Monday, October 11, 2010

KEMENYAN oleh Noor Hasnah Adam

Mudah cetak
E-mel

4 Okt 2010

EKSTRA!

Kemenyan lambang ritual orang Melayu

Asap kemenyan digunakan sebagai alat perantaraan menghubungkan manusia dengan makhluk halus

Oleh
Noor Hasnah Adam

KENAPA orang Melayu dahulu suka bakar kemenyan?

Cuba perhatikan adat istiadat Melayu yang biasa diamalkan dahulu seperti istiadat Naik Buai, Lenggang Perut, Turun Tanah, Berendoi, sehinggalah upacara kematian.

Dahulu, orang Melayu menganggap membakar kemenyan sebagai satu kemestian pada setiap malam Jumaat, Hari Safar dan hari-hari penting lainnya.

BERASAL DARI NUSANTARA

Dalam bahasa Inggeris, kemenyan digelar benzoin resin. Resin bermaksud damar atau getah kemenyan.

Perkataan benzoin pula berasal daripada Arab yang bermaksud lubban Jawi.

Perkataan Jawi pula merupakan nama tempat iaitu Tanah Jawi (Nusantara).

Pedagang Arab sedar dari mana asal kemenyan, justeru menggunakan nama tempat asal kemenyan untuk memberi gelaran kepada wangian tersebut.

Lubban atau wangian kemenyan ini dianggap sebagai wangian terbaik dan bernilai tinggi kerana ia berasal daripada getah yang asli, bukan wangian daripada bunga-bungaan.

Bau kemenyan lebih serasi dengan orang Melayu kerana pokok kemenyan tumbuh di rantau ini.

Pokok kemenyan tumbuh di kawasan pergunungan dengan ketinggian sekitar 900 hingga 1,200 meter di atas paras laut dan bersuhu antara 28 hingga 30 darjah Celsius.

Pokok ini dikatakan dapat hidup selama 100 tahun dan mencapai ketinggian antara 20 hingga 30 meter.

Pokok ini berbatang lurus dengan cabang yang sedikit manakala kulit batangnya berwarna kemerah-merahan. Kemenyan berdaun tunggal yang tersusun berlingkar-lingar dan berbentuk lonjong atau bulat memanjang dengan hujung daun meruncing. Buah kemenyan berbentuk bulat dan lonjong dengan ukuran yang agak kecil.

Bijinya berwarna coklat terbungkus di dalam isi buah yang tebal lagi keras.

CARA MENDAPATKAN KEMENYAN

Getah disadap keluar dari batang pohon tanpa ditadah dan dibiarkan keluar meleleh ke kulit pohon.

Pada sadapan pertama, getah yang keluar berwarna putih dan hanya boleh diambil tiga bulan kemudian dengan cara mencungkil kulit pohon.

Cungkilan pertama itu dipanggil 'mata zamzam' yang merupakan kemenyan yang paling tinggi mutu dan harganya.

Kemenyan juga dapat dikategorikan kepada tujuh macam iaitu mata kasar, kacang, jagung, besar, pasir kasar, pasir halus dan abu.

Pernah suatu ketika dahulu, nilai kemenyan sama dengan nilai emas.

MELAYU PAKAR WANGI-WANGIAN

Amalan membakar perasap dalam budaya Hindu sebenarnya berasal dari Nusantara kerana pedagang India mendapatkan bekalan kemenyan terbaik dari daerah ini.

Terdapat hubungan erat antara orang Melayu dengan budaya Vedik dan Brahmin yang dibawa ke benua India beribu-ribu tahun dahulu.

Bangsa Melayu diiktiraf sebagai berkasta Brahmin dan Kesatria dalam agama Hindu.

Orang Melayu turut dikenali sebagai bangsa yang amat arif dengan wangi-wangian dan bunga-bungaan.

Dalam dunia mistik Melayu, haruman dan bunga mendapat tempat yang istimewa.

Pelbagai ritual seperti mandi tolak bala dan ramuan perubatan yang menggunakan bunga dan asap kemenyan.

Justeru, tidak hairanlah dalam Hikayat Hang Tuah terdapat banyak simbol dan watak bunga untuk mewujudkan kesan mistik. Hang Tuah memikat Tun Teja dengan menggunakan haruman dan wangi-wangian yang diramu oleh ibu angkatnya.

Teja sebenarnya adalah nama sejenis bunga hutan yang malang. Tun Mamat pula bertemu dengan taman indah yang dipenuhi bunga-bunga yang boleh berseloka dan bergurindam ketika dalam perjalanan menemui Puteri Gunung Ledang di Gunung Ledang.

'Segala mergastua dan segala kayu-kayuan di dalam taman itu melihat Tun Mamat datang, maka segala burung itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berbait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam; maka limau manggar pun bersorak, anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum; maka bunga air mawar pun berpantun serta berseloka, katanya:

'Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang-gemilang.'
Maka disahut oleh bunga tanjung, katanya:
'Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.'
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
'Kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab;
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.'

KEBAIKAN KEMENYAN

Kemenyan juga mempunyai faedah lain selain kaitannya dengan dunia mistik.

Satu kajian saintifik di Arab Saudi menemukan dapatan bahawa kemenyan berupaya menjadi ubat untuk meningkatkan kesihatan pesakit jantung.

Bahkan, kemenyan sebenarnya telah lama digunakan dalam rawatan tradisional untuk merawat penyakit tenggorok dan resdung serta menyembuhkan bekas luka dan luka terbakar.

Di Jawa, kemenyan turut digunakan sebagai pengharum rokok kretek, bahan kosmetik dan antara ramuan minyak wangi agar aromanya tidak cepat hilang.

KEKUATAN MAGIS

Kemenyan dianggap mempunyai kekuatan magis yang tidak dapat dijelaskan dengan akal waras.

Asap dan bau kemenyan dipercayai mampu menarik makhluk halus yang berada di dunia ghaib. Sebab itulah asap kemenyan merupakan satu kemestian dalam upacara ritual.

Orang Melayu menggunakan asap kemenyan sebagai satu alat perantaraan untuk menghubungkan manusia dengan alam mistik atau makhluk halus. Dipercayai, asap adalah makanan jin, apatah lagi asap yang berbau harum seperti kemenyan yang dibakar.

Asap pembakaran yang berkepul naik ke udara dianggap sama seperti doa yang naik menemui Tuhan.

KEMENYAN DAN KEPERCAYAAN

Masyarakat di Desa Trunyan di Bali, Indonesia, masih mengamalkan satu tradisi aneh.

Mayat tidak dikuburkan tetapi disandarkan pada pohon kemenyan. Tradisi yang diamalkan turun-temurun itu dikatakan berupaya mengawet mayat.

Mayat tidak mengeluarkan bau busuk kerana batang pohon kemenyan mampu menyerap bau busuknya dan mengekalkan aroma harum.

Orang Melayu dahulu terlalu terikat dengan perasap kemenyan sehinggakan turut memberi tafsiran pada mimpi berkaitan kemenyan.

Sekiranya seseorang bermimpi mencium bau kemenyan, dipercayai pekerjaan atau usahanya bakal menguntungkan.

Kalau bermimpi membakar kemenyan, bererti kehidupan dan percintaannya akan diliputi kebahagiaan.

Kesimpulannya, bau kemenyan yang dibakar sememangnya berupaya membangkitkan kesan mistik dan amat serasi dengan jiwa orang Melayu. Kemenyan adalah lambang ritual dunia mistik masyarakat Melayu, samalah sebagaimana colok menjadi lambang ritual masyarakat Cina.

No comments:

Post a Comment