Thursday, May 6, 2010

Langgar pantang, bentan jadinya

3 Mei 2010

EKSTRA!

BUDAYA
Langgar pantang, bentan jadinya

Pesakit tidak jalani rawatan dengan betul boleh dapat sakit lebih teruk


Oleh
Noor Hasnah Adam


PEPATAH Melayu 'Biar mati anak, jangan mati adat', merujuk pada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat Melayu.


Adat dan pantang larang merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian.


Sekiranya seseorang melanggar adat pantang larang ketika sakit, orang itu dikatakan akan mengalami bentan.


Bentan bermaksud berbalik sakit. Ertinya, jika seseorang itu sakit tetapi tidak menjalani rawatan yang betul atau menyalahi pantang, orang itu akan mendapat bentan.


Sakit yang pada awalnya sudah semakin sembuh akan menjadi bertambah buruk dan melarat.


Sebagai contoh, wanita yang baru melahirkan anak perlu berpantang. Wanita yang mengalami keguguran janin juga perlu menjalani pantang sama seperti orang bersalin. Antara gejala bentan pada wanita yang baru melahirkan atau keguguran ialah sakit pada ari-ari, keluar darah atau nanah dari saluran peranakan ataupun berlaku buasir.


Sekiranya wanita itu tidak memakan ubat ramuan seperti jamu dan herba, tidak bertungku dan berbengkung serta tidak memakai pilis, wanita itu akan melarat sakitnya.


Luka dalam tubuh wanita itu memerlukan ubat dan rawatan yang betul.


Dikatakan, sekiranya wanita tidak memakai pilis, pada masa akan datang darah putihnya akan naik ke mata.


Itulah punca wanita itu boleh mendapat serangan sakit kepala (migraine) dan mengalami pandangan berpinar serta rabun.


Pilis ialah sejenis ramuan serbuk herba yang dicampur dengan sedikit air, kemudian ditampal pada dahi wanita yang dalam pantang.


Wanita selepas bersalin atau keguguran perlu menjalani tempoh berpantang selama 44 hari.


Semasa berpantang, segala pergerakan dan makan minum wanita baru bersalin atau keguguran juga perlu dijaga.


Berpantang bertujuan mengelakkan bentan.


Mengikut adat resam orang Melayu, kenduri patut diadakan pada hari ke 45.


Semasa majlis kenduri itu, wanita itu akan dimandikan air sintok limau dan dilangirkan (dibersihkan) badan dan rambut. Upacara itu menandakan berakhirnya tempoh berpantang.


Bentan juga sering dikaitkan dengan adat istiadat Melayu seperti berkhatan atau bersunat.


Anak-anak lelaki yang baru selesai berkhatan dilarang terlalu banyak bergerak apatah lagi berlari-lari. Sekiranya pantang ini dilanggar, anak-anak ini akan bentan.


Luka pada kulit yang disunat itu akan menjadi teruk dan berdarah semula. Akibatnya, sakit akan berpanjangan.


Dalam sejarah Melayu, ada diriwayatkan Sultan Alaudin sakit.


Setelah semakin sihat, baginda telah santap nasi susu lalu bentan. Sultan Alauddin kembali gering.


Melalui hikayat ini, dapat difahami bahawa konsep bentan telah lama difahami masyarakat Melayu. Sultan Alaudin sebenarnya tidak boleh makan minum sebarangan setelah beransur baik daripada sakit. Disebabkan 'salah makan', sakit yang dialami sebelum ini berulang kembali.


Sebenarnya, 'salah makan' paling sering dikaitkan dengan penyakit kerana bagi masyarakat Melayu, makanan boleh menjadi racun atau penawar. Prinsip pertama perubatan Melayu ialah: setiap keuzuran ada sebab dan musabab. Sebab musabab atau punca, bermula daripada manusia sendiri seperti jangkitan kuman, bakteria, virus dan pemakanan.


'Salah makan' merupakan punca utama mengapa manusia mengalami keuzuran. Berpegang pada prinsip yang sama juga, 'salah makan' juga menjadi punca utama kenapa kita mengalami bentan.


Dari sudut sains, bentan dianggap seperti infection, allergic atau side effect, kesan daripada sesuatu pembedahan atau ubat yang dimakan ketika sakit.


Konsep bentan hanya difahami sepenuhnya oleh orang Melayu yang berpegang pada adat, nilai dan budaya Melayu. Sekiranya kita mengikut pantang larang ketika sakit, insyaallah kita tidak akan mengalami bentan.


Itulah kepercayaan orang Melayu kita.

No comments:

Post a Comment