Monday, December 13, 2010

Mengimbangi Ukhrawi dan Sekular

12 Dis 2010

oleh Nazri Hadi Saparin

ISTIMEWA

Mengimbangi ukhrawi dan sekular

Apakah isu ini yang menjadi penghambat utama pelajar-pelajar madrasah?


UKHRAWI atau duniawi?

Percanggahan dalam mengimbangi jangkaan sekular dan kewajiban ukhrawi mungkin adalah rahsia terbuka yang paling ketara merundung pendidikan madrasah di Singapura.

Pendidikan ukhrawi adalah asas pendidikan madrasah dan antara lain memainkan peranan penting untuk memastikan kewujudan golongan asatizah untuk jangka masa panjang di Singapura.

Sementara itu, Sains dan Matematik juga perlu sebagai senjata ekonomi negara untuk bersaing dengan negara lain.

Dan madrasah di Singapura telah menerapkan mata pelajaran sekular dalam kurikulumnya semenjak 1960-an lagi.

Oleh itu, menurut Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Hasbi Hassan, mengimbangi kededua bidang pengajian itu sudah menjadi sebahagian budaya madrasah.

Katanya, bukti hakikat adalah kelahiran golongan asatizah yang teguh pendirian agama dan bersikap progresif di Singapura.

Sesungguhnya, pencapaian ini perlu dibanggai.

Namun, adakah ia menyembunyikan masalah yang lebih mendalam?

Hanya bulan lalu, masyarakat digemparkan dengan berita bahawa Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTAI) yang bertanggungjawab membentuk golongan asatizah Singapura semenjak 1958, tidak lagi dibenarkan menerima kohort sekolah rendah mulai 2012.

Ia telah dua kali gagal, semenjak 2008, untuk mencapai ukur tara Peperiksaan Taman Sekolah Rendah (PSLE) yang ditetapkan pemerintah.

Sudahkah tiba masanya untuk kita menyemak segala dasar yang menjejas madrasah?

Jawapannya jelas bagi mantan presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Maarof Salleh, yang berkata:

'Memang merupakan amalan yang baik untuk kita sentiasa menyemak dan menilai semula sesuatu dasar itu. Mungkin kini masanya untuk semua duduk berbincang secara terbuka,' ujarnya.

Bagaimanapun, berbincang secara terbuka itu mungkin satu lagi cabaran yang besar.

Isu pendidikan madrasah seolah-olah bergelut dengan masalah ketelusan - dicerminkan kesukaran BM berbincang secara terbuka dengan sesetengah madrasah dan pihak berkuasa mengenai isu ini.

SEMUA CINTA MADRASAH, TAPI...

Seperti kata sumber BM, yang memang rapat dengan madrasah, 'semua orang cintakan madrasah-madrasah kita, cuma cara kita melahirkan rasa cinta itu mungkin ada silapnya'.

Ini disetujui oleh Encik Maarof yang berkata kepentingan pelajar perlu diutamakan.

'Pokoknya, kita harus menilai matlamat dan tujuan asal madrasah dan pastikan semua orang yang terlibat sealiran. Jika itu tidak diselesaikan, landskap pendidikan madrasah akan kurang fokus dan 10 tahun akan datang, kita masih membahaskan isu ini,' tegas beliau.

Perbahasan 'pertama' telah berlaku lewat 1990-an.

Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong, menggambarkan prestasi murid madrasah yang kurang memuaskan berbanding murid sekolah aliran utama.

Sekitar 65 peratus pelajar tercicir dari madrasah sebelum melangkah ke menengah empat antara 1996 dengan 1998.

Sebaliknya, enam daripada 10 pelajar Melayu di sekolah sekular berjaya meneruskan pengajian hingga ke peperiksaan GCE peringkat 'O' dalam tampoh yang sama.

Lima tahun kemudian, pada 2003, pemerintah memperkenalkan undang-undang mewajibkan murid melengkapkan sekurang- kurangnya enam tahun pendidikan asas di sekolah sekular dengan mengambil PSLE.

Sebagai permulaan, madrasah dikecualikan daripada Pendidikan Wajib (CE) itu.

Namun, murid-murid madrasah yang memulakan darjah satu pada tahun tersebut harus menduduki PSLE dan mencapai agregat minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Ia tertakhluk kepada agregat PSLE purata murid Melayu dalam enam sekolah paling bawah dalam keputusan PSLE tahun yang sama.

Bagaimanakah prestasi murid-murid madrasah selepas tiga kohort menduduki PSLE?

DI TAKUK LAMA?

Empat madrasah - Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Al- Maarif Al-Islamiah, Aljunied Al-Islamiah dan Alsagoff Al-Islamiah berjaya mencapai ukur tara minumun iaitu sebanyak 175 yang ditetapkan MOE tahun ini.

Sebaliknya, MWTAI gagal buat kali kedua sejak 2008.

Sebuah lagi madrasah - Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah - juga gagal tetapi ia tidak terjejas peraturan CE kerana tidak lagi mengambil murid peringkat rendah sejak menyertai Sistem Madrasah Bersama (JMS) kelolaan Muis pada 2009.

