Monday, January 20, 2014

Wadah puitis pelbagai hasrat

PANTUN tidak semestinya dianggap lapuk atau lama.
"Walaupun ia dinilai puisi warisan atau tradisional, pantun boleh menampung pelbagai hasrat dan digunakan dalam setiap masa, termasuk di masjid sehingga majlis pernikahan dan sidang menteri," hujah Cikgu pesara, Mohd Gani Ahmad, 73 tahun, atau nama penanya Megadona.
Sekadar contoh, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims), sering menggunakan pantun sebagai pembuka ucapan dan penutup juga.
"Pantun boleh dinyanyikan dan disebut begitu saja untuk menggambarkan rasa kasih, sedih dan sebagainya sehingga mutiara kebijaksanaan walaupun sifatnya sangat mudah atau polos," hujah pendidik yang gigih belajar sendiri dengan mengikuti kursus dan seminar.
Menurut Cikgu Mohd Gani yang pernah menulis untuk pojok Peristiwa Bahasa di akhbar ini tidak lama dulu, beliau sering juga dipanggil untuk fasilitator/pemudahcara Kursus Pengajaran Tatabahasa dan Meningkatkan Penguasaan Kosa Kata bagi guru terlatih anjuran Cawangan Latihan Staf, Kementerian Pendidikan Singapura. Sebagai penyunting buku teks bahasa Melayu untuk syarikat Panpac, Singapore National Printer dan Marshall Cavendish, beliau cuba mempopularkan penggunaan pantun.
PANTUN SEJARAH
Beliau merujuk 'Sejarah Melayu' yang mengungkapkan pantun yang halus sindirannya terhadap kebodohan raja dan pembesar Melayu yang memerintah Singapura sehingga membawa kejatuhan kerajaan di sini:
Carik-carik baju raja,
Dilompati todak;
Bukan disahaja,
Sebab akal budak.
Budak yang dimaksudkan ialah Nadim, anak Sang Rajuna Tapa. Raja atas nasihat pembesar telah menyuruh rakyat berbentengkan betis untuk melawan serangan todak. Ini suatu tindakan bodoh. Muncul Nadim yang mengesyorkan agar berbentengkan batang pisang.
Namun akal Nadim ditakuti kerana mungkin kelak menguasai raja sehingga dijadikan modal hasutan yang membawa hukum bunuh (diikat dengan batu dan dibuang ke laut). Nadim ibarat kebijaksanaan pada generasi muda dan raja sebagai mencerminkan corak kejur dan perlu dikikis.
SIFAT MELAYU
Menurut Cikgu Mohd Gani, sifat orang Melayu yang amat memelihara rasa malu tercermin pada pantun.
"Itulah sebabnya ada pembayang atau sampiran dan kemudian maksud. Cakap Melayu budiman ialah cakap berlapik atau beralas. Ini bukan bermakna kita tak boleh berterus-terang, tetapi kita tidak mahu mengguris hati seseorang. Segalanya dilakukan dengan diplomasi sehingga yang kusut dapat terlerai," hujahnya.
Selain menyampaikan hasrat yang sering dikaitkan dengan cinta, pantun boleh digunakan untuk bahan pengajaran tidak kira umur sehinggalah menyeru untuk berbakti kepada nusa seperti:
Pohon kayu di hujung desa,
Ditebang orang dibuat pepara;
Pemuda Melayu tangkas perkasa,
Setia berjuang untuk negara.
Malah beliau juga merangkai pantun yang dikaitkan dengan syarikat:
Golden Chance menjual emas,
Barang kemas berkilau-kilauan;
Pilihlah puan jangan cemas,
Berlian emas harga berpatutan.
LIRIK LAGU RAP
Cikgu Mohd Gani yakin pantun dua kerat atau karmina wajar dipopularkan sebagai lagu 'rap' (asal barat Afrika tetapi popular di Amerika Syarikat dan kemudian menjagat).
Contoh klasik:
Lain hulu, lain parang;
Lain dulu, lain sekarang.
Tetapi anak muda seperti Dayana binte Ismail menampilkan karmina seperti:
Dayung perahu ke laut biru;
Negara maju ke era baru.
Manuskrip Pantun Warisan Cikgu Mohd Gani turut membuat perbandingan pantun dengan gurindam dan syair dengan mengambil contoh daripada karya terkenal seperti Gurindam Duabelas karya Raja Ali Haji sehingga Syair Perahu Hamzah Fansuri.
Adakah manuskrip ini jika diterbitkan nanti bakal dianggap sebuah lagi karya agung daripada Singapura?
Julukan 'karya agung' telah diberikan kepada buku Nilam karya Pendeta Dr Hj Muhd Ariff Ahmad.
Namun Cikgu Mohd Gani hanya tersenyum dan berkata: "Saya cuma lakukan apa yang terbaik dan terdaya. Terpulanglah pada pengkaji dan pembaca. Tapi biarlah usahakan penerbitan manuskrip ini," pintanya.
- See more at: http://beritaharian.sg/premium/gah/sastera/wadah-puitis-pelbagai-hasrat#sthash.pvVqfIh8.dpuf

No comments:

Post a Comment