Monday, May 17, 2010

Wajar prihatin program seksualiti di sekolah

13 Mei 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Wajar prihatin program seksualiti di sekolah

Oleh
A. Rahman Basrun
DUA minggu lalu, Kementerian Pendidikan (MOE) secara rasmi memberi 'lampu hijau' kepada enam badan untuk menjalankan sebuah program yang ramai anggap sebagai 'lampu merah' - perihal seksualiti - di sekolah.

Kebetulan pada hari munculnya berita itu di akhbar The Straits Times (ST), di akhbar ini pula tersiar pojok saya yang juga menyentuh isu pendidikan seks di sekolah (Berjaga-jaga gejala Lady Gaga, BH, 29 April).

Laporan ST itu disusuli surat demi surat daripada pembacanya.

Ternyata masih ada keprihatinan meluas di kalangan warga perihal pendidikan seksualiti di sekolah - setidak-tidaknya di kalangan masyarakat bukan Melayu.

Kenapakah saya katakan demikian? Sebabnya, tidak seorang pun daripada mereka yang memberi maklum balas itu orang Melayu. Bahkan, di akhbar ini sendiri, jangan cakap surat pembaca, berita tersebut tidak tersiar langsung.

Gambarannya seolah-olah program seksualiti di sekolah-sekolah tiada kesan atau tidak relevan pada kehidupan orang Melayu!

Ia mengingatkan pada pojok rakan saya, Mohd Noor A. Rahman, Sabtu lalu (Padah jika tidak prihatin isu nasional, BH) perihal ketidakpedulian masyarakat Melayu pada perkembangan peringkat nasional.

Walhal kita sendiri tahu orang kita tidak terlepas daripada pengaruh seks dan seksualiti - di kalangan remaja mahupun orang dewasa.

Ia tersurat dalam kadar tinggi kehamilan remaja Melayu dan kes- kes pelik dari mahkamah - termasuklah kes ayah merogol anaknya sendiri.

Ia tersirat dalam perangai dan pakaian orang kita - terutama anak muda - yang semakin menjolok mata.

Lantaran itu, saya terdorong membuat rumusan:


orang kita tidak baca akhbar Inggeris jadi tidak tahu tentang program pendidikan seksualiti dihidupkan semula (tidak mungkin);


orang kita tidak ambil kisah kerana menganggap program sedemikian tidak penting;


orang kita yakin program itu kelak tidak menjejas pendirian agama anak mereka perihal seks; atau


orang kita meletakkan kepercayaan penuh pada MOE dalam soal menyediakan pendidikan seksualiti terbaik kepada anak mereka.

Kesemua rumusan ini membimbangkan. Bukannya saya mempersoal manfaat program pendidikan seksualiti itu. Bahkan, saya meyakini ketelitian MOE memilih keenam- enam badan tersebut.

Garis panduan MOE pun cukup ketat. Misalnya, meskipun hampir semua badan itu ada kaitan dengan pertubuhan Kristian, MOE sejak awal lagi mengingatkan supaya usah berdakwah semasa pengajaran.

Namun, dalam konteks watan ini yang berbilang kaum dan agama, sukar membincangkan isu sepeka seks dan seksualiti tanpa menyentuh atau tersentuh soal sistem nilai hidup baik pelajar mahupun pengajarnya.

Masalah timbul jika ada percanggahan nilai antara kededua pihak.

Misalnya, salah satu badan yang terpilih, Eka Training Group, tidak memandang serong terhadap onani jika tidak berlebihan. Eka juga bersikap neutral terhadap homoseks.

Padahal kita tahu Islam melarang dua perkara itu.

Menurut Eka, topik onani dan homoseks secara rasmi tiada dalam program seksualitinya di sekolah.

Namun, bayangkan jika dua perkara tersebut ditanyakan murid semasa Eka mengendalikan programnya. Takkan nak elak soalan? Dan tidakkah ini boleh mengelirukan seseorang pelajar Melayu Islam, misalnya, dari segi orientasi seksualnya?

Pengajaran konsep 'pengamalan seks secara selamat' juga berdilema serupa - yakni bercanggah dengan ajaran agama dan budaya orang kita, meskipun ia bertujuan mencegah penyakit berjangkit dan kehamilan di luar nikah.

Memang bagus MOE menetapkan agar pengajaran seksualiti di sekolah tidak menyinggung 'mana- mana kaum, jantina atau agama'.

Pun bagus MOE menyelidik apakah pendirian setiap badan pengelola program tersebut dalam soal seks luar nikah, pengguguran anak, kontrasepsi, onani dan homoseks.

Namun, sebagai tambahan, mungkin setiap badan itu juga perlu diuji akan kearifan mereka dalam soal kedudukan seks dan seksualiti menurut pandangan pelbagai kaum dan agama di sini.

Ini kerana pengetahuan sedemikian akan menjadikan penyampaian mereka lebih relevan dan bertepatan dengan sistem nilai hidup seseorang pelajar.

Akhir kalam, sebenarnya saya terkilan kerana tampak tiada badan Melayu Islam di kalangan enam badan itu.

Ini kerana, bukankah selaku satu cara hidup, Islam mempunyai pandangan dan pendekatan serba unik dan menyeluruh tentang permasalahan seks dan seksualiti?

Ini termasuklah perkara universal seperti harga diri, pembahagian harta pusaka, kemuliaan institusi perkahwinan dan keluarga, ikatan kaum kerabat dan pembangunan tamadun.

Mudah-mudahan ada pihak kelak yang tampil menawarkan program seksualiti berjenama orang kita.

Bukan saja dalam isu seksualiti, bahkan juga dalam bidang-bidang yang lain.

Hakikatnya, kesedaran tentang seks dan permasalahannya saja tidak cukup tanpa iringan nilai moral sebagai panduan dan kawalan.

Bak kes makan haruan seorang ayah baru-baru ini - dia menolak tawaran seks isterinya di dubur atas dasar dia tahu perbuatan itu dilarang agama.

Tetapi, merogol anak perempuan sendiri tiada salahnya?

Tanggungjawab utama membimbing anak dalam soal seks dan seksualiti sebenarnya terletak di bahu ibu bapa, bukan sekolah.

Mujurlah MOE menuntut pihak sekolah supaya menyiarkan butir- butir sebarang program pendidikan seksualiti di laman webnya. Tujuannya agar kita sebagai ibu bapa dapat memeriksa dan menilai sendiri isi kandungan program yang ditawarkan.

Usahlah tunggu nasi menjadi bubur baru kita hendak tunjuk peduli.

No comments:

Post a Comment