Dibentuk pada Oktober 2007, JMS, bertujuan memperkenal satu kurikulum pembelajaran komprehensif dan seimbang. Buat masa ini, tiga madrasah - Al-Arabiah, Al-Irsyad dan Aljunied - terlibat dalam JMS.

Perkembangan positif ini juga dituruti dengan kemajuan lain. Antaranya, menurut Encik Maarof, ialah peningkatan prasarana fizikal dan mutu tenaga pendidik yang kini berpeluang menjalani pelbagai latihan menerusi kerjasama Muis dan Institut Pendidikan Nasional (NIE).

ISU YANG MASIH MENONJOL

Walaupun begitu, isu mengimbangi pengajian ukhrawi dan sekular masih menonjol dalam pandangan awam yang ditinjau Berita Minggu (BM).

Murid madrasah perlu mengambil peperiksaan sehingga 12 mata pelajaran di darjah enam berbanding empat mata pelajaran yang wajib untuk murid sekolah sekular.

Kepayahan mengimbangi kedua-dua bidang itu adalah sesuatu yang dirasai oleh murid madrasah, kata bekas pelajar MWTAI, Cik Maryam Hashim.

'Kebanyakan subjek ukhrawi perlukan pelajar mempelajari bahasa Arab dengan cara menghafal teks. Bagi subjek Matematik dan Sains pula, pelajar mesti buat banyak latihan dari peringkat awal,' ujar siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, yang kini bertugas sebagai jurutera kajian di Politeknik Nanyang (NYP).

Namun, madrasah setempat tetap berupaya melahirkan pelajar cemerlang.

Dalam peperiksaan PSLE tahun ini, murid Al-Irsyad, Sakinah Yusof, mendapat agregat 266 manakala Zubaidah Dadlani dari Madrasah Alsagoff Al-Islamiah dan Farah Nadiah Muhamad Ishak dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah masing-masing meraih agregat 254 mata.

Kejayaan murid-murid ini menunjukkan bahawa sistem madrasah mampu menghasilkan murid cemerlang, menurut mereka yang ditinjau BM.

Naib pengetua Madrasah Al-Irsyad, Encik Noor Isham Saniff, berkata kuncinya ialah kaedah pembelajaran kreatif yang dapat menarik minat pelajar.

Sebagai contoh, mata pelajaran Arab di Al-Irsyad diajar menggunakan kartun yang dihasilkan murid sendiri di komputer.

Elemen permainan, nyanyian dan drama juga diterapkan dalam setiap aspek pembelajaran, ukhrawi dan akademik.

'Pelajar kini mempunyai keperluan berbeza daripada pelajar dahulu. Jadi, mahu atau tidak, kita mesti ikut cita rasa mereka dan merangsang keinginan mereka untuk belajar,' ujar beliau.

Namun, beberapa waris pelajar madrasah berasa ibu bapa murid madrasah memainkan peranan penting dalam kejayaan anak- anak mereka, mungkin lebih daripada ibu bapa kanak-kanak sekolah sekular.

Salah salah daripada mereka, Cik Zainab Abdul Rashid, berkata tumpuan yang kurang dalam mata pelajaran akademik perlu diatasi dengan tuisyen dan sokongan di rumah.

Anaknya, Dinah Aziz, mendapat tujuh A1 dalam peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2008. Keputusan pelajar Madrasah Al- Maarif Al-Islamiah ketika itu merupakan satu rekod bagi pelajar madrasah. Sebelum ini, pencapaian terbaik madrasah ialah lima A1.

Sejak sedekad yang lalu, Muis telah membelanjakan sekitar $21 juta untuk membangunkan pendidikan madrasah setempat.

Perbelanjaan itu merangkumi kos latihan guru, pembangunan pelajar dan kurikulum, geran kewangan dan menokok gaji guru-guru.

Sumber kewangan bagi madrasah setempat, yang menampung kira-kira 4,000 pelajar Muslim dari peringkat rendah hingga menengah, pula bergantung kepada derma awam, dana madrasah, zakat dan yuran.

Sejak 2003, menerusi kerjasama Muis dengan NIE dan Universiti Edith Cowan (ECU), guru-guru madrasah menjalani pelbagai kursus peningkatan merangkumi Diploma Khas Pendidikan, Diploma Pendidikan dan Program Pemimpin Pendidikan.

Lantaran itulah sebahagian besar mereka yang ditinjau berkata mutu tenaga pendidik di madrasah, secara umum, memuaskan.

Antara mereka ialah Dinah Aziz, 18 tahun, yang baru selesai menduduki peperiksaan GCE peringkat 'A' di Maktab Rendah Raffles.

'Namun, mungkin masalahnya ialah masa agak terhad untuk guru mengadakan kelas tambahan dan sebagainya,' ujar bekas pelajar Madrasah Al-Maarif itu.

Isu masa terhad ini mempunyai kesan secara langsung kepada percanggahan antara subjek ukhrawi dan sekular, menurut sumber BM.

'Seseorang guru ukhrawi mahukan masa yang lebih untuk subjek mereka... begitu juga guru-guru akademik. engimbangi kedua- dua ini menjadi satu cabaran bagi madrasah,' ujar sumber itu, yang enggan namanya disiarkan.

No comments:

Post a Comment