Tuesday, August 7, 2012

esei - puisi

Simbolisme Dalam Karya Puisi (Berita Minggu, 17.6.2012)

~ T. Ahmad Mohamed
___________________________________________________________________

Adakalanya penyair melanggar konvensi bahasa dalam kecenderungan mereka menghasilkan karya puisi yang inovatif.
Dalam perkembangan puisi mutakhir di Singupura, kedapatan beberapa penyair seperti, Rasiah Halil, yang berkecenderungan menggunakan tanda baca atau simbol (& : - ; ... sekadar beberapa contoh), selain daripada susunan bentuk tertentu dalam karya puisi mereka.

Dalam bidang sastera, fenomena ini dikenali sebagai “Licentia Poetica” atau “lesen puitis”, iaitu merujuk kepada kebebasan penyair untuk melakukan penyimpangan terhadap peraturan-peraturan bahasa untuk memperolehi kesan yang lebih puitis dalam
karyanya.
Namun begitu, penyair diingatkan bahawa penyimpangan tatabahasa tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya tanpa nilai estetika, menurut pendapat pengkritik sastera dari Malaysia, Rahman Shaari.
Sebenarnya puisi-puisi seumpama ini cuba memanfaatkan kesan visual kerana seperti pendapat penyair terkemuka Malaysia, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) – karya puisi bukanlah sesuatu yang bisu dan membeku di dada kertas.

Sebaliknya puisi yang divisualkan seumpama itu ‘hidup’ dan membawa pengertian dan muatan jiwa yang terkandung dalam puisi tersebut, justeru meninggalkan kesan yang tertentu kepada pembacanya

Menurut Sutardji Calzoum Bachri, seorang penyair terkemuka dari Indonesia, “bukan kata-kata sahaja yang boleh dijadikan alat mengantar pengertian.”
Dalam kehidupan seharian, kata-kata cenderung dipergunakan sebagai alat untuk menyampaikan pengertian, sebaliknya dalam puisi; simbol-simbol dan aksara yang membentuk kata-kata itu sendiri yang membentuk pengertian.
Meminjam wacana William Shakespeare, apalah ertinya y = x + 1.

Bagi kebanyakan orang, simbol atau formula itu tak lebih dari pernyataan abstrak belaka. Simbol-simbol abstrak itu tidak bermakna apa pun atau mewakili sesuatu yang benar-benar dapat digapai dlm kehidupan seharian.
Namun realitinya, bom atom yg dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima dalam Perang Dunia Ke-2, merupakan ekspresi nyata dari kefahaman tentang simbol dan formula "E = mc2" yang diusulkan oleh ahli fizik, Albert Einstein pada tahun 1905.
Sebagaimana seorang Shakespeare membangkitkan berbagai imaginasi kreatif lewat puisi-puisinya seorang Einstein merangsang imajinasi sains dalam meramalkan konsekuensi lewat kefahaman pada sesuatu konsep fizik yang mujarad. Meski pun begitu, tak bererti keserupaan itu bermakna kesamaan.
Antara imaginasi kreatif puisi dan imaginasi sains fizik, persamaan besarnya adalah rangsangan stimulus yang sama kaya dan menggairahkan dlm menyampaikan sesuatu makna.
Penyair puisi mencari pelbagai makna dan membuka interaksi antara kata-kata dan makna; sementara ilmuan sains meniatkan persamaan mereka untuk menyatakan makna segala sesuatu melalui simbol-simbol matematik atas dasar-dasar logika.
Dengan lain perkataan puisi bertumpu pada simbolisme kata dan imaginasi kreatif, sedang sains bersandar pada simbolisme aksara dan imaginasi sains.
Kedua-dua cabang dari pemikiran ini memang bercerita tentang kehidupan dan dunia. Ia merupakan suatu pendekatan manusia untuk memahami realiti kehidupan dengan caranya tersendiri, meskipun kedua-dua pendekatan tersebut tampaknya kian dipisahkan seolah-olah ia tidak berhubungan.
Pertemuan antara kedua-dua cabang pemikiran ini, tentunya menghasilkan suatu kreativiti yang menarik. Mungkin ini yang cuba dieksperimentasikan oleh penyair-penyair yang inovatif.
Sekiranya ekperimentasi ini dilakukan secara rencam, mungkin hasilnya adalah seperti
puisi-puisi eksperimental berikut, karya penyair kontemporari Johari Rahmad dari Malaysia. Estetik atau tidak, tepuk dada tanya selera.
===
Cinta Pengamal Matematik Tambahan
http://www.kapasitor.net/ms/puisi/post/1808
apa lagi mahumu?

habis asaku merungkai pengamiran,
nilai f(x) yang kita cari masih tidak ditemukan.
penat aku membelek taburan binomial,
mencari kebarangkalian yang engkau dustakan.

masih engkau pertahan,
cintamu yang bagaikan rumus garis lurus,
y = mx + c; m bernilai 8,
tapi di dalam sedarmu,
pintasan-y mu itu berakhir di nilai -8,
nilai yang sungguh aku curigakan.

masih engkau katakan,
kasihku terumbang-ambing,
bagaikan kuadratik yang menghampiri 0,
namun di luar sedarmu,
kasihku berganda dua,
di kala susut, aku berusaha menaikkannya.

sedarlah sayang,
jangan jadikan Phytagoras sebagai saksi,
jangan pinta teorinya sebagai bukti,
kerana hipotanus yang kita cari,
sudah hilang tiada berganti.

aku sudah lelah
dengan segala percaturan matriksmu,
Janjang aritmetik yang kita impikan,
entah mana aku campakkan.


No comments:

Post a Comment

Post a Comment