Tuesday, April 3, 2012

Geylang

3 Apr 2012

EKSTRA!

ASAL ASUL
Daripada Gêlang jadi Geylang?


PERKATAAN 'Geylang' dalam peta Singapura yang dikeluarkan oleh Colonial Engineer Straits Settlement tahun 1898 tercetak sebagai 'Gêlang' ('ê' pepet - yang bunyinya seperti sebutan emak atau enam bukan ekor atau epokepok).

Perubahan pada perkataan ini terjadi bukan sahaja pada ejaannya, malah pada sebutan perkataan itu hingga ke hari ini.

Tempat atau kawasan yang disebut Geylang (Gêlang) sudah wujud jauh sebelum kedatangan Raffles.

Ini terbukti berdasarkan peta Singapura yang diterbitkan pada 1898 di mana tercetak nama Gêlang bukan Geylang sebagaimana yang ada sekarang.

Kawasan atau Kampung Gêlang pada mulanya merupakan kawasan kediaman orang Melayu antara Sungai Kallang dengan Sungai Gêlang.

Sungai Gêlang tidak seluas dan tidak sepanjang Sungai Kallang. Hulu Sungai Gêlang berpunca daripada kawasan paya yang luas yang dikenali dengan panggilan Paya Lebar. Nama tempat itu kekal hingga sekarang.

Di tebing Sungai Gêlang inilah menjadi tempat tinggal kaum nelayan pada waktu dahulu sebab sungai merupakan pengangkutan laut yang sangat penting.

Jalan raya Gêlang atau Gelang Road dibina oleh British pada 1831. Nama itu kini berubah ejaan dan sebutannya menjadi Geylang.

Bagaimana pula asalnya nama Gêlang?

Gêlang berasal daripada nama sejenis tumbuhan, sama ada Gêlang Pasir (Portulaca Oleracea) atau Gêlang Laut (Sesuvium postulacastrum).

Namun begitu, menurut H. T. Haughton menerusi tulisannya dalam Journal of The Royal Asiatic Society Straits Branch, Volume 20, 1889, besar kemungkinan bahawa nama Gêlang itu berasal daripada Gêlang Pasir.

Gêlang Pasir ialah jenis tumbuhan menjalar atau melata tanpa musim daripada keluarga Portulacaceae yang tingginya boleh mencapai sehingga 40 sentimeter.

Menurut Kamus Dewan oleh Teuku Iskandar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, nama lain bagi Gêlang Pasir ialah Rumput Beremi atau Segan Jantan iaitu jenis herba.

Gêlang Pasir mempunyai taburan yang luas, iaitu dari Afrika Utara hingga ke Timur Tengah, India dan Malaysia.

Pada umumnya tumbuhan ini dianggap sebagai rumpai eksotik.

Namun, bukti menunjukkan bahawa spesies ini sudah wujud di Canada sejak abad ke-15, iaitu pada zaman sebelum Columbus.

Gêlang Pasir mempunyai batang yang licin berwarna kemerah-merahan. Batang pokok ini kebanyakannya menjalar.

Daunnya tersusun selang-seli dan berumpun pada pangkal batang pokok. Bunganya kuning dan mempunyai lima ruas selebar enam milimeter.

Bunga-bunga Gêlang Pasir muncul sepanjang tahun, bergantung pada hujan yang mencukupi.

Pokok ini berbunga satu demi satu selama beberapa jam sahaja pada setiap pagi yang cerah. Ia boleh hidup di tanah yang padat dan tidak subur. Ia juga tahan kemarau.

Daunnya yang segar boleh dijadikan sayur, tetapi mesti direbus terlebih dahulu kerana ia banyak mengandungi garam.

Berbalik kepada asal Gêlang.

Lazimnya nama sesuatu tempat itu diperolehi sempena nama tanaman yang banyak terdapat di tempat itu.

Mungkinkah di Geylang atau Gêlang pada masa dahulu banyak tumbuh pohon Gêlang Pasir sehingga kawasan itu dinamakan Gêlang?

Atau apakah pula sejarah yang lebih sesuai menurut anda?

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment