Monday, January 20, 2014

Penubuhan ASAS 50

Azam jana gerakan sastera

Jan 20, 2014 | 6:00AM -- hermes
SEMANGAT kental sebagai seorang pemuda yang inginkan ikatan penulis serta pencinta bahasa dan sastera agar menjadi moden untuk mengangkat maruah bangsa terus membara dalam jiwa Muhd Ariff Ahmad.
"Sesudah lulus daripada Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim pada 1949, saya tak berlengah lagi untuk cuba menjayakan cita-cita saya," kata Dr Muhd Ariff atau Cikgu Ariff.
Beliau telah menghubungi rakan- rakannya termasuk Masuri Salikun, Suradi Parjo dan lain-lain bagi menjayakan hasratnya.
"Namun lepas balik SITC, masing-masing sibuk dengan tugasnya. Jadi, saya gagahi diri untuk menyertai Kesatuan Guru Melayu Singapura, khususnya Jawatankuasa Bahasa dan Persuratan. Ketua jawatankuasa ini ialah Cikgu Mahmud Ahmad (1906-1976), seorang ahli bahasa dan budaya.
"Atas desakan saya, jawatankuasa pengelola KGMS membincangkan usul agar diadakan semacam persatuan gerakan bahasa dan sastera.
"Namun, saya hampa sebab KGMS berpendapat ia sekadar sebuah kesatuan atau union saja yang memperjuangkan kebajikan guru dan bukan penulis," ceritanya.
Tidak putus asa, beliau mendapatkan temannya Jymy Asmara bagi mendorong para anggota Sahabat Pena (sebuah kumpulan tidak rasmi yang dianggotai Cikgu Ariff sejak 1947). Namun sambutannya juga kurang memuaskan.
Pada 29 April 1950, seorang tokoh bahasa dan pendidikan Indonesia, Madong Lubis dan temannya Prof Sutan Muhammad Zain (penyusun Kamus Moderen Bahasa Indonesia) datang ke Konsulan Republik Indonesia di Singapura untuk menemui para penulis Melayu, terutama yang aktif di media cetak iaitu Utusan Melayu, Melayu Raya dan Ahmadiah Press.
"Saya, Jymy, Masuri dan Rosmera (Munir Ali) dan Hamzah menemui dua tokoh dari Indonesia itu. Apabila mereka bertanya kami daripada gerakan mana? Hamzah Hussein yang ketika bekerja di akhbar Melayu Raya, secara spontan memperkenalkan kami sebagai Angkatan '50.
"Hal ini memberikan ilham kepada saya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan dengan nama ini," cerita Cikgu Ariff.
Sesudah bertemu dengan dua tokoh Indonesia tadi, Cikgu Ariff dan rakan-rakannya menyambung perbualan di kedai kopi di Lorong 24 Geylang bersebelahan dengan pejabat Melayu Raya Press.
Kata Rosmera: "Jika kita nak tubuhkan persatuan, kita buat sendiri. Jangan harapkan orang-orang tua."
Balas Jymy Asmara: "Tapi mana nak mulakan persatuan itu?"
"Saya putuskan agar diadakan saja di pekarangan rumah saya. Kawan-kawan bersetuju," kata Cikgu Ariff.
Dengan menggunakan mesin cetak Gestetner (pusing sendiri dengan tangan) di pejabat KGMS, Cikgu
Ariff mencetak surat yang mengundang puluhan penulis. "Namun cuma sejumlah saja yang menjawab akan datang. Hati saya kecewa," ceritanya.
Beliau ingin mendapatkan seorang yang dianggap 'star' (semacam tetamu terhormat) sebagai umpan menarik pelibatan lebih ramai penulis.
Ada menyarankan kami undang Keris Mas (Kamaluddin Muhammad, lahir di Pahang, 1922-1992) yang ketika itu sudah terkenal kerana bekerja di Utusan Melayu.
"Namun macam mana hendak mengundangnya. Akhirnya seorang studan (pelajar) bernama Amin Rasimon pernah mendengar ada wartawan terkenal tinggal di rumah sewa di sekitar Orchard Road.
"Tapi apakah beliau sudi?" ujar Cikgu Ariff. - Bersambung
Catatan MOHD RAMAN DAUD
Category: 
Sastera [1]
Author: 
DR MUHAMMAD ARIFF AHMAD

No comments:

Post a Comment