Sunday, July 22, 2012

bertekad lestari bahasa bonda

14 Jul 2012
Cetusan minda

Selagi kita bertekad lestari bahasa bonda

DIALOG saya dengan seorang telepedagang baru-baru ini:
Telepedagang (TP): Hello, Mr Mohd Noor please.
Saya (S): Ya.
TP: I'm from ****** Bank.
S: Boleh cakap bahasa Melayu?
TP: Huh?
S: Cakap bahasa Melayu boleh?
TP: Can u speak English?
S: Cakap Melayu boleh?
TP: Ohh, thank you. (letak telefon)
Lega kerana 'gangguan' pihak penyedia khidmat dapat dicegah awal.
Cuma sebenarnya tujuan utama saya berbuat demikian adalah mengingatkan para penyedia khidmat bahawa ada pelanggan yang lebih selesa atau mahu berbahasa Melayu.
Ini memandangkan banyak penyedia khidmat sekarang menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin sahaja sebagai bahasa pengantar mereka dan mengetepikan penggunaan bahasa lain, termasuk bahasa Melayu.
Saya mahu pihak penyedia khidmat lebih peduli akan pelanggan Melayu yang sebilangannya lebih selesa berbahasa Melayu atau mahu menggunakan bahasa Melayu kerana mahu melestarikan bahasa ibunda mereka.
Sebagai pengguna yang cuba dipikat penyedia khidmat, pelanggan boleh memilih bahasa yang ingin digunakan atau boleh memilih supaya tidak melayan tawaran mereka.
Seyogia, banyak syarikat kini menyumberluarkan bidang tugas menghubungi pengguna kepada pihak luar atau syarikat luar negara.
Selalunya, kakitangan ini hanya tahu berbahasa Inggeris dan mungkin juga Mandarin.
Sering mereka menghubungi pelanggan tanpa berminat atau bertanya dahulu apakah pengguna itu sedang sibuk dan terus membebelkan jualan mereka. Ini kurang adab.
Ini berlaku sedangkan ada pelanggan yang sibuk bertugas atau ada juga pelanggan yang lebih selesa berbahasa Melayu seperti saya.
Persoalannya, dapatkah dan mahukah penyedia khidmat memenuhi permintaan ini (melayani pelanggan dengan menggunakan bahasa Melayu)?
Saya yakin jika ramai pengguna Melayu yang minta khidmat sedemikian, lama-kelamaan akan ada penyedia khidmat yang bersedia memenuhi permintaan itu.
Bak hukum ekonomi, ada permintaan adalah bekalan.
Jika ramai orang Melayu bertekad melakukan sedemikian, para penyedia khidmat akan lebih sedar bahawa bahasa Melayu juga merupakan antara bahasa penting dan sering digunakan di negara ini.
Mentelah bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Singapura dan juga salah satu bahasa rasmi di sini, selain digunakan lebih 250 juta penutur di kawasan Nusantara ini.
Malah, ia juga merupakan bahasa pengantaraan dalam berbagai-bagai bidang termasuk kehakiman (keadilan), perniagaan, pendidikan dan sebagainya di beberapa negara di rantau ini.
Cuma sayangnya, penggunaan bahasa Melayu di sini semakin terpinggir baik di peringkat kebangsaan mahupun di kalangan orang Melayu sendiri.
Semakin ramai ibu bapa Melayu menggunakan bahasa Inggeris di rumah dan di luar rumah bersama anak-anak sehingga anak mereka kurang fasih dan kurang mampu menguasai bahasa Melayu, menjadikan istilah bahasa ibunda tampak canggung.
Bulan Bahasa menutup tirai hujung minggu ini, namun tidak bermakna kita hentikan usaha melestarikan dan memperjuang penggunaan bahasa Melayu.
Seperti kata Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2012 yang juga Anggota Parlimen GRC Hong Kah, Encik Zaqy Mohamad, setiap orang mempunyai peranan mereka.
"Perjuangan memartabatkan bahasa bukan hanya tanggungjawab golongan seperti ahli bahasa sahaja. Semua orang perlu melakukannya.
"Tidak kira pelajar, pekerja, pencinta bahasa, karyawan ataupun anggota masyarakat pengguna bahasa Melayu yang lain, ini tanggungjawab kita bersama sebenarnya," jelas beliau yang turut mendeklamasikan sajak dalam satu acara Bulan Bahasa.
Rumusnya, sebagai orang Melayu, kita gunakan bahasa Melayu apabila sesama kita, sesama anggota keluarga, ibu ayah datuk nenek, bersama rakan kerja Melayu dan kepada mereka yang mampu berbahasa Melayu.
Kita rebutlah peluang dan ruang berbahasa Melayu kerana dalam kehidupan zaman sekarang, peluang ini kian berkurangan.
Tanpa penggunaan bahasa Melayu yang mencukupi, lidah kita boleh kelu berucap bahasa Melayu. Usahlah sampai ke tahap tersebut.
Marilah sama-sama kita membela dan melestarikan bahasa Melayu - bahasa kebangsaan dan ibunda kita.
Ini termasuk mengekalkan seni kata Lagu Kebangsaan, Majulah Singapura, yang telah menjadi warisan, sejarah dan 'darah daging' Singapura sejak merdeka.
Bagi warga yang kurang faham, berusahalah ambil tahu terjemahan dan makna seni kata Lagu Kebangsaan, sebagai komitmen warga kepada negaranya, dan bukan terus mengeluh.
Berbalik kepada dialog di atas, seorang telepedagang berbangsa Melayu pernah menelefon saya, menggunakan bahasa Inggeris.
Apabila saya minta perbualan itu dilakukan dalam bahasa Melayu, beliau teragak-agak tetapi dapat meneruskan perbualannya dalam campuran bahasa Melayu dan Inggeris.
Saya melayannya tetapi akhirnya menolak tawarannya. Sebabnya, beliau menawarkan hutang (kredit) kepada saya.
Saya sekadar menjawab:
"Saya orang Melayu yang dididik ibu bapa saya agar jauhi hutang. Terima kasih kerana gunakan bahasa Melayu."

No comments:

Post a Comment