4 Nov 2010
KOMENTAR
PADA HEMAT SAYA
Jika hendak sastera Melayu mekar
Oleh
Mohd Raman Daud
ESOK malam, Angkatan Sasterawan '50 (Asas) akan menyambut hari ulang tahunnya yang ke-60.
Segelintir saja badan Melayu dari dekad 1950-an yang bertahan hingga kini. Pun ada yang menyifatkan Asas sekadar bertahan saja seperti almarhum Mansor Sukaimi (1943-2008), mantan anggota parlimen yang saya anggap antara ahli pendidikan dan motivasi watan ini.
'Ikutkan peredaran zaman, patut Asas tidak boleh bertahan saja. Seharusnya ia sudah ada institusi atau akademi untuk mendidik anak suka sastera sejak kecil lagi sehinggalah melatih guru agar terampil dalam bahasa dan sastera,' nasihatnya.
Asas dibentuk pada 6 Ogos 1950 dan di laman rumah deret oleh pencetus dan jurumudi utamanya, Muhd Ariff Ahmad (@MAS) di 24H, Henderson Road.
Sebelum Asas, memang terdapat beberapa badan persuratan termasuk Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Lembaga Bahasa Melayu.
Namun, Asas lebih menonjol di Dunia Melayu - hasil kegigihan MAS (kini bergelar Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad) - sebagai organiser par excellence (ahli atur hebat).
Pendaftarannya diurus wartawan dan bahasawan Muhd Asraf Abdul Wahab (@Asraf) dan disokong kalangan guru, wartawan sehinggalah seniman di Jalan Ampas. Dua ustaz, Osman Jantan dan Syed Abdillah Aljufri, pernah menyertainya.
Walaupun kecil tanpa rumah persatuan, Asas menjadi terkenal kerana daya cipta prolifik ahlinya dan kelantangannya menyuarakan perihal masyarakat marhaen lewat penulisan dan penerbitan buku.
Ia juga mendapat sokongan akhbar nasionalis Melayu, Utusan Melayu, pimpinan A. Samad Ismail (1924-2008), antara intelektual besar zamannya (turut mengasaskan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah kini).
Melalui Cikgu Masuri SN (almarhum Dr Masuri Salikun) dan wartawan Utusan seperti Asraf, Kamaluddin Muhamad (@Keris Mas), Usman Awang (@Tongkat Warrant) dan Abdul Wahab bin Mohamed (@Awamil Sarkam), nama Asas kian kukuh sebagai penyeru generasi 'Melayu Baru'.
Asas juga pendorong tiga Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM pada 1952, 1954 dan 1956) yang mencorakkan hala tuju bahasa Melayu di Malaya dan Singapura.
Asas dinilai sebagai 'badan beraliran' berikutan polemik Asraf dan Hamzah (yang keluar Asas dan membentuk Angkatan Penulis Muda) mengenai erti 'seni untuk rakyat' dan 'seni untuk seni' di dua akhbar yang bersaing sengit ketika itu - Utusan dan Melayu Raya.
Akhirnya, pucuk pimpinan Asas memilih 'seni untuk rakyat' yang dianggap oleh kalangan sarjana sebagai mencerminkan kecondongan Asas pada sosialisme.
Bahkan Hamzah dalam memoirnya, Dari Cathay Keris Ke Hulu Kelang (1999), membayangkan kalangan anggota Asas dipengaruhi komunis - hal yang dibantah keras oleh para tokoh lama Asas yang tebal pegangan agamanya.
Namun, sejarah Asas sering dikaburi oleh tanggapan sarjana yang tidak arif sejarahnya.
Pernah Asas dikatakan lahir di Kuala Lumpur atau dua Sasterawan Negara Malaysia, Keris Mas dan Tongkat Warrant, dianggap pengasasnya - padahal mereka muncul kemudian.
Syor Asas pada KBPM ketiga: maka lahirlah Dewan Bahasa dan Pustaka (kini sebuah agensi kerajaan Malaysia), konsep bahasa kebangsaan sehinggalah cogan kata ciptaan MAS - 'bahasa jiwa bangsa' yang sering disalah anggap sebagai peribahasa.
