Monday, July 23, 2012

enggan berbahasa Melayu

16 Jun 2012
WAWANCARA BERSAMA HAWAZI DAIPI

Golongan Melayu malu atau enggan berbahasa Melayu kecil

ADA orang Melayu malu berbahasa Melayu dan ada enggan bertutur dalam bahasa Melayu sesama sendiri.
Namun, golongan sedemikian kecil dan tidak mewakili masyarakat Melayu Singapura secara keseluruhannya, kata mantan pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Hawazi Daipi.
"Kebanyakan orang kita mengakui dirinya orang Melayu dan orang Islam Singapura biarpun mereka kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Pokoknya. kita perlu bersama -sama meningkatkan keupayaan menggunakan bahasa Melayu sebagai warisan kita.
"Kita perlu rasakan bahawa bahasa Melayu itu satu kelebihan yang memberi kepuasan kepada diri kita sebagai insan," kata Encik Hawazi dalam satu wawancara bersama Berita Harian.
Beliau, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pendidikan), baru-baru ini melepaskan jawatannya di MBMS.
Encik Hawazi berpendapat golongan malu atau enggan bertutur dalam bahasa Melayu tidak menimbulkan masalah bagi masyarakat setempat.
"Ini semua terpulang pada individu. Sebagai pemimpin bahasa, majlis bahasa ingin menampilkan peluang bagi masyarakat kita menggunakan bahasa Melayu lebih kerap.
"Hakikatnya terpulang pada ibu bapa dan keluarga membuat keputusan apakah mempelajari bahasa Melayu itu satu kelebihan bagi mereka dan anak-anak mereka atau ia hanya satu mata pelajaran yang mereka harus lulus," ujar beliau.
Namun, melahirkan keprihatinannya, Encik Hawazi berkata banyak bahasa lain sudah pupus atau hampir pupus kerana masyarakatnya tidak lagi menggunakan bahasa mereka sendiri.
"Ini termasuk orang-orang Melayu yang ki ni menetap di negara-negara lain. Walaupun hakikatnya mereka berasa mereka masih Melayu, tanggapan masyarakat tempat mereka wujud tidak menganggap mereka sebagai masyarakat Melayu," ujarnya.
Dalam hal sedemikian, masyarakat berkenaan boleh dianggap sudah hilang sebahagian identiti mereka, kata Encik Hawazi.
"Oleh itu, kita menyokong penuh dasar dwibahasa yang dilaksanakan pemerintah," tambah beliau.
Pemerintah, menurut Encik Hawazi, telah dan akan terus memberi sokongan kepada pem belajaran bahasa Melayu di sekolah.
Ini dilihat menerusi semakan kurikulum Bahasa Melayu agar ia kekal relevan dan penekanan cara baru dan inovatif dalam pengajarannya.

No comments:

Post a Comment