Sunday, December 29, 2013

skema dan trope

Maksud skema dan trope

Dec 29, 2013 | 6:00AM -- hermes
TERDAPAT beberapa definisi retorik.
Plato, ahli falsafah Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi, mendefinisikannya sebagai seni untuk mempengaruhi jiwa oleh Plato.
Gaya memainkan peranan amat penting dalam ilmu retorik, demikian diungkapkan dalam tesis Encik Effendy Ahmadi.
Skema dan trope pula adalah unsur-unsur dalam gaya. Dua unsur inilah yang memberikan makna keindahan kepada peribahasa Melayu yang dikaji.
Kajian Encik Effendy menggunakan kaedah analisis kuantitatif bagi melihat peratusan kekerapan penggunaan unsur skema dan trope ini.
Skema memperlihatkan bentuk atau susunan kata di luar kelaziman aturan tatabahasa. Trope pula melibatkan permainan atau pengubahsuaian pada makna asal sesebuah atau serangkai perkataan.
SKEMA
Skema dibahagikan kepada tiga aspek:
  • asonansi
  • elipsis
  • pararelisme
Asonansi merujuk kepada perulangan huruf atau bunyi vokal dalam serangkai kata. Contoh: Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.
Elipsis melibatkan pengguguran unsur-unsur tatatbahasa tertentu secara sengaja. Contoh: Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Pararelisme lebih tertumpu pada keseimbangan dalam struktur tata bahasa. Contoh: Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
TROPE
Trope juga terbahagi kepada tiga aspek:
  • metafora
  • simili
  • sinekdot
Metafora merujuk kepada dua objek yang berlainan sifat atau sikap tetapi masih mempunyai persamaan dalam aspek-aspek tertentu. Persamaan ini wujud secara implisit atau tersembunyi. Contoh: Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat.
Simili juga merujuk kepada dua objek yang berlainan sifat atau sikap, tetapi masih mempunyai persamaan dalam aspek-aspek tertentu. Namun, persamaan ini wujud secara eksplisit atau jelas. Contoh: Ibarat bunga, sedap dipakai, layu dibuang.
Sinekdot ialah perkataan-perkataan atau ungkapan yang digunakan untuk mewakili keseluruhan perkara atau idea yang hendak disampaikan. Contoh: Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak.
Encik Effendy seterusnya menyatakan bahawa kaedah yang digunakan untuk mengkaji kehadiran unsur skema dan trope sebenarnya boleh diperkenalkan kepada pelajar sekolah menengah bagi meningkatkan apresiasi mereka terhadap peribahasa Melayu.
Tujuannya supaya mereka dapat membuat penilaian sendiri secara kuantitatif atau objektif akan keindahan peribahasa Melayu.
"Jadi, keindahan bahasa itu tidak lagi diperlihat melalui penjelasan demi penjelasan yang lebih bersifat subjektif dan lebih tertumpu pada aspek permaknaan semata-mata.
"Apabila pelajar dapat melihat nilai keindahan peribahasa secara konkrit, diharap ia dapat menimbulkan minat untuk membina pemahaman mereka terhadap peribahasa, lantas menggunakannya dalam bahasa penulisan dan lisan mereka," kata Encik Effendy.
Category: 
Setempat [1]
Author: 
DEWANI ABBAS

No comments:

Post a Comment