Apabila terbentuk Malaysia, tokoh-tokoh Asas asal Semenanjung balik kampung - membangun di Kuala Lumpur yang menjadi hab bahasa dan persuratan Melayu. Apabila Singapura berpisah dari Malaysia, Asas terpukul lagi.
Namun, dalam dekad 1970-an, Asas seolah-olah melalui proses reka semula (re-making) lewat muzakarahnya, Perkampungan Sastera 1973, yang mengutarakan gagasan Hadiah Sastera untuk mengiktiraf karya penulis dan selanjutnya Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) untuk menyatukan penulis Dunia Melayu.
Konsep Hadiah Sastera dan PSN masih kekal dan menjadi ikutan di Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Rentak pasang surut dalam kehidupan Asas mencerminkan suasana kebahasaan dan persuratan Melayu di Singapura. Mujurlah Singapura mengamalkan dasar dwibahasa yang menjamin bahasa bonda (termasuk Melayu) terus kekal di sini.
Namun, apa pun usaha pemerintah, tuah bahasa bonda amat bergantung pada penggunanya. Sayangnya, anak Melayu lebih selesa berbahasa Inggeris sehingga perlu tuisyen Bahasa Melayu untuk lulus periksa.
Di rumah dan pertubuhan Islam termasuk masjid, bahasa Inggeris kerap digunakan. Bahkan dalam ceramah dan khutbah juga, bahasa dan istilah Inggeris kian menonjol.
Walaupun bahasa Melayu masih dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan atau bahasa perintah dalam perbarisan di watan ini, ia bukan bahasa kerja. Di kalangan anak Melayu, termasuk guru pelatih dan guru bahasa Melayu sendiri, terdapat pengakuan mengenai tembok psikologi dalam penggunaan bahasa bonda kerana suasana bahasa Inggeris yang berpengaruh.
Agaknya suasana inilah yang mendorong Asas sendiri menghasilkan risalah atau wartanya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
Hal ini menimbulkan sungutan kalangan anggota lama Asas dan pernah ditegur pojok Wak Cantuk (BM, 10 Oktober). Bahkan laman webnya juga dalam bahasa Inggeris.
Jadi, apakah matlamat utama Asas sudah tidak relevan dalam alaf baru ini? Padahal tanpa bahasa Melayu, Asas kini bukan lagi kesinambungan Asas yang asal.
Adakah proses mereka semula (re-making) memerlukan Asas menuntut strategi sedemikian demi mendapatkan pengiktirafan nasional lewat waritanya sebagai badan penulis dengan 'darah muda' yang aktif?
Jika demikian halnya, tidak lagi bermakna permutu 'bahasa jiwa bangsa'. Kita berharap tentulah hal seperti ini sekadar selingan waktu kerana Asas perlu kembali kepada matlamat akarnya - memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.
Dulu, Asas menulis memorandum yang menegur atau memberi saranan kepada pihak berkuasa. Peranan ini masih penting lagi dan perlu dihidupkan semula.
Dulu bahasa dan sastera Melayu digunakan sebagai wadah mengungkap kemerdekaan daripada penjajahan Barat.
Zaman penjajahan telah berlalu tetapi timbul zaman penyejagatan (globalisasi) yang lebih menghakis jati diri Melayu, termasuk bahasa dan sasteranya.
Jika bahasa dan sastera Melayu hendak terus mekar di sini, badan Melayu seperti Asas tentulah dipertanggungjawabkan.
Dalam rangka inilah, Asas perlu mendakap, memupuk dan menjana sebanyak mungkin cendekiawan dan aktivis yang mencintai bahasa Melayu, terutama berkarya dalam bahasa bonda.
Dari menara gading, ahli korporat, usahawan, profesional, guru, wartawan sehingga mat dan minah motor - semuanya perlu digembleng.
Pada usia matang 60 tahun, kewujudan Asas amat menuntut reka semula - menajamkan daya saing penakatan tanpa hilang matlamat asas penubuhannya.
No comments:
Post a Comment