Monday, September 27, 2010

Kuih Melayu

27 Sep 2010
EKSTRA!

Jangan pandang pada nama dan rupa saja

Di sebalik setiap nama kuih yang unik pasti ada cerita menarik yang dapat dijadikan pengajaran

Oleh
Roslie Sidik
NAMA kuih-muih Melayu yang pelik-pelik sering kali membuat kita tertawa.

Ada yang mempunyai nama yang cukup lucu dari segi sebutannya dan tidak kurang pula yang cukup pelik dari segi maknanya sehinggakan sering membuat kita tertanya-tanya tentang asal usul nama-nama itu. Kadangkala, bukan sahaja namanya pelik-pelik malahan rupa dan bentuknya juga kelihatan sama peliknya.

Saya cuba menyingkap beberapa keunikan di sebalik nama kuih-muih yang unik ini, seperti kuih keciputan, batang buruk dan cakar ayam.

KUIH KECIPUTAN

Ia sejenis kuih tradisional Melayu yang dibuat daripada tepung pulut dan telur.

Berbentuk bulat seperti guli, kulit luarnya disaluti dengan bijan dan sangat garing apabila dimakan.

Walaupun nama kuih ini begitu sukar sekali disebut oleh kanak-kanak sehingga sebutannya sering kali kedengaran melucukan, kuih ini sangat digemari dalam kalangan mereka kerana ia cukup ringkas dan rangup seperti keropok apabila dimakan.

Kuih keciputan ini terkenal dengan beberapa nama julukan yang lain seperti kuih buah rotan.

Bentuknya yang bulat dan bersisik serta warnanya yang keemasan memang menyerupai buah rotan.

Dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura, kuih ini juga dikenali dengan nama kuih Bawean.

Hal ini mungkin terjadi kerana orang-orang Bawean memang suka membuat kuih ini khususnya pada hari perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.

Menerusi perbualan saya dengan beberapa warga emas, saya dimaklumkan bahawa kuih keciputan ini juga dikenali dengan satu lagi nama julukan iaitu kuih wirid.

Proses membuat kuih ini amatlah menjenuhkan kerana tukang masaknya terpaksa mencubit adunan dan menggentel untuk membulatkannya sebelum menggolekkannya dalam dulang berisi bijan.

Untuk melepaskan rasa jenuh dan demi mencari keredaan Allah, si tukang masak akan membayangkan adunan itu seperti biji-biji tasbih, dalam masa yang sama ketika si tukang masak sibuk menggentel adunan itu, mulut mereka juga sibuk berzikir dan mengucapkan kalimat-kalimat Allah.

Salah satu daripada keunikan kuih keciputan ini ialah keupayaannya untuk tahan lama. Tidak seperti kuih-kuih lain yang mudah rosak atau bercendawan, kuih ini dapat terus bertahan sepanjang Syawal. Oleh itu, kuih ini masih terus diminati sehingga kini.

Siapa sangka, kuih yang mempunyai nama yang lucu ini mempunyai cerita-cerita yang menarik di sebaliknya.

KUIH BATANG BURUK

Kalau kuih keciputan terkenal dengan namanya yang lucu, kuih ini pula terkenal kerana kehodohannya.

Daripada rupa luarannya sehinggalah kepada namanya, kuih batang buruk ialah di antara kuih yang terhodoh pernah tercipta di bumi Melayu.

Nama kuih batang buruk kemungkinannya disebabkan daripada rupanya yang berbentuk seperti batang pokok tetapi disaluti dengan serbuk kacang hijau menjadikannya seperti kayu buruk.

Jika dibandingkan dengan kuih-kuih lain yang lebih cantik, kuih batang buruk masih mampu bertahan sehingga ke hari ini disebabkan rasanya yang unik, manis dan enak.

Kata orang, belum cuba belum tahu, sekali kuih ini disuapkan ke dalam mulut, pasti anda menginginkannya lagi. Kuih itu seolah-olah hancur dan cair sebaik sahaja dimasukkan ke dalam mulut.

Kuih batang buruk ialah sejenis kuih yang dibuat daripada tepung gandum dicampur dengan tepung beras dan tepung kelapa. Kemudiannya diuli buat menjadi doh dan dibentuk membentuk silinder bulat berongga dan diisi dengan serbuk kacang hijau yang digoreng.

Kuih batang buruk ini mengajar kita beberapa perkara penting dalam kehidupan.

Pertama, usahlah kita tergesa-gesa membuat andaian dengan hanya memandang pada rupa.

Kuih batang buruk ini tetap enak walaupun kurang cantik bentuk luarannya.

Kedua, kuih batang buruk ini mengajar kita agar jangan bersifat gelojoh. Tepung kacang hijau yang bersalut di bahagian luarnya akan melekit pada jari orang yang memakannya dan mudah lerai menyebabkan seseorang itu terpaksa berhati-hati ketika memakannya. Bagi sesiapa yang bersifat gelojoh, tentulah buruk padahnya apabila makan kuih tersebut.

KUIH CAKAR AYAM

Ada juga kuih Melayu yang dikaitkan dengan perkara yang negatif berdasarkan ungkapan maknanya. Kuih cakar ayam umpamanya, jika dikaitkan dengan makna peribahasanya bererti tulisan yang kurang kemas; mempunyai konotasi yang agak negatif.

Namun, jangan cepat salah sangka. Kuih ini mungkin saja kelihatan kurang menarik bentuknya tetapi tetap disukai ramai. Bahkan, kuih ini dianggap sebagai makanan ringan yang popular walaupun di luar musim perayaan.

Ada juga yang langsung tersalah sangka bahawa ada daging ayam yang digunakan di dalam kuih ini.

Sebenarnya, kuih ini diperbuat daripada keledek yang telah disagat halus memanjang. Setelah digoreng, keledek itu dimasak dengan air gula merah.

Pemilihan nama kuih ini ialah lebih kepada bentuknya yang benar-benar menyerupai bekas cakaran yang dibuat oleh ayam ketika mengais tanah mencari makan.

Dunia Melayu sebenarnya tidak pernah terpisah dengan alam semula jadi termasuk dalam pembikinan kuih-kuih Melayu.

Daripada kuih keciputan, batang buruk sehinggalah kuih cakar ayam, alam semula jadi sentiasa menjadi inspirasi orang-orang Melayu. Di sebalik setiap nama kuih yang unik ini pasti ada cerita yang menarik yang dapat dijadikan pengajaran.

Nilai-nilai kebijaksanaan, keindahan dan kreativiti orang-orang Melayu amat terserlah menerusi kuih-kuih Melayu. Biarpun diserang dengan ciptaan kuih-muih moden yang jauh kelihatan lebih menarik, kuih-kuih lama ini tetap mampu bertahan sehingga kini.

No comments:

Post a Comment