Tuesday, August 7, 2012

Sembarangan

19 Jun 2012
Peristiwa Bahasa

Usah Meletak Kenderaan Sembarangan

Bincang kosa kata 'kenapa' dan 'sembarangan'
"KENAPA buang sampah sembarangan?"
Begitulah bunyi ayat tanya pada kain rentang yang saya nampak terpampang di Lorong 7 dan 8; di Toa Payoh East serta di Bishan.
Kain rentang ini tertulis dalam keempat-empat bahasa rasmi negara kita secara sesepotong ayat yang berasingan.
Kekain rentang ini berkemungkinan dipasang ekoran tindakan kurang bertanggungjawab dan tidak prihatin sesetengah penghuni flat di Marsiling, yang dikatakan melonggokkan bebarang yang tidak terpakai mereka di luar rumah; yang menjadi punca utama terjadinya kebakaran.
Daripada ayat tanya pada kain rentang ini dua patah perkataan yang menarik perhatian kami untuk dijadikan bahan sembang kita kali ini: Kenapa dan sembarangan.
Haji Mohsen Mokti, warga emas dan sahabat berasal dari Pekalongan; yang masih pekat lidah kejawaannya apabila ditanyai mengenai kosa kata 'kenapa' ini, beliau menyatakan, mungkin perkataan ini berasal daripada dialek Jawa: keno opo, kena apa atau kena(o)ng apa.
Penghujung 1960-an, saya pernah ditegur oleh beberapa guru berpengalaman kerana menggunakan perkataan 'kenapa' ini.
Kepada mereka, perkataan 'kenapa' ini tidak bersifat asli atau murni dalam bahasa Melayu.
Mereka menyatakan perkataan yang harus digunakan ialah mengapa dan bukannya 'kenapa'.
Namun, dalam Kamus Bahasa Melayu, 1960, susunan R.O. Winstedt, kosa kata ini sudah terdaftar dengan makna 'kerana apa' dan 'apa sebab'.
Kepada saya, perkataan ini sudah dianggap rasmi dan baku, hanya kekerapan penggunaannya sahaja yang belum tinggi dan masih dianggap kejawa-jawaan oleh sesetengah pihak.
Selain dalam dialek Jawa: keno opo, kena(o)ng apa yang menjadi kenapa; dalam dialek Bali disebut, sapunapi; Sunda, kunaon atau naba; Madura atau Bawean: arapa atau aponapa.
Menyebut perkataan arapa ini, saya fikir masyarakat Melayu Singapura tentu masih ingat akan lirik lagu, La O Be yang menjulang nama Kassim Selamat dan kugiran The Swallows pada 1960-an ke peringkat antarabangsa.
Hayati lirik lagu, La O Be atau dalam bahasa Melayunya, Sudah Berubah; yang dicipta oleh Allahyarham Haji Affandi Rahman, pemain dram, The Swallows:
Si thullu bule kaperkan
(Dahulu saya kegembiraan atau keriangan)
Nengkene bule la ngatabe
(Kini saya sudah kesedihan)
Si thullu males a berik mesem
(Dahulu malas menguntum senyuman)
Arapa bule tak tao, bule tak tao
(Mengapa saya tak tahu, saya tak tahu)
Arapa, arapa alek
(Mengapa, mengapa adik)
La o be tinaju bule
(Dah berubah, kekasihku)

Menyentuh pula kosa kata sembarangan. Kosa kata ini berkata dasar barang, yang berjenis kata nama. Perkataan yang seerti dengan barang ialah benda. Kosa kata barang ini merupakan perkataan pelbagai makna.
Barang dari sudut makna konotasinya, slanga pemadat, boleh bermakna benda-benda yang haram atau terlarang: ganja, akstasi, morfin atau candu; sama ada yang dihisap, dihidu, ditelan atau disuntik ke tubuh supaya mendatangkan khayalan dan yang boleh memabukkan.
Barang apabila diimbuh dengan akhiran 'an' menjadi barangan, kosa kata ini pula menjadi istilah laras ekonomi yang bermakna sesuatu benda atau perkhidmatan yang diperniagakan.
Jika kosa kata ini menerima imbuhan awalan 'se' menjadi sebarang. Imbuhan awalan 'se' berfungsi menunjukkan satu, sama atau setara.
Menyentuh kosa kata sebarang ini, teringat saya akan pantun lisan orang Sarawak dalam buku Kurik Kundi Merah Saga, 1990, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, yang mengandungi 5653 kuntum pantun dari seluruh pelosok Malaysia.
Sila hayati dan fahami pantun yang berikut yang terdapat kosa kata sebarang:
Saya tidak pandai menali,
Sebarang tali saya talikan;
Saya tak pandai menari,
Sebarang tari saya tarikan.

Kemudian, sebarang diimbuh dengan akhiran 'an' menjadi sebarangan dan disisipi pula dengan 'em' menjadi sembarangan. Makna sebenarnya: asal boleh, asal jadi, apa sahaja, tidak istimewa, tidak teratur atau tersusun dengan rapi; tidak hati-hati dan tidak sopan.
Kededua kosa kata ini berjenis kata adjektif dan tidak berbeza maknanya; sama seperti kosa kata sejak dengan semenjak. Kosa kata Jawa yang diambil dan dientrikan dalam Kamus Dewan, Edisi Pertama, 1970, yang semakna dengan sembarangan ini ialah semberono.
Jumaat yang baru lalu, ketika hendak memasuki pekarangan Masjid Al-Muttaqin, saya nampak kain rentang yang terpampang di pagar masjid yang berbunyi:
"Peringatan, Jemaah masjid dinasihatkan agar tidak meletakkan kenderaan sembarangan."
Kain rentang ini mengingatkan para jemaah secara bertulis pula setelah berulang kali diumumkan sebelum solat Jumaat oleh Ustaz Feirul Maliq Intajalle, Pengurus Unit Dakwah, supaya tidak meletakkan kenderaan mereka di pinggir jalan raya di luar masjid sembarangan; yang sering menghalang kelancaran pergerakan kenderaan yang agak sibuk di situ.

No comments:

Post a Comment