Tuesday, September 17, 2013

Lee Kuan Yew


RASA PUAS: Encik Lee berasa bernasib baik kerana mencapai usia 90 tahun dan berasa puas dapat melihat Singapura mencapai kemajuan. - Foto SPH

Lee Kuan Yew: Saya puas lihat Singapura maju

MANTAN Perdana Menteri Lee Kuan Yew berkata beliau mendapat kepuasan terbesar melihat Singapura mencapai kemajuan.
Beliau juga memberitahu akhbar The Straits Times dalam wawancara menerusi e-mel sempena ulang tahunnya ke-90:
"Saya bernasib baik berupaya mencapai usia 90 tahun."
Encik Lee dilahirkan pada 16 September 1923 di sebuah rumah di Kampong Java Road. Beliau merupakan anak sulung seorang pekerja Shell dan seorang suri rumah.
Sepanjang tempoh sembilan dekad, kehidupannya dipenuhi detik bersejarah termasuk era kemelesetan, penjajahan Jepun, zaman darurat, penyatuan dan perpisahan dengan Malaya, dan perjalanan Singapura daripada negara Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama.
Beliau memainkan peranan penting dalam peristiwa penting khususnya dari tahun 1959, apabila beliau menjadi Perdana Menteri Singapura yang pertama, hingga menjadi tokoh berperseptif yang dihormati dunia.
Encik Lee berundur sebagai Perdana Menteri pada 1990 dan dari Kabinet pada 2011.
Bercakap kepada The Straits Times menjelang hari lahir Encik Lee, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata pencapaian paling besar bapanya ialah membina sebuah negara yang "tiada siapa percaya boleh dilakukan".
"Pembangunan negara (sesuatu proses) tidak akan tamat, namun Singapura tidak berada di sini tanpa Encik Lee," kata Perdana Menteri Lee.
Ditanya apa pengajaran paling penting yang perlu dipelajari daripada kehidupan bapanya, Perdana Menteri Lee berkata:
"Anda perlu tahu apa yang anda ingin lakukan, dan bukan sekadar mengikuti apa yang orang lain cadangkan atau apa yang orang ramai katakan.
"Beliau juga berupaya meyakinkan orang lain agar mengikutinya, dan akhirnya kita bersama-sama dapat mencapai lebih daripada apa yang kita bayangkan."
Sempena sambutan hari lahir Encik Lee Kuan Yew, beberapa acara awam dianjurkan.
Awal bulan ini, masyarakat Cina memberikan penghormatan kepada Encik Lee atas sumbangan beliau kepada usaha menggalak penggunaan dwibahasa dan hubungan antara Singapura dengan China.
Satu lagi acara berhasil mengumpul dana $200 juta bagi menyokong inisiatif pendidikan Universiti Nasional Singapura dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.
Semalam, satu sidang sehari telah dianjurkan Sekolah Pengajian Dasar Lee Kuan Yew di Hotel Shangri-La.
Dekan pusat pengajian tersebut, Profesor Kishore Mahbubani, berkata sidang itu membincangkan idea-idea Encik Lee seperti pembangunan undang-undang dan usaha membina perkhidmatan awam terbaik, yang telah menyentuh pelbagai dimensi kehidupan rakyat Singapura.
Encik Lee sendiri, dalam bukunya, One Man's View Of The World, yang diterbitkan pada bulan lepas merumuskan perkara-perkara tersebut:
"Bagi saya, saya telah lakukan apa yang saya ingin lakukan dengan sebaik-baik keupayaan saya. Saya amat berpuas hati."

"Bagi saya, saya telah lakukan apa yang saya ingin lakukan dengan sebaik-baik keupayaan saya. Saya amat berpuas hati."
- Encik Lee Kuan Yew ditukil daripada bukunya, One Man's View Of The World, yang terbit bulan lepas.
"Anda perlu tahu apa yang anda ingin lakukan, dan bukan sekadar mengikuti apa yang orang lain cadangkan atau apa yang orang ramai katakan. Beliau juga berupaya meyakinkan orang lain agar mengikutinya, dan akhirnya kita bersama-sama dapat mencapai lebih daripada apa yang kita bayangkan."
- Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang pengajaran daripada kehidupan bapanya, Encik Lee Kuan Yew.

No comments:

Post a Comment