian zapin, sebuah tarian yang terkenal di Johor.
Tarian ini yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.
TARIAN LILIN
Ini pula adalah sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.
TARIAN GAMELAN
Tarian klasik ini mula di kesan di empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17.
Ia mula di persembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan Pahang dalam 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga, dengan Wan Esah yakni adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang.
Ia mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.
Tarian ini yang dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita boleh di pentaskan secara dalaman atau pun terbuka.
Elemen Jawa boleh dilihat dari segi seni tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini sangat menarik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi kostum tarian Melayu.
TARIAN CIK SITI WAU BULAN
Pada musim menuai di negeri- negeri sebelah Pantai Timur, Semenanjung Malaysia, sering diadakan permainan seperti main gasing, main wau, rebana ubi, rebana kertuk, rebana kayu dan lain-lain lagi.
Sempena permainan wau maka satu tarian yang diberi nama Cik Siti Wau Bulan dicipta. Dahulu tarian ini mengisahkan anak muda bermain-main wau pada musim menuai.
Kemeriahan tarian ini tergambar dalam gerak-geri penari-penari yang terdiri daripada anak muda lelaki dan perempuan.
JOGET
Tarian yang terkenal di rantau Nusantara ini adalah tarian yang meriah dengan rentak agak laju.
Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal daripada tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.
TARIAN ASYIK
Tarian asyik ini merupakan sejenis tarian Melayu klasik dari daerah-daerah di Kelantan. Ia ditarikan di istana raja-raja Kelantan dan Patani.
Asyik bererti kekasih; oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak-geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban.
Tarian ini dimulai dengan 10 penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu, lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari.
Tarian asyik ini ditarikan dalam upacara perkahwinan iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana.
Dari segi sejarah (Hikayat Patani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam 1644, ada menyimpan 12 penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.
Tarian Asyik mempunyai rentak perlahan dan gemalai kerana ia ditarikan di hadapan raja dan permaisuri. Penari asalnya dalam pakaian berkemban, dengan tali pinggang dan mahkota kecil.
Bahagian utama tarian asyik terdiri daripada duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan dan persekitarannya, alunan ombak laut, burung melayang, ikan berenang, gajah berarak dan sebagainya.
Sesetengah pergerakan menyerupai tarian pementasan Mak Yong. Tarian asyik biasanya ditarikan oleh inang remaja di istana.
TARIAN AYAM DIDIK
Tarian ayam didik merupakan sejenis tarian Melayu yang dikatakan berasal daripada gerakan berlaga ayam iaitu sejenis sukan yang diminati oleh orang Melayu pada masa lampau.
Tarian ini dicipta oleh ahli tarian di negeri Perlis dan masyhur di kalangan masyarakat, terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak. Tarian ini diringi dengan nyanyian lagu ayam didik.
TARIAN CERACAP INAI
Tarian ini pula adalah sejenis tarian rakyat Melayu tradisional yang terkenal terutamanya di Johor.
Ia dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar.
Tarian ceracap inai ini dikatakan berasal daripada tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian.
Oleh kerana itu tarian ceracap ini ini ada unsur-unsur 'menyembah duli' (sembah/ampun), merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan 'raja sehari' atau pengantin.
Tarian ceracap inii dipersembahkan dengan hiasan seperti bunga-bungaan emas dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan.
Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja.
Bilangan penari biasanya terdiri daripada lapan hingga lapan orang. Tarian ini amat terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di daerah Muar.
TARIAN SAMRAH
Tarian samrah merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini mempunyai irama muzik padang pasir yang rancak yang melambangkan riang ria.
Tarian ini terkenal di kalangan masyarakat Johor yang berketurunan Arab di daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.
Di Johor, tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama samrah.
Pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan digantikan oleh pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. Namun, tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita, tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja.
Ia juga ditarikan di majlis-majlis keramaian dan kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.
TARIAN ULIK MAYANG
Tarian ini ini berasal dari Terengganu. Dalam kesenian tarian Melayu, tarian ini mempunyai unsur-unsur pemujaan.
Ulik Mayang ditarikan oleh 10 hingga 15 penari. Dahulu ia dimainkan sewaktu musim puja pantai sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak mengganggu nelayan.
Terlebih dahulu mayang pinang dipuja serta digoncang-goncang atas bekas kemenyan. Kemudian mayang pinang tadi akan berpindah tangan dari seorang ke seorang.
Kemuncak tarian ini ialah apabila penari yang memegang mayang tidak sedarkan diri. -- Pusat Maklumat Rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment