Tuesday, September 11, 2012

Seni tanda pola pemikiran oleh Muhammad Jailanai Abu Talib

PENGARUH ALAM DALAM HIDUP ORANG MELAYU: Sistem motif 'awan larat' yang dihasilkan sebenarnya turut mengandungi konsep tasawuf ataupun nilai spiritual.
- Foto ihsan MUHAMMAD JAILANI ABU TALIB
warisan kita

Seni sebagai tanda dalam menilai keunggulan pola pemikiran

MANUSIA kadangkala terlalu asyik berhujah dan berkata tanpa menyedari kepentingan memerhati dan berfikir.
Pada saat-saat kealpaan demikianlah seni menjadi wadah yang penting bagi mencari buah fikiran sesuatu kaum.
Seni lazimnya diangkat sebagai tanda dalam menilai keunggulan pola pemikiran masyarakat.
Ia sering menjadi pengukur dalam meneliti jiwa dan pemikiran sesuatu bangsa.
Tidak menghairankan, karya kesenian dianggap begitu bernilai dalam sesetengah masyarakat.
Masyarakat Melayu turut meletakkan kesenian pada tangga yang tinggi dalam kehidupan mereka.
Menzahirkan konsep 'alam terkembang menjadi guru', kesenian dalam alam Melayu menggarap inti dan jiwa alam bagi membentuk citra dan rupa pemikiran, yakni karya seni yang dihasilkan.
Ini lebih jelas lagi setelah kedatangan Islam ke rantau Melayu.
Tidak seperti agama-agama pra-Islam yang dianuti bangsa Melayu sebelumnya, Islam mengubah roh Melayu secara menyeluruh.
Kesenian Melayu turut menerima kesan yang mendalam daripada pengaruh agama Islam itu.
Secara bertahap, gambaran-gambaran yang memetik secara langsung daripada unsur-unsur dunia Melayu seperti haiwan-haiwan dan dewa-dewa hilang satu persatu.
Ia digantikan dengan ciri-ciri pepohon dan daun-daunan serta alam semula jadi yang lain.
Berbeza daripada peradaban-peradaban lain yang cenderung terhadap bentuk mimesis atau peniruan langsung, peradaban Melayu lebih cenderung kepada bentuk yang lebih abstrak.
Lewat penyerapan Islam ke dalam akal fikiran orang Melayu, kesenian tradisional telah mula mendekati konsep kesenian moden.
Memanjangkan falsafah berguru dengan alam, seniman-seniman Melayu mencorakkan pandangan mereka terhadap alam lewat gerak intuitif batin mereka.
Hal tersebut antaranya dikenali manusia Melayu sebagai 'gerak mata hati'.
Hasil daripada penelitian batin mereka, seluruh alam menjadi satu tanpa sebarang perpisahan antara langit dengan bumi; mahupun hidup atau mati.
Begitu tingginya usaha para seniman tradisional mencari kesatuan dengan alam, karya-karya yang dihasilkan tidak kontang daripada falsafah yang mendalam.
Bahkan, bagi peneliti yang lebih peka, seolah-olah terdapat 'semangat' yang sakti tentang karya-karya sedemikian.
Semangat tersebut antaranya ditimbulkan lewat lapan elemen utama dalam seni permotifan Melayu, yakni benih, batang, ranting, sulur, pucuk, daun, bunga dan buah.
Andai diperhatikan, perkara-perkara tersebut sekali gus menampakkan pengaruh alam dalam hidup orang Melayu.
Mencerminkan kehalusan mereka, setiap bahagian kemudiannya dibentuk secara lembut dalam garisan-garisan yang abstrak.
Namun, terlepas daripada pandangan ramai, sistem motif 'awan larat' yang dihasilkan itu sebenarnya turut mengandungi konsep tasawuf ataupun nilai spiritual.
Hampir selalunya, motif yang dihasilkan bermula daripada satu sumber, punca ataupun ibu. Berkembang daripada punca tersebut, seluruh alur garisan akan menghala berpaling daripada punca sebagai sumber ibu.
Mengenal pasti 'punca' tersebut teramat penting bagi melihat karya-karya ukir Melayu.
Pada hujung setiap garisan yang berkembang daripada 'punca' yang diukir, garisan akan melentik dan menghadap kembali padanya.
Secara tersirat, motif awan larat melakarkan bagaimana setiap detik perjalanan manusia harus bertasbih dan memandang kepada-Nya.
Menggunakan kesenian yang halus, manusia Melayu sering diingatkan supaya menyedari kelahiran dan kematian masing-masing serta Tuhan yang mengaturkannya.
Cuma, sama seperti kebanyakan ilmu Melayu yang tinggi, mesej yang tersimpan sengaja dikiaskan agar hanya didekati insan yang benar-benar tulus berkenalan dengannya.
Siapa sangka, reka bentuk Melayu yang begitu ringkas sebenarnya sarat dengan nilai-nilai kerohanian yang begitu tinggi.
Dalam hal ini, adalah wajar sekiranya seni ukir dikaji dan diteliti secara lebih serius, bukan lagi setakat melihatnya sebagai bahan perhiasan.

No comments:

Post a Comment